Friday 6 May 2022

PERGINYA LIN

ROSLINDA BINTI MUKHTAR

8.8.1964  -  21.9.2021



 16 SEPT 2021 KHAMIS

Pagi pagi lagi kami (aku, Lin & Along) berkemas dan bersiap untuk ke Kuantan atas urusan Along yang sedang belajar di peringkat Master di UIAM. Polis telah memberi kebenaran seramai 3 orang untuk bergerak merentas negeri. Seminggu sebelumnya, permohonan kami hanya membenarkan 2 orang saja lalu aku membatalkan hasrat kerana tidak mau meninggalkan Lin seorang diri di Jitra. Keadaan pandemik covid-19 masih lagi serius sehinggakan pergerakan merentas negeri amat sukar sekali.

 Perjalanan yang jauh namun kami sampai kira-kira pukul 4.00 petang. Setelah daftar masuk hotel Hyatt, kami bersiar-siar di tepi pantai di belakang hotel. Sebelah malam kami makan ikan bakar di Tg Lumpur


Hotel Hyatt Kuantan - Gambar terakhir bersama Lin


17 SEPT 2021 JUMAAT

Selepas sarapan pagi kami ke UIAM atas urusan Along di samping itu ingin mengambil kereta Sylphy yang telah lama tersadai di kampus ini. Enjin tidak boleh dihidupkan kerana bateri sudah habis walaupun dibuat 'jumpstart'. Dengan menggunakan portal 'bateriku', mekanik telah menghantar bateri ke kampus dan terus menghidupkan kereta tanpa sebarang masalah.

Setelah urusan Along selesai, kami ke bengkel berdekatan untuk menukar minyak enjin dan oil filter dan memeriksa perkara-perkara yang perlu diperiksa. Aku dan lin terus balik ke hotel manakala Along meneruskan urusannya di UIAM.




Gambar terakhir bersama Lin - Pantai TC belakang Hotel Hyatt




18 SEPT 2021 SABTU

Selepas sarapan pagi di hotel, kami bersiap-siap untuk balik ke Jitra. Along memandu kereta sylphy dan aku dan Lin dengan CRV. Aku memerhatikan lin tidak seperti biasa. Dia seperti keletihan yang amat sangat. Makan pun dia tidak berselera. Aku menyangkakan ia letih biasa kerana perjalanan yang jauh dari Jitra ke Kuantan dan hari ini kembali semula ke Jitra.

Sebaik saja melepasi terowong Menora, Ipoh, aku mendapat panggilan telefon dari Along yang mengatakan keretanya telah rosak dan terpaksa berhenti di tepi jalan berhampiran terowong. Lalu aku pesan kepadanya supaya menunggu aku sampai di situ. Sekiranya orang yang tidak dikenali cuba membantu, maklumkan 'ayah'ku dalam perjalanan dan jangan layan sebarang rundingan daripada orang yang tidak dikenali.

Aku dan Lin terpaksa keluar di tol Kuala Kangsar dan berpatah balik ke Ipoh dan naik semula menuju terowong Menora. Alhamdullillah, pihak PLUS telah menarik kereta itu ke tempat yang lebih selamat. Dalam pada itu, aku telah menelefon agen insuran mengenai situasi itu. Dia telah memaklumkan bahawa pihaknya telah menguruskan hal itu dan kami cuma tunggu di situ menunggu penarik kereta.

Kereta Sylphy rosak ketika mendaki Terowong Menora, Ipoh


Setelah lebih setengah jam dalam hujan renyai-renyai, penarik kereta sampai dan membawa kereta ke sebuah bengkel di Kuala Kangsar. Setelah berbincang dengan bengkel, kami meneruskan perjalanan. Jam telah menunjukkan pukul 6.00 petang lebih. Aku memerhatikan lin lemah sahaja lalu tergerak hatiku untuk membawanya ke hospital KPJ Ipoh. Namun selepas tol Kuala Kangsar, aku termamai lalu memandu terus ke utara. Untuk ke Ipoh aku terpaksa keluar di tol Changkat Jering. Dalam pengiraanku jarak dari Changkat Jering ke Ipoh lebih kurang sama dengan ke Seberang Perai. Lalu aku terus memandu ke utara.

Sampai sahaja ke Seberang Perai, aku terus membawa lin ke hospital KPJ bandar Perda untuk memeriksa kesihatannya walaupun dia agak keberatan. Sementara Along mencari parking, aku dan lin terus saja ke bahagian kecemasan. Lin senyum saja kerana aku membawanya ke situ (mungkin ia menyangka dia bukanlah sakit teruk sangat). Walaupun dia boleh berjalan namun aku sengaja mengambil kerusi roda dan menyuruh dia duduk sambil aku menyorongnya. 

Kami terus saja di meja nurse sambil memaklumkan kesihatan lin. Lin kelihatan seperti biasa saja sambil menyatakan kepada nurse dia berasa letih sangat. "Kalau begitu, kami akan membuat pemeriksaan dulu supaya kami mengetahui penyakitnya". kata nurse. Sebagai prosedur biasa, lin terpaksa menanggal semua barang kemasnya dan menukar pakaiannya dengan pakaian pesakit. Semua barang kemas dan pakaian lin aku pegang. Nurse memaklumkan kepada aku untuk terus ke kaunter pendaftaran dan bayaran yang tidak jauh dari situ.

Sedang aku membuat pendaftaran aku lihat dua tiga orang nurse dan doktor berkejaran-kejaran dalam keadaan cemas dari ruangan lin diberi rawatan. Dalam hati kecilku, siapa pula yang dalam keadaan kecemasan ini. Ah! Tak mungkin lin. Hati kecilku berkata-kata walaupun hanya lin seorang saja yang masuk ke ruangan itu sebentar tadi. Aku masih lagi di kaunter pendaftaran. Kedengaran perbualan telefon yang kuat dari ruang lin antara petugas. Pasti doktor yang dihubungi mereka, hatiku masih lagi berkata-kata.

Aku dikenakan pakaian PPE ketika menunggu lin di ICU


Setelah selesai pendaftaran, aku duduk di situ sambil menunggu keputusan rawatan lin. Tidak lama selepas itu, aku didatangi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Doktor yang merawat lin. Dia ialah Dr. Safari Elis, Pakar Jantung KPJ Penang. Dia telah memaklumkan kepada aku bahawa jantung lin sudah berhenti kira-kira 10 minit sebentar tadi sebaik saja dia berada di atas katil. Para petugas telah berusaha sungguh-sungguh bagi memulihkan pernafasan lin dan akhirnya berjaya dipulihkan.

Dr. Safari menyatakan kemungkinan besar jantungnya bermasalah dan sekira keadaannya stabil malam nanti kami akan buat angioplasty surgery dengan memasukkan stent. Sambil menunggu lin, aku menelefon Aiman dan Atiqah yang berada di KL untuk balik segera. Juga aku memaklumkan kepada adikku, Izan akan keadaan lin ketika itu. Oleh kerana pandemik covid-19 masih lagi serius, hanya aku seorang saja yang boleh berada di situ. Itupun terpaksa memakai pakaian PPE yang disediakan oleh hospital.

Kira-kira pukul 12.00 malam aku mengiringi lin ke bilik pembedahan untuk prosedur angioplasty. Lin sudah sedar dan boleh berkata-kata. Aku pesan kepadanya berkali-kali supaya banyak beristighfar. Dia hanya mengangguk-angguk kepalanya sahaja dan sememangnya kelihatan bibirnya kerkata-kata.

Sambil duduk bersendirian di luar bilik pembedahan, aku sentiasa berdoa kepada Allah untuk memudahkan segala urusan lin. Tidak lama selepas itu, doktor keluar bersama-sama lin untuk membawa lin ke unit ICU semula. Sambil berjalan Doktor telah memaklumkan kepada aku bahawa pembedahan tidak dapat dilaksanakan kerana keempat-empat saluran jantung lin sudah hampir tersumbat. Satu tersumbat sepenuhnya manakala tiga lagi 99.9 % tersumbat. 

Menurutnya, pilihan terbaik ialah melakukan pembedahan by-pass namun ia tidak boleh dilakukan sekarang sehingga pemeriksaan penuh kesihatan dilakukan. Keesokannya keputusan pemeriksaan lin mendapati tekanan darah tinggi, diabetes tinggi dan terdapat jangkitan kuman di paru paru. Sekirannya keadaan ini dapat distabilkan, pembedahan by-pass boleh dilakukan.


19 SEPT 2021 AHAD

 Pagi-pagi lagi aku sudah berada di hospital bagi melihat keadaan Lin. Lin masih lagi dikenakan dengan alat bantuan pernafasan. Para doktor sentiasa memantau keadaan kesihatan lin terutamanya diabetes, tekanan darah dan jangkitan kuman. Aku hanya mampu berdoa yang terbaik saja untuk Lin. 

Aku merayu pada doktor supaya membenarkan anak-anakku melihat emaknya. Doktor memberi kebenaran dengan secara bergilir-gilir. Alhamdullillah, dapatlah Along, Aiman dan Atiqah melihat Umminya yang tenat itu. Adik dan abangku yang berada di luar hospital tidak dapat kebenaran untuk masuk.


20 SEPT 2021 ISNIN

Hari ini Doktor telah memaklumkan keadaan lin semakin pulih dan tekanan darah, diabetes dan jangkitan kuman telahpun dapat dikurangkan. Alat bantuan pernafasan lin pun telah ditanggalkan. Aku sangat gembira melihat lin semakin pulih. Kami boleh berbual namun aku lihat dia sangat letih dan tidak bermaya. Berkali-kali aku berpesan kepadanya supaya beristighfar selalu, moga-moga dengan wirid istighfar itu Allah permudahkan urusan lin.

Doktor memaklumkan sekiranya keadaan Lin bertahan seperti itu, pembedahan by-pass akan dilakukan dalam 3/4 hari lagi. Ini bagi memastikan tiada komplikasi ketika pembedahan.


21 SEPT 2021 SELASA

Hari ini, pagi-pagi lagi Aiman balik ke KL atas urusan kerjanya dan akan balik semula ke Penang petang itu jugak. Along dan Atiqah balik ke Jitra untuk beberapa urusan lain termasuklah membawa pakaian kotor untuk dibasuh. Mereka juga akan datang balik ke Penang pada petang itu jugak. Aku terus saja ke hospital untuk melihat lin. Keadaannya seperti semalam jugak tanpa sebarang perubahan. 

Tidak lama selepas itu, aku turun ke bawah untuk mencari makanan. Tidak lama selepas itu, aku menerima panggilan telefon dari ICU untuk naik ke atas. Jantungku berdegup dengan pantas sekali. Aku segera naik ke atas.

Sekali lagi lin diserang jantung walaupun sebentar tadi ia kelihatan seperti biasa saja. Kali ini doktor terpaksa mengambil masa kira-kira 15 minit CPR untuk memulihkan pernafasan lin. Aku lihat lin semakin lemah. Doktor terus menerus memberi rawatan terbaik mereka bagi memastikan lin dapat dipulihkan.

Sambil duduk di luar bilik ICU, aku telah menelefon Aiman supaya balik segera ke Penang. Ketika itu Aiman baru sampai Ipoh. Along dan Atiqah juga aku minta balik ke Penang kerana lin semamangnya tenat dalam pengamatanku.

Mereka bertiga bergilir-gilir melihat lin yang sudah tidak dapat berkata-kata lagi kerana diberi semula alat bantuan pernafasan. Adik-adik Lin dari Terengganu juga di perkarangan hospital namun tidak boleh masuk melihat lin. Begitu juga abang dan adikku dari KKB ada di perkarangan hospital.

Kira-kira pukul 6.00 petang, aku keluar hospital untuk bertemu semua keluargaku yang menunggu di luar. Sudah pasti mereka ingin tahu berita lin dari mulutku. Aku mohon pada mereka supaya berdoa banyak-banyak kerana keadaan lin sememangnya tenat. Sedang aku berbual-bual dengan mereka aku menerima telefon dari ICU untuk naik ke atas semula. Bergegas terus aku naik ke atas sambil meninggalkan kaum keluargaku di luar.

Sekali lagi doktor memaklumkan kepadaku keadaan lin yang sangat tenat. Mereka cuba sedaya upaya untuk menstabilkan keadaan lin dengan pelbagai cara. Aku hanya mampu mendengar dan berdoa saja sambil air mata terus mengalir. Aku masih lagi belum bersedia untuk menerima berita buruk dari Doktor.

Kira-kira pukul 7.40 malam, aku diminta untuk masuk melihat lin. Doktor cuba menenangkan aku kerana keadaan lin sudah nazak. Aku segera menalkinkan lin berkali-kali di telinga lin dengan 'Lailla HaillAllah', sambil itu aku melihat bibirnya bergerak-gerak. Tanpa jemu aku terus menalkinkan lin tanpa henti sehinggalah Doktor memaklumkan kepadaku lin sudah tiada lagi.

Alangkah remuknya hatiku ketika itu. Perasaan sedih tidak dapat dikawal lagi ketika itu. Atiqah yang berada di luar ICU telah masuk melihat Umminya. Berita sedih ini disampaikan kepada anak-anakku yang berada diluar untuk naik ke atas secara bergilir-gilir. Setelah selesai nurse menanggalkan semua alat-alat perubatan di badan lin, kami diminta untuk melihat lin semula. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat lin senyum sahaja tidak seperti orang yang telah meninggal dunia.

Bagaimana pula urusan jenazah hendak dilakukan. Dr. Safari telah menghubungi kawannya manakala aku juga menelefon kawan-kawanku bagi membantuku. Aku dan Dr. Safari melakukannya serentak supaya urusan ini dapat dilakukan dengan segera. Mana-mana yang memberi pengesahan dulu akan diberikan kepada mereka untuk mengurusnya.

Aku memohon pada anak-anakku berbincang sesama mereka ke manakah jenazah Lin hendak disimpan. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk disimpan di Kg Balun, kampungku.

Kawan-kawanku dari IPGKTB yang tinggal di sekitar Pulau Pinang telah mula sampai ke hospital namun yang tinggal di Kedah tidak dapat hadir kerana sekatan rentas negeri PKP. 

Akhirnya kenalan Dr. Safari bersetuju untuk menguruskan jenazah walaupun selepas itu Ustaz Subki, sahabatku, juga setuju untuk menguruskan. Setelah selesai urusan di hospital, jenazah dibawa ke Masjid Bandar Perda untuk dimandi dan disolatkan. Along dan Atiqah turut membantu bagi memandikan jenazah. Inilah pengalaman pertama mereka mengendalikan mandi jenazah dan mengkafankannya.

Setelah selesai itu, jenazah dibawa ke dalam masjid untuk disolatkan. Ustaz Subki telah memimamkan solat jenazah lin ini. Ramai juga rakan-rakan dari IPGKTB bersama-sama solat untuk arwah lin. Kira-kira pukul 12.00 malam, van membawa jenazah lin bergerak ke Kg Balun. Aku menemani lin di belakang manakalah pemandu dan pembantunya di hadapan. Dalam perjalanan aku tidak berhenti membaca surah yassin dan aku hadiahkan kepada Lin.

Dari tangga masjid ke dalam van. Inilah perjalanan terakhir lin.


22 SEPT 2021 RABU

Kira-kira pukul 3.00 pagi kami tiba di Balun. Abangku bersama Awi dan lain-lain sudah ada di rumah. Jenazah terus di bawa masuk ke rumah. Aku terus membaca surah yassin di sisi lin. Anak-anakku dan rakan-rakan juga membaca surah yassin untuk lin sampai ke subuh. Selepas solat subuh, ramai juga orang kampung datang berkunjung sambil membaca surah yassin dan doa.

Kira-kira pukul 10.00 pagi, jenazah sekali lagi disolatkan di rumah pusaka ini. Setelah selesai solat, jenazah terus di bawa ke tanah perkuburan Sempa untuk disemadikan buat selama-lamanya.

Inilah pusara Lin dibina selepas 7 bulan ia disemadikan





Kali terakhir Lin memberi ceramah secara on-line



2 comments:

  1. Allahu Akhbar...semoga dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan orang yang diredhai Allah SWT....semoga tabah dalam menghadapi ketentuan Allah SWT

    ReplyDelete
  2. Aaminn Aaminn Aaminn Ya Rabbalalamin

    ReplyDelete