Saturday 17 February 2024

LOMBOK, INDONESIA

LOMBOK; 25 - 28 JANUARI 2024 


Penerbangan terus dari KLIA ke Lombok mengambil masa lebih kurang 3 jam. Dari lapangan terbang ke Kuta dengan menggunakan perkhidmatan kereta persendirian dengan sewaan 150k rupiah. Tinggal di Kuta selama 2 malam sebelum bertolak ke Gili Trawangan






Perjalanan dari Kuta ke Gili Trawangan masih menggunakan perkhidmatan kereta sewa yang sama (370k rupiah). Singgah sebentar di Pantai Teluk Sekedik sambil minum air kelapa muda





Friday 26 January 2024

AUTOBIOGRAFI NYE BUDAK BALUN

(Autobiografi ini akan dikemas kini dari masa ke masa)

Zaman Kanak-Kanak (1958-1964)


Aku dilahirkan pada 11.11.1958 namun dilaporkan pada 15.11.1958, maka kekallah tarikh lahirku pada 15.11.1958 seperti tertera dalam surat beranak dan kad pengenalan. Dilahirkan di kampung  dengan berbidankan orang kampung sudah pastilah suasananya berbeza dengan lahir di hospital. Suasana kampung ketika itu juga membuatkan ayahku terlupa hendak melaporkan kelahiranku di Balai Polis Slim River.

Semasa kecil aku kerap kali sakit sehingga ada beberapa ketika aku hampir saja sampai kepada ajal. Pernah Atok (Imam Adam Hj. Mustafa) bernazar menyembelih seekor kambing sekiranya aku pulih dari sakit. Begitu juga Mak beberapa kali bernazar menyembelih kambing jika aku sihat kembali.

Ayah, Mak dan kami tiga beradik (Azmi dan Izan) sememangnya tinggal serumah dengan Atuk dan Opah (Hjh. Shamsiah bt. Bagus). Atukku seorang yang tegas dan ‘garang’ manakala Opahku sangat lembut dan penyabar. Ayahku bekerja sebagai seorang ‘Jaga’ JKR dan Mak sebagai suri rumah dan penoreh getah. 

Sungai Balun merupakan nadi penting bagi penduduk kampung kerana di situlah tempat kami mandi, membasuh pakaian dan ‘tandas’ kerana bekalan air bersih tidak ada sehinggalah pada tahun 1968. Air untuk minum dan masak diambil dari telaga yang juga berada berhampiran dengan sungai.

Di malam hari kami hanya menggunakan pelita sahaja kerana bekalan elektrik hanya dinikmati penduduk kampung pada tahun 1971. Pun begitu tidak ramai yang mampu menikmati bekalan elektrik ke rumah masing-masing kerana kos yang mahal pada peringkat awal 1970an. Oleh itu, waktu malam sememangnya suram dan sudah menjadi kebiasaan kami makan malam sebelum maghrib kerana cahaya masih lagi terang.

Suasana kampung memang sejuk dan gelap gelita waktu malam kerana kampung dipenuhi dengan pokok-pokok. Waktu malam memang sunyi kerana tiada TV dan lain lain alat elektronik. Jika berjalan di waktu malam selepas maghrib, kita akan dapat mendengar suara budak-budak mengaji Quran kerana banyak rumah mengajar budak mengajar mengaji quran.

Jalan kampung semamangnya kecil dan jika hujan jalan akan penuh dengan lumpur. Amat sukar berbasikal kerana lumpur akan melekat pada tayar basikal. Kampung hanya menikmati jalan berturapkan tar pada tahun 1978.


Sekolah Rendah (1965-1970)


Memulakan alam persekolahan pada 1965 di SK Balun, Slim River. Hari pertama persekolahan sememangnya 'mengerikan' kerana aku tidak mengenali semua rakan sedarjahku. Ada kalangan kami menangis kerana ketakutan manakala ramai juga ibubapa menunggu di luar bilik darjah melihat gelagat anak-anak mereka. Menariknya ada yang masih lagi berdukung untuk ke sekolah.



Bangunan sekolah adalah seperti dewan panjang yang boleh menampung 6 kelas yang dipisahkan dengan dua penghadang kadbod antara kelas-kelas. Penghadang kadbod ini boleh diubah-ubah mengikut kesesuaian saiz kelas. Bahagian depan dan belakang kelas boleh dilihat dari hujung ke hujung iaitu dari darjah 1 hinggalah darjah 6, malah ia disambung terus ke Bilik Guru Besar. Sekiranya Guru Besar membuka pintu biliknya maka ia boleh nampak semua meja guru dalam kelas.

Selalunya kami akan belajar di bawah pokok yang ada di sekeliling sekolah selepas waktu rehat. Ini kerana kelas terlalu panas disebabkan sekolah hanya beratapkan zink. Kami terpaksa menjunjung kerusi masing-masing untuk melintas padang sekolah. Kadang kala ada diantara kami disuruh mencabut ‘penguncup’ di seluar cikgu ketika belajar di bawah pokok kerana banyak penguncup di padang.

Guru Darjah 1 kami ialah Cikgu Hamidah anak Ketua Kampung Balun yang tinggal di hilir kampung berhampiran ‘tali api’. Beliau menaiki basikal untuk ke sekolah namun terpaksa berjalan kaki dari simpang sekolah ke sekolah kerana sedikit mendaki. Oleh kerana beliau selalu memakai kasut tumit tinggi yang tajam sebelah belakang tapak, maka selalu ia meninggalkan lubang-lubang atas jalan tanah. Kami selalu membilang bilangan lubang-lubang tersebut.

Kami mula mengenali huruf dibawah tunjuk ajar Cikgu Hamidah. Ada antara kami yang cepat belajar dan ramai juga yang ‘slow learner’ termasuklah aku. Aku hanya boleh membaca ketika berada di Darjah 3 namun ada juga yang tidak boleh membaca langsung.

Guru-guru kelasku di sekolah rendah ialah Cikgu Hamidah (Darjah 1), Cikgu Ahmad (Darjah 2), Mr. Mohamad (Darjah 3), Cikgu Ghafar (Darjah 4 & 6) dan Cikgu Yaakob (Darjah 5). Disamping itu Ustaz Abdul Rahman dan Ustaz Jamsari juga pernah mengajarku. Guru Besar kami ketika itu ialah seorang yang berbadan dan bersuara besar, dan sememangnya ‘menggerunkan’ kami ketika itu iaitu Cikgu Tufandi.

Duduk (L-R) : Cikgu Megat, Cikgu Tufandi (GB), Cikgu Ghafar
Berdiri (L-R) : Cikgu Ahmad, Mr. Muhammad, Cikgu Yaakob, Ustaz Abd Rahman, Ilot



Ketika cuti sekolah aku sering menemani Mak pergi menoreh getah. Jarak kebun adalah lebih kurang 3 km dari rumah. Kami hanya berjalan kaki mengikut jalan belakang yang terpaksa melintasi dua titi dan paya di belakang rumah Pak Olid Hitam. Perjalanan waktu subuh sememangnya mencabar kerana dalam kesamaran lampu ‘suluh’ kami meniti ‘titi’ yang dibina daripada batang-batang pokok kelapa dan kayu. Pernah sekali aku tergelincir dan jatuh ke dalam sungai, namun perjalanan diteruskan walaupun dalam keadaan basah.

Suatu hari seperti biasa aku dan Mak telah turun dari rumah di waktu subuh yang masih gelita berjalan kaki ke kebun. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang setengah jam sememangnya memenatkan. Sebaik sahaja kami sampai kebun aku terus ke pangkal pokok tempat kebiasaan rehat kami. Mak terus memulakan torehan manakala aku menyambung tidurku di pangkal pokok dalam suasana gelap gelita.

Aku hanya ‘tidur ayam’ sahaja kerana Mak kerap memanggilku bagi memastikan aku jaga. Dalam suasana gelap itu, aku terdengar bunyi seperti ada benda yang berjalan di belakangku. Aku toleh ke belakang namun aku tidak dapat melihat apa-apa pun kerana keadaan yang sangat gelap. Aku terus menyelubungi mukaku dengan kain namun hatiku tidak begitu tenteram. Apabila aku membuka kain di mukaku, aku sungguh terkejut kerana ada lembaga di hadapanku yang jaraknya lebih kurang sejengkal sahaja dari mukaku. 

Aku terus menjerit sekuat-kuatnya sambil berlari menuju Mak. Secara serentak Mak pun menjerit dan berlari menujuku lalu kami saling berpelukan. Rupa-rupanya Mak telah menjangkakan perkara itu akan berlaku kerana Mak telah nampak cahaya merah di tanah perkuburan Sempa yang tidak jauh dari kebun kami. Sebab itu, Mak memanggilku banyak kali untuk sertai di belakangnya.

Selalunya Ayah akan sampai pukul 7.00 pagi iaitu selepas selesai tugasnya sebagai Jaga di Rumah Pam Air Slim River. Setelah selesai menoreh kami biasanya minum pagi di pangkal pokok. Juadah yang sedap ialah roti canai mamak yang ayah beli sebelum ke kebun. Selepas rehat aku membantu ayah untuk mengumpul susu getah.

Ketika itu terdapat dua mesin getah kepunyaan Mak di belakang rumah. Di sinilah adik beradik Mak bergilir-gilir menggunakan mesin tersebut. Aku sempat membantu Ayah untuk memusing mesin tersebut hingga ia menjadi leper dan terus menjemurnya. Setiap keping getah ada tanda bagi memudahkan kepunyaan siapa getah tersebut.

Kadang kala Mak membawa ku ke kebun di waktu petang bersama Wenda (Kakak Mak) untuk mencari ‘kayu api’. Ketika itu kayu api digunakan sepenuhnya untuk memasak. Pokok getah mati merupakan kayu yang paling sesuai untuk dijadikan bahan bakar. Di kebunlah kami menebang, menggergaji dan membelahnya sebelum di bawa pulang. Kadang-kadang kami hanya membawa batang-batang yang panjangnya lebih kurang 2 meter yang belum dibelah. Urusan memotong dan mengapak dibuat di rumah.

Aku agak aktif dalam kokurikulum semasa berada darjah 5 dan 6 mungkin kerana murid tidak ramai. Aku telah mewakili sekolah dalam permainan bolasepak, sepak raga dan badminton. Aku juga dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan pidato sempena sambutan maulud Nabi di Slim River. 

Disamping itu, aku juga mewakili sekolah dalam pertandingan pakaian tradisional antara sekolah sempena karnival sambutan kemerdekaan di Slim River. Mak begitu teruja mengenakan pakaian baju Melayu, bertanjak dan lipatan sampin yang istimewa untuk ku. Aha, aku dinobatkan sebagai johan pada malam itu.

Setiap malam kecuali malam Jumaat aku dan abangku mengaji Quran di rumah Ayah Uda (Hashim guru kompang suami kepada Wenda). Kami berempat termasuk dua anaknya, Sani dan Tahir mengaji bersama. Alhamdullillah kami khatam serentak ketika aku berada di Darjah 5. Kenduri khatam AlQuran meriah sekali di mana kami berempat telah diarak dengan kompang dari Kedai Tok Tulis hingga ke rumahku. 

Di rumahku kami secara bergilir membaca surah-surah akhir Juz Amma dengan disaksikan ramai orang. Jika terdapat kesilapan mereka akan serentak membetulkan bacaan kami. Secara rasminya kami telah khatam al Quran. Keesokannya kami bertiga, aku, Azmi dan Tahir termasuk Pili telah dikhatankan oleh Pak Ariffin, seorang ‘Hospital Attendant’ di rumahku.

Selepas itu aku terus belajar membaca Quran dengan isteri Cikgu Yaakob, Johan Qariah daerah Kerian. Apabila Cikgu Yaakob bertukar, aku belajar dengan Ustaz Jamsari di rumah sewanya bersebelahan Kedai Wan Deiri. Apabila Ustaz ini bertukar aku terus belajar dengan Ustazah Zawiah.

Pernah ketika cuti sekolah panjang bertepatan dengan bulan Ramadhan, aku, Tahir dan Azmi membawa Quran, tikar dan bantal ke rumah Che Din di ‘tanjung’. Sememangnya rumah Che Din tidak dihuni. Di sini kami mengaji dan tidur hingga ke petang.

Subuh-subuh lagi aku sudah bangun untuk mandi dan bersiap-siap untuk pergi ke Ipoh bersama Ayah. Hari ini merupakan hari yang bersejarah dalam hidupku kerana aku berjaya dipanggil untuk sesi temuduga untuk masuk ke sekolah menengah agama Izzudin Shah, Ipoh yang begitu popular ketika itu. Aku bersama dua orang lagi murid dari SK Balun telah dipanggil untuk ditemuduga kerana kami mendapat keputusan Pangkat 1 dalam peperiksaan Agama Islam kelolaan Majlis Agama Islam Perak.



Ayah terpaksa menyewa sebuah teksi untuk pergi dan balik. Sudah pasti kosnya mahal ketika itu. Tempat temuduga ialah Masjid Negeri, Ipoh. Inilah kali pertama aku menghadapi sesi temuduga yang membuatkan aku begitu gelisah bercampur takut. Panel temuduga yang lebih tujuh orang menambahkan lagi ketakutan ku. Hanya seorang daripada kami bertiga yang berjaya yang akhirnya dia menjadi seorang ustaz (Sharifuddin Abd Rahman).


Sekolah Menengah (1971-1978)


Pada 1971 aku telah mendaftar diri di SMJK(I), Slim River bagi memulakan persekolahan menengah. Mak teringin anaknya masuk aliran Inggeris, oleh itu aku terpaksa menduduki ‘remove class’ selama setahun terlebih dahulu sebelum masuk Tingkatan 1. Hanya empat orang sahaja yang memilih aliran Inggeris dari SK Balun iaitu Sulaiman, Salmiah, Mardiana dan aku. Selebihnya mengikuti aliran Melayu, dan terdapat juga beberapa murid berhenti setakat darjah 6 sahaja akibat kemiskinan.

Keputusan peperiksaan akhir tahun 1972 ketika aku berada di Tingkatan 1 tidak mungkin dapat aku lupakan. Aku mendapat tempat kedua dalam Peperiksaan Akhir Tahun  selepas rakan karibku, Kow Chai, dapat nombor satu. Ayah amat gembira dengan keputusan itu dan dia telah menghadiahkanku sebatang pen berwarna biru muda berjenama ‘Pilot’ dengan ukiran namaku ‘SAZALI BIN YUSOFF’. Pen ini amat istimewa bagiku dan aku telah menggunakannya sehinggalah aku berjaya masuk universiti pada tahun 1979.



Form 1D 1972


Semasa di Tingkatan 2, aku belajar bersungguh-sungguh semata-mata untuk masuk ke kelas A  di Tingkatan 3. Sekolah ini mengamalkan ‘streaming’ di mana 40 murid terbaik dalam Peperiksaan Akhir Tahun semasa di Tingkatan 2 akan dihimpunkan dalam kelas 3A. Dalam Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 2 aku mendapat nombor 39 daripada 160 orang murid. Alhamdullillah, aku dan 3 orang lagi dari kelas 2D (ii. Kow Chai, Baharum & Rohana), berjaya masuk ke kelas 3A. 

Oleh kerana segan (inferiority complex aku sangat tinggi) jika berada nombor terakhir dalam kelas 3A ini maka aku belajar bersungguh-sungguh. Dalam peperiksaan pertengahan tahun aku mendapat nombor 33 dan peperiksaan percubaan LCE, aku berjaya di tempat 27. Apabila keputusan LCE dikeluarkan aku mendapat A18, iaitu aku berada di kelompok 11 murid terbaik dari segi agregat. Susunan murid terbaik ketika itu, Lily Leong, Marimuthu, Woon Chin Kean, Subramaniam, Tun Bakli, Ding Poi Hee, Lim Taw Siang, Sulaiman, Abdul Halim,  Lim Taw Yoke dan Aku.




Form 3A, 1974



Aku berjaya masuk kelas Sains Tulen di Tingkatan 4. Ketika itu, murid-murid yang cemerlang akan ditempatkan dalam kelas Sains. Aku telah membuat kesilapan yang sangat besar ketika berada di Tingkatan 4 kerana telah mengabaikan pelajaranku sama sekali. Aku tidak lagi bersemangat seperti aku berada di Tingkatan 3. Ketika ini aku aktif bermain sepak takraw untuk mewakili sekolah. Buat pertama kalinya dalam sejarah pasukan sekolah telah berjaya masuk peringkat separuh akhir pertandingan sepak takraw antara sekolah-sekolah negeri Perak pada tahun itu (1975). Jadi kami berlatih sungguh-sungguh bagi persediaan ke Ipoh namun tewas juga di peringkat separuh akhir. 

Aku kerap ponteng sekolah ketika berada Tingkatan 4. Kadang kala aku ponteng kerana mengambil upah menanam benih getah di ladang RISDA, Kuala Slim. Aku dan Tahir (sepupuku) hanya berbasikal yang jaraknya lebih kurang 10 km dari kampungku.

Semasa berada Tingkatan 5, aku mula belajar bersungguh-sungguh kembali namun agak sukar untuk aku mengulangkaji pelajaran tingkatan 4 yang banyak tertinggal akibat kelalaian dan kecuaianku ketika itu. Aku hanya mendapat Gred Dua dalam MCE dan menyambung pelajaranku ke Tingkatan 6 di SM Buyung Adil, Tapah.

Penghuni Asrama SMBA 1978
(Aku duduk No 3 dari kanan)



Aku melanjutkan pelajaranku di Tingkatan 6 Aliran Sains di Tapah dan  tinggal di Asrama SM Buyung Adil. Hanya ada lima subjek yang perlu diambil iaitu Physics, Chemistry, Biology, Mathematics dan General Paper. Semasa Tingkatan 6 aku belajar bersungguh-sungguh namun akhirnya keputusan Peperiksaan HSC aku hanya berjaya mendapat 3 subsid sahaja. 

Perarakan anak-anak TADIKA Polis Slim River, tetamu kehormat ialah Pelakon dan Pengacara popoular Pak Cik Jamal atau Jamal Kerdil. Program ini disiarkan oleh RTM dalam siri "Peristiwa'.
 (L-R: Ujang, Jalil, aku, AyahUda, Razak, Tahir)

Di usia remajaku di kampung penuh dengan aktiviti bersukan dan riadah. Ayah Uda (Guru Kompang terkenal di Slim River) telah melahir ramai pemain kompang di Kg Balun dan juga di luar Balun. Berkompang di waktu malam adalah aktiviti yang selalu aku sertai. Kami sering dijemput untuk majlis perkahwinan atau perasmian sesuatu program sama ada di kampung atau di luar. Antara tempat yang pernah aku sampai termasuklah di Teluk Intan, Sabak Bernam, Batu Gajah, Dengkil, dan lain-lain tempat.

Bermain sepak takraw adalah permainan kegemaranku malah hampir setiap petang kami bermain di sebelah Pondok Polis Kg Balun (Kedai Olid Putih, depan rumah Olid Itam). Di sinilah aku mula bermain dengan orang-orang yang lebih senior seperti Ilut, Ujang, Kocah, Ayub, Fian, Yusuf (tentera) dan lain-lain lagi. Malah semasa aku di Tingkatan 4, aku telah mewakili kampung dalam permainan ini. Kerap kali kami menyertai liga Sepak Takraw di Slim River namun tidak pernah menjadi juara. Ha ha ha.



Disamping aktif dengan sepak takraw aku sempat juga menyertai kegiatan persilatan selama 6 bulan di kampung. Aku terpaksa berhenti dari meneruskan kegiatan ini kerana mahu membuat tumpuan pelajaranku yang ketika itu sedang menghadapi peperiksaan MCE.

Pernah suatu malam ketika aku dan Pili belajar di anjung rumah, kami terdengar bunyi seperti gelas jatuh dari almari di rumah Anyah yang berada di sebelah. Anyah tidak ada di rumah ketika itu. Rupa-rupanya bukan kami saja yang dengar tetapi Mak dan Opah pun terdengar. Kami menyangkakan pencuri masuk ke rumah Anyah lalu kami memanggil Ayah Uteh serta lain-lain sepupu. Kami mengelilingi bahagian depan rumah dan Ayah Uteh masuk dalam rumah namun tidak ada apa pun yang hilang. Sememangnya ada gelas yang jatuh dari almari tetapi ia tidak pecah. Setelah menggeledah seluruh rumah, kami pergi ke belakang rumah. Kami ternampak kesan tapak kaki 'harimau' yang seolah-olah dia terjun dari salur rumah Anyah. Inilah salah suatu peristiwa misteri aku ketika di kampung.




UPM (1979-1982)


Aku telah memulakan pengajian Diploma Sains dengan Pendidikan (DSP) di UPM pada bulan Jun 1979. Seramai lebih kurang 270 orang ambilan ini.  Dua tahun pertama semua pelajar wajib mengambil subjek Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi. Ini merupakan cabaran kepada sebahagian pelajar kerana ada diantara mereka tidak begitu mendalam pengetahuan mereka dalam subjek tertentu. Para senior pula sering menakut-nakutkan kami yang mendakwa DSP merupakan program ‘killer’ kerana ramai yang gagal dan digugurkan dari UPM setiap semester.




Dakwaan itu memang benar sekali kerana selepas semester 1 dan 2, kami hanya tinggal lebih kurang 170 orang saja. Selebihnya samaada gagal di semester 1 atau semester 2. Ada juga di kalangan kami meneruskan pengajian mereka ke program Ijazah kerana keputusan mereka yang baik. Namun ramai juga yang menolak ‘promotion’ ke program Ijazah itu dan kekal dalam program DSP, dan salah seorangnya termasuklah aku. 

Kolej Kediaman 1, UPM


Di tahun 3, aku memilih untuk major subjek Fizik, subjek yang aku minati semenjak dari sekolah lagi. Hanya 18 orang saja memilih Fizik sebagai major selebihnya Matematik paling ramai, dituruti Biologi dan Kimia. Dari 18 orang ini, hanya 12 orang saja yang bergraduat manakala selebihnya sama ada terpaksa mengulang atau diberhentikan terus.

Makmal Fizik, 1982


Di universiti aku masih lagi aktif bermain sepak takraw. Aku mewakili kolej kediaman setiap tahun dan berjaya mewakili universiti ketika berada di tahun akhir. Ketika itu, 2 orang pemain UPM berjaya mewakili Malaysia ke pertandingan Sukan Asia di India dan seorang lagi mewakili Selangor.

Pada tahun 1980, UPM dan MARDI membuat suatu kajian berskala besar di seluruh negara berkaitan dengan pertanian khusus kepada tanaman dan ternakan. Aku telah dipilih menjadi 'pembanci' (data collector) bagi dua daerah iaitu Batang Padang (Perak) dan Cameron Highlands (Pahang). Kajian ini dilakasanakan semasa cuti panjang semester. Aku bersama tiga orang lagi yang diketuai oleh Pegawai MARDI melaksanakan tugas ini hampir tiga minggu. 

Tugasan di Cameron Highlands sememangnya memberi kesan yang mendalam dan pengalaman yang sangat bermakna. Di sini kami hanya mula bekerja selepas pukul 6.00 petang kerana semua penanam sayur hanya ada di rumah pada ketika itu. Siang hari mereka berada di ladang.

Melintas sungai yang deras 



Bagi membanci penduduk orang Asli pula, kami terpaksa berjalan kaki selama 4 hari 3 malam bagi mengumpul data setiap kampung orang Asli. Kami mula berjalan kaki dari Ladang Boh sehingga Kuala Woh untuk bermalam di sini. Dari Kuala Woh kami berjalan lagi hingga Fort Telanok dan bermalam di sini, dan keesokannya kami meneruskan perjalanan ke Kuala Rening untuk bermalam di situ pula. Hari keempat kami berjalan hinggalah ke Kg Raja di mana Landrover JHEOA sedia menanti kami. Perjalanan merintasi hutan banjaran Titiwangsa ini sememangnya amat mencabar. Selain berjalan di denai denai kami juga terpaksa meniti atas batang untuk melintasi sungai dan juga jurang.
Kuala Boh, Cameron Highlands, 1980





SM Mahmud, Raub (1982-1986)


Pada 18.8.1982 aku telah melapor diri di SM Mahmud, Raub untuk memulakan kerjaya sebagai seorang guru. Dengan sebuah beg galas aku menaiki bas Mogah dari Slim River ke Tg Malim. Dari Tg Malim aku manaiki bas Len pula ke Kuala Kubu Baru dan menyambung perjalananku dengan bas ke Raub melalui Bukit Fraser. Inilah kali pertama aku ke Pahang apa lagi Raub, sebuah pekan kecil yang aku tidak mengetahui lokasinya sebelum mendapat surat penempatan. Perjalanan dari Kuala Kubu ke Raub sememangnya memenat dan memeningkan kerana jalan yang berbukit dan berliku-liku.

Aku diamanahkan untuk mengajar Fizik bagi empat kelas Tingkatan 4. Disamping itu, aku diminta mengajar Sivik dan PJ bagi mencukupkan 27 waktu. Tahun berikutnya aku mengajar Fizik tiga kelas Tingkatan 4 dan dua kelas Tingkatan 5. Begitulah keadaan di tahun tahun berikutnya sehinggalah 1986 apabila aku mengambil cuti belajar untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah pula.

Selaku guru baru aku sememangnya bersemangat dan minat mengajar terutamanya subjek Fizik, subjek yang aku minati. 25 waktu seminggu mengajar subjek ini sememangnya mencabar namun ia sangat menyeronokkan.

Tiga bulan pertama (Ogos - November 1982) aku telah menyewa sebuah rumah di Kampung Sempalit dengan sewaan RM100 sebulan. Aku terpaksa membeli basikal kerana jarak ke sekolah adalah lebih kurang 3 km. Selalunya aku akan keluar rumah selepas subuh dan kembali sebelum maghrib. Rutinku ialah  berada di sekolah setelah tamat waktu persekolahan bagi memeriksa buku latihan murid dll. Pada pukul 5.00 petang aku akan bersukan sama ada bermain Sepak Takraw atau Tenis.



Ramai kalangan guru-guru sekolah ini aktif bersukan dan ramai juga yang terpilih mewakili Daerah Raub dalam pertandingan sukan PSKPP peringkat negeri Pahang. Aku terpilih mewakili Raub dalam sukan Tenis dan Sepak Takraw. Antara yang masih aku ingat rakan-rakanku yang mewakili Raub;  Tenis (Rahman, Yahya, Liew Kim Choon, Ho Ah Hean), Bolasepak (Zaini, Misman, Johari, Idris); Sepak Takraw (Wan Mustama, Bakar, Idris).

Bersama Pegawai Daerah Raub


Januari 1983 aku berpindah ke Pekan Raub berkongsi rumah bersama Rahman dan Joe dengan sewaan RM400 sebulan selama setahun. Tahun-tahun berikutnya kami tinggal berenam orang dengan saling bertukar penghuni. Ini termasuklah Hashim, Zaini, Misman, Md Nor, Harun, Johan, Mukhtar. Azlan Ong, Tengku (Bank Bumiputera).

Duduk (L-R) : Harun, Ismail, Zaini, Mustama, Johari, Ali, Aku
Berdiri (L-R) : Misman, Idris, Bakar, Borhan, Nasir
(Sebahagian guru-guru Melayu SMMR, 1984)



Pada tahun 1984 aku dan Rahman telah dihantar berkursus Pegawai Kadet Tentera selama sebulan di Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson. Kami dihantar kerana kami telah dilantik sekolah untuk menjadi Guru Penasihat Pasukan Kadet Bersatu Malaysia. Ini merupakan pengalaman yang menyeronokkan walaupun banyak cabaran yang perlu diharungi. Banyak ilmu pengetahuan dari aspek ketenteraan kami pelajari termasuklah ketahanan fizikal dan mental. Disamping itu disiplin diri yang diterapkan terbawa-bawa dalam aktiviti harianku.

Sekembalinya aku dari berkursus, aku merancang untuk membawa PKBM sekolah untuk mendaki Gunung Tahan. Pada tahun 1985 aku dan beberapa orang guru dan sekumpulan anggota PKBM berjaya mendaki Gunung Tahan. Kami tidak mampu membawa ramai anggota PKBM kerana kos yang tinggi.  Kumpulan kami diaggap fit kerana berjaya mendaki dan balik dalam tempoh 7 hari, sedangkan kebiasaannya perjalanan mengambil masa 9 hari. Sesungguhnya kami merupakan kumpulan pertama dari SM Mahmud berjaya mendaki Gunung Tahan.

Kejayaan mendaki Gunung Tahan ini mendorong PKBM merancang untuk mendaki Gunung Kinabalu pula pada tahun 1986. Perancangan dibuat secara teliti dari awal tahun 1986 lagi dan berjaya dilaksanakan pada bulan Disember 1986 namun aku tidak dapat menyertai ekspedisi ini kerana aku telah menyambung pelajaranku di UPM.

UPM (1986-1988)

Setelah 4 tahun di Raub, aku membuat keputusan untuk meneruskan pengajianku di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Walaupun sebelum itu, aku telah berjaya mendapat tempat di Western Michigan University (USA) dengan Pinjaman Pendidikan Negeri Perak namun takdir menentukan aku kembali semula ke UPM. Program yang ditawarkan oleh WMU ialah Komputer Sains yang begitu popular ketika itu dan aku diberi banyak pengecualian kursus (credit transfer) sehinggakan aku boleh menamatkan program tersebut selama 2 tahun.

Di UPM, aku meneruskan pengajian dalam bidang Sains dengan pengkhususaan subjek Fizik dan minor Matematik. Di sini juga aku berjaya menghabiskan program pengajianku selama dua tahun kerana aku telah diberi banyak 'credit transfer' berasaskan kepada keputusan Diploma Sains aku dahulu.

Konvo UPM 1988 - Emak menciumkus atas kajayaanku menggulung sekeping ijazah Bacelor Sains (Kepujian)

Aku masih lagi aktif bersukan terutamanya dalam permainan tenis dan dipilih mewakili kolej kediaman. Dalam pada itu, rakan lama sepak takraw ku menjemput aku untuk kembali bermain untuk mewakili universiti namun aku terpaksa menolak kerana aku telah lama 'menggantung kasutku' semenjak tahun 1984 lagi.



SM Slim, Slim River (1988-1990)
SM Khir Johari, Tg Malim (1990-1993)


Sekembalinya aku ke kampung selepas tamat pengajian Bacelor Sains dengan Kepujian pada tahun 1988 amat menyeronokkan. Aku ditempatkan di SM Slim untuk mengajar subjek Matematik. Kali ini aku hanya tinggal bersama Mak dan adikku sahaja di kampung kerana Abangku sudah pun bekerja di Selangor manakala Ayah, Atuk dan Opah sudah kembali ke Rahmatullah. 



Pada tahun 1989, aku telah dihantar oleh JPN Perak berkursus selama 3 bulan di IAB Genting Highlands. Seramai 3 orang wakil Perak menghadiri kursus 'Pengujian dan Pengukuran', dan seramai 50 orang peserta dari seluruh negara menyertai kursus ini. Kami didedahkan dengan pengujian dan pengukuran dalam bidang kognitif, afektif dan psikomotor. Para pensyarahnya pula terdiri daripada Universiti Malaya, UPM dan UKM disamping dari IAB sendiri.

Tenis merupakan kegemaranku dan hampir setiap petang aku ke pekan Slim River untuk bermain di Kelab Tenis Slim River yang berada di belakang Pejabat Daerah. Kebanyakan ahli kelab adalah kalangan guru dan polis namun ada juga doktor, majistret, usahawan dan lain-lain profesion.

Pernah kami menyertai pertandingan tenis terbuka Tg Malim. Aku selaku Naib Pengerusi Kelab Tenis Slim River menyertai pertandingan ini. Aku memasuki dua acara iaitu perseorangan dan regu bersama sepupuku Jalil. Pertandingan amat memenatkan kerana pemain yang menang hanya dibenarkan rehat selama setengah sahaja untuk bermain ke peringkat seterusnya. Alhamdulillah, aku dan sepupu menjadi johan dalam acara beregu manakala acara perseorangan aku tewas di peringkat separuh akhir. Disamping itu juga, aku telah terpilih untuk mewakili Daerah Batang Padang dalam sukan Tenis bagi sukan tahunan PSKPP Perak.

Selain tenis aku juga aktif dalam sukan rekreasi di mana aku telah dilantik sebagai Pengerusi Kelab Rekreasi Slim River/Tg Malim. Antara aktiviti yang sempat dilaksanakan termasuklah mendaki Gunung Batu Putih (gunung ke3 tertinggi di Semenanjung), meneroka Gua Tempurung, berbasikal menjelajah Perak dan Langkawi, berkenu di Sg Slim, dan Pulau Pangkor.

Aku juga aktif berbasikal dengan menyertai MAKSAK Perak dalam ekspedisi berbasikal dari Aceh ke Medan, Indonesia dan Ekspedisi Berbasikal Jantungku Untukmu dari Ipoh ke Angkasapuri anjuran Kementerian Penerangan. Ekspedisi ini bertujuan untuk mengutip derma bagi mengisi 'Tabung Jantungku' negara. Ekspedisi kami diiringi Polis, Ambulan dan RTM yang membuat liputan sepanjang perjalanan secara terus menerus. Ambulan sememangnya perlu mengiri kami kerana salah seorang peserta kami adalah seorang bekas pesakit jantung yang telah menerima derma orang ramai bagi pembedahan jantungnya sebelum ini dan telah pulih ketika itu. Beliau ingin menyertai kami kerana ingin membalas budi baik orang ramai kepadanya sebelum ini. Kami berjaya mengutip lebih RM30,000 di sepanjang perjalanan kami.

Pada tahun 1990 aku telah bertukar ke SMK Khir Johari Tg Malim kerana sekolah tersebut tiada guru Fizik untuk mengajar Tingkatan 6 yang baru di buka. Di sini aku terpaksa mengajar Fizik Tingakatan 4, 5, 6 Rendah dan 6 Atas dengan jumlah 24 waktu seminggu. Jumlah waktu ini sudah melebihi piawai guru Tingkatan 6 yang seharusnya mengajar 16 waktu sahaja. Inilah pengalaman yang memenatkan kerana terpaksa menyediakan 4 rancangan pengajaran bagi setiap Tingkatan selain daripada membuat persediaan kandungan dan pendekatan pengajaran.


Pada tahun 1992, aku sekali lagi dicalon oleh JPN Perak untuk mengikuti kursus selama 3 bulan di IAB Genting Highland. Kali ini aku berkursus mengenai komputer yang ketika itu sedang hangat diperkatakan untuk dilaksanakan di sekolah. Tajuk kursusnya pun "Komputer dalam Pendidikan" dimana pengisiannya termasuklah berkaitan 'word processing', 'spreadsheet', 'data base' dan 'GWBasic Programming'. Disinilah aku menjumpai jodohku yang kebetulan duduk sebelahku sepanjang berkursus.

JPN Perak, Ipoh (1993-1994; 1996)

Pada 1 Feb 1993 aku telah bertukar ke Jabatan Pendidikan Perak dengan jawatan Pegawai Khas di Unit Kurikulum. Aku dan Saat telah berjaya daripada 5 orang calon yang hadir dalam sesi temuduga. Aku diamanahkan untuk menyelia dan mengurus pelaksanaan subjek Matematik KBSR dan KBSM seluruh negeri Perak ketika itu.

Pada 12 Feb 1993 juga merupakan hari yang tidak boleh dilupakan kerana pada hari itulah aku diijabkabulkan dengan Roslinda Mukhtar. Aku ditemukan Allah dengannya ketika kami sama-sama mengikuti kursus Komputer Dalam Pendidikan selama 3 bulan dalam tahun 1992 di IAB Genting Highlands. Beliau mewakili Terengganu manakala aku mewakili Perak.

Di rumah Lin, Felda Jerangau, Dungun, 1993




Semasa di JPN aku banyak menimba ilmu pengetahuan dalam bidang pengurusan melalui pengalaman dan interaksi bersama-sama pegawai-pegawai yang lebih senior. Aku kerap dihantar berkursus atau mesyuarat di KPM berkaitan dengan pelaksanaan KBSR dan KBSM. Di sesi-sesi mesyuarat aku telah mengenali pegawai muda dari KPM (Bahagian Sekolah dan PPK) dan Penolong Pengarah (Sains) dari JPN seluruh negara. Kebanyakan mereka ini akhirnya memegang jawatan tinggi di KPM. Antaranya termasuklah Amin Senin (KPPM), Halim (Pengarah Bahagian Swasta), Zainuddin (Pengarah Bahagian Sukan), Baiduriah (Pengarah Bahagian Matrikulasi), Ng Soo Boon (Timbalan Pengarah PPK), Khalid (Pengarah IPGKPP). 

Di JPN Perak, aku kerap menganjurkan kursus dan latihan bagi guru-guru Matematik dan Sains bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam pelaksanaan KBSR dan KBSM. Di sinilah aku menimba ilmu pengurusan penganjuran kursus, latihan dan sebagainya. Ia melibatkan pelbagai sektor yang memerlukan perancangan yang teliti dan koordinasi yang mantap bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar.

Disamping itu, aku sering ke sekolah-sekolah di negeri Perak bagi meninjau pelaksanaan subjek Matematik KBSM dan menghimpun data yang diperlukan oleh KPM. Sememangnya ramai kalangan guru yang bagus mengajar namun terdapat juga guru yang mengajar konsep yang 'salah' bagi Matematik di sekolah rendah.

Aku telah mengikuti program M.Sc. (mgt) di UUM, Sintok sepenuh masa pada tahun 1995 dibawah tajaan KPM. Aku terpaksa berulang alik ke Ipoh setiap minggu sepanjang pengajianku kerana isteriku mengajar di ACS Ipoh. Kami bernasib baik kerana kuliah hanya diadakan 3 hari saja seminggu iaitu Ahad, Isnin dan Selasa. Rutinku ialah bertolak dari Ipoh pukul 3.00 pagi subuh Ahad dan balik ke Ipoh pukul 6.00 petang sebaik kuliah selesai pada hari Selasa. Ketika cuti sekolah aku akan membawa isteri dan anakku ke kampus kerana pelajar pasca siswazah diberi asrama kelamin yang lengkap dengan bilik air dan dapur.

Konvo M.Sc. 1996 UUM



IAB Utara, Jitra (1996-1999; 2003-2014)

Aku memulakan kerjayaku sebagai pensyarah kanan di IAB pada 2 Mei 1996. Aku ditempatkan di IAB Cawangan Utara yang berada di Jitra Kedah. Di sini aku bertemu dengan seorang pensyarah yang juga berasal dari kampungku (Hj. Wahab). Ia tidak mengenaliku kerana jarak usia yang jauh walaupun aku mengenalinya.

Dalam tahun 1996, IAB telah menghantar aku berkursus 'Human Resource Development' selama 2 minggu di Asian Institute of Technology, Bangkok. Seramai 20 orang peserta dari Asia dan Afrika mengikuti kursus ini. 

Semasa di IABU aku telah menggerakkan dua projek besar iaitu pengajuran Regional Conference on Leadership Management (RCELAM) dan Program Pengantarabangsaan IAB keluar negara. Program Pengantarabangsaan ini telah berjaya membawa beberapa orang pensyarah ke Jakarta-Bandung-Jogjakarta-Bali; Sarajevo-Istanbul; Bukhara-Samarkand-Tashkent (Uzbekistan); Madrid-Toledo-Cordoba-Granada (Sepanyol); Sydney, Moscow, Frankfurt-Berlin (Germany); Nagoya-Tokyo (Japan).



Di samping itu juga aku sempat mengkonsepsikan suatu program yang diberi nama 'Kumpulan Bina Upaya' (KuBU). Program ini digerakkan bagi meningkatkan kompetensi dan keupayaan semua pensyarah baru yang menyetai IABU.

Suatu hari selepas solat Jumaat aku telah dipanggil oleh Pengarah IAB (Dr. Ibrahim Bajunid) ke biliknya (1999). Beliau telah mencalonkan aku untuk mengikuti program PhD keluar negara tajaan World Bank. Ini merupakan program 'one-off' dan pengarah bahagian-bahagian diminta mencalonkan pegawai masing-masing kerana penggunaan wang tersebut perlu dilaksanakan segera.  Namun berita ini telah tersebar di seluruh KPM, maka pihak KPM telah menarik balik keputusan awal dan membuka permohonan dari seluruh KPM. Oleh kerana sebab tertentu aku tidak mengisi borang permohonan ini namun Dr. Ibrahim telah memaksa aku untuk mengisi borang tersebut. Akhirnya, aku tidakpun dipanggil untuk sesi temuduga atas alasan aku sudah pun berjaya mendapat biasiswa PhD dalam negara yang telah ditawarkan kepada aku pada awal tahun.

Pada 13 Disember 1999 aku mendaftarkan diri sebagai pelajar PhD sepenuh masa di USM di bawah tajaan KPM. Sungguhpun aku sudah mendapat tawaran biasiswa ini di awal tahun 1999 tetapi aku sengaja menangguhkan pendaftaran atas sebab-sebab tertentu. Aku memilih mod penyelidikan penuh bagi pengajianku kerana aku yakin akan dapat menyempurnakannya tanpa menghadiri sebarang kuliah. Ini memberi aku banyak masa di rumah. Aku hanya ke USM seminggu sekali sahaja untuk berbincang dengan penyelia. Selebihnya aku belajar sendiri mencari maklumat, membuat penyelidikan dan menulis tesis.

Sepanjang pengajian PhD ku, aku telah menjadi suri rumah sepenuh masa kerana isteriku mengajar sebelah pagi. Oleh kerana itu segala urusan anak-anak yang masih kecil akulah yang mengurusnya. Sambil mengasuh sambil membuat kerja-kerja pengajianku. Alhamdulilllah, segalanya berjalan secara teratur.

Aku telah menyiapkan tesisku pada 2003 namun ia telah 'terperap' hampir setahun di IPS, USM sebelum aku dipanggil untuk viva voce. Aku hanya mendapat keputusan 'minor' daripada 3 orang examiner. Aku menyiapkan pembetulan tidak sampai sebulan dan terus menghantarnya ke USM pada 2004. Ibuku sudahpun mengetahui bahawa aku sudah lulus dalam pengajian PhD ku dan dia sangat berbangga dengan kejayaanku. 

Konvo PhD 2005, USM


Januari 2005, seruan haji telah sampai kepadaku. Aku pergi menunaikan ibadah haji bersama isteriku, emak dan emak mertuaku. Selepas 40 hari di tanah suci kami kembali ke tanah air namun aku dan emak terpaksa singgah di Muscat, Oman kerana emak jatuh sakit semasa dalam penerbangan pulang, manakala isteriku bersama emaknya meneruskan perjalanan pulang. Selama 10 hari di Royal Hospital Oman, emak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Alangkah pilunya hatiku kerana emak tidak dapat melihat ku untuk konvo PhD pada tahun itu.

Atas kejayaan aku ini, IAB telah menaja penyertaaan aku dalam konferens antarabangsa di Pescara, Itali dalam tahun 2005. Di konferen ini aku telah membentang kertas kerja berasaskan kepada kajian tesis PhD.  Tahun 2005 membawa beberapa kenangan yang sukar dilupakan iaitu rezekiku mengerjakan haji, kepergian ibu yang tersayang, konvo PhD, kali pertama membentang kertas kerja di konferens antarabangsa di Itali, dan membawa anak-anakku bercuti ke Kuching, Sarawak.

IAB Induk, Bandar Enstek (2014-2015)

Aku telah dipujuk beberapa kali untuk mengisi Jawatan Ketua Pusat di IAB Induk namun aku menolaknya kerana aku memikirkan anak-anakku yang masih bersekolah. Aku tidak mahu mengganggu psikologi  dan emosi mereka jika kami berpindah ke tempat yang baru. Malah sebelum itu juga (2005 & 2009) aku telah ditawarkan untuk berpindah ke IAB Induk untuk memegang jawatan Ketua Jabatan dan Ketua Pusat namun aku menolak kerana aku memikirkan kepentingan keluarga dari kerjayaku sendiri.

Walaupun aku menolak, akhirnya pelantikan rasmi telah dikeluarkan dan aku terpaksa juga bertukar ke IAB Induk di kampus barunya di Bandar Enstek Negei Sembilan. Aku dilantik sebagai Ketua Pusat Penyelidikan dan Penilaian.

Demi menjaga keharmonian keluarga, aku membuat keputusan untuk berpindah seorang diri sahaja, dan nekad untuk berulang alik setiap minggu. Itulah yang aku lakukan setiap minggu dimana setiap malam Isnin pukul 11.00 malam aku akan mula memandu ke Bandar Enstek. Selalunya aku akan mandi dan solat subuh di Masjid KLIA. Setelah itu aku terus ke IAB Induk. Setiap Jumaat pukul 4.30 petang pula aku terus memandu balik ke Jitra. 

Itulah aktivitiku setiap minggu selama setahun sebelum aku ditukarkan ke Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun (IPGKTB), Bukit Mertajam, Pulau Pinang sebagai Pengarah.

IPG Kampus Tuanku Bainun (2015-2018)

Pada Jun 2015, secara rasminya aku diamanahkan mengetuai IPGKTB. Di sini juga aku berulang dari Jitra yang jaraknya lebih kurang 120 km kerana aku ingin selalu bersama isteriku yang tinggal seorang diri kerana anak-anak sudah berada di Pusat pengajian tinggi.

Suatu Hari di IPGM Cyberjaya, seorang pegawai IPGM telah memaklumkan bahawa IPGKTB telah dipilih menjadi tuan rumah penganjuran international conference kali ke 3 anjuran IPGM. Namun beliau memaklumkan IPGM tiada bajet seperti mana penganjuran kali 1 dan 2. Beliau juga memaklumkan aku diberi pilihan sama ada menerima atau tidak kerana IPGM sedia maklum bukanlah mudah menganjurkan konferens antarabangsa tanpa sebarang peruntukan. 



Tanpa berfikir panjang aku terima tawaran itu. Aku yakin dengan pengalaman aku yang telah lima kali menjadi penggerak RCELAM (konforen antarabangsa anjuran IAB). Disamping itu aku juga yakin dengan kemampuan pensyarah-pensyarah IPGKTB. Ketika itu IPGKTB ada 180 orang pensyarah di mana 40 orang mempunyai PhD. Dengan perancangan yang teliti konferens berjaya diadakan pada tahun 2016 dengan membuat keuntungan RM60,000. 

Hasil daripada kejayaan cemerlang ini, para pensyarah teruja untuk menganjur konferens antarabangsa. Pada tahun 2018, sekali lagi IPGKTB mengulangi kecemerlangan penganjuran konferens antarabangsa dengan menarik lebih 400 peserta/pembentang dimana 125 orang adalah daripada luar negara. Lebih menggembirakan lagi 125 orang ini datang dari 26 negara termasuklah dari Amerika, Australia, UK, China, New Zealand dll.

Alam persaraan (2018 – sekarang)




Seminggu selepas bersara, aku dan Lin bercuti selama seminggu ke London sambil menghadiri satu seminar di University of Cambridge. Semasa di London kami menggunakan bas dan keretapi untuk bersiar-siar. Hari ketiga aku menyewa kereta untuk ke Cambridge yang jaraknya lebih kurang 100 km. Kami menyewa ‘farm stay’ di pinggir Cambridge untuk menginap bagi menikmati suasana perladangan di sana.

Selepas seminar kami pergi ke rumah anak Dr. Prema (IAB), dan kemudian kami bersama-sama anak Dr. Prema ke sebuah restoran Turkey untuk makan malam.

Keesokannya aku dan Lin bersiar-siar di Cambridge City dalam hujan renyai-renyai. Selepas itu kami terus ke Salisbury untuk melihat ‘stonehenge’ yang jaraknya 240 km dari Cambridge.

Walaupun aku sudah bersara aku masih meneruskan kerja akademik dengan menjadi pensyarah sambilan OUM. Aku diamanahkan untuk memberi kuliah program M.Ed. dan PhD. Di samping itu aku juga dilantik sebagai penyelia beberapa pelajar M.Ed dalam menyiapkan tesis mereka. Aku juga dilantik sebagai pemeriksa luar pelajar PhD OUM. Satu amanah besar yang diberikan oleh OUM ialah bagi menghasilkan modul untuk program PhD mereka. Aku bersama dengan Dr. Teoh (IAB) telah berjaya menghasilkan modul ‘Educational Administration’ tersebut dalam tempoh 9 bulan.

Dalam tempoh yang sama, aku sering dilantik menjadi pemeriksa luar tesis Ph.D. dari Pakistan. Dalam tempoh kurang 2 tahun aku telah memeriksa lebih daripada enam tesis. Dalam tempoh ini juga, aku telah dijemput menjadi 'keynote speaker' di dua konferens antarabangsa anjuran IPGKTB dan University Bekasi, Indonesia. Aku juga telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan Uzbekistan untuk menjadi konsultan dalam pembangunan kompetensi pemimpin sekolah di negara mereka. 

Pada 1 Disember 2020, aku telah memulakan kerjayaku bersama SEGi University, Kota Damansara sebagai pensyarah kanan secara kontrak. Aku telah ditempatkan di ‘Post Graduate Department’ dan diamanahkan menjadi penyelia kepada 13 orang pelajar PhD dan 2 orang pelajar Masters. Kesemua pelajar ini adalah dari negara China kecuali seorang dari Bangladesh. Disamping itu, aku juga diamanahkan untuk memberi kuliah kursus ‘Management and Leadership in Education’ bagi pelajar tahun 3 program B.Ed.






 





Friday 8 December 2023

LONDON - EDINBURGH - AMSTERDAM (28 NOV 2023 - 9 DIS 2023)

 28 DIS 2023 (Selasa) - London

Hari ini aku bersama dua orang anakku Syafiqah (Along) dan Atiqah akan bermusafir ke London, Bath, Edinburgh dan Amsterdam. Ini adalah hadiahku untuk Along yang telah berjaya menamatkan pengajian Sarjananya selama tiga tahun di UIA Kuantan. Aku menyedari betapa susah dan getirnya dia demi menghabiskan pengajiannya dengan beberapa kali penyelidikan terpaksa diulang kerana tidak menepati kehendak Penyelianya. Pada masa yang sama, Umminya yang sangat kami sayangi juga telah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Ini merupakan suatu ujian yang getir baginya dan kami sekeluarga yang memerlukan kesabaran yang tinggi. Dalam keadaan yang demikian Along masih lagi mampu bertahan dan dapat menamatkan pengajiannya dengan cemerlang. 


Paddington Train Station

Selepas Isya, kami bertolak dari Kota Damansara ke KLIA. Aiman dan isterinya menghantar kami ke KLIA. Aiman tidak dapat menyertai kami kerana beliau tidak dapat cuti. Pukul 2.00 pagi kami berlepas dari KLIA dengan manaiki Saudia Airline menuju Jeddah untuk transit selama 1 jam 30 minit. Pukul 8.45 pagi kami terbang ke London dan tiba di Heathrow Airport pukul 12.10 petang. Kami sempat membeli sim card (GBP75) untuk kegunaan kami selama berada di UK dan Amsterdam. Pukul 2.45 petang kami menaiki keretapi (Elizabeth Line) ke Paddington Station.


Sussex Garden, Paddington

Kami berjalan kaki Hotel Alexandra 159-161 Sussex Gardens yang mengambil masa lebih kurang 10 minit. Cuaca amat sejuk di sini iaitu lebih kurang 0 - 2 darjah Celcius. Waktu siang sangat pendek di sini. Waktu subuh pukul 6.00 pagi manakala waktu maghrib pukul 4.00 petang.



Di hadapan British Museum


29 Dis 2023 (Rabu) - London

7.30 pagi - sarapan di hotel

8.45 pagi - menaiki keretapi dari Paddington Station ke Tottenham Court Station. Jalan kaki ke Great Russel Street untuk melawat British Museum. Setelah beberapa jam di Museum, kami balik ke hotel dengan menaiki train yang sama.

Di hadapan British Museum



30 Nov 2023 (Khamis) - London

7.30 pagi - sarapan di hotel. Check out

8.45 pagi - menaiki uber ke hotel berjaya di bayswater - 16 pound

9.00 pagi - check in Berjaya. Room not ready. Left our back at hotel.

Jalan jalan di Kensington Park, Hyde Park dan Oxford St. - Masuk Primark Oxford St - shopping

1.30 ptg - balik ke Berjaya naik bas

Makan tengahari di Med Salleh Restaurant. Restoran ini bersambung dengan Berjaya Hotel - 54 pound 

Masuk bilik pukul 3.00 ptg

Kensington Park



1 Dis 2023 (Jumaat) - London


7.30 pagi - Sarapan di Warung Putera Puteri yang terletak di belakang Berjaya Hotel. Merasa nasi lemak Malaysia. Selepas sarapan kami menaiki bas ke Buckingham Palace

8.30 pagi - menaiki bas ke Buckingham Palace

                - jalan kaki ke Big Ben dari Buckingham Palace

               - Menaiki river cruise Thames River; London Bridge, Tower Brisdge

              - Borough Market

Buckingham Palace


5.00 mlm - menaiki keretapi ke Tottenham Court Station. Shopping di Primark

7.00 mlm - balik ke hotel

  dinner di Putera Puteri Cafe

8.00 mlm - masuk hotel



2 Dis 2023 (Sabtu) - Salisbury-Swindon

8.00 pagi Checkout

Ambil uber ke Avis Battersea untuk sewa kereta. Dapat kereta Mercedez Benz C Classs

9.00 pagi terus ke Stonehenge, Salisbury

Kemudian ke Swindon, dan bermalam

Salisbury



3 Dis 2023 (Ahad) - Swindon-Costwolds-Bath-London


7.30 pagi Checkout

Terus memandu ke Costwold, Bibury dan Bath. Di Bath masuk Roman Bath

2.00 ptg Balik ke London untuk pulankan kereta.

6.00 ptg sampai london

6.30 ptg menaiki Uber ke Victoria Coach Station

11.59 mlm - manaiki bas ke Edinburgh

Bibury, Costwolds - Perkampungan tradisi British



4 Dis 2023 (Isnin) - Edinburgh, Scotland


Edinburgh is Scotland's compact, hilly capital. It has a medieval Old Town and elegant Georgian New Town with gardens and neoclassical buildings. Looming over the city is Edinburgh Castle, home to Scotland’s crown jewels and the Stone of Destiny, used in the coronation of Scottish rulers. Arthur’s Seat is an imposing peak in Holyrood Park with sweeping views, and Calton Hill is topped with monuments and memorials (Google).

The Royal Mile, a historic street connecting the castle to the Palace of Holyroodhouse, is lined with charming medieval and Georgian buildings.

8.00 pagi - Sampai Edinburgh Bus Station

Ambil Uber untuk ke Hotel Leonardo Royal

Jalan jalan di New City of Edinburgh




5 Dis 2023 (Selasa) - Edinburgh


Jalan jalan di Old City of Edinburgh





6 Dis 2023 (Rabu) - Amsterdam


Edinburgh ke Amsterdam

2.00 pagi - Check out dan naik uber ke Airport

6.00 pagi - terbang ke Paris, transit 1 jam

10.30 pagi - terbang ke Amsterdam

11.20 pagi - Tiba Airport Amsterdam. Beg Atiqah tertinggal akibat kecuaian Air France. Terpaksa tunggu penerbangan berikutnya dari Paris.

2.00 petang - menaiki bas ke Hotel Xo Blue Square. Di sini ramai komuniti Islam

Castle, Edinburgh


7 Dis 2023 (Khamis) - Amsterdam

Waktu Subuh pukul 6.55 pagi di sini

Hari ini kami pergi Zaans Dam untuk melihat kampung tradisi Belanda yang masih mengekalkan kincir angin. Kami pergi dengan menaiki bas awam dari Hotel ke Central Station dan tukar bas ke Zaans Dam

Sampai hotel pukul 2.00 ptg.

Zaans Dam




8 Dis 2023 (Jumaat) - Amsterdam

Hari ini kami bersiar-siar di Centrum, Amsterdam. 


The Rijksmuseum Museum - National Museum of Netherlands

Amsterdam-Centrum is the inner-most borough and historical city centre of Amsterdam, Netherlands, containing the majority of the city's landmarks. Established in 2002, Amsterdam-Centrum was the last area in the city to be granted the status of self-governing borough. The borough is 8.04 km2 and covers the UNESCO-listed Amsterdam canal belt. In 2013, the borough had approximately 85,000 inhabitants, who on average had the second-highest income per household in the city (after Amsterdam-Zuid) and one of the highest in the country (Wikipedia).


Centrum


9 Dis 2023 (Sabtu) - Amsterdam


Pagi ini kami berkemas-kemas kerana pukul 11.00 pagi nak check-out dan terus ke Lapangan Terbang Schipol. Penerbangan balik ke Malaysia dijadual berlepas pada pukul 4.30 petang, dan transit di Jeddah.