Saturday 14 April 2018

SK KEJAR, ROYAL BELUM, GERIK


-->
31.10.17 Selasa

Setibanya aku di lapangan terbang Pulau Pinang dari Kuala Lumpur (aku baru pulang dari Chengdu China dan transit di KLIA2 selama 3 jam), pemandu telah sedia menunggu aku. Aku  terus balik ke rumah di IPGKTB dan berkemas-kemas untuk ke Royal Belum, Gerik untuk satu program di SK Kejar iaitu sebuah sekolah orang asli

Pukul 11.00 pagi kami bertolak terus ke Gerik untuk mengambil seorang pegawai PPD untuk mengiringi aku ke SK Kejar. Kami tiba di Jeti Pulau Banding pada pukul 1.20 petang dan terus menaiki bot. Aku agak keletihan dan sangat mengantuk ketika dalam bot. Perjalanan kami ke SK Kejar mengambil masa lebih kurang 1 jam.

Kami tiba kira-kira pukul 2.30 petang dan terus ke SK Kejar namun para pensyarah dan pegawai PPD telah ke Royal Belum Kejar untuk berehat dan makan tengahari. Aku dan Anis hanya berbual dengan pegawai keselamatan sekolah dan beberapa orang penjaga. Selepas 1 jam, kami bertolak ke Royal Belum Sg Tiang untuk berehat. Dalam perjalanan kami berselisih dengan beberapa bot dan rakit orang asli yang membawa atap nipah.

Dapat jugak melelapkan mata seketika di sini. Chalet terletak di atas bukit dan pembinaannya  tidak merosakkan rupa bentuk tanah. Amat tenang suasana di sini dengan dikelilingi hutan Belum yang asli. Kemudahan tempat masak, surau dan tandas awam disediakan. Beberapa chalet juga mempunyai bilik air di dalamnya.
Bersama pensyarah-pensyarah IPGKTB: Ustaz Fahmiddin, Khalil, aku, Shukri, Nasser, Zakariyah

Kira-kira pukul 6.30 petang para pensyarah dan pegawai PPD telah tiba dari SK Kejar. Kelihatan mereka agak keletihan tetapi gembira. Aku berkenalan dengan beberapa orang termasuk En. Najib pegawai dari PPD Hulu Perak dan En. Nahar Guru Besar SK Kejar.

Aku pulang ke chalet yang telah disediakan dan terus mandi dan solat. Rehat seketika dan terus ke dewan makan. Makanan dimasak dan disediakan oleh pegawai-pegawai PPD. Setelah selesai makan kami telah diberi taklimat oleh En. Najib. Seterusnya aku diminta untuk berucap. Aku mengambil berkesempatan  itu untuk berkenalan dengan semua pegawai-pegawai PPD disamping aku menekankan pentingnya kerjasama antara PPD dengan agensi-agensi lain termasuk IPGKTB dalam membawa perubahan di sekolah.
Bersama guru-guru pelatih

Setelah selesai taklimat aku terus berbual dengan sekretariat yang sibuk membuat persediaan untuk hari esok. En. Zakaria selaku penyelaras projek bersama-sama guru pelatih menyiapkan kerja sehingga lebih pukul 12.00 malam.

1.11.17 Rabu

Sekumpulan pensyarah dan guru pelatih telah pergi ke SK Kejar pada pukul 9.00 pagi untuk melaksana pengajaran dan permainan pendidikan. Manakala sekumpulan lagi pegawai dan pensyarah bertolak kemudian sedikit untuk menyiapkan kerja-kerja majlis penutupan.
Bertolak ke SK Kejar selepas sarapan pagi. Setibanya aku di sini, guru-guru pelatih telah menjalankan aktiviti pengajaran dengan pendekatan permainan dan nyanyian. Sebahagian pensyarah telah membuat kerja-kerja akhir mengindahkan bilik darjah sesuai dengan keadaan bilik darjah.

12.00 Dalam ucapan penutupan, aku telah menekankan betapa pentingnya pendidikan tanpa mengira dimana jua pelajar berada. Oleh kerana itu, siswa guru seharusnya menyediakan minda sekiranya mereka ditempatkan di sekolah seperti itu, maka mereka hendaklah sentiasa positif dan berkorban demi pendidikan anak bangsa.

1.00 th Bertolak balik ke Pulau Banding. Perjalanan agak meletihkan sesekali berselisih dengan bot-bot orang asli. Kami juga berselisih dengan sekumpulan tentera yang masuk ke hutan tersebut untuk membuat persediaan ketibaan Prince Phillip dari England.

2.45 Tiba jeti Pulau Banding. GB SK Kejar yang bersama kami telah memohon jasa baik kedai makan di situ untuk masak ikan baung yang kami bawa dari Hutan Belum. Seluruh pensyarah, guru pelatih dan Cikgu Nahar makan tengahari di sini menikmati ikan baung segar. Selepas makan kami terus balik ke Pulau Pinang. Tiba di IPGKTB pukul 5.15 ptg, mandi dan berkemas untuk pulang ke Jitra. Tiba di Jitra pukul 7.30 malam

Di Restoran Jeti Tasik Banding bersama Guru Besar, En. Nahar


Sunday 1 April 2018

Gemilang SK Balun

Program Gemilang Anak Balun
Tarikh : 29-31 Mac 2018
Tempat : SK Balun, Slim River

Program ini dirancang bersama dengan SK Balun dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun (IPGKTB), Pulau Pinang. Antara lain tujuan program ini dijalankan ialah untuk melahirkan murid-murid yang berpengetahuan, cergas dan aktif melalui aktiviti khidmat bakti dan kecergasan seiring dengan hasrat pendidikan negara


Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah latihan dalam kumpulan, kawad kaki, senamrobik, sukan & riadah, bimbingan akademik, qiamullail, 'Aku Negaraku'.
Murid-murid membuat persembahan

Semua aktiviti dikendalikan oleh guru-guru pelatih IPGKTB dan dibantu oleh guru-guru SK Balun. Para pelatih telah dapat menimba pengalaman yang banyak hasil dari program seperti ini kerana disinilah mereka sedapa upaya mempraktikkan ilmu yang dipelajari semasa di kampus.
Persiapan sebelum majlis penutupan rasmi

Latihan kawad kaki dapat membantu murid-murid lebih berdisiplin dan bekerjasama antara satu sama lain. Program ini menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik bersama dengan pembangunan diri insan murid-murid dari aspek rohani, emosi dan jasmani seperti yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Latihan Kawad Kaki

Bersama guru-guru SK Balun, pensyarah dan guru-guru pelatih IPGKTB, dan YDP PIBG SK Balun
Pemupukan minat sukan dan riadah sangat penting di peringkat sekolah rendah lagi. Daripada aktiviti seperti ini, murid-murid belajar erti semangat pasukan, kerjasama dalam kumpulan, kepimpinan, toleransi, disiplin, patuh pada peraturan dan setiakawan.

 Mereka dapat mempelajari dan menghayati perasaan kemesraan dan kasih sayang sesama mereka dan dengan guru-guru yang akhirnya membina suasana yang kondusif untuk sesi pengajaran dan pemelajaran.


Pertukaran cenderamata antara IPGKTB dan SK Balun
 Hasrat IPGKTB bagi meningkatkan kecemerlangan SK Balun bukanlah hanya sekadar one-off sahaja malah program-program seumpama ini akan diteruskan di masa akan datang. Ke arah itu suatu perjanjian persefahaman telah ditandatangani antara Pengarah IPGKTB, Dr. Sazali Yusoff dan Guru Besar SK Balun, Puan Siti Sapura Abu Bakar.
Menandatangani Surat Hasrat antara IPGKTB dan SK Balun
 Penggerak IPGKTB bagi program ini ialah En. Ahmad Shukri, En. Zakariah, dan Ustaz Fahmiddin
 Guru-guru pelatih yang terlibat; Wan Yusuf, Darren Kent, Abdul Ridzuan, Nazatul Syima, Norhajriati, Nur Faten Nadhirah, Saleha, Nur Adnin, Nur Syafura
Antara murid yang telah menerima hadiah

Persembahan murid-murid

Bergambar keseluruhan yang terlibat dengan Program Gemilang Anak Balun