Sunday 4 August 2019

Log Haji

Januari 2005

1.   Alhamdullillah niatku untuk mengerjakan ibadah haji bersama isteri, emak dan emak mertua (Mek) terkabul sudah. InsyaAllah kami akan bertolak ke Tanah Suci pada 6 Januari 2005 (Khamis) pukul 4.00 pagi dengan Saudia Airline. Kami dijangka berada di Tanah Suci selama 40 hari.

2.   Aku sengaja memilih 'penerbangan akhir' kerana ingin mengurus persekolahan anak-anakku yang akan mula bersekolah pada 2 Jan 2005 (Ahad) terutamanya anak bongsuku yang akan memasuki Tahun 2. Pendaftaran anak sulung dan keduaKu masing-masing berada pada Tahun 5 dan Tahun 4 juga pada hari yang sama. 

3.   Sungguhpun hati kecilku berbelah bagi untuk menunaikan fardhu haji kerana terpaksa meninggalkan anak-anakku yang masih lagi kecil namun seruan Ilahi lebih aku utamakan lantaran mendengar ceramah-ceramah haji terutamanya pengorbanan Nabi Ibrahim yang terpaksa meninggalkan anaknya Nabi Ismail bersama ibunya semasa Nabi Ismail masih lagi bayi.

4.   Ketiga-tiga anakku akan aku tinggalkan bersama rumah pengasuhnya merangkap keluarga angkat mereka iaitu En. Amran dan Pn. Zah. Kepada mereka aku mengharapkan anak-anakku dapat dijagai dan diasuh dengan baik selama 40 hari semasa ketiadaan kami.


3 Jan 2005 Isnin; Jitra

5.   Setelah selesai solat safar, aku terus membaca doa solat safar yang diaminkan oleh anak-anakku dan isteriku Lin. Kira-kira pukul 8.00 pagi kami terus bergerak ke Felda Jerangau, Terengganu. Anak-anakku terpaksa mengambil cuti sekolah kerana menghantarku ke Kelana Jaya, Kuala Lumpur untuk perlepasan.  

6.   Perjalanan yang jauh lagi memenatkan. Kami sampai Terengganu kira-kira pada pukul 7.30 malam. Rosli dan keluarga sudah ada menunggu. Mek sudah pun bersedia dengan beg hajinya. Setelah berbual dan makan malam, aku terus tidur kerana kepenatan memandu kereta dalam perjalanan yang jauh.


4 Jan 2005 Selasa; Felda Jerangau

7.   Pagi-pagi lagi ramai saudara mara dan sahabat handai Mek telah datang ke rumah. Tiba masanya untuk kami bertolak. Kami bertiga telah dilayan dengan baik dan duduk di atas kerusi di verandah rumah. Ramai orang yang berada di rumah dan juga di laman rumah. Tok Imam yang berada di belakang kami terus membaca doa diikuti dengan laungan azan. Sungguh syahdu sekali melihat situasi pagi ini.

8.   Kira-kira pukul 8.00 pagi kami terus bergerak ke Slim River. Sekali lagi perjalanan yang jauh dan terpaksa memandu kereta secara sendirian. Kira-kira pukul 6.00 petang kami sampai Kg Balun, Slim River.

9.   Ayah Chek dari Bagan Datuh sudah pun sampai. Izan, Azmi dan keluarga sampai sebelah malam. Aku mengambil kesempatan ini untuk menyemak semula semua perkara yang perlu dibawa disamping itu aku juga membantu emak untuk menyemak barang-barangnya yang akan dibawa.
Berbincang dengan Mak sebelum berangkat


5 Jan 2005 Rabu; Slim River

10.   Zizah, Wenteh dan lain-lain bertungkus lumus untuk menyediakan makan tengahari dan malam. Semakin ramai saudara mara dan rakan-rakan Mak datang menziarahi Mak.


Doa selamat sebelum bertolak ke Kelana Jaya


L-R: Yusuf, Hasan, Razak, Tahir, Din, Sani, Pak Ali, Moin


L-R: Moin, Ayub, Kocah@Hamzah, Pak Akob

11.   Kira-kira pukul 5.00 petang, Din, Nam dan, Liza dengan keluarga masing-masing dari Terengganu telah tiba. Selepas solat maghrib, kenduri doa selamat diadakan. Setelah selesai doa selamat, kami mula turun dari rumah. Sani telah melaungkan azan untuk kami bergerak ke Kelana Jaya. Sebanyak 7 buah kereta telah berkonvoi untuk ke Kelana Jaya. 


Memakaikan kasut Mak sambil berbual dengan Sani

Berdoa dan azan sebelum berkonvoi ke Kelana Jaya. Sani dan Azmi di tangga


12.  Kira-kira pukul 10.00 malam kami tiba di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Pili, Abang Hamid, Zakaria, Ajeh dengan keluarga masing-masing sudah sedia menanti kami di sini. Aku lihat mereka sibuk melayan dan berbual dengan Emak. Ramai keluarga bakal-bakal haji berkumpul di sini bagi menghantar bakal-bakal haji.





13.   Pukul 11.00 malam aku mengambil stiker haji untuk aku, Lin, Mek dan  Mak. Kira-kira pukul 11.30 malam aku telah mengenakan pakaian ihram dan terus solat sunat ihram. Pukul 12.00 malam kami daftar masuk.

14.   Aku telah mengamanahkan abangku Azmi untuk membawa keretaku pulang. Aku lihat Mak begitu sedih dan sayu sekali untuk meninggalkan Azmi, Izan dan cucu-cucu kesayangannya. 


Saat-saat sebelum daftar masuk di Kelana Jaya
Belakang L-R: Emak, Aku, Lin, Mek
Depan L-R : Syafiqah, Aiman, Atiqah



6 Jan 2005 Khamis; Kelana Jaya

15.   Selepas pemeriksaan imigresen, kami terus ke Dewan Tabung Haji untuk taklimat akhir. Selepas taklimat, laungan azan mengiringi kami untuk keluar dan terus ke bas yang telah sedia menanti. Lebih kurang 11 bas telah berkonvoi dari Kelana Jaya ke KLIA diiringi polis trafik untuk mengawal lalu lintas. Bas-bas kami terus sahaja ke landasan kapal terbang di mana pesawat Saudia Airline telah sedia menanti. Pukul 4.30 pagi kami berlepas dari KLIA ke Jeddah.

16.   Dalam pesawat Lin, Mak dan Mek duduk satu barisan manakala aku duduk di hadapan bersama-sama dua orang doktor pakar dari KL. Dalam pesawat aku selalu mengingatkan Mak untuk niat umrah di Qarnul Manazil namun Pilot telah memudahkan kerjaKu kerana beliau telah memaklumkan kepada semua jemaah untuk berniat sebaik saja sebelum melalui ruang udara Qarnul Manazil.
Pesanan Mak kepada Abangku, Azmi


Jeddah

17.   Pukul 8.00 pagi (waktu Arab Saudi) pesawat tiba di Jeddah. Seperti biasa semua jemaah melalui proses imigresen dan kastam. Di lobi lapangan terbang, petugas TH telah sedia menunggu sambil mengedar bungkusan sarapan pagi. Semua beg jemaah diuruskan oleh TH dan kami perlu mengambilnya di hotel nanti.

18.   Pukul 10.00 pagi kami menaiki bas untuk ke Mekah. Dalam perjalanan kami berhenti rehat dan solat zohor di 'Pilgrimage Registration Centre' (PRC). Setiap jemaah menerima cenderamata dari PRC dan mereka membacakan doa untuk masuk ke Kota Mekah. Pukul 2.00 petang tiba di Hotel Cordoba (Qurtubah) tempat kami menginap selama berada di Mekah. Aku dapat bilik nombor 1307 bersama lima orang jemaah lagi.


Mekah

19.   Pukul 8.30 malam selepas selesai makan malam dan solat maghrib, TH telah memberi taklimat berkaitan ibadah umrah yang akan dilaksanakan pada malam itu. Pukul 9.15 semua jemaah mula berjalan kaki menuju ke Baitullah. Aku perhatikan Mak masih lagi mampu berjalan walaupun perlahan. Banyak kali aku bertanya sama ada Mak perlukan kerusi roda namun Mak tetap menolak. 


Inilah hotel penginapan kami selama di Mekah


20.   Pukul 9.45 malam kami memulakan ibadah tawaf. Orang begitu ramai dan bersesak-sesak melakukan ibadah tawaf. Peringkat awalnya semua jemaah maktab kami bergerak dalam satu kumpulan besar namun selepas setengah pusingan, jemaah telahpun berpecah. Aku, Lin, Mak dan Mek masih lagi bersama. Aku memimpin Mak manakala Lin memimpin Mek yang sentiasa berada di belakangku.

21.   Sebaik sahaja tamat pusingan ke 7, Aku dan Mak telah berpisah dengan Lin dan Mek akibat rempuhan dari kumpulan jemaah Turki yang terkenal dengan kesepaduan dan kekasaran mereka. Aku perhatikan Mak sangat letih lalu aku membawanya ke suatu sudut yang sikit jauh dari kawasan tawaf untuk dia solat sunat tawaf. Tempat Mak duduk ini betul-betul bertentangan dengan pintu Kaabah. 

22.   Setelah aku selesai solat sunat tawaf aku memerhati keliling untuk mencari Lin dan Mek namun tidak juga nampak. Setelah sekian lama, aku minta izin Mak untuk mencari mereka dan aku minta Mak untuk duduk di situ sehingga aku kembali. Aku mencari Lin dan Mek di sekitar kawasan Kaabah dan dalam masjid namun tidak juga berjumpa. Setelah sekian lama aku buat keputusan untuk kembali berjumpa Mak. Aku mengharapkan mereka berdua selamat mengikuti kumpulan jemaah maktab kami.

23.   Aku perhatikan Mak sangat letih dan tidak bermaya. Sememangnya aku faham keadaan Mak seperti itu, perjalanan yang begitu jauh dari Slim River hingga Mekah tanpa rehat yang mencukupi sememangnya menggunakan tenaga yang banyak. Orang sihat pun letih apalagi Mak yang tidak begitu sihat.

24.   Ibadah Saie' belum lagi dilaksanakan namun Mak sangat letih. Aku pergi ke kawasan Saie' bagi mencari kerusi roda. Akhirnya aku dipertemukan dengan seorang pemuda yang boleh membawa Mak Saie' dengan upah SR50. Aku hanya menunggu di suatu tempat sehingga Mak habis Saie'. Setelah Mak selesai Saie', aku tempatkan Mak di satu sudut kerana aku pula hendak melakukan ibadah Saie'. 

25.   Ibadah Saie' yang bermula dari bukit Safa dan berakhir di bukit Marwah sebanyak 7 kali ulang alik. Setelah selesai 7 kali ulang alik aku terus keluar berhampiran dengan bukit Marwah untuk bertahlul dengan 'bergunting rambut'. Aku lihat jam sudah pun menunjuk pukul 3.00 pagi. Sekali lagi aku meninjau kalau-kalau terjumpa Lin dan Mek namun tidak juga berjumpa.

26.   Aku buat keputusan untuk mengambil Mak dan terus pulang ke hotel namun di pintu masuk aku tidak dibenarkan masuk oleh petugas masjid kerana dalam beg kecilku ada kamera (kamera tidak dibenarkan dibawa masuk dalam masjid). Wah! Macam mana aku nak berjumpa Mak? Aku ternampak dua orang jemaah lelaki Malaysia yang sedang duduk lalu aku menghampiri mereka untuk mohon bantuan mereka dengan memegang kamera aku sekejap sementara aku mengambil Mak. Namun mereka menolak kerana mereka sudah nak balik ke hotel.

27.   Siapa lagi yang aku harapkan untuk memegang kamera ku untuk sekejap waktu sahaja? Aku pasti Mak mesti gelisah kerana lama menunggu. Dari jauh aku ternampak sebuah bangunan yang tertulis simpanan bagasi. Aku terus menuju ke situ dan terus menyerahkan kamera ku dengan kos SR5. Kemudian aku terus masuk masjid untuk mengambil Mak. Sememangnya Mak sangat letih dan aku terpaksa memimpinnya berjalan.

28.   Aku pergi ke tempat simpanan bagasi semula untuk mengambil kamera. Penjaga senyum sahaja kerana aku menyimpan terlalu sekejap. Aku terus berjalan bersama Mak tanpa kasut kerana kasut kami diuruskan oleh TH ketika mula-mula masuk masjid tadi. Oleh kerana Mak terlalu letih dan tak mampu untuk berjalan, aku terus menahan teksi untuk membawa kami ke hotel dengan tambang SR10. Kami sampai hotel kira-kira pukul 4.00 pagi. Lin dan Mek sudah pun sampai hotel bersama-sama jemaah maktab kami. Alhamdullillah mereka selamat mengerjakan ibadah umrah. Aku berpesan kepada Lin untuk tahlulkan Mak kerana Mak belum lagi bertahlul. 

7 Jan 2005 Jumaat; Mekah

29.   Subuh ini aku terlalu letih dan cuma solat subuh di hotel sahaja. Teman-teman sebilikku ialah Ismail - pesara guru besar di Manjung, Husin - kerani sekolah di Kuala Kangsar, Yunus - pegawai polis di KL, Abu Kassim - pegawai kastam di KL, Harun -  Penyelia di Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat.


Teman sebilikku
L-R: Abu Kasim, Ismail, Harun, Husin, Yunus

30.   Minum pagi di hotel bersama-sama Lin dan Mek. Kami mengambil minum pagi Mak untuk di bawa ke bilik kerana Mak sangat letih. Pukul 10.30 pagi aku pergi ke Masjid untuk solat Jumaat. Oleh kerana kami dikira lewat dan terpaksa solat di ruang terbuka bumbung masjid. Cuaca panas sekali. Aku hanya berlindung dengan sejadah yang aku bawa. Pukul 2.00 makan tengahari di hotel.

31.   Pukul 4.00 petang bergerak ke Masjid bersama Lin dan Mek manakala Mak tinggal di hotel. 9.00 malam baru balik dari masjid dan terus makan malam. Makanan Mak dibungkus sahaja untuk Mak makan dalam bilik.

8 Jan 2005 Sabtu; Mekah

32.   Aku bangun pagi pukul 3.00, mandi dan bersiap-siap untuk ke Masjid. Pukul 3.30 pagi berjalan kaki ke masjid bersama Lin dan Mek. Mak tinggal di bilik hotel saja. Seperti biasa sampai masjid lebih kurang pukul 4.00 pagi dan terus mendirikan solat-solat sunat dan membaca Al Quran sementara menunggu waktu solat subuh. Selepas solat subuh terus duduk di masjid berzikir dan baca quran sehingga waktu Dhuha. Selepas solat Dhuha barulah kami balik ke hotel.

33.   Kami minum pagi di hotel bersama kuih-kuih yang dibeli di tepi-tepi jalan semasa perjalanan pulang. Minuman Mak dibungkus sahaja untuk dia minum di bilik. Aku terus rehat di bilik sehinggalah waktu zohor dimana aku sembahyang di Masjid Khalid Al Walid yang hampir dengan hotel. Makan tengahari di hotel bersama lin dan Mek. Makanan Mak dibungkus sahaja. Pukul 4.00 petang aku, lin dan Mek berjalan ke Masjid. Selepas solat Maghrib dan Isyak kami balik ke hotel dan makan di hotel. 

9 Jan 2005 Ahad; Mekah

34.    Seperti biasa pukul 4.00 pagi ke Masjid bersama Lin da Mek dan balik pada pukul 8.00 pagi untuk minum pagi di hotel. Rehat di bilik sehingga pukul 12.00 th. Hari ini kami pergi membayar Dam Haji Tammatuk (SR250 seorang) dan duit ibadah qurban sebanyak SR350 di pejabat Tabung Haji di Tingkat 1 hotel kami tinggal.

35.   Kami ke Masjid pada pukul 4.30 petang untuk solat maghrib dan Isyak dan balik pukul 8.30 malam. Makan malam di hotel dan terus balik ke bilik untuk rehat. Aku sempat membaca beberapa buku kecil berkaitan haji dan terus tidur awal.

10 Jan 2005 Isnin; Mekah

36.   Kami berjalan kaki ke Masjid pada pukul 4.00 pagi dan terus melakukan ibadah seperti biasa. Selepas solat Dhuha, semua jemaah diminta untuk bersama-sama mendirikan solat sunat Istisqa' kerana Mekah sudah lama tidak hujan. Seperti biasa dalam perjalanan pulang, Lin dan Mek 'shopping' manakala aku pula membeli 'ray-ban' (SR170) kerana ray-ban lama aku telah patah. 

37.   Sambil aku menunggu Lin dan Mek 'shopping' aku duduk dalam kedai minyak wangi dan berbual dengan pekerjanya yang berbangsa Indonesia. Beliau sangat ramah dan akhirnya menjemputku ke rumahnya selepas solat Zohor. Aku dan Lin pergi ke rumahnya selepas solat zohor. Tujuan aku ke rumahnya ialah semata-mata untuk berbincang berkaitan badal haji untuk arwah ayahku. 

38.   Sebelum ini beliau tidak pernah mengambil upah untuk membuat badal haji walaupun setiap tahun dia mengerjakan haji. Akhirnya, isteri beliau sanggup untuk membuat badal haji untuk arwah ayahku. Isterinya ialah seorang hafiz dan ustazah yang mengajar di sebuah tahfiz di Mekah. Kami dijamu dengan makan tengahari.


Sebran dan isterinya menjamu nasi Arab untuk kami


39.   Nama sahabat baru aku ini ialah Hj. Sebran yang berasal dari Lombok namun telah menetap di Mekah lebih 22 tahun. Manakala isterinya juga berasal dari Indonesia namun lahir dan dibesarkan di Mekah. Oleh kerana itu isterinya kurang fasih berbahasa Indonesia. Ayah mertua Sebran adalah seorang guru agama di Mekah. Selepas selesai perbincangan kami balik ke hotel.

40.   Selepas Solat Isyak, Sebran sekali lagi menjemput aku dan Lin ke rumahnya. Kali ini kami di bawa ke 'Bazar Rusia' bersama isterinya dan tiga orang anaknya. Udara sangat sejuk di sini lebih-lebih lagi apabila ada angin. Aku sempat membeli baju panas (SR15) dan aku hadiahkan kepada anak kecil Sebran. Kebanyakan barang di sini adalah dari Rusia dan China. Harganya murah jika dibandingkan di tempat lain. Penjual-penjual tidur di sini dengan memasang khemah 'one-man tent' atau '6 men tent'. Di sini juga terdapat pusat pengambilan air zam zam  secara percuma.

11 Jan 2005 Selasa; Mekah

41.   Hari ini aku solat subuh di Masjid Khalid Al Walid dan selepas solat aku dan lin sarapan bersama. Selepas sarapan aku pergi ke Pejabat TH untuk mengeluarkan wang sebanyak SR2000 untuk membayar upah badal haji arwah ayah dan lain-lain perbelanjaan.

42.   Aku, Lin dan Mek solat zohor di AlHaram dan kemudian makan tengahari bersama. Oleh kerana keletihan aku solat asar di surau hotel sahaja hari ini. Selepas solat asar aku dan lin pergi ke kedai minyak wangi untuk berjumpa Sebran. Aku menyerahkan wang upah badal haji arwah ayah sebanyak SR1200. Selepas itu aku dan lin terus sahaja ke AlHaram untuk solat maghrib dan isyak.

43.   Sementara menunggu solat isyak aku berkesempatan berbual dengan seorang jemaah dari Pakistan. Beliau merupakan seorang penyelidik dalam bidang pertanian. Banyak perkara yang kami bincangkan berkaitan dengan pertanian antara kedua negara. Oleh kerana kami berada di tingkat atas masjid yang tidak berbumbung, kami berkesempatan melihat 'anak bulan Zulhijjah' menandakan permulaan bulan Zulhijjah.

44.   Selepas solat isyak aku dan lin ke rumah Sebran untuk menghadiri kenduri tahlil dan majlis tazkirah haji yang disampaikan sendiri oleh bapa mertua Sebran. Semua yang hadir adalah jemaah haji dari Indonesia kecuali aku dan lin sahaja. Sedikit jamuan disediakan selepas majlis tazkirah. Kami balik berjalan kaki ke hotel dan sampai pukul 11.00 malam.

45.   Sebenarnya hari ini aku merasa tidak sedap badan dengan demam, batuk, selsema dan gatal tekak. Aku sempat singgah di farmasi untuk membeli ubat dengan kos SR25.

12 Jan 2005 Rabu; Mekah

46.  Hari ini aku tidak berapa sihat. Solat subuh di Masjid Khalid AlWalid dan terus sarapan pagi. Makan ubat selepas sarapan membuatkan aku sangat mengantuk dan terus tidur. Pukul 12.30 th solat zohor di surau hotel sahaja. Selepas solat dan makan tengahari, aku terus tidur lagi. Badan aku lemah hari ini. Solat asar di Masjid Khalid AlWalid dan Maghrib di bilik sahaja. Solat isyak di surau hotel, dan selepas itu aku terus tidur. 

13 Jan 2005 Khamis; Mekah

47.   Oleh kerana aku telah merasakan sedikit sihat, aku, lin dan Mek pergi ke AlHaram pada pukul 4.00 pagi melalui jalan pintas. Jalan ini lebih dekat tetapi berbukit, dan apabila turun sahaja dari bukit kami terus sampai pintu 'Babul Umrah' AlHaram. Seperti biasa balik dari AlHaram pukul 8.00 pagi. Lin dan Mek membeli belah termasuk juadah minum pagi dalam perjalanan ke hotel. 

48.   Hari ini kami solat zohor dan asar di Masjid Khalid AlWalid sahaja. Pukul 5.00 petang berjalan ke AlHaram untuk solat maghrib dan isyak juga melalui jalan pintas. Jalan biasa dipenuhi dengan para jemaah yang kadang kala sukar untuk berjalan.

14 Jan 2005 Jumaat; Mekah

49.   Pukul 4.00 pagi aku, lin dan Mek berjalan ke AlHaram. Hari ini aku hanya dapat tempat di pintu umrah sahaja kerana bahagian dalam sudah penuh namun aku masih lagi dapat melihat kaabah. Petugas-petugas AlHaram begitu tegas dalam memastikan kelicinan dan keselesaan jemaah. Mereka yang lewat tetapi hendak masuk juga akan diusir keluar oleh petugas-petugas. 

50.   Seperti biasa balik dari AlHaram pukul 7.30 pagi. Lin dan Mek shopping termasuk juadah minum pagi. Minum di hotel sahaja. Hari ini Mek bayar duit qurban kepada seorang pelajar Indonesia sebanyak SR300.

51.   Aku dan Husin (teman sebilik) bertolak ke AlHaram pada pukul 10.00 pagi untuk solat Jumaat. Oleh kerana tingkat 1 dan 2 sudah penuh, kami terpaksa naik tingkat atas yang tidak berbumbung. Panas terik hari ini sehingga berpeluh bagi menunai solat Jumaat.

52.   Solat Jumaat selesai kira-kira pada pukul 1.30 ptg. Orang begitu ramai keluar secara serentak. Aku terperangkap dalam kesesakan manusia yang berhimpit-himpit untuk keluar. Dalam hati kecilku, adalah lebih baik aku menunggu daripada terjerumus dengan himpitan lautan manusia ini. 

53.   Berita tidak rasmi yang aku dengari ialah semua penerbangan haji pada 13 dan 14 Jan dibatalkan termasuk dari Malaysia kerana Mekah sudah penuh. Walaupun begitu kerajaan Malaysia merayu bagi jemaah Malaysia. Berita tidak rasmi juga menyatakan ada seorang jemaah dari maktab aku (maktab 89) telah meninggal dunia.

15 Jan 2005 Sabtu; Mekah

54.   Pukul 4.15 pagi berjalan ke AlHaram bersama Lin dan Mek. Oleh kerana tingkat bawah sudah penuh, kami pergi ke tingkat 1. Pukul 7.30 pagi balik dari AlHaram. Lin dan Mek shopping termasuk beli juadah minum pagi. Hari ini aku menghantar kain-kain kotor ke dobi dengan kos SR20.

55.   Solat zohor di Masjid Khalid AlWalid dan asar di surau hotel. Pukul 4.30 petang aku ke AlHaram bersama lin. Selepas solat isyak kami balik melalui jalan pintas dan makan malam bersama lin.

56.     Apabila aku sampai bilik, aku dimaklumkan Mak sakit lelah. Aku segera ke biliknya. Lin sedang bersiap-siap untuk membawa mak ke klinik di tingkat 1 manakala aku turun dahulu untuk mengambil kerusi roda untuk Mak kerana Mak sudah tidak mampu untuk berjalan. Sampai ke klinik, Mak diberikan keutamaan walaupun ramai lagi pesakit sedang menunggu. Doktor telah memberi satu suntikan bagi mengeluarkan air yang berlebihan dalam badan Mak. Mengikut doktor, air yang berlebihan ini kerana Mak culas makan ubat.

57.     Setelah selesai di klinik aku membawa Mak ke bilik sambil memberi sedikit nasihat supaya Mak tidak culas makan ubat. Terima kasih kepada Lin kerana telah berusaha menjaga Mak dengan penuh prihatin. Semoga Allah akan membalas segala budi baiknya.


16 Jan 2005 Ahad; Mekah

58.   Hari ini solat subuh di Masjid Khalid AlWalid sahaja tanpa ditemani Lin kerana Lin menjaga Mak yang sakit. Selepas solat subuh aku pergi membeli juadan minum pagi untuk lin, Mak dan Mek. Nampaknya sehari dua ini selera aku bertambah mungkin kerana aku makan vitamin yang diberikan lin sebelum ini.

59.   Pagi ini aku membantu Mek untuk mengirim barangan yang dibelinya ke Malaysia. Berat barangannya ialah 12.5 kg dengan kos SR190 manakala 5 liter air zam zam dengan kos SR55. Selepas itu, aku dan lin pergi ke farmasi untuk membeli ubat lin yang tidak begitu sihat (SR25). 

60.   Solat zohor di surau hotel sahaja. Selepas solat terpaksa menunggu lama di lobi kerana orang ramai bersesak-sesak untuk naik lif. Makan tengahari di depan bilik lin bersama Mak dan Mek. Aku lihat Mak semakin sihat. Aku juga sempat memberi 'nasihat' kepada Mak supaya "bersyukur kerana telah dijemput Allah untuk menjadi tetamunya. Yang kaya dan sihat tetapi tak dapat juga. Yang dah sampai Jedah pun, diarah oleh kerajaan Arab Saudi untuk balik kerana Mekah dah penuh dengan jutaan tetamu Allah. Jadi adakah kita tidak bersyukur lagi"

61.   Aku bernasib baik kerana Lin sentiasa mengingatkan Mak untuk solat dan makan ubat supaya sihat tubuh badan untuk beribadat. Moga-moga Allah perkenankanlah doaku supaya Mak sihat dan bersemangat untuk beribadat.

17 Jan 2005 Isnin; Mekah

62.  Subuh ini kami solat di Masjid Khalid AlWalid sahaja. Selesai solat Lin dan Mek membeli juadah minum pagi dan kami minum bersama di hotel. Untuk minuman Mak, kami bungkus sahaja ke bilik hotel.

63.   Hari ini Maktab kami dikunjungi tetamu istimewa iaitu Sultan Selangor pada pukul 7.30 pagi untuk majlis ramah mesra dengan para jemaah. Aku tidak turut serta sebaliknya berkemas-kemas dalam bilik untuk bergerak ke Arafah esok (18/1/05). Nampaknya beg kecil yang diberi oleh TH tak muat untuk membawa keperluan ke Arafah dan Mina. Aku terpaksa membawa keluar beberapa barangan dari beg.

64.   Selepas isyak aku makan malam bersama lin dan Mek di hotel. Selepas itu aku teringin pula nak makan kebab lalu mengajak lin keluar. Lin memberitahuku Mak sudah mula tak culas makan ubat dan dia kelihatan semakin sihat. Alhamdullilah aku mengharapkan Mak akan terus sihat untuk ke Arafah dan Mina.

65.   Nampaknya perangai buruk jemaah kita masih lagi tidak berubah walaupun sedang mengerjakan ibadah haji. Sikap berebut-rebut naik lif dan mengambil makanan seperti lumrah bagi mereka. Suka berasak-asak dalam lif dan tidak membuang bekas makanan dalam tong sampah yang disediakan. Adakah ini ciri-ciri mereka yang bakal mendapat haji mabrur?

18 Jan 2005 hingga 23 Jan 2005

Log dari 18 Januari hingga 23 Januari boleh diakses di pautan ini:

http://nyebalun.blogspot.com/2016/09/arafah-mina.html


24 Jan 2005 Isnin; Mekah

66.   Hari ini aku kurang sihat dengan demam, batuk dan selsema. Aku hanya mampu solat subuh di luar bilik sahaja. Selepas sarapan bersama lin, aku ke pusat dobi untuk menghantar pakaian kotor. Selepas itu, aku dan lin berjalan kaki ke hotel Sevilla untuk pergi ke Hospital Aziziah di mana Mak masih lagi dirawat.



67.   Menurut pegawai TH tiada perkhidmatan coaster ke Hospital Aziziah kerana jalan begitu sesak. Oleh kerana itu aku mohon jasa baik mereka untuk menghubungi hospital supaya aku dapat bercakap dengan doktor yang merawat Mak. Aku dimaklumkan bahawa Mak dalam keadaan stabil dan akan keluar sehari dua lagi.

68.   Dalam perjalanan pulang aku singgah di kedai Farmasi untuk beli ubat (SR38). Ubat batuk membuatkan aku sangat mengantuk dan terus tidur sehingga waktu zohor. Solat zohor di luar bilik sahaja. Makan tengahari bersama lin di hotel. 

69.   Semasa makan terdengar perbualan antara jemaah dengan ustaz TH. Mereka mohon penjelasan tentang beberapa perkara wajib haji yang TH tidak laksanakan untuk mereka. Umpamanya tidak bermabit di Mudzalifah dan menghimpunkan lontaran jamrah untuk hari 11, 12, dan 13 Zulhijjah pada 13 Zulhijjah. Ustaz TH menjelaskan bahawa yang memutuskan semua perkara tersebut ialah mufti-mufti. Adakah mufti-mufit kurang ilmu? Adakah mufti-mufti nak tanggung dosa para jemaah?

70.   Sebelah petang aku merasakan badan semakin pulih dan bergerak ke AlHaram pada pukul 5.15 petang. Hampir seminggu aku tidak ke AlHaram membuatkan aku terasa bersalah dan rindu dengan Baitullah. Aku sempat berbual dengan seorang jemaah Mesir seorang usahawan dan sudah banyak kali ke Mekah. Banyak perkara yang kami bincangkan.

71.   Selepas solat isyak, orang berpusu-pusu ke pintu untuk keluar. Sementara pintu reda dengan orang, aku duduk sebentar dan berbual dengan seorang jemaah dari Pakistan.  Beliau merupakan ahli Tabligh dan pernah datang ke Indonesia. Aku juga sempat melihat seorang jemaah Mesir yang sedang solat sunat kerap kali menahan orang yang lalu didepannya dengan mengangkat tangan. 

72.   Setelah pintu reda, aku keluar dan aku dapati jalan biasa balik ke hotel begitu sendat dengan orang. Berjalan kaki berasak-asak. Ramai sungguh orang ketika ini. Aku buat keputusan untuk balik mengikut jalan pintas yang berbukit. Jalan ini tidak ramai orang. Sampai hotel, terus makan malam dan tidur.


25 Jan 2005 Selasa; Mekah

73.     Pukul 12.30 tengah malam aku telah bangun dan bersiap untuk ke AlHaram. Aku berjalan kaki dari pintu Umrah ke pintu Salam untuk mendapat pahala sunat tawaf. Jarak antara 2 pintu ini adalah lebih kurang sama dengan 1 pusingan tawaf bahagian luar. Tetapi pintu Salam hanya dibuka untuk keluar masjid sahaja. Oleh kerana itu aku terpaksa mengikut pintu sebelahnya iaitu Babbus Abbas. Aku terus sahaja ke Kaabah untuk melakukan tawaf ifadah. Orang begitu ramai sekali, bersesak untuk membuat tawaf.



74.   Aku mula tawaf pukul 1.15 pagi dan selesai 7 pusingan pada pukul 2.00 pagi. Terus sahaja aku solat sunat tawaf. Terdapat juga orang solat di depan Multazam dan Maqam Ibrahim. Ini menjadikan pergerakan tawaf menjadi lebih perlahan.


75.   Setelah selesai solat sunat tawaf aku terus menuju ke Bukit Safa untuk memulakan ibadah Saie'. Mula Saie' kira-kira pukul 2.15 pagi dan sememangnya orang terlalu ramai untuk bersaie' seperti mana ketika tawaf sebentar tadi. Selesai Saie' pada pukul 3.30 pagi dan terus ke kedai gunting di Bukit Marwah untuk tahlul. Kali ini aku bertahlul dengan membotakkan terus kepala ku sesuai dengan sunnah Rasullallah. Selesai tahlul terus balik ke hotel dan sampai pukul 4.00 pagi.


76.   Pukul 6.00 pagi aku cuma solat di luar bilik sahaja kerana kepenatan. Pukul 7.00 pagi aku minum bersama Lin dan terus ke Hotel Sevilla untuk menunggu coaster TH ke Hospital Aziziah. Aku masih lagi tidak dapat berjumpa Mak walaupun telah menunggu dari pagi sampai pukul 11.00 pagi. Aku dan lin terus saja balik ke hotel untuk makan tengahari dan rehat di bilik.


Di hadapan Hotel Sevilla menunggu coaster TH ke Hospital Aziziah

77.   Selepas solat Asar, aku dan lin pergi lagi ke Hotel Sevilla untuk menunggu coaster TH ke Hospital Aziziah. Namun sehingga pukul 5.30, coaster tidak juga muncul-muncul sedangkan pegawai TH dan pihak Hospital Aziziah menegaskan memang ada coaster hari ini ke Hospital Aziziah. Nampaknya maklumat yang aku perolehi tidak sama dengan realiti. Aku terus balik untuk solat maghrib dan Isyak.

26 Jan 2005 Rabu; Mekah

78.   Hari ini aku solat subuh di Masjid Khalid AlWalid. Selepas solat aku bersarapan pagi bersama lin dan terus ke Hotel Sevilla untuk menunggu coaster. Hari ini kami bernasib baik, coaster sampai pukul 8.30 pagi dan terus ke Hospital Aziziah. Kami sampai pukul 8.50 pagi. Aku lihat Mak semakin sihat dan dijadualkan akan pulang ke hotel pada hari ini. Alhamdullillah. Menurut pesakit sebelah Mak, Mak selalu culas makan ubat dan ini mungkin menyebabkan Mak lambat sembuh. 


Di hospital inilah Mak tinggal selama 8 hari


79.   Aku telah mengupah pihak TH untuk membuat tawaf dan Saie Mak. Upah bagi kedua-dua ibadah ini ialah SR350. Manakala aku telah melaksanakan lontaran Jamrah untuk Mak semasa di Mina. Mak kelihatan ceria dan suka kerana akan keluar hospital hari ini. Pukul 10.30 pagi aku dan lin balik ke hotel dengan menaiki coaster yang disediakan oleh TH.

80.   Solat zohor di Masjid Khalid AlWalid dan Asar di surau Hotel. Pukul 5.00 petang bergerak ke AlHaram untuk solat maghrib dan Isyak. Aku duduk di Tingkat 1 sambil memerhatikan gelagat para jemaah yang membosankan. Mereka yang datang lewat masih lagi hendak ke saf hadapan dengan melangkah orang yang sedang membaca AlQuran dan zikir. Ada yang lalu lalang di depan orang yang sedang solat dan ada yang melangkah kepala orang yang sedang duduk atau solat. Ada juga suami isteri solat sebelah menyebelah.

27 Jan 2005 Khamis; Mekah

81.   Pukul 4.30 subuh aku telah berjalan ke AlHaram untuk solat subuh. Orang sangat ramai dan aku hanya dapat tempat di lobi Babul Umrah sahaja. Selepas sahaja azan subuh dikumandangkan berlaku sedikit kekecohan di lobi Babul Umrah. Aku terdengar bunyi angin yang sangat kuat yang menderu masuk ke dalam masjid. Kelihatan para jemaah bertempiaran lari. Terkejut keadaan itu, aku pun berlari menyelamatkan diri di belakang tiang yang berhampiran tangga.

82.   Aku menyangkakan rusuhan sedang berlaku atau polis sedang mengejar pesalah. Peristiwa ini berlaku dengan pantas sekali iaitu lebih kurang 1 - 2 minit. Apabila muazzin melaungkan iqamat, aku dan lain-lain jemaah kembali ke tempat masing-masing untuk solat subuh. Ketika solat, jantungku masih lagi berdegup-degup akibat dari kejutan angin itu. Ramai yang berpendapat bunyi angin kuat dan hentakan kaki subuh tadi adalah tanda malaikat turun untuk ke kaabah. Wallahuaklam.



Di lobi Babul Umrah inilah berlakunya peristiwa 'ganjil'

83.   Emak telah keluar hospital pukul 2.00 pagi tadi. Pihak TH telah membawa Mak ke Kaabah untuk tawaf dan Saie sebelum Mak dibawa balik ke hotel untuk bertahlul. Alhamdullillah selesai sudah ibadah haji Mak.

84.   Pukul 5.00 petang ke AlHaram bersama lin untuk solat maghrib dan isyak. Setelah itu kami makan di hotel.

28 Jan 2005 Jumaat; Mekah

85.   Pukul 4.00 pagi ke AlHaram untuk solat subuh dan solat-solat sunat lain. Nampaknya orang semakin kurang mungkin ramai yang sudah meninggalkan Kota Mekah. Sarapan pagi di hotel bersama lin.

86.   Selepas sarapan aku pergi ke kedai minyak wangi untuk berjumpa Sebran. Tujuan aku berjumpa beliau ialah untuk menentukan masa untuk syahadah badal haji arwah ayah disamping itu minta tolong dia untuk top-up telefon aku.

87.   Pukul 11.00 pagi ke AlHaram untuk solat Jumaat. Didapati ramai jemaah wanita juga turut serta untuk solat Jumaat. Walaupun ramai jemaah yang sudah balik tetapi diganti dengan jemaah wanita pula. Ini menjadikan masjid penuh dan sesak.

88.   Pukul 5.15 ptg, aku dan lin ke AlHaram untuk solat maghrib dan isyak. Kelihatan masjid tidaklah begitu sesak seperti sebelum ini. Sudah pasti ramai yang sudah meninggalkan Mekah.

29 Jan 2005 Sabtu; Mekah

89.   Bangun dari tidur pukul 12.00 malam untuk bawa Lin dan Mek ke AlHaram bagi menyelesaikan ibadah haji mereka. Kami mula buat tawaf lebih kurang pukul 12.30 malam dan habis lebih kurang pukul 1.30 pagi. Selepas solat sunat tawaf kami terus ke Bukit Safa untuk memulakan Saie. Kami selesai saie kira-kira pukul 2.30 pagi. Ibadah tawaf dan saie kami berjalan lancar kerana orang tidaklah begitu ramai seperti sebelum ini. Kami tiba di hotel pukul 3.00 pagi.

90.   Subuh ini aku hanya solat subuh di bilik sahaja kerana kepenatan. Selepas solat terus minum pagi bersama lin. Pagi ini Lin, Mak dan Mek menghadiri ceramah agama di Tingkat M yang disampaikan Ustaz TH, manakala aku duduk di bilik membaca beberapa buku yang aku beli di Mekah.

91.   Sebelah petang, aku dan lin ke AlHaram untuk solat maghrib dan isyak. Selepas solat Isyak, Sebran dan keluarganya telah membawa kami ke supermarket terbesar di Mekah. Kami dijamu dengan 'Arab Fried Chicken'. Dalam perjalanan pulang, Sebran telah membawa kami melalui tanah perkuburan Maala dimana makam Siti Khadijah (isteri Rasullallah) disemadikan. Kami sampai hotel pukul 12.00 malam.

92.   Dapat aku perhatikan semua wanita Arab memakai jubah hitam atau arbaya hitam dengan hanya menampakkan mata sahaja. Sekali sekala ada juga yang menunjukkan muka mereka. Sememangnya mereka cantik, putih, hidung mancung, putih dsb. Aku difahamkan tabiat orang-orang Arab ialah keluar waktu malam untuk bersantai atau shopping. Tidak hairanlah supermarket ini dipenuhi ramai orang walaupun jam sudahpun menunjukkan pukul 11.00 malam.

30 Jan 2005 Ahad; Mekah

93.   Hari ini aku solat subuh di Masjid Khalid AlWalid. Selepas solat aku terus minum pagi bersama lin. Aku bercadang hari ini aku nak melaksana umrah sunat selepas solat Asar namun terpaksa ditangguh kerana lif hotel 'jam' kerana terlalu ramai orang menggunakannya. 

94.   Selepas solat Maghrib di Masjid Khalid AlWalid aku dan lin terus ke Tanaim dengan menaiki van dengan tambangnya SR2 seorang untuk melaksana umrah sunat. Kami sempat solat isyak berjemaah di masjid Tanaim. Selepas solat isyak, aku terus solat sunat ihram dan berniat untuk umrah sunat. Diluar masjid banyak van menunggu bagi mereka yang hendak ke AlHaram.

95.   Aku dan lin naik van dengan tambang SR2 seorang untuk ke AlHaram. Sampai AlHaram kira-kira pukul 9.30 malam. Aku terasa lapar lalu mencari restoran masakan Melayu di Bukit Marwah namun tidak diketemui. Walau bagaimanapun aku dan lin dapat juga makan nasi putih dengan kari kepala ikan dengan kos sebanyak SR24. Aku dan lin buat keputusan untuk balik ke hotel dulu sebelum kembali ke AlHaram tengah malam nanti untuk menyempurnakan ibadah umrah sunat.

31 Jan 2005 Isnin; Mekah

96.   Pukul 12.30 malam bangun dari tidur dan terus ke AlHaram untuk menghabiskan ibadah umrah sunat. Orang masih lagi ramai tawaf namun kami masih lagi boleh melakukannya. Bagi saie pula, walaupun orang ramai tetapi tidaklah seperti sebelum ini. Oleh itu, mudah bagi kami melakukan saie sehingga tamat pukul 2.30 pagi. Kami bertahlul dan terus balik ke hotel.

97.   Solat subuh di hotel sahaja dan selepas itu minum pagi bersama lin di hotel. Selepas itu kami pergi ke pasar dekat Bukit Marwah untuk shopping. Sempat membeli beberapa cenderamata untuk dibawa balik.


Jalan-jalan sekitar AlHaram

98.   5.30 petang kami ke AlHaram untuk solat maghrib dan isyak. Selepas isyak kami singgah di restoran untuk makan malam. Oleh kerana kami ingin mencuba makanan Arab maka kami memesan 2 pinggan nasi Arab. Wah! Alangkah terkejutnya kami kerana sepinggan nasi Arab boleh menjamu untuk 2 orang. Itupun kami tidak dapat menghabisnya walaupun sepinggan. Dengan itu, kami bungkus satu lagi untuk Mak dan Mek.

1 Feb 2005 Selasa; Mekah

99.   Aku, lin dan Mek ke AlHaram pada pukul 4.45 pagi untuk solat subuh. Setelah selesai solat dhuha kami balik namun dalam perjalanan Lin dan Mek singgah di kedai-kedai untuk shopping manakala aku terus balik ke hotel kerana kepala aku terasa pening.

100.   Ke AlHaram lagi pada pukul 12.15 th untuk solat zohor dan selepas itu makan tengahari bersama lin di hotel. Rehat dan terus tertidur sehingga waktu Asar.

101.   Solat asar di hotel sahaja dan selepas itu mandi sunat ihram. Pukul 5.00 petang aku dan lin berjalan ke AlHaram berdepan dengan Hotel Firdaus untuk menaiki van ke Tanaim. Solat maghrib berjemaah di masjid Tanaim dan seterusnya solat sunat ihram. Kemudian aku terus berniat umrah badal untuk arwah Atuk (Imam Adam Hj. Mustafa).

102.   Kemudian kami menaiki van ke AlHaram (tambang SR4 pergi balik). Kami makan malam di restoran di depan Bukit Marwah. Oleh kerana restoran ini kecil sahaja manakala orang ramai yang makan maka kami berkongsi meja dengan jemaah dari Oman. Beliau sudah 7 kali melancong ke Malaysia, jadi banyak perkara yang kami bualkan.

103.   Apabila pasangan Oman ini bangun, pasangan dari Indonesia pula duduk di hadapan kami. Mereka dari Jakarta dimana isterinya adalah seorang guru dan dia seorang pensyarah universiti di Jakarta. Apabila dibuat perbandingan gaji, mereka menyatakan gaji guru Malaysia jauh lebih tinggi daripada guru Indonesia. Malah gaji pensyarah universiti di Indonesia juga lebih rendah dibandingkan gaji guru Malaysia.

104.   Setelah selesai makan kami terus saja balik ke hotel untuk rehat kerana tengah malam nanti kami hendak ke AlHaram untuk menyempurnakan ibadah umrah. Sampai hotel lebih kurang pukul 10.00 malam.

2 Feb 2005 Rabu; Mekah 

105.   Aku dan lin bergerak ke AlHaram pada pukul 1.00 pagi untuk tawaf dan saie umrah. Kami bernasib baik kali ini kerana berjaya solat sunat dibelakang Multazam dan Hijr Ismail walaupun orang masih lagi ramai. Selesai Saie dan tahlul kira-kira pukul 3.00 pagi dan terus balik ke hotel.

106.   Solat subuh di hotel sahaja dan selepas itu minum pagi bersama lin di hotel. Hari ini TH menganjurkan lawatan ke Jeddah untuk para jemaah. Aku, lin dan Mek berjalan kaki ke hotel Sevilla kerana bas menunggu kami di sana pada pukul 8.30 pagi. (Emak tidak mengikuti program ini kerana kurang sihat)

107.   Bas mula bertolak pukul 8.30 pagi. Tempat-tempat yang kami lawati termasuklah Masjid Qisas, pasaraya Qormis, Masjid Terapung di Lautan Merah, dan makam Siti Hawa. Masjid Qisas ialah tempat pelaksanaan hukuman pancung bagi pesalah-pesalah jenayah di Jeddah. Dua hari sebelum itu (iaitu hari Isnin) 2 orang pesalah telah dihukum pancung di khalayak kerana kesalahan mengedar dadah. Kesan darah masih lagi ada walaupun telah dibasuh.

108.   Selepas Masjid Qisas kami dibawa ke Makam Siti Hawa iaitu isteri Nabi Adam. Makam ini dipagari dengan konkrit setinggi 10 meter. Orang ramai tidak dibenarkan masuk kerana banyak perkara khurafat dan bidaah berlaku di makam ini sebelum ia dipagari sedemikian rupa.

109.   Selepas itu kami dibawa ke Pasaraya Qormis untuk shopping. Lin beli beg tangan (SR250) dan kasut (SR40) manakala aku juga beli kasut (SR100) dan buku (SR25) dan beberapa cenderahati. Kami makan di Restoran Syami.

110.   Selepas itu kami ke Masjid Terapung di pinggir Laut Merah. Solat asar dan zohor disini. Dalam perjalanan terdapat konsulat Amerika dan kami dimaklumkan ia dikawal ketat oleh tentera Amerika. Ini kerana beberapa bulan sebelum ini, Konsulat ini telah diserang oleh kumpulan yang anti-Amerika.

111.   Pukul 4.30 ptg kami bergerak balik ke Mekah. Kami singgah di Masjid Syamsi untuk solat maghrib dan isyak sebelum sampai hotel pada pukul 7.15 malam.

3 Feb 2005 Khamis; Mekah 

112.   Bergerak ke AlHaram bersama lin dan mek pada pukul 4.30 pagi. Selepas solat Dhuha kami balik ke hotel namun dalam perjalanan lin dan Mek membeli belah. Minum pagi bersama lin di hotel manakala Mek dan Mak minum dalam bilik dengan juadah yang dibeli.

113.   Selepas minum pagi kami menghantar pakaian ke pusat dobi dan seterusnya ke hotel Sevilla untuk shopping. Selepas shopping kami balik dan langsung ke AlHaram untuk solat zuhur. Keadaan AlHaram semakin lengang. Tingkat 1 dimana aku solat banyak tempat kosong dan ada saf terputus-putus.

114.   Pukul 3.30 ptg ke AlHaram untuk solat Asar dan balik ke hotel kemudian pukul 6.00 ptg ke AlHaram lagi bersama lin dan Mek untuk solat Maghrib dan Isyak. Alhamdulillah hari ini aku dapat solat 5 waktu di AlHaram.

115.   Sekembalinya ke hotel, aku terus berkemas-kemas untuk ziarah Madinah esok (4/2/05). InsyaAllah kami akan meninggalkan kota Mekah esok dan terus menuju Madinah.

4 Feb 2005 Jumaat; Mekah 

116.   Aku, lin dan mek bergerak ke AlHaram pukul 4.30 pagi. Selepas solat sunat Dhuha kami balik ke hotel dan terus berkemas-kemas. Pergi ke dobi untuk mengambil pakaian (SR20). Pukul 9.30 pagi ke AlHaram untuk mengambil gambar kenang-kenangan.


Berlatar belakangkan Babul Umrah AlHaram


Gambar kenangan di Kota Mekah sebelum bergerak ke Madinah

117.   Semua beg besar jemaah telah dihantar ke lobi untuk urusan ke Madinah. Aku ke AlHaram pukul 11.30 pagi untuk solat Jumaat. Selesai solat Jumaat, aku makan tengahari bersama lin. Mak sentiasa makan dalam bilik dimana Mek atau lin akan membawanya ke bilik.

118.   Pukul 3.15 petang kami ke AlHaram untuk solat Asar dan tawaf Wida'. Setelah selesai tawaf Wida' pukul 5.40 ptg dan terus balik ke hotel. Solat maghrib dan isyak di hotel, kemudian makan malam di hotel. Kemudian terus menunggu bas untuk ke Madinah. Bas terlewat bergerak kerana seorang jemaah lambat balik dari AlHaram kerana tawaf Wida'. Bas mula bergerak pukul 10.30 malam.

5 Feb 2005 Sabtu; Madinah 

119.   Kami sampai kota Madinah pada pukul 6.00 pagi. Kami terus solat dalam bilik sahaja, selepas itu aku mengangkat beg-beg aku sendiri, lin, Mak dan Mek. Pukul 11.30 pagi aku terus ke Masjid Nabawi untuk solat zohor. Makan tengahari pukul 1.30 ptg, dan ke Masjid lagi pukul 3.15 petang untuk solat Asar. Pukul 5.15 ptg aku, lin, mek dan mak ke masjid untuk solat maghrib dan isyak. Pukul 8.30 malam balik ke hotel untuk makan malam dan rehat.

6 Feb 2005 Ahad; Madinah

120.   Pukul 4.15 pagi aku, lin dan mek ke masjid untuk solat subuh. Setelah selesai solat Dhuha kami balik ke hotel. Aku dan lin pergi mencari restoran untuk minum pagi. Terjumpa restoran Pakistan dan terus sarapan dengan nasi putih dan kari ayam, 1 bungkus untuk mek dan mak (SR14). 

121.   Pukul 8.00 pagi aku dan lin melawat sekitar masjid Nabawi. Kami terserempak dengan jiran di Jitra (isteri Yusuf Borong), berbual sebentar dan terus berjalan-jalan, sambil mengambil beberapa gambar kenang-kenangan. Kami terus ke perkuburan Baqi untuk ziarah kubur dan memenuhi permintaan Mak untuk memberi makan kepada burung merpati. Emak telah memberi kami SR20 untuk beli makanan burung merpati. 


Memenuhi permintaan Mak untuk memberi makanan burung merpati di perkuburan Baqi


122.   Selepas perkuburan Baqi, kami terus berjalan-jalan ke gerai-gerai di sekeliling masjid. Aku sempat membeli sebuah buku, 'A Glimpse at the Beauty of Islam' (SR10). Selepas itu kami singgah 'Bin Dawood Superstores' untuk 'window shopping'.


Di bawah kubah hijau itu ialah Makam Rasullallah bersama Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar

123.   Pukul 11.30 pagi ke Masjid untuk solat Zohor, 1.30 th makan tengahari di hotel. 3.00 ptg ke masjid untuk solat Asar dan balik ke hotel pukul 4.15 ptg. Pukul 5.30 ptg ke masjid untuk solat maghrib dan isyak dan pukul 8.30 malam balik ke hotel.

7 Feb 2005 Isnin; Madinah

124.    Ke masjid Nabawi bersama lin dan Mek pukul 4.30 pagi. Selepas solat Dhuha balik ke hotel untuk sarapan pagi.

125.   Pukul 7.00 pagi kami mengikuti rombongan ziarah masjid dan perkuburan Baqi yang dianjurkan TH dan dipandu oleh seorang Mutawif. Kami memasuki melalui pintu 'Salam' dan terus solat tahiyatul masjid. Mutawif terus membawa kami ke kewasan di depan Raudah dan makam Rasulallah, Saidina Abu Bakar, & Saidina Umar. Mutawif telah mengepalai bacaan doa di sini dan selepas bacaan doa, mutawif mohon sedeqah dari para jemaah.


Membaca doa para syuhada Uhud



Mek dan Lin di hadapan makam syuhada Uhud

126.   Setelah selesai di Raudah dan Makam Rasullallah, kami terus ke kawasan perkuburan Baqi. Sekali lagi Mutawif mengepalai bacaan doa untuk ahli kubur Baqi. Setelah selesai doa, mutawif sekali lagi mohon sedeqah dari para jemaah. Ketika jemaah sedang memberi wang kepada mutawif, pihak masjid telah menangkap Mutawif kerana para mutawif tidak dibenarkan mengambil wang dari jemaah.

127.   Ekoran daripada peristiwa itu, aku terus balik ke hotel dan sampai pukul 9.00 pagi. Seperti biasa berulang-alik ke masjid Nabawi untuk solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

8 Feb 2005 Selasa; Madinah

128.   Pukul 5.00 pagi ke masjid Nabawi untuk solat subuh dan selepas solat sunat Dhuha balik ke hotel untuk minum pagi. Pukul 7.00 pagi aku, lin dan mek mengikuti rombongan melawat persekitaran kota Madinah. Tempat-tempat lawatan termasuklah Masjid Quba', Pasar Kurma, Jabal Uhud. Kami hanya melalui sahaja tanpa singgah Masjid Qiblatain dan Masjid 7. 

129.   Pukul 10.30 kami sampai hotel semula dan bersiap-siap untuk ke Masjid Nabawi. Seperti biasa makan tengahari pukul 1.30 ptg. Berulang alik ke masjid pukul 3.00 ptg dan pukul 5.30 ptg untuk solat asar, maghrib dan isyak.

9 Feb 2005 Rabu; Madinah

129.   Bertolak ke masjid pada pukul 4.00 pagi untuk solat subuh dan lain-lain. Dalam perjalanan balik, aku dan lin minum di restoran (SR9). 

130.   Hari ini aku telah berazam untuk solat sunat di Raudhah yang masih lagi belum aku berkesempatan melakukannya. Pukul 8.45 pagi secara bersendirian aku telah pergi ke Masjid Nabawi. Orang begitu ramai untuk masuk Raudhah hingga bertolak-tolakan antara satu sama lain sehingga sanggup melanggar orang tengah solat, melangkah orang yang tengah sujud. 


Masjid Nabawi di waktu malam

131.   Aku cuma memerhati gelagat jemaah ini di garisan luar Raudhah menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk melangkah ke dalam Raudhah. Mau tidak mau aku mesti masuk Raudhah kerana ini adalah satu-satunya peluang yang aku ada. Setelah puas aku perhatikan aku terus melangkah masuk dari sudut yang sesuai.

132.   Sudah pastinya aku pun terpaksa melangkah orang di depan kerana orang di belakangku menolak aku dengan kuat. Akhirnya aku dapat meloloskan diri dan terus ke saf 2. Di sebelah kananku ialah Mimbar Rasullallah dan ada 3 orang polis mengawal di depanku. Alhamdullillah tempat ini selesa untuk aku bersolat. Aku terus bersolat sunat tanpa diganggu oleh jemaah lain.

134.   Selepas itu aku melangkah ke saf 1 untuk sunat Dhuha pula. Aku tidak sempat membaca doa seperti yang dibekalkan TH ketika berada di Raudhah namun aku hanya membaca doa pendek yang aku hafal sahaja. Selepas berdoa aku terus keluar untuk memberi salam kepada Rasullallah, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar dimana makam mereka berada di sebelah kiriku. Setelah selesai aku terus balik ke hotel.
Laman Masjid Nabawi

135.   Sebaik sampai hotel, lin mengajak aku untuk shopping di Medina Shopping Centre yang terletak berhadapan pintu depan Masjid Nabawi. Pukul 11.30 pg balik ke hotel dan terus makan di hotel.

136.  Seperti biasa berulang alik ke masjid untuk solat zohor, asar, maghrib dan isyak. Makan malam di hotel dan rehat.

10 Feb 2005 Khamis; Madinah

137.   Hari ini tidak ada banyak aktiviti selain daripada berulang alik ke masjid untuk solat lima waktu. Pagi ini aku dan lin bersarapan di kawasan orang Turki dan Pakistan manakala Mek dan Mak minum di hotel. Selepas minum pagi, kami pergi window shopping lagi di 'Bin Dawood Shopping Complex'. Suhu di Madinah masih lagi sejuk dan kadang kala mencecah 12 darjah Celcius di waktu subuh.


Subuh di luar Masjid Nabawi. Cuaca sangat sejuk

11 Feb 2005 Jumaat; Madinah

138.   Pukul 4.00 pagi pergi ke masjid bersama lin. Selepas solat dhuha kami pergi minum di restoran Bangladesh manakala Mak dan Mek minum di hotel sahaja.

139.   Seperti biasa tidak ada banyak aktiviti hari ini melainkan berulang alik ke masjid untuk solat lima waktu. Aku lihat seorang jemaah menangis teresak-esak sambil melambai-lambai tangannya ke arah 'kubah berwarna hijau' Masjid Nabawi, sambil berjalan meninggalkan kawasan lapang masjid. Ooh! Begitu sedihnya dia untuk meninggalkan Rasullallah.

12 Feb 2005 Sabtu; Madinah

140.   Aku ke masjid pukul 4.15 pagi untuk solat subuh dan lain-lain solat. Selepas solat subuh balik ke hotel untuk sarapan pagi. Pukul 9.00 pagi aku ke masjid lagi untuk masuk Raudhah dan ziarah makam Rasullallah. Orang masih lagi ramai berebut-rebut untuk masuk Raudhah.

141.   Dalam kesesakan orang ramai itu, aku berjaya meloloskan diri untuk masuk ke Raudhah dan terus solat sunat di sebelah kiri Mimbar Rasullallah. Selepas itu ke makam Rasullallah dan sahabat-sahabatnya untuk berdoa.

142.   Setelah selesai aku balik ke hotel untuk berkemas-kemas kerana kami dijadualkan akan pulang ke Malaysia pada 14/2/05. Urusan menimbang beg akan dilakukan esok (13/2/05) pukul 7.00 pagi di lobi hotel.



143.   Pukul 11.30 pagi ke masjid untuk solat dan selepas itu balik untuk makan tengahari, dan teus rehat. Pukul 3.00 petang aku ke masjid lagi untuk solat Asar. Kali ini aku tidak balik ke hotel selepas solat asar malah terus beriktikaf di masjid sehinggalah waktu maghrib dan isyak. 

144.   Kali ini aku bernasib baik kerana dapat duduk di saf 3 di belakang Imam. Semasa menunggu waktu maghrib aku menghabiskan masa dengan membaca Quran. Tidak aku sangka selepas setengah jam membaca Quran, orang di sebelah aku ialah Cikgu Ali (Orang Besar Jajahan), jiran sekampung Aku. Beliau bertanya khabar tentang Mak dan lain-lain perkara. Selepas itu kami terus membaca Quran sehingga masuk waktu Maghrib.

13 Feb 2005 Ahad; Madinah

145.   Pukul 4.00 pagi ke masjid untuk solat subuh dan lain-lain solat. Selepas solat sunat dhuha balik ke hotel untuk sarapan pagi. Selepas itu, membuat persiapan terakhir mengemas beg. Beg-beg yang telah siap diikat dengan tali. Aku ke bilik Mak untuk mengikat beg-beg Mak, Mek dan lin. Pukul 7.00 pagi mengangkut beg ke lobi hotel untuk urusan timbang.


Urusan menimbang beg

146.   Pada mulanya agak kecoh juga kerana pihak lori yang akan mengangkut beg ke lapangan terbang mengenakan bayaran sebanyak SR63 setiap 1 kg lebihan berat yang dibenarkan iaitu 30 kg. Ramai jemaah telah membuat aduan kepada TH dan Saudia Airline dan akhirnya kadar sebenarnya ialah SR20 setiap kg yang terlebih seperti mana yang dimaklumkan TH sebelum ini.

14 Feb 2005 Isnin; Madinah

147.   Aku difahamkan Mak bangun pukul 1.00 pagi berkemas-kemas untuk pulang ke Malaysia walaupun akan bas akan mula bertolak pukul 5.00 pagi. Rindu sungguh dia untuk balik Malaysia untuk berjumpa anak-anak, cucu dan saudara maranya. Pukul 4.00 pagi aku turun ke lobi dimana Mak, Mek dan lin sudah sedia menunggu kerana pengumuman awal TH ialah bas akan bertolak pada pukul 5.00 pagi. Cuaca sangat sejuk pagi ini.

148.   Pada pukul 5.00 pagi, TH mengarahkan kami untuk balik ke bilik untuk solat subuh kerana bas akan bertolak selepas subuh. Kira-kira pukul 6.30 pagi kami turun semula ke lobi dan terus menaiki bas yang sudah pun menunggu.

149.   Sementara menanti TH menyerah paspot kepada kami, salah seorang daripada jemaah telah 'pitam' untuk beberapa minit. Tapi tak berapa lama dia pulih semula. Bas mula bergerak pada pukul 8.00 pagi menuju airport Madinah yang mengambil masa lebih kurang setengah jam.

150.   Setibanya di airport, aku lihat Mak sangat letih dan tidak bermaya untuk berjalan. Nasib baik pihak TH ada menyediakan kerusi roda dan aku terus meminjam dan menolak Mak di atas kerusi roda ke ruang berlepas. Semua beg galas jemaah tidak dibenarkan dibawa masuk sebagai 'hand-carry' tetapi dimasukkan dalam cargo.

151.   Di balai berlepas aku perhatikan Mak begitu haus. Setelah air zam zamnya habis, aku bagi air zam zam aku pula untuk Mak. Tidak berapa lama Mak masih lagi haus, aku terus saja membeli air mineral untuk Mak.


Kelihatan Mak sangat letih dan tidak sihat di dewan berlepas lapangan terbang Madinah

152.   Kira-kira pukul 10.00 pagi, kami dipanggil untuk menaiki pesawat. Aku dan 3 jemaah lagi yang berkerusi roda menaiki pintu khas pesawat setelah semua jemaah menaiki pesawat.

Kesah seterusnya amat memilukan dan boleh diakses di pautan di bawah

http://nyebalun.blogspot.com/2011/06/10-hari-di-oman-14-23-feb-2005.html