Thursday 15 September 2016

Arafah - Mina

Setiap kali musim haji tiba, pasti aku akan teringat pelbagai peristiwa semasa mengerjakan haji pada bulan Januari 2005 terutamanya semasa berwukuf di Arafah dan bermalam di Mina. Berikut dipaparkan kesah aku di Arafah dan Mina.

18 Jan 2005 (Selasa)

Hari ini semua jemaah yang berada di Mekah akan bertolak ke Arafah. Aku dan Mak dijangka akan bergerak pada pukul 1.00 tengahari bersama-sama orang sakit (Mak diklasifikasikan sebagai orang sakit) manakala Lin dan Mek akan bergerak dengan bas lain. Apa yang dirancangkan tidak berlaku. Aku dan Mak bertolak ke Arafah pada pukul 10.00 malam dan sampai Arafah pukul 11.30 malam. Manakala Lin/Mek bertolak lebih awal iaitu pada pukul 8.00 malam. Ketika kami sampai di Arafah ramai jemaah telah tidur dalam khemah.

Aku dan Mak menaiki bas terakhir dari Mekah iaitu pukul 10.00 malam. Sebaik saja kami sampai Arafah, aku perhatikan Mak sangat lemah untuk berjalan. Aku terpaksa pimpin dan berjalan dengan perlahan. Dalam jarak yang tidak begitu jauh, banyak kali Mak berhenti. Mungkin Mak terlalu letih dan berjalan pula di atas tanah yang berpasir.

Arafah : Berdiri di atas bukit berhadapan dengan surau Maktab 89

Aku bertanya pada petugas dimana khemah Lin/Mek dan kami terus pergi ke situ. Aku dapati semua jemaah telah tidur. Aku dan Mak terpaksa memanggil Lin dengan suara yang kuat. Akhirnya Lin terjaga dan terus membawa Mak masuk dengan beliau. Lin menjangkakan kami tidur di khemah orang sakit. Sebenarnya tidak ada khemah khas untuk orang sakit disediakan. Aku terus ke khemah lelaki. Hampir semuanya telah tidur namun aku dapat juga ruang yang sempit untuk berbaring.


19 Januari 2005 Rabu

Seperti biasa aku bangun pukul 4.00 pagi untuk berkemas dan menunai pelbagai solat. Cuaca agak sejuk dan aku tiada peluang untuk mandi kerana bilik air senantiasa penuh dengan orang disamping ramai yang beratur menunggu giliran. Selepas solat subuh dalam khemah, aku berehat dan mengambil minum pagi yang disediakan.

Ketika hampir waktu zohor, aku pergi ke surau maktab 89 untuk solat zohor dan mendengar khutbah Arafah. Ramai dalam kalangan kami hanya berehat seketika untuk makan tengahari dan masa selebihnya digunakan untuk solat taubat, dan berzikir sehinggalah waktu asar. Solat asar berjemaah di Surau Maktab 89. Tanpa aku sedari air mataku menitis mendengar doa Imam yang sangat menyentuh hati. Aku terus berzikir hingga pukul 5.00 petang.

Aku kembali ke khemah untuk berkemas kerana dijadualkan bas akan bertolak pada pukul 6.30 petang. Bas pertama yang akan bertolak akan membawa jemaah yang sakit bersama warisnya/penjaganya. Oleh kerana itu aku akan menaiki bas pertama bersama Mak yang aku perhatikan semakin lemah. Kami terus ke Mina tanpa bermabit di Muzalifah. Kami tiba di Mina pada pukul 7.30 malam. Setiba kami di Mina, agak kecoh sedikit pengurusan haji kerana terdapat perubahan terakhir dari segi nombor khemah pada stiker dan yang sebenarnya. Jadi ada khemah yang terlebih jemaah dan ada yang kurang. Mujurlah jemaah haji mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Aku merasakan badan tidak begitu sihat pada hari ini. Lin dan Mek tiba lewat sedikit dari kami.
Beginilah keadaan dalam khemah, di situlah tempat tidur, makan dan solat


20 Jan 2005 Khamis

Seperti biasa pukul 4.00 pagi aku bangun untuk bersihkan diri bagi mendirikan solat dan zikir dalam khemah sehinggalah waktu subuh kami solat berjemaah dalam khemah tempat kami tidur. Kami menyusun beg masing-masing bagi membolehkan kami solat subuh berjemaah. Aku perhatikan ada jemaah tidur di luar khemah kerana ruang dalam khemah sememangnya sendat. Selepas solat subuh, minum pagi dengan 2 buku roti, 1 epal, 1 kotak jus oren dan 1 biji telur. Air panas ada disediakan di tempat khas dan sesiapa yang memerlukannya boleh ke situ untuk buat air teh atau sebagainya. Selepas minum, terus rehat dalam khemah.

Mina : Di kawasan inilah khemah kami ditempatkan, khemah yang paling jauh sekali dari tempat Jamrah. Ia bersempadan dengan Mudzalifah

Aku mendapat maklumat bahawa kawasan khemah kami dikenali sebagai 'muhassir' kawasan yang paling jauh sekali dari jamrah. Khemah kami bersempadan dengan Muzalifah. Kami diberi makluman akan melontar jamrah selepas solat isyak.

Kira-kira pukul 3.15 petang Lin datang menemuiku memaklumkan Mak sakit lagi, sesak nafas. Aku terus menemuinya dan sememangnya Mak sangat lemah. Aku segera ke klinik (klinik khas Tabung Haji juga dalam kawasan kami tinggal) untuk mengambil kerusi roda dan memimpin Mak duduk atas kerusi roda untuk terus ke klinik. Ketika itu para petugas klinik sedang berehat namun oleh kerana Mak sakit kuat mereka terpaksa memberi pemeriksaan. Doktor memaklumkan air dalam badan Mak sudah berlebihan mungkin kerana Mak culas makan ubat. Doktor terus memberi suntikan untuk mengeluarkan air dari badan.

Ketika itu Mak sudah lagi tidak berdaya untuk menahan kencing dan terus kencing dan buang air besar di situ juga. Lin bertungkus lumus mencuci kencing dan najis besar Mak yang melekat pada kain, baju, dan kain dalam. Kesemua kain itu dibuang dalam tong sampah kerana bukan mudah untuk membasuh pakaian di Mina kerana bilik air yang sedikit dan orang yang ramai bergilir-gilir untuk mandi dan berwuduk yang lebih prioriti. Mak sudah dalam keadaan fana. Mungkin itu sebabnya Mak tidak makan ubat sebab jika makan ubat yang diberikan, sudah pasti Mak akan ke bilik air untuk kencing sedangkan bilik air sangat terhad.

Pemeriksaan doktor mendapati panyakit darah tinggi Mak meningkat, begitu juga dengan kencing manisnya meningkat ke 12.8. Oleh kerana Mak sudah tak mampu untuk kencing sendirian, Doktor telah memasukkan tiub dalam kemaluan Mak untuk memudahkan air kencing keluar melalui tiub. Aku perhatikan Doktor agak sukar untuk membuat keputusan selanjutnya, dan ia terus menelefon rakannya dari Maktab lain. Rakannya datang untuk melihat Mak dan mereka sepakat untuk untuk bawa Mak ke hospital Muassim. Emak dan beberapa pesakit lain dibawa dengan ambulan pada pukul 5.00 petang. Aku terus balik ke khemah untuk solat asar.

Aku hanya mampu berdoa supaya Mak sembuh dengan segera dan juga berdoa supaya Lin terus sihat kerana Lin banyak membantu aku dalam menjaga Mak malah Lin menjaga Mak seperti menjaga emaknya sendiri.

Aku, Lin dan Mek bergerak dengan jemaah dari Maktab 89 menuju Jamrah pada pukul 8.30 malam. Pergerakan lancar walaupun perlahan kerana ramai lagi jamaah dari maktab-maktab lain juga bergerak pada masa yang sama. Kami sampai di Jamratul Aqabah pada pukul 10.15 malam. Lontaran agak mudah dibuat tidak bersesak-sesak, begitu juga Lin dan Mek agak mudah untuk mereka membuat lontaran. Setelah selesai aku membuat lontaran, aku ulangi lontaran bagi pihak Mak pula.

Dalam perjalanan balik, jemaah sudah berpecah mungkin kerana keletihan atau singgah untuk membeli belah. Aku, Lin dan Mek terus berjalan hinggalah ke Muassim. Aku bertanya kepada beberapa petugas Tabung Haji arah ke Hospital Muassim namum mereka pun tidak mengetahuinya. Kami terus berjalan ke Maktab 89 dan dalam perjalanan aku ternampak Mina Al Wadee Hospital. Aku terus ke situ untuk bertanya mengenai Mak. Aku bernasib baik kerana dapat bertemu dengan wanita Sudan yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Dengan bantuannya aku berjaya masuk hospital dan berjumpa dengan doktor. Aku dimaklumkan Mak tidak dimasukkan di hospital tersebut. Dalam hatiku berkata, kemana pula Mak dibawa? Aku memikirkan pelbagai perkara mengenai Mak sambil kami meneruskan perjalanan ke khemah dan sampai pukul 12.30 malam. Aku sangat letih dan terus tidur.


21 Januari 2005 Jumaat

Seperti biasa bangun pukul 5.00 pagi, bersihkan diri, solat-solat sunat dan subuh berjemaah. Selepas solat subuh aku terus minum pagi.

Selepas minum pagi aku dan Lin pergi ke pejabat Tabung Haji tetapi tiada petugas. Aku terus ke klinik Maktab 90 untuk bertanya kemana Mak di bawa. Aku dimaklumkan Mak telah di bawa ke Hospital Aziziah, Mekah. Pada masa yang sama aku terjumpa dengan petugas klinik Maktab 89 dan bertanya bagaimana aku dapat pergi ke hospital Aziziah kerana aku ingin berjumpa Mak dan tahlul awal untuk Mak dengan menggunting rambutnya. Aku dimaklumkan pihak Tabung Haji akan mengurus semua hal-hal haji bagi pesakit-pesakit yang masuk hospital Aziziah iaitu dari aktiviti melontar, tawaf dan saie. Pesakit hanya perlu membayar upah melalui potongan simpanan TH.
Di sinilah aku menunggu setiap hari untuk ke Hospital Aziziah untuk menziarah Mak namun hampa belaka kerana tiada ambulan yang bergerak ke sana

Aku tidak dapat melawat Mak kerana kenderaan awam untuk ke Mekah agak sukar diperolehi dari Mina. Aku kembali ke khemah dan bertawakkal kepada Allah mengenai kesihatan Mak. Moga-moga Mak sihat sebelum balik.

Selepas waktu asar aku pergi ke klinik Maktab 89 dan 90 untuk bertanya jika sama ada mereka akan ke Hospital Aziziah membawa pesakit. Jika ada, aku ingin tumpang namun tiada kes untuk di bawa ke Mekah. Pun begitu aku masih duduk di luar klinik sambil mengharap jika ada kes untuk ke Mekah. Aku tunggu sehingga waktu Maghrib namun tiada juga kes.

Aku terus balik ke khemah untuk solat maghrib/isyak dan makan malam. Malam ini kami dimaklumkan tiada aktiviti melontar kerana TH menasihatkan semua lontaran akan dihimpunkan sehingga malam esoknya. Aku merasakan badan tidak begitu sihat dengan batuk dan demam.


22 Januari 2005 Sabtu

Seperti biasa bangun pukul 4.30 pagi namun masih tiada peluang untuk mandi kerana orang terlalu ramai menunggu giliran. Malah aku terpaksa menahan kencing hingga selepas subuh. Solat subuh berjemaah dalam khemah dan seterusnya minum pagi. Selepas minum pagi, aku terus terlena kerana aku tidak begitu sihat. Selepas solat zohor, aku keluar di sekitar khemah, nampaknya ada tanda-tanda nak hujan. Tepat sekali ramalanku kerana tidak lama selepas itu, angin bertiup kencang menerbangkan habuk dan sampah. Hujan renyai yang turun tidak membasahi tanah. Tidak lama selepas itu, angin bertiup kencang dan tatkala kami solat asar berjamaah, hujan lebat turun mencurah-curah di bumi Mina. Sangat jarang perkara ini berlaku. Ramai jemaah yang hilang selipar kerana dihanyuti air. Aku bernasib baik kerana dapat menyelamatkan seliparku. Keadaan khemah agak riuh kerana ada bahagian-bahagian khemah yang bocor. Jemaah bertungkus lumus untuk membetulkan keadaan.

Kira-kira pukul 4.30 petang hujan mula reda dan ramai jemaah mencari selipar masing-masing. Ada beberapa khemah dimasuki air kerana tapak perkhemahan tiada sistem perparitan yang betul. Hujan lebat sebentar air mengalir mengikut kecerunan tanah.

Badan aku masih lagi lemah kerana demam dan batuk/selsema. Selepas solat isyak dan makan malam aku menelan sebiji panadol dan terus tidur.

Pukuk 9.00 malam TH membuat pengumuman bahawa aktiviti melontar yang sepatutnya dilakukan pada pukul 12.00 malam dibatalkan kerana kawasan jamrah dan jalan menujunya berlumpur. Berita tak rasmi yang aku dengari menyatakan ratusan jemaah mati di dalam terowong kerana banjir dan tiada bekalan elektrik yang berfungsi sebagai penyedut udara dalam terowong.

Kami dimaklumkan aktiviti melontar akan diadakan esok selepas solat subuh. Syukur Alhamdullillah kerana badan aku tidak begitu sihat untuk aktiviti melontar jika dilakukan malam itu. Aku terus tidur.


23 Januari 2005, Ahad

Aku kesejukan. Beberapa helai baju telah aku pakai dan selimut dengan kain ihram yang tebal namun masih lagi kesejukan. Pukul 3.00 pagi aku masih lagi demam. Aku terus sahaja bangun dan ke dapur maktab untuk mengambil air panas dan makan sebiji lagi panadol. Oleh kerana kesejukan aku memakai stokin pula, dan terus tidur. Pukul 5.00 pagi aku terasa lega sedikit dan bangun untuk solat subuh.

Pukul 6.30 pagi jemaah mula bergerak ke jamrah untuk lontaran hari ke 11, 12, dan 13 Zulhijjah. Dalam perjalanan ke jamrah aku perhatikan kesan banjir di Mina agak teruk sekali. Banyak maktab lain dinaiki air sehingga 3 kaki malah di suatu jalan di bawah jambatan aku nampak kesan air sehingga 10 kaki. Kelihatan pekerja-pekerja bertungkus lumus membersihkan kedai masing-masing.

Hari terakhir berada di Mina dan melontar ketiga-tiga jamrah untuk hari ke 11, 12 dan 13 Zulhijjah

Kami tiba di Jamrah lebih kurang pukul 8.30 pagi. Kebanyakan jemaah adalah dari Indonesia. Kami terus melontar Jamratul Ula, Wusta dan Aqabah untuk hari ke 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan mudah kerana jemaah tidaklah begitu ramai. Setelah selesai melontar untuk diriku, aku pergi melontar bagi pihak Mak. Kira-kira pukul 9.20 pagi selesai semua lontaran.

Kami bertiga beransur pulang ke khemah dan sampai pukul 11.00 pagi. Aku berkemas-kemas untuk pulang ke Mekah. Pukul 1.00 petang aku naik bas tetapi Lin dan Mek terpaksa naik bas lain walaupun aku bertegas kepada petugas supaya membenarkan naik bas sekali denganku namun permintaan aku tidak dilayan.

Dalam perjalanan pulang ke Mekah, aku perhatikan kesan banjir yang agak teruk. Banyak jalan yang rosak. Di Mekah kami terperangkap dengan kesesakan lalu lintas yang sangat teruk kerana dipenuhi dengan bas-bas yang membawa jemaah dari Mina.

Kami yang sepatutnya turun di hotel Cordoba terpaksa turun di hadapan hotel Sevilla. Akibat daripada itu, berlaku sedikit pertengkaran antara jemaah kerana ada yang memaksa pemandu untuk menurun kami di hotel Cordoba juga. Namun pemandu telah memaklumkan berjalan kaki lebih cepat daripada menaiki bas kerana jalan yang sesak begitu teruk sekali.

Aku turun dengan membawa 2 beg (1 lagi beg Mak) dan terus berjalan ke hotel Cordoba. Sampai hotel pukul 5.00 petang. Aku sangat keletihan namun terus mandi dan solat zohor/asar. Lin dan Mek tiba lewat sedikit dari aku dan mereka terpaksa berjalan lebih jauh daripada aku untuk sampai ke hotel. Mereka diturunkan di Bukit Marwah. Mungkin ini ujian Allah belaka.

Selepas solat maghrib, aku dan Lin pergi makan nasi briyani di restoran berhampiran dengan hotel dan sebungkus untuk Mek. Selepas makan kami terus pulang ke hotel.

Hatiku masih lagi tertanya-tanya perkhabaran Mak yang masih lagi berada di hospital sambil terus berdoa dan mengharapkan yang terbaik untuk Mak.


Inilah hospital Emak tinggal selama 8 hari (Emak keluar hospital pada 27 Januari 2005)