Tuesday 6 December 2011

Ahmedabad - Mumbai, India 2011



Log perjalanan Jitra - Mumbai – Ahmedabad ( 1 – 6 Disember 2011)
Membentang, menghadiri dan menjadi Pengerusi Sesi di
International Conference on Elevating Learning di Ahmedabad, India 3 – 4 Disember 2011

1.12.11. Khamis

6.00 pagi : Bertolak dari rumah dengan menaiki kereta pejabat ke Ipoh. Singgah di Pendang untuk mengambil Pengarah IABU yang ada urusan rasmi di Ipoh. Sampai Ipoh pukul 9.30 pagi dan terus ke stesen keretapi untuk beli tiket ke Kuala Lumpur. Dijadualkan keretapi akan bertolak pukul 11.15 pagi. Namun tepat pukul 11.15 pagi pengumuman dibuat bahawa perjalanan tergendala dan keretapi tidak boleh bertolak dalam masa yang terdekat. Terus menelefon Pengarah IABU untuk mohon bantuannya bagi mengguna kenderaan IAB menghantar sampai ke Tg. Malim. (Pengarah perlukan kereta itu pukul 2.00 ptg untuk membawanya ke Pulau Pinang). Sampai Tg Malim pukul 1.30 ptg dan Fathul (Angah) sudah menunggu untuk menghantar ke LCCT. Sebelum itu, aku telah menelefon Izan supaya dapat mengambil aku di Tg Malim namum beliau bekerja dan tidak dapat menghantar aku. Namun Izan telah menelefon Angah yang secara kebetulan bercuti untuk mengambil aku di Tg Malim. Angah terus menghantar aku ke LCCT dan kami sampai pukul 3.30 ptg. Aku menjemput makan tengahari di LCCT kerana aku sangat kelaparan ketika itu, namun Angah tidak dapat turut serta kerana tidak dapat mencari tempat letak kereta. Pukul 4.30 masuk dalam balai menunggu dan terbang pukul 6.00 petang ke Mumbai.

Hotel Taj, Mumbai - pukul 12.00 malam.








(Ini adalah kali ketiga aku terperangkap angkara keretapi dimana di waktu-waktu kritikal keretapi buat hal. Kali pertama semasa aku membentang kertas kerja di Pescara, Itali pada tahun 2005. Sepatutnya aku naik keretapi dari Rome ke Pescara namun sabaik sahaja sampai Roma Termini aku dimaklumkan pekerja keretapi mogok dan tiada perkhidmatan keretapi pada hari itu. Aku terpaksa kembali ke airport dan menaiki kapalterbang kerana kemungkinan juga tiket bas habis.

Kali kedua ialah ketika aku membentang kertas kerja di Lisbon, Portugal pada tahun 2006. Sepatutnya aku mesti berada di check-in counter KLIA paling lewat pukul 10.00 pagi. Aku menaiki keretapi dari Alor Setar pukul 7.00 mlm dan dijangka tiba di Kuala Lumpur Central pukul 5.30 pagi. Pukul 7.00 pagi keretapi masih lagi berada di Slim River dimana tempoh biasa sampai dari Slim River ialah 2 jam. Ketika itu aku sangat-sangat berharap tiada lagi kegendalaan antara Slim River ke KL Central dan akhirnya ia sampai pukul 9.15 pagi. Bergegas ke KLIA dengan menaiki ERL yang mengambil masa 28 minit)

Sampai Mumbai pukul 8.30 mlm (waktu India. Malaysia mendahului India 2 jam 30 minit). Ashok kawan abang Dr. Thiaga sudah menunggu kami dan terus di bawa ke restoran untuk makan malam. Perjalanan di Mumbai agak perlahan kerana trafik yang banyak. Selesai makan pukul 12.00 mlm, kami dibawa bersiar-siar di Mumbai termasuklah di hadapan Hotel Taj, yang terkenal dan pernah diserang oleh pengganas dalam tahun 2008. Kami juga dibawa melihat tempat kediaman orang terkaya India CEO Reliance Group. Pukul 2.30 pagi kami di bawa ke Stesen Keretapi Mumbai.


Bersama Mr. Ashok di Restoran Hanesh di Mumbai





Ashok melayan kami dengan baik sekali sehinggakan tiket keretapi yang dibelinya lebih awal tidak mahu diambilnya (700 rupee). Kami berehat di Bilik Menunggu VIP yang lengkap dengan sofa dan bilik air. Tidur di sofa saja sehingga pukul 5.00 pagi dan bersiap-siap untuk ke Ahmedabad.

2.12.11 Jumaat

6.00 pagi : Keretapi bertolak dari Mumbai ke Ahmedabad. Keretapi kelas 2 ini agak istimewa kerana disamping tempat duduk yang selesa, minuman dan makanan diberikan sebanyak 5 kali sebelum sampai ke Ahmedabad pada pukul 1.30 ptg. Wakil JK Konferen telah sedia menunggu kami namun oleh kerana kereta tiada ketika itu, kami terpaksa menaiki auto (rickshaw) ke tempat kediaman di Rifle Club, Khanpur. (Auto merupakan pengangkutan awam utama di Ahmedabad). Bilik yang diberikan amat selesa yang bertaraf hotel 3 bintang. Berehat sebentar sebelum berkemas-kemas untuk keluar membuat tinjauan dan makan malam. Kami keluar dengan menaiki auto ke jalan Ashram dan makan malam di ZK Restaurant (Kedai Muslim). Aku mencuba makan nasi Bryiani Hyderabad. Enak sekali rasanya tetapi tidak mampu menghabiskannya kerana terlalu banyak. Kembali ke Rifle Club dan bertemu dengan Conference Convener, Dr. Ajit Sinh Rana. Kami berbual panjang dan akhirnya kami telah dilantik menjadi “Session Chair” dalam konferens tersebut. Pukul 10.00 malam terus masuk bilik dan tidur selepas perjalanan yang memenatkan. (Perjalanan untuk sampai Ahmedabad dari Jitra = 31 jam termasuk waktu menunggu).

3.12.11 Sabtu

8.00 pagi : Kami di bawa ke Town Hall untuk upacara perasmian konferens yang dilakukan oleh Menteri Pendidikan Gujarat. Seramai lebih 500 orang hadir dalam upacara ini dan dihadiri ramai cendekiawan dari seluruh India dan antarabangsa. Acara perasmian agak keterlaluan sehingga mengambil masa 4 jam tanpa henti kerana terlalu banyak aktiviti dalam satu sesi yang sama. ( 9.00 pagi – 1.00 ptg). Duduk di pentas ialah Menteri Pelajaran Gujarat, Vice-Chancellor Ambhekar Open University, Swami, Keynote Speakers, dan beberapa orang lagi. Selain ucapan perasmian juga diselitkan dengan ucapan pembukaan plenary chair, diikuti keynote speaker, ucapan Vice-Chancellor, ucapan Swami, ucapan President ICT University, USA. Selepas siri ucapan acara pemberian mementos kepada ramai orang. Apa yang mengejutkan aku ialah aku juga dipanggil ke pentas untuk menerima memento dari Menteri Pelajaran. Aku sendiri tidak mengetahui atas dasar apa aku dijemput naik ke pentas.

Makan tengahari disediakan tetapi aku hanya makan roti nan saja. Pukul 2.00 petang kami di bawa ke JG College of Education untuk pendaftaran dan Sidang Plenary 1 dan diikuti dengan sidang selari 1.
Pukul 6.30 petang pulang ke Rifle Club. Agak kelaparan malam ini dan terus makan mee maggi dua bungkus.

4.12.11 Ahad

8.00 pagi. Wakil penganjur datang menjemput dan terus ke JG College of Education. Peserta dijamu dengan sarapan pagi tetapi aku hanya minum saja kerana tiada selera untuk makan. 9.00 pagi bermula dengan Sidang Plenary 3 dan diikuti dengan Sidang Selari yang dijadualkan pada pukul 10.30 pagi. Namun begitu sidang selari hanya bermula pukul 11.00 pagi kerana Sidang Plenary termakan masa. Aku menjadi pengerusi salah satu sesi sidang ini dan seramai 5 orang peserta termasuk aku sendiri membentang kertas kerja. Lima peserta itu ialah 2 dari Malaysia, 2 dari India dan 1 Mexico.


Bersama pembentang dari Mexico, Sri Lanka, Bangladesh & Malaysia dalam sesi yang saya pengerusikan






12.30 pm : Makan tengahari di luar iaitu di Punjabi Restaurant. 1.30 kembali pula ke JG College of Education untuk Valedictory Session.
Pukul 4.30 petang bersama peserta lain melawat Museum Mahatma Ghandi. Disinilah tempat lahirnya Mahatma Ghandi dan dibesarkan. Rumahnya masih dipelihara dengan baik dan di sekitarnya dijadikan seperti perkampungan. Pengunjung boleh melihat perkembangan sejarah hidup Ghandi hinggalah ia mati dibunuh di Delhi.
6.00 ptg pulang ke Rifle Club dengan auto dan dinner dengan makan roti nan.
8.00 mlm : Menghantar Dr. Thiaga ke Stesen Bas untuk pulang ke Mumbai pada pukul 9.15 malam. Dr. Rana sudah menunggu kami di sana dan terus membawa kami ke restoran (spt Secret Recipe Restaurant). Makan cake dan cappucino. 9.30 pulang ke Rifle Club bersama dengan Dr. Rana.

5.12.11 Isnin

Menunggu Dr. Rana di Rifle Club. Sepatutnya beliau tiba pukul 10.30 pagi tetapi lewat hingga pukul 12.15 th kerana terpaksa melayan tetamu yang lain. Dr. Rana membawa kami (aku dan seorang peserta dari Bangladesh) ke Bazaar Ratankul untuk membeli saree. Sememangnya kawasan ini menjadi orang-orang Ahmedabad untuk membeli saree kerana harganya yang berpatutan. Kami terus di bawa ke kedai saudaranya dimana isterinya selalu membeli saree. Aku tidak menyangka selepas selesai membuat pilihan, beliau terus membayar saree untuk isteriku, manakala selebihnya aku yang bayar. Sudah pastilah saree untuk isteriku yang paling mahal dan dia pula yang membayarnya sebagai hadiah dari isterinya. Setelah selesai membeli beberapa saree dan baju, kami di bawa ke ZK Restaurant dan makan nasi briyani lagi berlaukan kambing.



Bersama Dr. Rana di kedai saree





Selesai makan kami dibawa terus ke rumahnya untuk berehat dan bertemu keluarganya. Isteri Dr. Rana juga seorang pensyarah universiti, anak sulung sedang belajar di universiti manakala yang kedua berada di Tingkatan 4 (Grade 11). Dr. Rana berkahwin ketika berumur 22 thn manakala isterinya berusia 19 thn. Ia merupakan perkahwinan yang telah diatur oleh kedua-dua keluarga semenjak usia Dr. Rana 15 thn.
Pada pukul 5.00 ptg kami dibawa ke Ambekhar Open University dan aku sempat berbincang panjang dengan Pendaftar. Universiti ini ditubuh untuk memberi peluang untuk mereka yang berada di pedalaman dan miskin. Yurannya amat rendah. Menariknya, universiti ini menyediakan 3 bas makmal komputer yang digunakan untuk ke kawasan pedalaman bagi meningkatkan literasi komputer bagi penduduk pedalaman termasuk pelajar-pelajarnya membuat pencarian maklumat.
Pukul 6.30 ptg kami pulang semula ke bandar dan sampai di stesen bas Paldi. Oleh kerana masa masih banyak lagi aku telah dibawa lagi ke restoran. Cuma minum cappucino sahaja. (Peserta Bangladesh telah pulang ke stesen keretapi dengan auto). Aku berbincang panjang dengan Dr. Rana berkaitan dengan hal-hal profesional. Beliau sangat berminat dengan projek penyelidikan kolaboratif yang aku mulakan dengan Kazakhstan, Qatar, Afrika Selatan, Thailand, Jepun dan Maldive. Beliau mohon untuk India dimasukkan juga dan beliau ingin menjadi penerajunya. Beliau juga mohon aku menghantar artikel untuk dimuatkan dalam jurnal berwasitnya. Beliau juga berjanji akan membantu aku untuk mengenalpasti keynote speaker untuk 3rd RCELAM 2013. IAB tidak perlu memberi apa-apa bayaran kecuali tempat tinggal dan perjalanan di Malaysia sahaja.
Pukul 9.15 malam aku menaiki bas untuk ke Mumbai (Neeta Express, tambang 1000 rupee). Agak terharu juga meninggalkan Ahmedabad terutamanya Dr. Rana yang banyak membantu aku semasa di sana.

6.12.11 Selasa

6.30 pagi tiba di perhentian Andheri, Mumbai. Ramai juga pengusaha auto menunggu di sini untuk mengambil kesempatan di waktu pagi. Aku bertanyakan tambang ke lapangan terbang yang jaraknya tidaklah jauh sangat tetapi dikenakan bayaran 250 rupee. Aku menolaknya. Akhirnya auto yang menghantar penumpang ke Andheri dan beliau didapati jujur kerana hanya mengenakan tambang mengikut meter. Aku sampai ke airport pukul 7.00 pagi dengan tambang hanya 50 rupee. Perancangan awalnya ialah aku ingin meninggalkan beg di airport dan melawat Mumbai. Namun airport tidak menyediakan perkhidmatan simpan beg, dan aku dinasihatkan supaya tidak ke Mumbai hari ini kerana ada festival yang disambut dengan besar-besaran. Ramai orang dari luar bandar dan luar Mumbai datang untuk menyaksi festival ini dan selalunya jalan akan mengalami kesesakan yang teruk. Dalam keadaan biasa pun, menaiki teksi dari airpori ke Mumbai mengambil masa 2 jam inikan pula waktu keraian. Aku membatalkan hasrat tersebut dan terus berada di airport.
Keadaan airport Mumbai agak kotor dan berhabuk kerana projek pembesaran sedang giat dilakukan. Aku hanya duduk di tempat menunggu yang dikenakan bayaran masuk sebanyak 60 rupee. Tempat ini agak selesa juga kerana ia ada aircond dan orang pun tak ramai kerana sesiapa yang hendak masuk dikenakan bayaran. Tetapi tempat ini tiada perkhidmatan wifi. Inilah masa aku mencatat peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan aku dari Jitra-Mumbai-Ahmedabad. Makan tengahari cuma dengan cappucino dengan cake chocolate fantasy (160 rupee).
Kawalan keselamatan di airport ini sangat ketat dengan kehadiran ramai polis dan tentera di setiap penjuru. Kereta perisai tentera juga ada disitu 24 jam. Semua teksi masuk juga diperiksa dengan rapi.
6.05 ptg masuk waktu maghrib, aku terus solat. Selepas solat terus masuk untuk proses check-in. Pemeriksaan sangat rapi dari mula-mula nak masuk lagi. Walaupun aku sudah membuat web check-in, namun terpaksa juga pergi ke check-in counter untuk pengesahan dan pemeriksaan cabin bag. Didapati cabin aku melebihi berat yang dibenarkan iaitu 7 kg. (Berat beg aku 11kg). Aku diminta untuk membuat baggage check-in dan ini tentulah mengakibatkan kos. Aku merayu supaya beg itu dibenarkan bawa masuk secara hand-carry. Selepas beberapa minit aku dibenarkan – Alhamdullillah tiada tambahan bayaran. Pemeriksaan polis sebelum masuk balai berlepas lagi ketat.
Pada pukul 10.00 mlm kapalterbang berlepas dari Mumbai menuju Kuala Lumpur dan selamat mendarat pada pukul 5.30 pagi (waktu Malaysia).