Wednesday 1 July 2015

Pengarah IPGKTB

Hari pertama 'clock-in' di IPGK Tuanku Bainun, Pulau Pinang

1 Julai 2015 merupakan hari pertama aku menjawat jawatan sebagai Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang. Aku telah sampai ke kampus pada pukul 7.40 pagi selepas kira-kira 1jam 30 minit memandu dari rumahku di Jitra. Setibanya aku di tempat kereta khas, aku telah disambut oleh Pegawai Perhubungan, Tn. Hj. Aminuddin serta rakannya. Kami berbual seketika dan terus masuk untuk membuat 'clock-in' pertama di IPGKTB. Sedia menanti di tempat 'clock-in' ialah En. Saat Abbas, Timbalan Pengarah dan beberapa orang pensyarah dan staf pelaksana.

Pada pukul 8.15 pagi En. Saat Abbas telah memberi taklimat kepada aku mengenai IPGKTB di dalam bilik Pengarah. Aku telah dapat gambaran secara umum berkaitan dengan IPGKTB.

Pukul 10.30 pagi aku menghadiri sesi taklimat kumpulan pengurusan IPGKTB yang terdiri daripada semua Ketua Jabatan dan Ketua Unit. Banyak perkara baru yang aku pelajari dalam sesi serba ringkas ini walaupun ia mengambil masa 2 jam 30 minit.

Pukul 2.30 petang, aku telah menghimpunkan Ketua Unit Khidmat Pentadbiran bersama Penolong Eksekutif Kanan, Ketua Pembantu Tadbir, Pembantu Akauntan, EO Asrama bagi mendengar taklimat berkaitan dengan hal-hal pentadbiran dan kewangan. Sesi ini berlangsung kira-kira 2 jam. Setelah mendengar semua taklimat, aku merasa yakin aku telah memulakan langkah yang betul bagi memikul amanah yang berat ini.


2 Julai 2015

Sebelah pagi aku banyak membaca dokumen-dokumen berkaitan IPGKTB termasuklah Perancangan Strategik IPGM, Akta 174, Peraturan Pelajar dan sebagainya bagi memahami intipati pengurusan IPG. Pada pukul 10.00 pagi aku telah dibawa ke bilik pentadbiran untuk berjumpa staf pelaksana yang menguruskan hal-hal pentadbiran dan kewangan IPGKTB. Setelah selesai, saya dibawa ke Unit Peperiksaan dan Penilaian untuk diberi taklimat berkaitan dengan pengurusan peperiksaan dan penilaian.

Pukul 2.30 ptg aku telah menghimpunkan semua pensyarah bagi sesi pengenalan bersama Pengarah. Aku telah memperkenalkan diri dan sedikit latar belakangku dari aspek keluarga dan pendidikan. Disamping itu, aku juga telah menceritakan berkaitan kerjayaku dari mula menjadi guru hinggalah aku menjawat jawatan Pengarah.

Setelah itu, aku telah menyampaikan harapanku mengenai IPGKTB. Aku telah menghuraikan visi dan misi IPGM dengan panjang lebar dan perkaitannya dengan kecemerlangan pendidikan negara. Aku mengharapkan dengan suntikan semangat itu, aku akan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua pensyarah bagi memastikan kelangsungan IPGKTB.


3 Julai 2015, Jumaat

8.15 – 10.00 pagi . berbincang dengan Tn. Hj. Khalid, Pengarah IPG4P dan En. Saat berkaitan isu semasa IPG – INTERNSHIP

10.00 – 12.00  : Pertemuan dengan semua staf pelaksana. Ini merupakan suatu proses pengenalan diri kepada semua staf pelaksana. Disamping itu, aku telah menegaskan pentingnya bekerjasama dalam bekerja, dan nilai-nilai yang harus dipegang dan diamalkan seperti berintegriti, amanah, jujur dan sebagainya.

1.00– 2.00 : Sembahyang Jumaat di Surau IPGKTB. Surau ini diberi pengiktirafan oleh pihak berkuasa agama Islam Pulau Pinang untuk mengadakan sembahyang jumaat. Murid-murid yang tinggal di asrama SMK Kubang Semang yang berjiran dengan IPGKTB juga bersembahnya di sini. Hari ini, jemaah bertuah sembahyang diimamkan oleh Sheikh Ammar Al Halaq ibn Walid, berbangsa Syria tetapi menetap di Istanbul, Turki akibat dari kancah politik di negaranya.

2.30 – Terima tetamu, Sheikh Ammar AlHalaq ibn Walid, Imam terawih masjid Qatar. Beliau orang Syrian dan sekarang menjadi pelarian di Istanbul Turki. Berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang University Damascus dan Ijazah Al Quran

2.45 – Wacana Ilmu disampaikan oleh Sheikh Ammar Al Halaq



6 Julai 2015 Isnin

Seperti biasa, mendapat taklimat pagi bersama Timbalan Pengarah berkaitan perjalanan IPGKTB. Selepas itu dikunjungi beberapa orang pensyarah bagi menjelaskan beberapa isu dan aktiviti yang akan dijalankan.

Kira-kira pukul 10.00 pagi, saya bersama Tn. Hj. Aminuddin telah melawat beberapa jabatan dan unit bagi membiasakan diri dengan struktur IPG. Antara tempat-tempat yang dilawati termasuklah JAPIM, Unit Bahasa Cina dan India, Makmal Bahasa, Jab. Pengajian Melayu, Unit HEP, Jab. Matematik dan beberapa kelas.

Pada 2.45 ke DAB bagi acara Sambutan Hari Guru peringkat IPGKTB. Semua Pensyarah dan murid diwajibkan hadir. Dewan penuh dengan pelajar dan pensyarah. Selepas perutusan KPPM dan Menteri Pendidikan dibaca, saya diminta untuk memberi ucapan tanpa sebarang teks yang disediakan.  Oleh kerana itu aku hanya mengolah tema hari guru dan perkaitannya dengan visi dan misi IPG, disamping membawa unsur-unsur globalisasi dan perbandingan pendidikan di pelbagai negara.
Menerima cenderamata dari Penyelaras Hari Guru Peringkat Kampus



Selesai sahaja sambutan hari guru, semua pelajar semester 8 diminta untuk terus kekal di dewan kerana ada taklimat akhir berkaitan perubahan jadual waktu semester akhir. Sekali lagi aku diminta berucap untuk pelajar tahun akhir ini. Disini aku telah memberi kata-kata perangsang kepada mereka supaya mereka akan terus dengan momentum keguruannya apabila keluar dari IPG nanti.


7 JULAI 2015 Selasa

CUTI UMUM bagi Pulau Pinang


8 JULAI 2015 Rabu

2.30 PTG;  Mesyuarat JK Akademik.


9 julai 2015 Khamis

8.00 pagi ; Perbincangan dengan Peg. Pembangunan, En. Najib berkaitan dengan permohonan peruntukan penambahbaikan sistem perpaipan seluruh kampus termasuk asrama pelajar. En. Shahril turut serta bagi melancarkan perancangan dan persediaan kertas permohonan tersebut. Perbincangan ini juga telah menyentuh perkara seperti sebut harga dan kontraktor. Aku menegaskan kepada mereka bahawa walaupun kita mempunyai kontraktor yang boleh dan senang dirundingi bagi mendapat perkhidmatan yang terbaik namun kita mesti akur dengan segala peraturan kewangan sedia ada.

9.00 pagi ; Aku bersama En. Najib dan En. Shahril telah meninjau beberapa lokasi seperti stor, Unit LDP, asrama, tangki air, tangki septik, kuarters staf, kawasan perkhemahan. Aku telah diberi gambaran berkaitan dengan situasi terkini berkaitan dengan pelbagai perkara terutamanya sistem perpaipan yang sudah melebihi tempoh ketahanan paip. Seterusnya kami meninjau 'rumah tetamu' untuk meneliti keadaannya.

2.30 ptg ; Mempengerusi Mesyuarat Penyelidikan IPGKTB. Mesyuarat ini tertumpu kepada persediaan penganjuran Seminar Penyelidikan anjuran IPGM dan IPGK Zon Utara yang akan diadakan di Kampus Tuanku Bainun.


9 Julai 2015 Jumaat

8.00 pagi

2.30 petang ; Mesyuarat MQA-ISO. Pengisian mesyuarat lebih tertumpu kepada persediaan untuk menerima kunjungan panel dari MQA bagi mengaudit Program PPG bagi mata pelajaran Bahasa Tamil dan Pendidikan Seni Visual. Panel MQA akan berkunjung ke IPGKTB pada 24 dan 25 Julai 2015.


12 Julai 2015 Isnin

Pagi : Perbincangan awal berkaitan dengan perbicaraan pelajar bersama JHEP. Perbicaraan akan berlangsung pada 13 Julai 2015. Jika sabit kesalahan pelajar ini akan dihukum gantung pengajiannya atau lain-lain dendaan yang difikirkan sesuai.

Menghadiri Mesyuarat Unit Peperiksaan dan Penilaian. Hanya hadir seketika bagi mendapat gambaran perjalanan dan fungsi UPP sambil berkenalan dengan ahli-ahli UPP. Perbincangan menjurus kepada peranan UPP dalam persediaan audit MQA pada 24 - 25 Julai 2015.


13 Julai 2015 Selasa

9.00 pagi : Menjadi hakim dalam perbicaraan Akta 174 bagi seorang pelajar PPG yang didapati bermasalah disiplin. Hukuman yang dijatuhkan ialah pelajar ini dibuang/ditamatkan pengajiannya.
Prosiding sedang berlangsung

Sedang meneliti pertuduhan

11.00 pagi : Menghadiri Mesyuarat Jabatan Ilmu Pendidikan. Tujuan utama hadir mesyuarat ini ialah untuk berkenal-kenalan dengan semua pensyarah JIP.

2.30 ptg : Mesyuarat Persediaan Audit Dalam ISO

3.30 ptg : Merasmikan Majlis Khatam Quran di Pusat Islam, IPGKTB


14 Julai 2015 Rabu

9.00 pagi : Majlis Salam Aidifitri dan Kempen Keselamatan Jalan Raya. Tradisi IPGKTB mengadakan majlis Salam Aidilfitri di mana selepas beberapa ucapan maka semua pensyarah berbaris dan para pelajar beratur dan bersalam-salaman dengan pensyarah. Sebaik sahaja acara ini selesai, suatu demo berkaitan dengan kempen keselamatan jalan raya telah dijalankan di sebelah DAB. Pengarah JKJR Pulau Pinang bersama ahli rombongannya telah memberi cenderamata kepada beberapa kenderaan yang dipilih yang melintasi mereka.




11.00 pagi : Mesyuarat Pengurusan Aset

12.00 th : Mesyuarat Kewangan


15 - 21 Julai 2015 : Cuti Rehat dan Hari Raya Aidilfitri

22 Julai 2015 ; Rabu

Hari ini aku banyak membaca berkaitan dengan IPG - sejarah, falsafah, visi, misi dan sebagainya.


23 Julai 2015 Khamis

8.30 - 1.00 Mesyuarat M3P. Ini adalah mesyuarat pengurusan tertinggi bagi IPGK Tuanku Bainun. Banyak perkara yang dibincangkan termasuklah persediaan audit oleh MQA yang akan berlangsung pada 24 - 25 Julai 2015.

3.00 ptg ; Melawat unit Pendidikan Seni Visual. Unit ini terletak terasing dari bangunan lain di hujung padang. Bangunan ini agak usang dan sering diserang anai-anai dan tikus. Aku telah mendengar keluhan Ketua Jabatan Sains Sosial dimana Unit PSV ini bernaung dengan tenang.


24 Julai 2015 Jumaat

8.30 pagi : Menerima kunjungan rombongan MQA untuk membuat penilaian terhadap program PPG. Empat orang penilai MQA dari UUM (Prof. Madya Dr. Mohd Hasani Dali), USM (Dr. Jasni Dolah), UPSI (Dr. Samikanu) dan Wawasan Open University (Dr. Liew Teik Kooi) bersama 2 orang pegawai dari MQA akan membuat audit sehingga esok (hari Sabtu). 4 orang pegawai dari IPGM juga turut serta untuk membantu proses pengauditan berjalan lancar.

Bersama Ketua Penilai MQA, Prof. Madya Dr. Mohd. Hasani Dali, UUM dan Timbalan Pengarah IPGKTB

Sebahagian dari Pemerhati dari 7 kampus IPGK sedang mendengar taklimat Pengarah IPGKTB


25 Julai 2015 Sabtu

Hari ini merupakan hari kedua pasukan panel penilai MQA membuat penilaian program-program IPGKTB. Pada masa yang sama aku juga telah meninjau beberapa kelas Program Pensiswazahan Guru (PPG). Aku sempat bertemu bual dengan beberapa orang guru yang sedang mengikuti PPG ini dalam pelbagai bidang penjurusan antara lainnya ialah Sains, Muzik dan Prasekolah. Apa yang membimbangkan aku ialah berkaitan dengan kualiti guru-guru Sains sekolah rendah ini.
Mesyuarat Penutup Audit MQA - 

Bersama auditor MQA, Dr. Jasni USM, Prof. Madya Dr. Hasani UUM, Dr. Samukanu UPSI, Dr. Liew Wawasan Open University, dan pegawai-pegawai dari IPGM dan MQA


Pada pukul 12.45 tengahari, Mesyuarat Penutupan Audit MQA berlangsung. Pihak MQA telah melaporkan ringkasan dapatan audit dan berjanji akan menghantar laporan penuh dalam masa yang terdekat. Bagi menutup Mesyuarat ini, aku telah mengalu-alukan kehadiran MQA ke IPGKTB kerana ini akan memberi peluang kepada IPGKTB bagi melakukan penambahbaikan. Pada masa yang sama aku telah menenkankan peri pentingnya kalangan pensyarah meningkatkan profesionalisme mereka secara berterusan bagi mendepani cabaran-cabaran masa kin dan hadapan.

27 - 30 Julai 2015

Mesyuarat Pengurusan IPGM/IPGK
Hotel Silka, Kuala Lumpur

31 Julai 2015

Pukul 8.30 pagi aku telah memanggil Timbalan Pengarah, PEK, PE, KUKP dan Penolong Akauntan ke bilik Pengarah untuk menyampaikan maklumat hasil daripada mesyuarat di KL. Dalam sesi taklimat ini, aku telah menekankan kepada pengurusan kewangan yang telus dan berhemah. Disamping itu, aku mengingatkan kepada semua kepada pentingnya merujuk pekeliling dalam membuat sebarang keputusan.

Pada pukul 11.00 pagi, kelab staf akademik telah menganjurkan jamuan hari raya peringkat kampus. Jamuan ini amat meriah kerana ia melibatkan semua pelajar dalam mengurus dan mengendalikan majlis.

Pukul 3.00 petang aku telah memanggil semua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar ke Bilik Mesyuarat untuk sesi pengenalan dengan Pengarah. Dalam sesi ini aku telah banyak memberi inspirasi kepada kepimpinan JPP ini betapa pentingnya untuk menjadi pemimpin disamping menjadi guru yang cemerlang. Aku juga telah menerangkan serba sedikit mengenai kerjaya guru disamping mengharapkan mereka bersyukur dengan situasi sekarang di mana guru mempunyai kelebihan dari aspek kerjaya.


28 Mac 2017 Isnin

Hari ini ada perbicaraan Akta 174 bagi seorang pelajar berkaitan dengan pelanggaran disiplinnya. Kira-kira pukul 8.45 pagi aku telah dikunjungi seorang tetamu yang memperkenalkan dirinya sebagai bapa kepada pelajar tersebut. Perbicaraan hanya akan bermula pada pukul 9.00 pagi.

Dalam pertemuan ini, aku dapat merasakan beliau sangat kecewa dengan anaknya namun pada masa yang sama cuba mempertahankan kesalahan anaknya dengan mengemukakan beberapa alasan yang menunjukkan kelemahan IPGKTB. Dengan cara ini mungkin hukuman ke atasnya akan dapat dikurangkan. Kehadiran beliau berjumpa dengan aku bukannya untuk membuat rayuan namun lebih kepada mencari kesilapan IPGKTB. Ketika kami masih berbincang, En. Saat, Timbalan Pengarah juga masuk bilik aku untuk berbincang dengan waris berkenaan.

Keadaan agak tegang apabila waris sudah mula meninggikan suara dan mengugut kami berdua dengan ungkapan-ungkapan "I can pull you down", saya baik dengan orang-orang atasan, I boleh buat you tak tidur malam, dan lain-lain lagi sekiranya hukuman yang diambil ke atas anaknya. Encik Saat dengan tegasnya berkata 'biarkan kami menjalankan tugas kami, selepas itu Encik Anuar boleh buat apa yang En. Anuar nak buat". Oleh kerana jam sudah pun pukul 9.00 pagi, kami terus ke bilik perbicaraan.

Semasa perbicaraan, aku membenarkan waris masuk sebagai pemerhati untuk mendengar sendiri proses perbicaraan dijalankan. Setelah pertuduhan dibacakan, tertuduh telah mengaku bersalah. Pihak juri telah berbincang hampir 45 minit untuk menentukan hukuman yang patut dikenakan. Akhirnya, juri sebulat suara menjatuhkan hukuman pembuangan/penamatan pengajian pelajar tersebut. Pelajar diberi masa 14 hari daripada hari ini (28 Mac 2017) untuk membuat rayuan atas hukuman tersebut.


31 MAC 2017 JUMAAT

Pukul 7.30 pagi, pemandu telah sampai Rumah Pengarah untuk mengambil aku untuk pergi menghadiri mesyuarat di USM. Mesyuarat yang dihadiri oleh semua Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Malaysia, Dato' Sri Zainal Rahim. Dato' Sri adalah anak kelahiran Felda Sg Behrang dan dia merupakan senior aku setahun semasa di SMJK Slim River dan SMBA Tapah. Di Tapah, kami sama-sama tinggal di asrama.

Intipati ucapan beliau banyak berkisar untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dalam melaksanakan program-program atau dasar-dasar kerajaan. Malah tahun 2017 telah diisytiharkan sebagai 'Tahun Penyampaian' (delivery year) bagi perkhidmatan awam. Dengan itu beliau menegaskan semua penjawat awam mestilah kreatif dan inovatif dalam meningkatkan kecekapan penyampaian.

Dalam itu, beliau juga menyentuh beberapa pekeliling perkhidmatan iaitu, Exit Policy, Fast Track dan Subject Matter Expert dan perkaitannya dengan kecekapan perkhidmatan awam. Bagi mereka yang dikenalpasti mempunyai kualiti kepimpinan dan kecekapan tinggi akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat melalui fast track tanpa mengira kekananan. Manakala mereka yang didapati pakar dalam bidang-bidang tertentu juga boleh dinaikkan gred dengan segera secara KUP berasaskan kepada kepakaran mereka, juga tanpa mengira kekananan. Bagi low performer pula, mereka akan ditunjukkan jalan keluar atau dibersarakan lebih awal dengan dasar Exit Policy.


6 April 2017 Selasa

Program hari ini adalah di SMK Permatang Tok Labu, Penaga, Pulau Pinang. Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah luar bandar. Aku telah dijemput oleh pihak sekolah untuk melancarkan program buku READ dan NILAM. Aku sampai sekolah pukul 8.20 pagi dan terus disambut oleh Pengetua dan barisan kepimpinan sekolah. Tuan Pengetua telah memberi sedikit taklimat sebelum kami terus ke Dewan sekolah.

Ucapan pelancaran aku lebih tertumpu kepada memberi motivasi kepada guru-guru dan pelajar disamping menyampaikan ucapan tahniah kepada pengetua kerana selama setahun lebih beliau berada di sekolah ini, ia telah dapat melonjak GPS sekolah dari 6.3 kepada 4.8, daripada kedua terakhir di Pulau Pinang kepada kedudukan 80. Tidak lupa aku juga mengucapkan tahniah kepada guru-guru yang komited demi kelangsungan kejayaan sekolah.

Antara lain ucapan aku ialah supaya sekolah dapat memikirkan bagaimana menghasilkan sekolah berwatak. Program READ (read, enjoy and discover) telah dapat mengubah minda pelajar sekolah tersebut daripada fobia bahasa Inggeris kepada seronok menguasainya. Aku juga memberi rangsangan supaya sekolah ini menjadikan penguasaan bahasa Inggeris sebagai watak sekolah itu.


7 April 2017 Rabu

Pukul 8.00 pagi sudah berada di padang IPGKTB kerana ada program Kejohanan Merentas Desa peringkat kampus. Sebelum permulaan perlumbaan, aku bersama-sama pensyarah, staf dan pelajar mengikuti senam robik yang dikendalikan oleh pelajar. Sememangnya kejohanan merentas desa ini juga dirancang, dikelola dan dilaksanakan oleh pelajar-pelajar sendiri. Ini merupakan sebahagian daripada latihan perguruan mereka.

Pukul 8.40 pagi, aku melepaskan perlumbaan merentas desa ini yang jaraknya lebih kurang 8km merentasi kebun ubi bersempadan dengan ladang kelapa sawit. Di suatu padang juga, diadakan acara memanah bagi mereka yang ingin mencubanya. Acara ini hanyalah untuk pendedahan kepada semua staf dan pelajar yang ingin mencuba memanah.

Pukul 11.00 pagi, aku sekali lagi ke padang kerana ada acara penutupan dan penyampaian hadiah kejohanan merentas desa. Kejohanan merentas desa ini dapat dijalankan hasil usaha pelajar dan nasihat pensyarah walaupun tidak ada sebarang diturunkan daripada IPGM. Semua hadiah adalah hasil sumbangan pensyarah dan individu-individu tertentu.

Pada pukul 2.15 petang aku di jemput ke Dewan Aminuddin Baki untuk membuat perasmian penutupan Mahrajan Sanawi Sekolah Menengah Daerah Seberang Perai Tengah. Seramai lebih kurang 500 orang pelajar berserta guru hadir dalam majlis ini. Ucapan penutupanku menyentuh kepada keseimbangan penguasaan ilmu dunia dan akhirat. Disampinng kita ingin mencungkil pelajar yang hebat dalam bidang pengajian agama, kita juga perlukan kepada modal insan yang menguasai ilmu keduniaan seperti sains, matematik, kejuruteraan, perubatan, teknologi. Aku menyentuh kegemilangan tamadun Islam terdahulu dimana mereka adalah pintar dalam agama dan cemerlang dalam ilmu keduniaan.