Sunday 14 May 2017

Paris : 18 & 23 Julai 2006



Tepat 10.00 (18 Julai 2016) pagi aku mendarat di lapangan terbang Charles de Gaulle, Paris dengan pesawat Sri Lankan Air. Sahabatku dari India, Sandoche, yang aku kenali semasa di Pescara Itali telah sedia menungguku. Sandoche adalah seorang pelajar Ph.D. menerima biasiswa dari Kerajaan Perancis. 

Eiffel Tower : Bangunan ikonik Perancis dengan ketinggian 307 meter merupakan tarikan pelancong yang berkunjung ke Paris. 
Sandoche terus membelikan aku one-day-pass di mana aku boleh menggunakan pass itu untuk menaiki tren dan bas semasa di Paris. Kami terus sahaja ke apartment Sandoche di Universiti tempat dia belajar. Aku terus mandi dan membersihkan badan dan terus keluar berjalan-jalan di Paris. Sandoche tidak dapat menyertaiku kerana beliau sedang membuat persiapan peperiksaan PhD yang berlangsung keesokannya.


Dengan bantuan peta di tangan aku terus sahaja meneroka Paris dan kebanyakan perjalananku adalah menggunakan tren. Sudah pastilah Eiffel Tower dan kawasan sekitarnya menjadi tumpuanku. Cuaca begitu panas di Paris ketika ini. Setelah penat meneroka Paris aku balik ke apartment Sandoche sebelah malam. Setelah berbual seketika aku terus tidur sedangkan beliau terus menelaah buku.
Notre Dame Cathedral - menerima seramai 13 juta pengunjung setiap tahun. Dibina pada 1163 dan siap sepenuhnya pada tahun 1250. Gereja Katholik paling aktif di Perancis.




Aku tinggal di Residen ini bersama kawanku dari India, Sandoche, yang aku kenali semasa bersama-sama membentang kertas kerja di Pescara Itali. Beliau sedang belajar peringkat Ph.D. di universiti ini.


Keesokannya aku berkemas untuk ke lapangan terbang semula untuk meneruskan perjalananku ke Lisbon Portugal untuk menghadiri dan membentang kertas kerja di 13th ICAM Conference. Aku pergi bersendirian kali ini kerana tidak mahu mengganggu masa kawanku Sandoche.


Sekembalinya aku dari Lisbon pada 22 Julai 2006, aku singgah lagi di Paris tetapi kali ini aku menginap di Hotel Etap Accor yang berhampiran dengan lapangan terbang. Aku menaiki perkhidmatan bas percuma dari lapangan terbang ke hotel. Setelah membuat daftar masuk, aku sekali lagi meneroka Paris secara bersendirian.


Keretapi dua tingkat di Paris
Menaiki keretapi dua tingkat sememangnya menyeronokkan dan aku dapati di sini penumpang bebas membawa basikal bersama dalam keretapi. Sememangnya keretapi dua tingkat diperlukan di Paris kerana orang ramai lebih suka menggunakannya kerana mudah dan cepat.

Suatu ketika aku sengaja menaiki keretapi dari hujung ke hujung stesen untuk melihat pemandangan dalam bandar dan di pinggir bandar Paris. Sempat juga aku melihat pemandangan indah keretapi menyusur sungai dan di sebelahnya kawasan perkampungan di atas bukit.





Sememangnya Paris adalah syurga membeli belah bagi mereka yang gemar shopping. Terdapat banyak jalan dan lorong yang menjual barangan dari yang murah hinggalah yang berjenama. Aku berkesempatan meninjau kedai menjual minyak wangi yang menjual pelbagai jenama dan reka bentuk bekasnya. Pengunjung boleh mencuba mana-mana minyak wangi tanpa sebarang sekatan.


Aku menginap di sini sekembalinya aku dari Lisbon untuk satu malam




Saturday 13 May 2017

Itali : 27 - 30 Julai 2005

International Conference on Internet, Processing, System, Interdisciplinary Research (IPSI),
Pescara, Italy

Kira pukul 6.00 pagi (26/7/17) kapalterbang mendarat di lapangan terbang antarabangsa Rome. Setelah selesai proses pemeriksaan imigresen aku terus keluar untuk mengambil tren ke Roma Termini, pusat pengangkutan awam terbesar Rome. Aku bercadang untuk menaiki keretapi dari Rome ke Pescara yang jaraknya lebih kurang 250 km. Setelah sampai ke Roma Termini aku terus ke kaunter menjual tiket keretapi namun apa yang mengejutkan aku ialah hari itu tiada perkhidmatan keretapi di Itali kerana semua pekerja mereka mogok. Aku terfikir pulu untuk menaiki bas namun sudah pasti kehabisan tiket kerana orang ramai akan memilih bas sebagai alternatif.
Bersama pembentang dari USA, Republik Czech, India dan New Zealand
Aku terus menaiki tren ke lapangan terbang semula untuk meninjau kalau-kalau ada kapalterbang ke Pescara. Terdapat dua penerbangan iaitu pukul 11.00 pagi dan 5.00 petang, dan jam ketika itu hampir pukul 10.00 pagi. Aku terus ke kaunter check-in Alitalia untuk bertanyakan sama ada boleh lagi aku membeli tiket pukul 11.00 pagi. Sememangnya terdapat lagi kekosongan namun kaunter jualan tiket tidak ada di lapangan terbang tetapi di Rome. Beliau menasihatkan aku untuk membelinya melalui telefon. 

Aku terus ke tempat telefon awam dan dengan menggunakan credit card bagi menelefon pejabat airline tersebut kerana aku masih lagi tiada duit syiling. Aku menggunakan credit card untuk membeli tiket tersebut dan mengambil nombor tempahannya. Selepas itu aku terus ke kaunter check-in dan membuat daftar masuk namun aku tidak boleh check-in bagasi kerana telah tutup. Oleh itu aku terpaksa membawa beg besar itu bersekali denganku. 

Aku terus bergegas ke pintu keselamatan kerana masa dah suntuk untuk penerbangan. Setibanya aku di pintu keselamatan aku dikenakan pemeriksaan menyeluruh dengan membuka kasut dan stokin, dan membuka beg pakaianku. Di dalam beg aku sememangnya ada pisau Swiss dan pihak sekuriti terus mengambil pisau itu dan membuangnya dalam bakul sampah. Ketika itu jugalah nama aku telah dipanggil berkali-kali untuk masuk kapalterbang. Gementar ketika itu kerana takut tertinggal kapalterbang. 

Setelah siap pemeriksaan aku berlari ke pintu pelepasan dan terus masuk kapalterbang, dan sememangnya mereka hanya menunggu aku. Sebaik sahaja aku masuk, pintu kapalterbang terus ditutup.

Membentang kertas kerja bertajuk, The influence of headmasters’ self-efficacy and emotional intelligence toward teachers’ collective efficacy and school climate

Tiba di Pescara lebih kurang pukul 12.30 hari. Aku terus mengambil teksi untuk ke hotel yang telah aku tempah melalui expedia.com. Setelah daftar masuk aku keluar berjalan-jalan di bandar Pescara meninjau untuk membuat perancangan seterusnya. Pescara adalah sebuah pekan kecil di tepi pantai. Di belakang hotelku, terdapat pantai sejauh mata memandang penuh dengan pengunjung kerana Itali ketika ini sedang bercuti panjang musim panas. 

Venue Konferen di Loreto Aprutino
Loreto Aprutino
Relaks di hotel
Di hadapan hotelku terletak stesen bas dan keretapi yang jaraknya lebih kurang 80 meter sahaja. Aku akan ke hotel konferen yang terletak lebih kurang 30 km dari Pescara iaitu di Loreto Aprutino dengan menaiki bas mulai esok. Loreto Aprutino terletak di atas bukit dan jalan ke sana berliku-liku dengan kiri kanannya penuh dengan tanaman pokok zaiton.

Setiap pagi aku naik bas untuk ke Loreto Aprutino dan sebelah petangnya balik semula ke Pescara. Konferens ini bermula pukul 9.00 pagi dan habis 2.30 petang setiap hari. Aku ada banyak masa untuk meninjau Loreto Aprutino dan Pescara. Orang-orang di sini agak mesra namun oleh kerana halangan bahasa menjadikan perbualan tidak begitu panjang dan mendalam. Pemerhatianku orang-orang Loreto Aprutino ini kuat pegangan agamanya terutama orang-orang yang tua. Setiap kali mereka melintasi gereja mereka akan berdoa. Itulah yang aku perhatikan semasa aku dalam bas berulang alik Pescara - Loreto Aprutino.

Bergambar bersama tentera Itali di Rome


Pada 31 Julai 2015 pagi, aku bertolak balik ke Rome dengan menaiki bas. Perjalanan amat menarik sekali dengan pemandangan ladang zaiton dan gandum yang merentasi dari Timur ke Barat Itali. Aku tiba di Rome sebelah petang dan terus menaiki metro untuk ke Roma Termini. Aku tinggalkan bagasi di sini sementara aku berjalan-jalan mencari hotel yang sesuai dengan bajetku. Setelah dapat aku kembali semula ke Termini dan terus membuat daftar masuk hotel.

Aku keluar sekali lagi untuk mencari makanan halal. Dari jauh aku nampak restoran Bangladesh yang menjual pelbagai hidangan termasuk nasi biriyani. Alhamdullillah sudah hampir seminggu tidak makan nasi kerana di Pescara aku hanya makan maggi, roti,  biskut, serunding dan buah-buahan sahaja. Sepinggan nasi biriyani sekejap sahaja habis dimakan.


Sehari di Rom menggunakan 'hop-on hop-off' bus

Aku mengambil peluang ini untuk terus melancong Bandar Rome sehari suntuk melawat tempat menarik dan bersejarah. Alhamdullillah dapat juga aku melihat tempat-tempat yang dulunya aku hanya dapat membaca melalui buku sahaja.
Pusat pengangkutan awam Rome

Di Roma Termini untuk menaiki tren ke lapangan terbang Rome

Tuesday 2 May 2017

Nagoya - Tokyo. 9 -13 April 2017

9 April 2017 Ahad

Pukul 8.00 malam aku sudah berada di KLIA2 bagi mengurus 22 orang ahli MSEAM membuat lawatan profesional ke Jepun. Aku terus ke kaunter penerangan Airasia untuk mendapat penjelasan berkaitan dengan cas lebihan berat beg yang dikenakan kepada 6 orang peserta. Hampir 1 jam aku berbincang kerana staf mereka pun tidak dapat memberi penjelasan yang tepat. Akhirnya mereka mendapat jawapan namun aku memaklumkan kepada mereka sistem online mereka mestilah dikemaskini supaya pelanggan tidak terkeliru dan merasa tertipu.

Peserta delegasi tiba berperingkat-peringkat dan aku mohon mereka terus membuat check-in sambil aku menunggu penumpang lain. Kapalterbang lewat 40 minit dan akan berlepas pada pukul 2.30 pagi. Setelah semua selesai daftar masuk aku terus kedai makan untuk makan.

Minum pagi di Kansai Airport


Kami tiba di Kansai pukul 10.00 pagi selepas lebih kurang 7 jam penerbangan. Setelah selesai proses imigresen dan lain-lain, aku terus ke restoran untuk sarapan pagi. First impression, kebersihan restoran dan lain-lain bahagian lapangan terbang amat mengujakan. Di restoran pelanggan disediakan kain kecil untuk mengelap dan membersih selepas selesai makan. Pinggan dan lain-lain perlu dihantar ke tempat yang disediakan selepas selesai makan.


Setelah selesai minum pagi kami terus ke stesen keretapi untuk ke Osaka. Setibanya ke Osaka kami naik keretapi laju  'shinkanzen' pula untuk ke Nagoya. Tiba di Nogoya kira-kira pukul 3.30 petang. Dari Nagoya Station kami menaiki teksi ke hotel untuk check-in dan terus ke Universiti Nagoya menaiki teksi yang sama.


Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Bajunid, Prof. Dr. Nishino dan Prof. Dr. Mina

Bersama Profesor Sekolah Siswazah Pendidikan, University Nagoya

Setibanya kami di Universiti Nagoya, pensyarah-pensyarah Sekolah Siswazah Pendidikan telah sedia menanti kami walaupun kami terlewat sedikit kerana kelewatan ketibaan kapalterbang. Kami telah diberi taklimat oleh Prof. Nishino dan Prof. Mina berkaitan dengan maklumat universiti. Menariknya kedua-dua profesor ini boleh bertutur bahasa Indonesia dengan baik kerana mereka pernah tinggal di sana bagi menjalankan kajian mereka. Hebatnya universiti ini sehinggakan 6 orang pensyarah mereka adalah pemenang Hadiah Nobel dalam bidang Fizik, Kimia dan Kejuruteraan. Ditanya bagaimana mereka boleh berjaya sedemikian rupa sedangkan kebanyakan buku-buku rujukan ilmiah terdapat dalam bahasa Inggeris, mereka menjawab hampir semua buku ilmiah di dunia telah diterjemahkan dalam bahasa Jepun.





Sakura sedang kembang di Nagoya University


Setelah selesai sesi bersama Nagoya University, kami ke Osu Kannon dengan menaiki tren bawah tanah. Di sini merupakan tempat membeli belah terutamanya untuk pelancong. Lebih kurang dua jam di sini, kami balik ke hotel dengan menaiki teksi.

Peta Nagoya University


11 April 2017 Selasa

Kira-kira pukul 9.00 pagi kami bergerak ke Hara Junor High School dengan menaiki teksi. Setibanya kami di sekolah, kami disambut oleh Pengetua dan Penolong Kanannya. Kami diminta untuk membuka kasut masing-masing dan menyimpannya dalam 'pigeon hole' yang dikhaskan dan memakai selipar yang disediakan. Kami terus dibawa ke bilik taklimat untuk mendengar taklimat dari Pengetua sekolah.


Pelajar Tingkatan 1 Hara Junior High School

 Taklimat disampaikan dalam bahasa Jepun dan kami dapat memahaminya kerana pemandu kami boleh berbahasa Jepun dengan baik. Dapat disimpulkan bahawa sekolah ini sangat mementingkan akademik dan pembentukan akhlak yang mulia terutamanya mengamalkan nilai-nilai kebersihan dan hormat menghormati. Kebetulan pada hari ini merupakan hari pemilihan kelab dan permainan bagi pelajar-pelajar Tahun 1 dan kami di bawa terus ke dewan untuk melihat sendiri bagaimana pelajar-pelajar memilih untuk menjadi ahli kelab dan permainan.

Principal of Hara Junior High School

Sebelum pelajar-pelajar membuat pemilihan, mereka dipersembahkan secara live pelbagai kelab dan permainan oleh pelajar-pelajar senior. Antara yang dipamerkan termasuklah seni mempertahankan diri Bushido, bolesepak, baseball, bola keranjang, dan lain-lain lagi. Selepas selesai pertunjukan itu, barulah pelajar Tingkatan 1 ini memilih kelab dan permainan yang diminatinya.

Selepas selesai di sekolah ini, kami kembali ke hotel dengan teksi untuk mengambil beg dan terus ke stesen bas Nagoya untuk menaiki bas ekspres ke Tokyo yang berlepas pada pukul 4.45 petang. Dalam perjalanan kami sempat singgah di dua tempat perhentian untuk rehat. Amat mengkagumkan akan kebersihan tandas R&R mereka, jauh lebih bersih dari R&R Plus. Kami tiba di Tokyo kira-kira pukul 10.00 malam dan terus menaiki teksi ke hotel Mystay Asakusa.


12 April 2017 Rabu

Hari ini kami sehari melawat Mt. Fuji dan tempat-tempat dalam perjalannya dengan menyewa sebuah bas berserta dengan pemandu pelancong. Kami bertolak 8.00 pagi dan dalam perjalanan menikmati pemandangan indah kawasan luar bandar dan perkampungan sebelum tiba di kaki Mt. Fuji. Mt. Fuji merupakan gunung tertinggi di Jepun dengan ketinggian 12,388 kaki (3776 meter). Puncaknya sentiasa disaluti dengan salji.


Mt. Fuji dari dalam bas

 Kami bernasib baik hari ini kerana Mt. Fuji tidak dilindungi awan seperti biasa dan dari jauh sudah kelihatan white cap Mt. Fuji. Kami sibuk mengambil gambar dari dalam bas sahaja. Pemandangan indah berlatar belakangkan perkampungan dan dibelakangi dengan Mt. Fuji sangat indah sekali.



 Walaupun kami nampak jelas dari kejauhan keindahan Mt. Fuji, namun kami tidak bernasib baik pada hari ini kerana bas hanya boleh sampai First Step sahaja. Ini disebabkan sehari sebelum itu, salji turun lebat maka jalan naik sehingga Fifth Step ditutup. Oleh itu pendakian gunung Fuji hanya berakhir di sini sahaja.


Dalam perjalanan turun kami dimaklumkan oleh pemandu pelancong di suatu kawasan yang boleh kedengaran 'Suara Tuhan' mengikut kepercayaan orang Jepun. Dari segi saintifiknya, ia cuma bunyi 'gema' sahaja kerana kawasan bergunung ganang semamangnya terdapat bunyi gema dari pelbagai sumber.



Di First Step berlatar belakangkan Puncak Gunung Fuji

Tasik Ashi di kaki Gunung Fuji - Kawah gunung berapi yang meletus kira-kira 5000 tahun dahulu


Kami sempat singgah di dua tempat sebelum terus ke Tokyo iaitu Hot Spring Resort (Onsen) dan pusat membeli belah yang besar Gotemba Premium Outlets. Onsen merupakan tempat orang-orang Jepun berendam dalam air panas dengan tidak memakai sebarang pakaian pun. Sambil duduk dalam tempat yang dikhaskan, mereka boleh pemandangan ke arah puncak Gunung Fuji. Tidak ada seorangpun dari kami yang ingin mencuba Onsen ini. Kami hanya duduk dan rehat sahaja sambil menikmati minuman yang disediakan secara percuma.

Gotemba Premium Outlets menyediakan pelbagai barangan daripada harga yang murah hinggalah tinggi. Kebanyakan barangan di sini merupakan barangan import yang dijual dengan harga yang berpatutan bagi orang Jepun.

Setibanya di Tokyo kami terus ke Restoran Ramen yang terletak di Asakusa berhampiran dengan Shinsoji Temple untuk makan malam. Restoran ini sangat kecil yang hanya boleh memuatkan lebih kurang 30 orang sahaja. Setelah selesai makan malam, ramai dalam kalangan kami mengambil teksi untuk balik ke hotel namun aku dan beberapa orang lagi memilih untuk berjalan kaki sahaja kerana jaraknya bukanlah jauh sangat di samping itu kami dapat menikmati suasana Shinsoji Temple di waktu malam.


13 April 2017 Khamis

Sebelah pagi semua peserta delegasi bebas untuk melawat dan akan berkumpul semula di hotel pada pukul 2.30 petang untuk ke Kedutaan Malaysia di Jepun.  Pada pagi ini, aku dan Dr. Kamaruzaman membuat keputusan untuk ke Sumida Park dan Senso Ji Temple dan persekitarannya yang merupakan pusat pelancongan untuk membeli belah.


Sumida Park, Asakusa


 Kami berjalan kaki sahaja dari hotel, untuk menikmati suasana dingin dan terus menuju ke Sumida Park untuk menikmati bunga Sakura yang sedang berkembang di persisiran sungai Sumida.


Sensoji Temple - Temple yang tertua di Tokyo yang dibuka pada tahun 645 selepas masehi
Kawasan Sensoji Temple nampak tenang ketika kami sampai. Namun ketika kami nak balik semula ke hotel kawasan ini penuh sesak dengan pelancong. Yang menariknya ramai juga murid-murid sekolah yang datang ke sini untuk memenuhi sebahagian daripada kurikulum mereka berkaitan dengan alam sekitar dan sejarah.

Mercu tanda Asakusa

 Pukul 2.30 petang kami bertolak ke Kedutaan untuk membuat kunjung hormat. Disini kami telah diberi taklimat oleh Pegawai Kedutaan berkaitan peranan kedutaan termasuklah mengenai pendidikan tinggi Jepun. Setelah selesai di sini kami bertolak ke Lapangan Terbang Haneda dengan menaiki teksi untuk berlepas pulang ke Malaysia pada pukul 11.45 malam.

Di Kedutaan Malaysia. Duduk dari kiri : Dr. Sazali, Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Bajunid, En. Mohd Ishrin (First Secretary), Dr. Shaari,  Mr. Abdul Ghani Selbi (First Secretary -HRD)