Tuesday 2 May 2017

Nagoya - Tokyo. 9 -13 April 2017

9 April 2017 Ahad

Pukul 8.00 malam aku sudah berada di KLIA2 bagi mengurus 22 orang ahli MSEAM membuat lawatan profesional ke Jepun. Aku terus ke kaunter penerangan Airasia untuk mendapat penjelasan berkaitan dengan cas lebihan berat beg yang dikenakan kepada 6 orang peserta. Hampir 1 jam aku berbincang kerana staf mereka pun tidak dapat memberi penjelasan yang tepat. Akhirnya mereka mendapat jawapan namun aku memaklumkan kepada mereka sistem online mereka mestilah dikemaskini supaya pelanggan tidak terkeliru dan merasa tertipu.

Peserta delegasi tiba berperingkat-peringkat dan aku mohon mereka terus membuat check-in sambil aku menunggu penumpang lain. Kapalterbang lewat 40 minit dan akan berlepas pada pukul 2.30 pagi. Setelah semua selesai daftar masuk aku terus kedai makan untuk makan.

Minum pagi di Kansai Airport


Kami tiba di Kansai pukul 10.00 pagi selepas lebih kurang 7 jam penerbangan. Setelah selesai proses imigresen dan lain-lain, aku terus ke restoran untuk sarapan pagi. First impression, kebersihan restoran dan lain-lain bahagian lapangan terbang amat mengujakan. Di restoran pelanggan disediakan kain kecil untuk mengelap dan membersih selepas selesai makan. Pinggan dan lain-lain perlu dihantar ke tempat yang disediakan selepas selesai makan.


Setelah selesai minum pagi kami terus ke stesen keretapi untuk ke Osaka. Setibanya ke Osaka kami naik keretapi laju  'shinkanzen' pula untuk ke Nagoya. Tiba di Nogoya kira-kira pukul 3.30 petang. Dari Nagoya Station kami menaiki teksi ke hotel untuk check-in dan terus ke Universiti Nagoya menaiki teksi yang sama.


Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Bajunid, Prof. Dr. Nishino dan Prof. Dr. Mina

Bersama Profesor Sekolah Siswazah Pendidikan, University Nagoya

Setibanya kami di Universiti Nagoya, pensyarah-pensyarah Sekolah Siswazah Pendidikan telah sedia menanti kami walaupun kami terlewat sedikit kerana kelewatan ketibaan kapalterbang. Kami telah diberi taklimat oleh Prof. Nishino dan Prof. Mina berkaitan dengan maklumat universiti. Menariknya kedua-dua profesor ini boleh bertutur bahasa Indonesia dengan baik kerana mereka pernah tinggal di sana bagi menjalankan kajian mereka. Hebatnya universiti ini sehinggakan 6 orang pensyarah mereka adalah pemenang Hadiah Nobel dalam bidang Fizik, Kimia dan Kejuruteraan. Ditanya bagaimana mereka boleh berjaya sedemikian rupa sedangkan kebanyakan buku-buku rujukan ilmiah terdapat dalam bahasa Inggeris, mereka menjawab hampir semua buku ilmiah di dunia telah diterjemahkan dalam bahasa Jepun.





Sakura sedang kembang di Nagoya University


Setelah selesai sesi bersama Nagoya University, kami ke Osu Kannon dengan menaiki tren bawah tanah. Di sini merupakan tempat membeli belah terutamanya untuk pelancong. Lebih kurang dua jam di sini, kami balik ke hotel dengan menaiki teksi.

Peta Nagoya University


11 April 2017 Selasa

Kira-kira pukul 9.00 pagi kami bergerak ke Hara Junor High School dengan menaiki teksi. Setibanya kami di sekolah, kami disambut oleh Pengetua dan Penolong Kanannya. Kami diminta untuk membuka kasut masing-masing dan menyimpannya dalam 'pigeon hole' yang dikhaskan dan memakai selipar yang disediakan. Kami terus dibawa ke bilik taklimat untuk mendengar taklimat dari Pengetua sekolah.


Pelajar Tingkatan 1 Hara Junior High School

 Taklimat disampaikan dalam bahasa Jepun dan kami dapat memahaminya kerana pemandu kami boleh berbahasa Jepun dengan baik. Dapat disimpulkan bahawa sekolah ini sangat mementingkan akademik dan pembentukan akhlak yang mulia terutamanya mengamalkan nilai-nilai kebersihan dan hormat menghormati. Kebetulan pada hari ini merupakan hari pemilihan kelab dan permainan bagi pelajar-pelajar Tahun 1 dan kami di bawa terus ke dewan untuk melihat sendiri bagaimana pelajar-pelajar memilih untuk menjadi ahli kelab dan permainan.

Principal of Hara Junior High School

Sebelum pelajar-pelajar membuat pemilihan, mereka dipersembahkan secara live pelbagai kelab dan permainan oleh pelajar-pelajar senior. Antara yang dipamerkan termasuklah seni mempertahankan diri Bushido, bolesepak, baseball, bola keranjang, dan lain-lain lagi. Selepas selesai pertunjukan itu, barulah pelajar Tingkatan 1 ini memilih kelab dan permainan yang diminatinya.

Selepas selesai di sekolah ini, kami kembali ke hotel dengan teksi untuk mengambil beg dan terus ke stesen bas Nagoya untuk menaiki bas ekspres ke Tokyo yang berlepas pada pukul 4.45 petang. Dalam perjalanan kami sempat singgah di dua tempat perhentian untuk rehat. Amat mengkagumkan akan kebersihan tandas R&R mereka, jauh lebih bersih dari R&R Plus. Kami tiba di Tokyo kira-kira pukul 10.00 malam dan terus menaiki teksi ke hotel Mystay Asakusa.


12 April 2017 Rabu

Hari ini kami sehari melawat Mt. Fuji dan tempat-tempat dalam perjalannya dengan menyewa sebuah bas berserta dengan pemandu pelancong. Kami bertolak 8.00 pagi dan dalam perjalanan menikmati pemandangan indah kawasan luar bandar dan perkampungan sebelum tiba di kaki Mt. Fuji. Mt. Fuji merupakan gunung tertinggi di Jepun dengan ketinggian 12,388 kaki (3776 meter). Puncaknya sentiasa disaluti dengan salji.


Mt. Fuji dari dalam bas

 Kami bernasib baik hari ini kerana Mt. Fuji tidak dilindungi awan seperti biasa dan dari jauh sudah kelihatan white cap Mt. Fuji. Kami sibuk mengambil gambar dari dalam bas sahaja. Pemandangan indah berlatar belakangkan perkampungan dan dibelakangi dengan Mt. Fuji sangat indah sekali.



 Walaupun kami nampak jelas dari kejauhan keindahan Mt. Fuji, namun kami tidak bernasib baik pada hari ini kerana bas hanya boleh sampai First Step sahaja. Ini disebabkan sehari sebelum itu, salji turun lebat maka jalan naik sehingga Fifth Step ditutup. Oleh itu pendakian gunung Fuji hanya berakhir di sini sahaja.


Dalam perjalanan turun kami dimaklumkan oleh pemandu pelancong di suatu kawasan yang boleh kedengaran 'Suara Tuhan' mengikut kepercayaan orang Jepun. Dari segi saintifiknya, ia cuma bunyi 'gema' sahaja kerana kawasan bergunung ganang semamangnya terdapat bunyi gema dari pelbagai sumber.



Di First Step berlatar belakangkan Puncak Gunung Fuji

Tasik Ashi di kaki Gunung Fuji - Kawah gunung berapi yang meletus kira-kira 5000 tahun dahulu


Kami sempat singgah di dua tempat sebelum terus ke Tokyo iaitu Hot Spring Resort (Onsen) dan pusat membeli belah yang besar Gotemba Premium Outlets. Onsen merupakan tempat orang-orang Jepun berendam dalam air panas dengan tidak memakai sebarang pakaian pun. Sambil duduk dalam tempat yang dikhaskan, mereka boleh pemandangan ke arah puncak Gunung Fuji. Tidak ada seorangpun dari kami yang ingin mencuba Onsen ini. Kami hanya duduk dan rehat sahaja sambil menikmati minuman yang disediakan secara percuma.

Gotemba Premium Outlets menyediakan pelbagai barangan daripada harga yang murah hinggalah tinggi. Kebanyakan barangan di sini merupakan barangan import yang dijual dengan harga yang berpatutan bagi orang Jepun.

Setibanya di Tokyo kami terus ke Restoran Ramen yang terletak di Asakusa berhampiran dengan Shinsoji Temple untuk makan malam. Restoran ini sangat kecil yang hanya boleh memuatkan lebih kurang 30 orang sahaja. Setelah selesai makan malam, ramai dalam kalangan kami mengambil teksi untuk balik ke hotel namun aku dan beberapa orang lagi memilih untuk berjalan kaki sahaja kerana jaraknya bukanlah jauh sangat di samping itu kami dapat menikmati suasana Shinsoji Temple di waktu malam.


13 April 2017 Khamis

Sebelah pagi semua peserta delegasi bebas untuk melawat dan akan berkumpul semula di hotel pada pukul 2.30 petang untuk ke Kedutaan Malaysia di Jepun.  Pada pagi ini, aku dan Dr. Kamaruzaman membuat keputusan untuk ke Sumida Park dan Senso Ji Temple dan persekitarannya yang merupakan pusat pelancongan untuk membeli belah.


Sumida Park, Asakusa


 Kami berjalan kaki sahaja dari hotel, untuk menikmati suasana dingin dan terus menuju ke Sumida Park untuk menikmati bunga Sakura yang sedang berkembang di persisiran sungai Sumida.


Sensoji Temple - Temple yang tertua di Tokyo yang dibuka pada tahun 645 selepas masehi
Kawasan Sensoji Temple nampak tenang ketika kami sampai. Namun ketika kami nak balik semula ke hotel kawasan ini penuh sesak dengan pelancong. Yang menariknya ramai juga murid-murid sekolah yang datang ke sini untuk memenuhi sebahagian daripada kurikulum mereka berkaitan dengan alam sekitar dan sejarah.

Mercu tanda Asakusa

 Pukul 2.30 petang kami bertolak ke Kedutaan untuk membuat kunjung hormat. Disini kami telah diberi taklimat oleh Pegawai Kedutaan berkaitan peranan kedutaan termasuklah mengenai pendidikan tinggi Jepun. Setelah selesai di sini kami bertolak ke Lapangan Terbang Haneda dengan menaiki teksi untuk berlepas pulang ke Malaysia pada pukul 11.45 malam.

Di Kedutaan Malaysia. Duduk dari kiri : Dr. Sazali, Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Bajunid, En. Mohd Ishrin (First Secretary), Dr. Shaari,  Mr. Abdul Ghani Selbi (First Secretary -HRD)





No comments:

Post a Comment