Wednesday 4 May 2022

Hari Raya Aidilfitri 2022

2 Mei 2022 Isnin
Kg Balun, Slim River, Perak




Takbir raya selepas solat subuh di rumah pusaka oleh Jemaah Masjid Balun





1 Mei 2022 (Kota Damansara)
Ketika selesai mengerjakan solat sunat selepas maghrib, Aiman telah memberitahuku bahawa hari raya jatuh pada hari Isnin dan bukan hari Selasa seperti pengiraan falak. Lalu aku menyuruhnya untuk berkemas dan kita akan balik kampung selepas solat Isya. Berita yang mengejutkan ini membuat ramai orang tidak bersedia untuk berhari raya kerana ramai menyangka hari raya akan jatuh pada hari Selasa. Keadaan trafik agak banyak namun pemanduan kami berjalan lancar.


Inilah rumah aku dilahirkan dan dibesarkan,
114, Kg Balun, Slim River, Perak


Sesungguhnya kami telah merancang untuk berhari raya di Balun pada tahun ini. Abangku dan anak-anaknya telahpun berada di kampung beberapa hari sebelum hari raya kerana membersih rumah dan kawasannya. Begitu juga dua orang anakku, Syafiqah dan Atiqah, telah berada di kampung membantu abangku dalam membuat persediaan menyambut hari raya. Hanya aku dan Aiman sahaja berada di KD bagi menyelesaikan tugas-tugasku.

Kira-kira 11.00 malam kami sampai di Balun. Aku dapat melihat betapa sibuknya semua orang menyediakan makanan untuk esok. Ada yang menyediakan persiapan membakar lemang, masak ayam, rendang dan sebagainya. Proses membakar lemang begitu panjang hingga ke subuh yang dilakukan Andak, Uda dan Aiman.


Anak-anakKu : Atiqah, aku, Aiman & Syafiqah


Aku mengambil kesempatan untuk solat subuh di masjid pada hari ini. Kira-kira sebulan sebelum ini aku telah merancang bersama Imam Masjid, Cikgu Asid, untuk membawa jamaah masjid bertakbir raya di rumah ini selepas solat subuh. Sememangnya Cikgu Asid amat bersetuju kerana rumah ini secara tradisinya menjadi destinasi takbir raya selepas solat subuh semenjak dari Arwah Atuk aku (Imam Adam) lagi. 

Namun semenjak pulangnya emak (Hjh Busu) menemui Penciptanya pada tahun 2005, rumah ini sudah tidak dihuni lagi. Kami adik beradik pun tidak balik ke kampung untuk berhari raya kerana masing-masing beraya di rumah sendiri atau di rumah mertua. Maka tinggallah rumah ini bersendirian sunyi sepi selama lebih 17 tahun.

Kami cuma tiga adik beradik saja:
Aku, Izan (adik) and Azmi (Abang)


Terasa meremang bulu roma apabila takbir berkumandang di rumah ini. Di subuh yang hening ini aku teringat kesah-kesah semenjak aku kecil lagi bagaimana hari raya disambut di kampung. Takbir raya dan ziarah rumah ke rumah merupakan tradisi jamaah masjid bermula selepas solat subuh. Syukur Alhamdullillah, selepas lebih 17 tahun takbir berkumandang semula di rumah ini.



Kira-kira pukul 7.15 pagi aku telah pergi ke Tanah Perkuburan Sempa untuk ziarah dan doa untuk arwah emak, ayah, atuk, opah dan isteriku yang telah meninggal dunia 7 bulan 10 hari yang lalu.  Sesungguhnya kami anak-anak bersetuju untuk menyimpannya di sini walaupun kami lebih lama tinggal di Jitra. Setelah selesai bacaan yassin, tahlil dan doa untuk Lin dan emak, ayah, atuk, opah dan seluruh keluarga, aku bergegas balik untuk solat raya. Terasa syahdu sangat kerana inilah kali pertama aku tidak bersama Lin dalam menyambut hari raya yang berkah ini. Semoga roh lin dan seluruh ahli keluarga yang telah pergi aman damai di sini.


Di sinilah Lin disemadikan pada 22 Sept 2021

Kembali ke Masjid untuk solat sunat aidil fitri. Seperti biasa masjid penuh sesak dengan kembalinya para perantau. Oleh kerana aku sampai awal, maka aku berpeluang untuk berada di saf pertama, Alhamdullillah. Selepas solat, aku menyertai jamaah masjid untuk menziarahi beberapa buah rumah lagi untuk doa dan makan dengan pelbagai juadah raya. Peristiwa ini mengimbau kembali ketika aku tinggal di kampung suatu ketika dulu dengan menziarahi rumah ke rumah sehinggalah petang dengan berhenti ketika untuk solat raya dan zohor sahaja. Namun kebanyakan jamaah dulu sudah pun tiada. Kadang kala aku terasa seperti orang asing kerana ramai yang aku tidak kenali.

Inilah rumah aku dilahir dan dibesarkan sehinggalah aku berumur 35 tahun apabila aku berpindah ke Ipoh pada 1 Feb. 1993.
Di sinilah aku membesar bersama Atuk (Imam Adam bin Hj. Mustafa meninggal - 1974), Opah (Hjh. Shamsiah bt. Bagus meninggal - 1984), Ayah (Mat Yusup bin Jasip meninggal - 1983), Emak (Hjh. Busu bt Adam meninggal - 2005), serta abang dan adikku

1 comment:

  1. Alhamdulillah....dapat mengimbau kembali masa yang telah berlalu...

    ReplyDelete