Sunday, 14 September 2025

Taiwan 9 - 12 Ogos 2025

 9 Ogos 2025 (Sabtu)


Hari yang dinanti-nantikan tiba! Aku bersama dua anakku, Syafiqah dan Atiqah, berlepas dari KLIA1 pukul 8.00 pagi menaiki Batik Air menuju Taipei. Penuh semangat!

Pukul 1.00 petang, kami mendarat di Taipei. Cuaca cerah menyambut kami. Kami terus menaiki keretapi menuju Taipei Central Station – pengalaman pertama anak-anak naik kereta api di sini. 

Kami berjalan kaki dari Taipei Central Station ke Hotel Hatago + Alley di Hankou St. Wanhua. Hotelnya comel dan suasana jalanan sangat autentik.

Petangnya, kami menjelajah dengan berjalan kaki ke Restoran Halal Chang Beef untuk makan malam. Kami teruja mencuba beef noodle yang terkenal di sini – kuahnya pekat dan dagingnya lembut!


10 Ogos 2025 (Ahad)

Awal pagi ini, kami check-out dari hotel dan menaiki Uber (dengan bayaran 140 NT) ke Caesar Park Hotel yang lebih strategik berhampiran Taipei Central Station.




Pukul 8.00 pagi, kami memulakan hari dengan menaiki keretapi dan bas ke Wulai. Perjalanan menakjubkan! Air terjun Wulai yang mempersona dan perkampungan tradisional orang asli Atayal membuatkan kami kagum. Kami tidak sempat menaiki kereta kabel Wulai untuk melihat pemandangan dari atas.  Berjalan kaki ke atas kami menempuh banyak warong yang menjual pelbagai makanan terutamanya makanan tradisional seperti bamboo rice dan mochi panas 


Wulai Waterfall


Pukul 12.00 tengah hari, kami balik ke Taipei dengan bas (perjalanan selama 2 jam). Lalu, kami menaiki Uber ke Warong Mat Tik Ximending untuk menjamu selera. Rasa makanan Melayu di sini membuatkan kami terasa seperti di rumah – pedas dan menyelerakan!

Pukul 4.00 petang, kami check-in di Caesar Park Hotel untuk berehat.


11 Ogos 2025 (Isnin)

Hari ini, kami bangun awal untuk pergi ke Alishan! Menaiki keretapi laju ke Chiayi, kemudian bersambung dengan bas ke Alishan National Forest Recreation Park.

Pemandangan hutan, pokok-pokok purba, dan udara segar membuatkan kami terpesona. Kami menaiki Alishan Forest Railway yang ikonik – melalui laluan berliku dengan pemandangan gunung yang mempersona. Kami juga berjalan di laluan Sacred Tree Trail dan melihat pokok merah cypress berusia ribuan tahun. Sayangnya, kami tidak sempat melihat matahari terbit di Zhushan, tetapi pemandangan kabut pagi yang menyelubungi hutan tetap mengujakan!

Kami menghabiskan hampir 4 jam meneroka keindahan alam ini.

Pukul 8.00 malam, kami tiba kembali di Taipei setelah penat tetapi puas.


12 Ogos 2025 (Selasa)

Malangnya, aku berasa tidak sihat hari ini. Jadi, aku berehat di hotel manakala Syafiqah dan Atiqah terus bersiar-siar sekitar Taipei. Mereka berkunjung ke Menara Taipei (Taipei Tower) dan menghabiskan masa di observasi deck untuk menikmati pemandangan bandar. 

Pukul 12.30 tengah hari, kami bertolak ke lapangan terbang untuk penerbangan pulang pukul 6.30 petang.

Pukul 11.30 malam, kami selamat tiba di KL. Penat tetapi sangat berbaloi. Pengalaman indah bersama anak-anak!






No comments:

Post a Comment