Monday, 19 October 2026

Towke Lombong

Kenderaan-kenderaan berat mula memasuki kampung untuk membina jalan di hadapan rumahku. Jalan masuk perlu dibina dari situ hinggalah ke tapak perlombongan yang baru. Tapak lombong ini adalah kawasan bagi sebahagian penduduk kampung bercucuk tanam seperti jagung, sayuran, pisang, ubi dan sebagainya demi kelangsungan hidup.

Bagi kontraktor yang baru mendapat kelulusan melombong bijih di situ, ia merupakan pintu kekayaan baginya. Namun penduduk kampung terpaksa bersedia dengan jalan yang berdebu di musim panas dan berlopak serta berlumpur di musim tengkujuh. Ini kerana lori akan berulang alik membawa keluar bijih dari kampung. 

Ketika itu aku berusia lebih kurang 15 tahun. Hampir setiap hari aku berdiri memerhatikan jentera-jentera berat yang sibuk bekerja. Ada yang menolak pokok-pokok besar, ada yang meratakan tanah, dan ada yang menimbun batu kerikil untuk membentuk asas jalan. Bunyi deruman enjin dan gegaran tanah menjadi sebahagian daripada rutin harian kami.

Kadang kala Towkay lombong berbangsa Cina dari Kuala Lumpur datang dengan kereta mercedez besarnya meninjau kemajuan kerja-kerja tersebut. Pada mulanya aku hanya melihatnya dari jauh. Namun lama-kelamaan dia mula menegurku yang sering berdiri memerhatikan kerja-kerja pembinaan jalan. Oleh sebab penguasaannya terhadap bahasa Melayu agak terhad, kami berbual dalam bahasa Inggeris.

Hubungan kami semakin akrab dari hari ke hari. Dia sering bertanya tentang kehidupan penduduk kampung, manakala aku pula begitu ingin tahu tentang dunia luar yang diceritakannya. Yang lebih menghairankan, kami pernah beberapa kali berbincang tentang soal ketuhanan. Dia berkongsi pandangannya daripada perspektif Kristian, sementara aku pula cuba menjelaskan apa yang aku fahami tentang Islam. Walaupun ilmuku ketika itu masih cetek, perbualan-perbualan itu membuka ruang untuk aku melihat dunia daripada sudut yang lebih luas.


Semasa aku melangkah ke Tingkatan 3, dia telah menghadiahkan aku satu set buku rujukan terbitan Preston yang mengandungi semua subjek. Hadiah itu cukup bermakna buat seorang anak kampung sepertiku kerana tidak mungkin bapaku mampu untuk membelinya. Dia sering mengatakan bahawa pendidikan ialah jalan terbaik untuk mengubah nasib seseorang. Dia mahu melihat aku berjaya dalam peperiksaan LCE dan terus melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

Namun, apabila aku berada di Tingkatan Empat, hubungan kami terputus. Lombong tersebut telah dijual kepada tauke lain, dan sejak itu kami tidak pernah lagi bertemu. Masa berlalu begitu pantas. Hari ini, tapak perlombongan itu sudah berubah menjadi Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT), manakala jalan batu kerikil yang pernah dibina dahulu telah lama diturap dengan tar.

Apabila melihat kembali zaman kanak-kanakku, banyak kenangan berlegar di ruang fikiran. Di persekitaran itu terdapat beberapa palong (tasik) dalam hutan dan semak samun. Di situlah Atukku (Imam Adam) sering memancing untuk makanan lauk hariannya bersama ulam-ulaman seperti pucuk ubi, pucuk paku, pucuk pisang dll. Kehidupan kami sederhana, tetapi cukup untuk membuatkan kami berasa kaya dengan kenangan.

Kini, hampir segala-galanya telah berubah. Tapak lombong itu sudah bertukar menjadi Rancangan Perkampungan Tersusun. Jalan batu kerikil yang dahulu berdebu pula telah lama diselaputi tar hitam yang licin. Orang yang melalui jalan itu hari ini mungkin tidak pernah mengetahui sejarahnya, apatah lagi kisah-kisah kecil yang pernah hidup di sekitarnya.

Namun setiap kali aku melintasi jalan tersebut, ingatanku akan kembali kepada seorang tauke lombong dari Kuala Lumpur. Di tengah-tengah deruman jentera berat dan kesibukan manusia mengejar kekayaan, dia masih sempat meluangkan masa berbual dengan seorang budak kampung yang tidak mempunyai apa-apa selain rasa ingin tahu tentang dunia. Daripadanya aku belajar bahawa kebaikan tidak mengenal bangsa, agama atau darjat. Sekotak buku yang dihadiahkannya mungkin kelihatan kecil pada pandangan orang lain, tetapi bagi diriku ketika itu, itulah jambatan yang menghubungkan sebuah kampung terpencil dengan impian yang lebih besar.

Entah di mana dia berada hari ini, dan entah apakah dia masih mengingati budak kampung yang sering berdiri di tepi jalan memerhatikan jentera-jentera berat bekerja. Tetapi aku masih mengingatinya. Ada manusia yang hadir hanya sebentar dalam perjalanan hidup kita, namun pengaruhnya kekal terpahat sepanjang hayat. Bagi diriku, dia adalah salah seorang daripadanya.


Friday, 16 October 2026

Ayah Utih

Terlalu banyak kenangan dan kisahku bersama Ayah Utih (Hassan bin Sanji, suami kepada Zabariah bt Imam Adam / Wenteh). Ketika aku masih remaja, Ayah Utih sering mengajak aku berburu, sama ada pada waktu siang mahupun malam. Kadang-kala kami pergi berdua sahaja, dan ada kalanya kami ditemani oleh Nordin (Ketua Polis Pondok Balun yang berasal dari Melaka) serta Yeop Ali (Imam Masjid Balun).


Kebiasaannya kami berburu pada waktu malam dan aku hanya bertindak sebagai peneman. Ayah Utih sememangnya seorang yang cekap menembak. Tembakannya jarang tersasar dan akulah yang akan berlari mengejar mangsa, sama ada kancil mahupun kijang. Sebaik sahaja ditangkap, Ayah Utih akan terus menyembelihnya menggunakan pisau yang sangat tajam.


Kami kerap berburu menjelang bulan Ramadan, Hari Raya Puasa, atau Hari Raya Haji. Namun, ada juga waktunya kami pulang dengan penat sahaja tanpa sebarang hasil kerana tiada rezeki pada malam tersebut.


Pernah juga kami tersesat kerana gagal menemui jalan keluar. Namun, selepas membaca beberapa petua dan doa, dengan izin Allah kami ditunjukkan jalan pulang.
Pada suatu hari, kami berdua pergi berburu ayam hutan selepas solat Zohor. Setelah sekian lama berjalan kaki, kami terjumpa kesan tapak kaki rusa. Kami terus menjejaki kesan tersebut kerana terdapat takungan susu pada akar pokok getah yang baru sahaja dipijak. Kami mengekorinya secara senyap dari belakang. Namun, buruan kami terhenti apabila sampai di kawasan berlalang kerana kesan tapak kaki rusa itu telah hilang.


Ayah Utihlah yang mengajar aku cara memegang senapang dengan betul sambil membidik sasaran. Kali pertama Ayah Utih membenarkan aku menembak adalah sewaktu menyasar burung punai yang hinggap di atas pokok durian. Aku berjaya menjatuhkan tiga ekor, tetapi bibirku berdarah sedikit akibat hentakan belakang senapang. Sebenarnya, Ayah Utih telah pun berpesan agar aku memegangnya dengan kemas sebelum memetik picu, tetapi aku terlupa kerana terlalu teruja melihat banyaknya burung pada dahan pokok durian itu. 




Wednesday, 7 October 2026

Sepupuku Jalil

 Perginya Jalil buat selama-lamanya pada 6 Oktober 2026 memberi kesan yang mendalam ke atas diriku. Kami lahir dan membesar bersama-sama di kampung yang daif ketika itu. Semasa zaman kanak-kanak kami sering bermain bersama-sama permainan tradisi seperti guli, gasing, getah bulat, galah panjang, dan lain-lain yang popular ketika itu.

Kami sama-sama mandi di sungai selepas puas bermain. Kami juga sering memancing ikan di sungai Balun atau Slim, sekali sekala di 'palong' yang banyak di pinggir kampung. Dalam bab memancing selalunya dialah yang lebih bertuah dan mendapat ikan lebih daripada aku.

Apabila musim buah-buahan, kami adalah jaguh memanjat pokok untuk memetik buah. Pokok manggis, rambai, rambutan, pulasan, derandan, langsat adalah kegemaran kami. Malah pokok macang yang buahnya lambat gugur pun kami panjat dan menggoyangkan dahannya supaya yang masak gugur. Pernah dia terjatuh dari pokok macang di hujung 'tanjung' tapi kami rahsiakan perkara tersebut dari kedua ibubapa kami.

 Emak-emak kami juga selalu membawa kami ke kebun getah di waktu petang untuk mencari 'kayu api'. Zaman itu memasak hanyalah dengan kayu api sahaja. Dapur minyak dan dapur gas belum ada lagi. Daripada menebang pokok getah yang sudah mati, mengeratnya sehinggalah memikul atau menjunjung sampai ke rumah bersama-sama emak-emak kami. Itulah kerja kami.

Ketika usia meningkat remaja, permainan tradisi mula ditinggalkan dan kami mula berjinak dengan bola sepak dan sepak raga kerana inilah permainan yang termurah bagi budak-budak kampung. Dengan sebiji bola, ramai boleh main. Ketika usia sekitar belasan tahun dan awal 20an kami telah mula mewakili kampung dalam permainan sepak raga (sepak takraw) ke pertandingan liga Slim River ataupun perlawanan persahabatan dengan kampung-kampung lain. Antara kampung yang pernah kami kunjungi termasuklah Kg Jenderam Hilir, Kajang dan Kg Lubuk Katak, Tapah. Kami sering diletakkan dalam satu regu, aku sebagai feeder dan dia sebagai killer.

Setelah tamat persekolahan, masing-masing menempuh jalan hidup yang berbeza. Dia mendapat kerja di Kroh, Perak sebagai juruteknik JKR manakala aku terus dengan pengajian dan menjadi guru di Raub, Pahang. Namun bagitu setiap kali hari raya kami berjumpa semula di kampung. Pertemuan semula ini selalunya kami pergi berburu waktu malam bersama Ayah Utih. Ayah Utih sememangnya suka melayan kami berdua sejak dari kecil lagi. 

Suatu ketika dia telah ditukarkan ke Tg Malim dan pada masa yang sama aku pun sudah mengajar di Slim River. Kami sama-sama tinggal di rumah emak masing-masing. Era ini permainan sepak takraw dan bola sepak dah lama kami tinggalkan. Tenis merupakan permainan baru yang kami ceburi. Hampir setiap petang kami bermain di Kelab Tenis Slim River. Aku mula main tenis semenjak di Raub lagi manakala dia juga bermain tenis di Kroh.

Kami pernah menyertai Kejohanan Tenis Terbuka Tg Malim dan muncul sebagai juara dalam acara regu. Namun pertukaran dia ke Tg Malim hanya setahun sahaja dan kemudian dia balik semula ke Gerik. Aku kehilangan pasangan tenis terbaik apabila ia bertukar ke Gerik.

Keakraban kami sejak dari zaman kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah sama-sama mempunyai keluarga sukar dilupakan. Malah semasa dia berkahwin, akulah jadi 'pengapitnya'. 

Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada Allahlah kita kembali.

Semoga Allah mengampun segala dosanya, merahmatinya, memaafkannya, memuliakannya meluaskan kuburnya, dan menjadikan kuburnya taman-taman syurga. Ya Allah bersihkanlah dia dengan air salji dan embun. Bersihkanlah dia daripada segala dosa sebagaimana kain putih dibersihkan daripada kekotoran. 

Ya Allah, gantikanlah untuknya rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungilah dia daripada azab kubur serta azab neraka.

Aamin. Ya Rabb.


Menjadi Pengapit di Gerik

Saturday, 5 September 2026

LATIHAN GURU-GURU KANAN MALDIVES

 22 - 28 OGOS 2026
Male dan Fonahoo Island


Searamai 52 orang guru kanan dalam grup pertama di Male hadir program ini. Program telah dirasmikan oleh State Minister of Education, Dr. Ahmed Mohammed.

Aku tiba di Lapangan Terbang Male pada hari Sabtu, disambut oleh seorang Pegawai dari Kementerian Pendidikan, Mr. Abdullah. Kemudian aku terus di bawa ke hotel untuk daftar masuk dan rehat.

Latihan telah diadakan di sekolah Shaheed Ali School, Male. Sekolah moden yang serba lengkap ini mempunyai 4 bangunan setinggi 6 tingkat.

Pada malamnya Dr. Ahmed telah menjemput aku untuk makan malam bersama Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan dan Deputy Vice-Chancellor, Islamic University of Maldives.

Menerima cenderahati dari Dr. Ahmed


23.8. 26 (Ahad)

Bengkel telah diadakan di sebuah sekolah di Male. Sekolah yang serba lengkap ini terletak tidak jauh dari hotel kediamanku. Aku difahamkan hampir semua sekolah di Maldives menggunakan sistem K-12 iaitu murid berada di sekolah yang sama dari pra-sekolah hinggalah gred 11. 



Aktiviti Kumpulan

Melakukan demo 'peer coaching' bersama seorang peserta




Memberi penjelasan lanjut mengenai aktiviti



Lawatan hormat ke Kementerian Pendidikan bertemu dengan Menteri, Mr. Ismail Shaafu dan State Minister of Education, Dr. Ahmed Mohammed



25 Ogos 2026 terbang ke Lammu Atoll untuk kumpulan ke 2 guru-guru kanan Maldives

Seramai 36 orang hadir dalam program ini yang diadakan di Lammu Atoll Education Centre.


Manaiki kapalterbang fokker mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Penerbangan singgah dahulu di Pulau Muli untuk menurun dan mengambil penumpang sebelum berlepas ke Fonadhoo Island






Peserta melakukan 'peer coaching' sambil diperhatikan oleh peserta-peserta lain bagi mengenalpasti kekuatan dan kekurangan 'bentuk' soalan yang dikemukakan


Makan malam bersama Dr. Ahmed (State Minister of Education), Dr. Visal (Deputy Vice-Chancellor, Islamic University of Maldives)

Ketibaan aku bersama En. Abdullah, pegawai Kementerian Pendidikan Maldives di lapangan terbang Kadhoo disambut dengan bunga oleh 2 orang anak sekolah


Waktu pejabat di Maldives ialah dari pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang termasuk waktu makan tengahari. Hari bekerja pula ialah dari Ahad hingga Khamis.

Yang menarik perhatian saya, budaya makan sirih bersama kapur, pinang dan cengkih masih segar di sini. Selepas makan, 'pemanis mulut' itu pasti muncul