Ayah Utih
Terlalu banyak kenangan dan kisahku bersama Ayah Utih (Hassan bin Sanji, suami kepada Zabariah bt Imam Adam / Wenteh). Ketika aku masih remaja, Ayah Utih sering mengajak aku berburu, sama ada pada waktu siang mahupun malam. Kadang-kala kami pergi berdua sahaja, dan ada kalanya kami ditemani oleh Nordin (Ketua Polis Pondok Balun yang berasal dari Melaka) serta Yeop Ali (Imam Masjid Balun).
Kebiasaannya kami berburu pada waktu malam dan aku hanya bertindak sebagai peneman. Ayah Utih sememangnya seorang yang cekap menembak. Tembakannya jarang tersasar dan akulah yang akan berlari mengejar mangsa, sama ada kancil mahupun kijang. Sebaik sahaja ditangkap, Ayah Utih akan terus menyembelihnya menggunakan pisau yang sangat tajam.
Kami kerap berburu menjelang bulan Ramadan, Hari Raya Puasa, atau Hari Raya Haji. Namun, ada juga waktunya kami pulang dengan penat sahaja tanpa sebarang hasil kerana tiada rezeki pada malam tersebut.
Pernah juga kami tersesat kerana gagal menemui jalan keluar. Namun, selepas membaca beberapa petua dan doa, dengan izin Allah kami ditunjukkan jalan pulang.
Pada suatu hari, kami berdua pergi berburu ayam hutan selepas solat Zohor. Setelah sekian lama berjalan kaki, kami terjumpa kesan tapak kaki rusa. Kami terus menjejaki kesan tersebut kerana terdapat takungan susu pada akar pokok getah yang baru sahaja dipijak. Kami mengekorinya secara senyap dari belakang. Namun, buruan kami terhenti apabila sampai di kawasan berlalang kerana kesan tapak kaki rusa itu telah hilang.
Ayah Utihlah yang mengajar aku cara memegang senapang dengan betul sambil membidik sasaran. Kali pertama Ayah Utih membenarkan aku menembak adalah sewaktu menyasar burung punai yang hinggap di atas pokok durian. Aku berjaya menjatuhkan tiga ekor, tetapi bibirku berdarah sedikit akibat hentakan belakang senapang. Sebenarnya, Ayah Utih telah pun berpesan agar aku memegangnya dengan kemas sebelum memetik picu, tetapi aku terlupa kerana terlalu teruja melihat banyaknya burung pada dahan pokok durian itu.
No comments:
Post a Comment