Wednesday, 7 October 2026

Sepupuku Jalil

 Perginya Jalil buat selama-lamanya pada 6 Oktober 2026 memberi kesan yang mendalam ke atas diriku. Kami lahir dan membesar bersama-sama di kampung yang daif ketika itu. Semasa zaman kanak-kanak kami sering bermain bersama-sama permainan tradisi seperti guli, gasing, getah bulat, galah panjang, dan lain-lain yang popular ketika itu.

Kami sama-sama mandi di sungai selepas puas bermain. Kami juga sering memancing ikan di sungai Balun atau Slim, sekali sekala di 'palong' yang banyak di pinggir kampung. Dalam bab memancing selalunya dialah yang lebih bertuah dan mendapat ikan lebih daripada aku.

Apabila musim buah-buahan, kami adalah jaguh memanjat pokok untuk memetik buah. Pokok manggis, rambai, rambutan, pulasan, derandan, langsat adalah kegemaran kami. Malah pokok macang yang buahnya lambat gugur pun kami panjat dan menggoyangkan dahannya supaya yang masak gugur. Pernah dia terjatuh dari pokok macang di hujung 'tanjung' tapi kami rahsiakan perkara tersebut dari kedua ibubapa kami.

 Emak-emak kami juga selalu membawa kami ke kebun getah di waktu petang untuk mencari 'kayu api'. Zaman itu memasak hanyalah dengan kayu api sahaja. Dapur minyak dan dapur gas belum ada lagi. Daripada menebang pokok getah yang sudah mati, mengeratnya sehinggalah memikul atau menjunjung sampai ke rumah bersama-sama emak-emak kami. Itulah kerja kami.

Ketika usia meningkat remaja, permainan tradisi mula ditinggalkan dan kami mula berjinak dengan bola sepak dan sepak raga kerana inilah permainan yang termurah bagi budak-budak kampung. Dengan sebiji bola, ramai boleh main. Ketika usia sekitar belasan tahun dan awal 20an kami telah mula mewakili kampung dalam permainan sepak raga (sepak takraw) ke pertandingan liga Slim River ataupun perlawanan persahabatan dengan kampung-kampung lain. Antara kampung yang pernah kami kunjungi termasuklah Kg Jenderam Hilir, Kajang dan Kg Lubuk Katak, Tapah. Kami sering diletakkan dalam satu regu, aku sebagai feeder dan dia sebagai killer.

Setelah tamat persekolahan, masing-masing menempuh jalan hidup yang berbeza. Dia mendapat kerja di Kroh, Perak sebagai juruteknik JKR manakala aku terus dengan pengajian dan menjadi guru di Raub, Pahang. Namun bagitu setiap kali hari raya kami berjumpa semula di kampung. Pertemuan semula ini selalunya kami pergi berburu waktu malam bersama Ayah Utih. Ayah Utih sememangnya suka melayan kami berdua sejak dari kecil lagi. 

Suatu ketika dia telah ditukarkan ke Tg Malim dan pada masa yang sama aku pun sudah mengajar di Slim River. Kami sama-sama tinggal di rumah emak masing-masing. Era ini permainan sepak takraw dan bola sepak dah lama kami tinggalkan. Tenis merupakan permainan baru yang kami ceburi. Hampir setiap petang kami bermain di Kelab Tenis Slim River. Aku mula main tenis semenjak di Raub lagi manakala dia juga bermain tenis di Kroh.

Kami pernah menyertai Kejohanan Tenis Terbuka Tg Malim dan muncul sebagai juara dalam acara regu. Namun pertukaran dia ke Tg Malim hanya setahun sahaja dan kemudian dia balik semula ke Gerik. Aku kehilangan pasangan tenis terbaik apabila ia bertukar ke Gerik.

Keakraban kami sejak dari zaman kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah sama-sama mempunyai keluarga sukar dilupakan. Malah semasa dia berkahwin, akulah jadi 'pengapitnya'. 

Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada Allahlah kita kembali.

Semoga Allah mengampun segala dosanya, merahmatinya, memaafkannya, memuliakannya meluaskan kuburnya, dan menjadikan kuburnya taman-taman syurga. Ya Allah bersihkanlah dia dengan air salji dan embun. Bersihkanlah dia daripada segala dosa sebagaimana kain putih dibersihkan daripada kekotoran. 

Ya Allah, gantikanlah untuknya rumah yang lebih baik daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungilah dia daripada azab kubur serta azab neraka.

Aamin. Ya Rabb.


Menjadi Pengapit di Gerik