Sunday 30 June 2019

Hari Keluarga Waris Mat Yusup bin Jasip & Busu binti Imam Adam

PKNS BAYU RESORT
PORT DICKSON

28 JUN 2019 JUMAAT

Tahniah kepada Farhana, Syafiqah, Izan dan lain-lain yang telah mengilham, merancang dan melaksana aktiviti yang bermakna ini. Sesungguhnya penganjuran program seperti ini memerlukan kesabaran, iltizam dan pengorbanan yang tinggi dari aspek masa, tenaga, dan wang ringgit. Alhamdullilah, segala usaha kalian telah dimakbulkan Allah SWT.

Kira-kira pukul 8.15 pagi aku, Lin, Syafiqah dan Aiman telah bertolak dari Jitra menuju Port Dickson. Syukur alhamdullillah penyakit goutku semakin baik yang membolehkan aku menghadiri program ini. Syafiqah dan Aiman bergilir untuk memandu kereta. Perjalanan kami agak baik dan tenang sehinggalah tiba terowong menora, Ipoh. Lori terbalik yang merentasi keseluruhan jalan menuju ke selatan telah mengakibatkan perjalanan terganggu hampir 1 jam.



Perjalanan berhenti beberapa kali untuk mengisi minyak, minum pagi, makan tengahari dan solat Jumaat di Tapah. Jalan sesak lagi di persimpangan tol Jelutung sehingga lebuhraya NKVE. Alhamdullilah, akhirnya kami selamat sampai di Bayu Resort kira-kira pukul 6.30 petang. Perjalanan yang jauh dan memenatkan mengambil masa kira-kira 10 jam untuk sampai.  Lokasi Resort ini berhampiran pantai dan bersebelahannya pula ialah Kondo Percutian TNB. 




Telah sampai lebih awal di sini termasuklah Abangku Azmi dan isterinya, Ana, Lie dan 2 orang anaknya, Atiqah, Uda, Nabila dan Farwizah. Sebelah malam, adikku Izan tiba bersama Andak, isteri dan seorang anaknya, disusuli Along Firdaus, isteri dan 3 orang anaknya.



Ana dan lain-lain sibuk masak untuk makan malam manakala yang lain mempunyai tugas masing-masing. Kami sibuk berbual rancak sambil makan buah-buahan yang disediakan. Agak lama berbual kami makan malam beramai-ramai. Setelah makan malam aku, Lin dan Azmi dan Yan terus berbual manakala yang lain telah pergi ke bilik karaoke untuk berkaraoke.

Kira-kira pukul 11.30 malam aku terus masuk bilik untuk tidur manakala yang lain meneruskan aktiviti mereka.


29 Jun 2019 Sabtu

Pagi-pagi lagi Syafiqah, Atiqah, Nabila, Farwizah dan Uda  telah pergi mendaki Rumah Api Tanjung Tuan yang lokasinya kira-kira 3 km dari Bayu Resort manakala yang lain hanya duduk di resort sahaja. Selesai minum pagi semua cucu telah pergi ke kolam renang untuk mandi walaupun hujan turun dengan lebat (Sebahagian kolam ini mempunyai bumbung). 



Rumah Api Tanjung Tuan merupakan rumah api tertua di Malaysia yang terletak di selat Melaka yang paling sempit antara Semenanjung Malaysia dan Sumatera. Nama lain Rumah Api Tanjung Tuan ini ialah Cape Rachado Lighthouse yang dibina Portugis pada kurun ke 16 semasa mereka mula menjajah Melaka dan beberapa negeri, daerah dan negara di Asia. Setelah dimakan usia, rumah api dibina semula oleh British pada tahun 1863.



Aku mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di tepi pantai dan sempat berbual dengan pencuci pantai. Aku lihat pantainya cantik tetapi airnya agak kotor dan berbau. Tempat aku berdiri sambil berbual dengan pencuci pantai ialah longkang besar yang membawa air kumbahan dari bangunan-bangunan termasuklah hotel dan resort di sekitar kawasan itu. Tidak hairanlah airnya tidak begitu sesuai untuk bermandi manda. 





Kira-kira pukul 12.00 tengahari Fathul, isteri dan 2 orang anaknya tiba. Mereka tiba lewat kerana urusan sekolah anaknya, Ainul. Setelah selesai masak, kami ramai-ramai makan tengahari diikuti dengan buah durian. 



Setelah selesai makan tengahari, acara cabutan nombor bertuah dimulakan. Semua hadiah disediakan oleh Izan. Suasana begitu riuh rendah sekali ketika menerima hadiah masing-masing yang akhirnya semuanya dapat. Selesai sahaja aktiviti ini semua cucu diiringi ibubapa masing-masing mandi kolam lagi.



Aku dan Lin berkemas-kemas untuk pulang ke Jitra semula. Aku agak sedih kerana tidak dapat bersama-sama sehingga esok kerana kami terpaksa balik kerana Lin tidak dapat cuti. Aku doakan aktiviti-aktiviti berikutnya berjalan dengan lancar. Oleh kerana goutku masih lagi tidak lagi sembuh, Aiman juga terpaksa ikut balik ke Jitra untuk memandu kereta. Kami mula bergerak pada pukul 6.00 petang.

Alhamdullillah kami selamat sampai Jitra pada pukul 12.30 malam.

No comments:

Post a Comment