Wednesday 6 May 2020

PESANTREN TANOH ABEY, ACHEH

(Penulisan ini dibuat dalam tahun 1997 ketika kembali dari lawatan ke Acheh)

Berikut ialah sedikit coretan mengenai Pesantren Tanoh Abey, Acheh, Indonesia hasil lawatan kerjaku bersama peserta kursus Diploma Kepimpinan Pendidikan, IAB pada tahun 1997.

Pesantren Tanoh Abey (PTA) atau Sekolah Pondok Tanoh Abey mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga ramai kalangan sarjana dan pengkaji seluruh dunia berkunjung ke sana kerana ingin mengetahui sesuatu yang sungguh unik.

PTA  terletak kira-kira 50 km dari Banda Acheh di sebuah perkampungan terpencil. Ia telah dibuka pada tahun 1620. Ia masih lagi mengekalkan ciri-ciri sekolah pondok lama dengan bangunannya diperbuat daripada bahan-bahan tradisional seperti kayu dan atap nipah. Pesantren ini terletak berhampiran dengan tali air yang digunakan oleh murid-murid untuk mandi dan sebagainya.

Pesantren ini telah mengeluarkan ramai ulama Acheh seperti Syeikh Muhammad Salleh Al Baghdady, Sheikh Abdul Wahab Al Baghdady, Hamzah Fansuri, Syamsuddin Al Sumatrany, Nuruddin Ar Raniry, Abdul Rauf Al Singkili dan lain-lain. Hasil karya ulama-ulama ini yang usianya melebihi ratusan tahun masih lagi di simpan dengan baik di khutub khanah. Malah Al Quran yang berusia lebih 400 tahun juga terdapat di sini.

Mengikut penjaga PTA ini, Teuku Dahlan iaitu cucu cicit kepada pembuka PTA iaitu Sheikh Firus Al Baghdady, tradisi tok-tok guru di sini ialah mereka giat menulis di samping mendidik dan memimpin masyarakat setempat. Pernah suatu ketika terdapat lebih 10,000 judul buku di khutub khanah PTA. 

Tok-Tok Guru di sini dapat menguasai bahasa Arab dengan baik sehingga mereka dapat menterjemah teks bahasa Arab ke bahasa Indonesia. Buku-buku di sini terdapat dalam tiga bahasa iaitu Arab, Indonesia dan Acheh. Apabila Belanda menawan Acheh, banyak buku telah musnah dan sekarang tinggal lebih kurang 2000 judul sahaja.

Salah seorang ulama terkenal Acheh ialah Abdul Rauf Al Singkili yang lebih dikenali sebagai Syiah Kuala. Beliau adalah kelahiran Acheh dan mendapat pendidikan di PTA dan seterusnya melanjutkan pengajiannya di Arab selama lebih kurang 20 tahun. Sekembalinya, beliau ke Acheh, pemerintah Acheh telah melantik beliau sebagai Mufti Besar Acheh.

Oleh kerana pengetahuan beliau sangat mendalam dalam hal-hal agama, beliau telah diamanahkan untuk merangka undang-undang Islam untuk dilaksanakan di Acheh. Ini termasuklah hal-hal nikah kahwin, jenayah, syariah, muamalat, ketatanegaraan dan sebagainya.


No comments:

Post a Comment