Wednesday 5 December 2018

London: 22 - 28 Nov 2018

22 Nov 2018 - Khamis

Hasrat isteriku untuk bercuti ke London akhirnya dapat aku tunaikan selepas aku bersara. Alhamdullillah selepas seminggu aku bersara (15 Nov 2018) aku dapat bercuti sambil menghadiri seminar di University of Cambridge. Cuti ini sudah lama aku rancangkan. 

Kami bertolak dengan kereta dari Jitra ke KLIA pada pukul 7.30 pagi. Kami sempat singgah di Slim River untuk berjumpa adikku, Izan untuk bertanya khabar dan memberinya sedikit hadiah untuknya dan abangku Azmi daripada 'faedah' persaraanku.

Kami sampai Putra Central pukul 4.00 petang untuk simpan kereta di sini. Kemudian menaiki keretapi ke KLIA. Pukul 6.00 petang daftar masuk dan 9.00 malam berlepas ke London dengan menaiki Oman Air. Transit 2 jam di Muscat sebelum meneruskan perjalanan ke London.


23 Nov 2018 - Jumaat

Pukul 6.00 pagi kami tiba di London Heathrow Airport di Terminal 4. Solat subuh dan minum pagi di airport. Ramai juga orang Malaysia yang juga baru tiba. Cuaca amat sejuk di sini, lebih kurang 1 darjah Celcius.
Terminal 4 Lapangan Heathrow
Membeli tiket di Lapangan Terbang Heathrow


Menaiki keretapi dari Lapangan Terbang Heathrow ke Paddington Station


Seterusnya kami membeli tiket 'sehari' yang membolehkan kami menaiki keretapi dan bas di London. Kami menaiki keretapi ke Paddington Station pada pukul 9.30 pagi. Dari sini kami berjalan kaki ke Hotel Queens, Bayswater. 


Stesen Keretapi Paddington


Sebaik sahaja kami tiba di hotel, kami terus berkemas untuk ke Oxford Street. Sebelum itu kami ke kantin Malaysia Hall yang berada di belakang hotel kami untuk makan tengahari. Selepas makan tengahari kami menaiki bas No. 94 ke Oxford Street.


Di hadapan Malaysia Hall


Orang begitu ramai di sini untuk membeli belah kerana 'Black Friday Sale' yang sedang berlangsung sehingga hari Ahad.
Pukul 4.00 petang waktu maghrib sudah masuk dan hari sudah pun gelap. Setelah penat berjalan kami balik ke hotel dengan menaiki bas.


24 Nov 2018 - Sabtu

Minum pagi di Restoran berhampiran hotel yang dikendalikan orang Mesir pada pukul 8.00 pagi. Setelah selesai sarapan pagi kami ke Marble Arch untuk memulakan London Tour dengan bas dua tingkat Big Bus. Kami memilih untuk duduk di tingkat atas untuk melihat pemandangan Kota London.


Menikmati pemandangan kota London dari atas bas




Big Ben dalam proses pembaikan

Kami turun di beberapa tempat sebelum menaiki bas yang sama bagi satu pusingan. Kami turun di point Tower Millenium Tower untuk menaiki 'River Thames Cruise'. Perjalanan dengan bot ini sampai ke point 'London Bridge'. Kami turun di sini untuk menaiki Big Bus semula.


River Thames Cruise


Singgah di point Buckingham Palace untuk meninjau istana dari luar pagar. Kemudian berjalan-jalan di Taman Buckhingham dan terus ke point Victoria Station untuk menaiki Big Bus semula.




Di hadapan Istana Buckhingham

Setelah beberapa kali turun naik bas, kami sampai ke point Marble Arch semula. Dari sini kami menaiki bas balik ke hotel. Kami makan malam di sebuah restoran kendalian orang Pakistan iaitu Khan Restaurant yang tidak jauh dari hotel kami.


25 Nov 2018 Ahad

Pagi-pagi lagi kami sudah ke Kensington Park dan Hyde Park untuk menikmati suasana pagi yang nyaman dan indah. Kedua-dua taman ini adalah berdekatan dengan tempat kami menginap. Ramai orang berjogging dan berbasikal disamping pejalan kaki. Kebanyakan mereka adalah orang-orang yang sudah berumur. Taman ini dijaga dengan baik sehinggakan tidak nampak longgokan sampah dan sebagainya.

Kensington Park


Setelah hampir 2 jam berjalan kami balik ke hotel. Kami singgah untuk sarapan pagi di Putera Puteri Cafe, kafe yang dipunyai oleh orang Melayu Pulau Pinang bernama En. Nasir. Sebelum membuka kafe ini beliau adalah seorang chef di Hotel Berjaya Eden yang berhampiran. Di sini sudah pasti terdapatnya masakan popular Malaysia seperti nasi lemak dan roti canai dan lain-lain lagi.

Sempat berbual dengan seorang Kelantan yang telah berhijrah ke London lebih 30 tahun dahulu. Beliau merupakan seorang kontraktor yang berjaya di kota London ini. Mengikutnya beliau mula daripada bawah sebagai pekerja biasa dan melalui perit getir di negeri orang sebelum berjaya seperti sekarang.
Minum pagi di Putera Puteri Cafe

Setelah minum kami ke Queen Hotel dan check-out untuk berpindah ke Hotel Berjaya Eden yang dekat dengan Queen Hotel dan Putera Puteri Cafe. Hotel ini lebih baik dari Queens Hotel dan harganya pulak lebih murah (mungkin kerana malam Isnin).




Setelah check-in hotel Berjaya kami ke Piccadily Circus dan Oxford Street untuk window shopping lagi. Malam balik ke hotel.




26 Nov 2018 Isnin

Minum pagi di Putera Puteri Cafe dan berjalan lagi di Kensington Park dan Hyde Park. Kemudian terus ke Europcar Office di Bayswater untuk mengambil kereta sewa. Kami menyewa kereta ini selama tiga hari dengan kos sewaan dan insuran sebanyak 206 pound.

Kembali ke hotel untuk mengambil beg dan terus memandu ke University of Cambridge yang jaraknya lebih kurang 100 km dari London. Sebelum pergi ke University of Cambridge kami ke Iway Inn Hotel  di Papworth Everard dulu untuk daftar masuk. 


Pelancong dari Nottingham

Kedudukan hotel ini agak mengelirukan kerana GPS menunjukkan lokasi lain. Kami sempat bertemu dengan dua orang travellers dari Nottingham yang juga sesat dan hendak menginap di hotel yang sama tetapi berada di tempat yang salah. Kami terus membawa mereka dan bertanya beberapa orang sebelum sampai ke hotel Iway Inn.

Setelah daftar masuk kami terus ke Faculty of Education, University of Cambridge untuk menghadiri satu Faculty Seminar pada pukul 4.30 malam. 



Seminar yang disampaikan oleh seorang Prof. dari NIE Singapura yang berkaitan dengan pentaksiran. Seminar dihadiri oleh para pensyarah dan pelajar PhD University of Cambridge. Aku sempat memberi hadiah dua buah buku terbitan IPG Kampus Tuanku Bainun kepada Fakulti Pendidikan Universiti Cambridge.


Bersama Prof. Keith Taber


Setelah selesai seminar kami ke rumah anak Dr. Prema (Pensyarah IABU) yang tidak jauh dari University of Cambridge iaitu di no 6 Tweedale. Setelah berbual dan minum teh di rumahnya, kami di bawa ke restoran Turki untuk makan malam. 

Setelah selesai kami balik semula ke hotel.


27 Nov 2018 Selasa

Pagi-pagi lagi kami telah daftar keluar hotel untuk jalan-jalan di Cambridge City. Kami hanya dapat melihat dari dalam kereta sahaja kerana hujan. Setelah selesai di sini kami meneruskan perjalanan ke Salisbury untuk melihat Stonehenge yang jaraknya lebih kurang 230 km dari Cambridge.




Kami tiba di Stonehenge kira-kira pukul 2.00 petang dan terus membeli tiket masuk yang berharga 19 pound seorang. Hujan lebat ketika kami sampai dan cuaca sangat sejuk ditambah dengan angin yang menderu. Dalam hujan lebat, sempat juga bergambar di depan Stonehenge.

Setelah selesai di Stonehenge kami ke Salisbury untuk daftar masuk The Swan@Stoford hotel. Lokasi hotel sangat cantik kerana di hadapannya ada sebatang sungai yang jernih mengalir berlatarbelakangkan ladang.




28 Nov 2018 - Rabu

Sarapan pagi di hotel dan terus daftar keluar untuk balik ke London Heathrow Airport yang jaraknya lebih kurang 120 km. Dalam perjalanan kami sempat meneroka kampung-kampung dan ladang-ladang. Kami sengaja mengikut jalan kampung kerana hendak melihat situasi kampung di sana.

Kami singgah di Ladang Ansty yang juga mempunyai kedai khas menjual hasil ladangnya.


Rumah kampung
Lebih kurang pukul 2.00 petang kami sampai London Heathrow Airport Terminal 5 untuk memulangkan kereta sewa, dan seterusnya pihak Europcar menghantar kami ke Terminal 4 untuk pelepasan pulang pada pukul 8.00 malam

Kami mula daftar masuk pukul 5.00 malam dan berlepas pukul 8.15 malam (flight delay). Tiba di KLIA pada 29 Nov 2018 pukul 7.00 malam.


Saturday 14 April 2018

SK KEJAR, ROYAL BELUM, GERIK


-->
31.10.17 Selasa

Setibanya aku di lapangan terbang Pulau Pinang dari Kuala Lumpur (aku baru pulang dari Chengdu China dan transit di KLIA2 selama 3 jam), pemandu telah sedia menunggu aku. Aku  terus balik ke rumah di IPGKTB dan berkemas-kemas untuk ke Royal Belum, Gerik untuk satu program di SK Kejar iaitu sebuah sekolah orang asli

Pukul 11.00 pagi kami bertolak terus ke Gerik untuk mengambil seorang pegawai PPD untuk mengiringi aku ke SK Kejar. Kami tiba di Jeti Pulau Banding pada pukul 1.20 petang dan terus menaiki bot. Aku agak keletihan dan sangat mengantuk ketika dalam bot. Perjalanan kami ke SK Kejar mengambil masa lebih kurang 1 jam.

Kami tiba kira-kira pukul 2.30 petang dan terus ke SK Kejar namun para pensyarah dan pegawai PPD telah ke Royal Belum Kejar untuk berehat dan makan tengahari. Aku dan Anis hanya berbual dengan pegawai keselamatan sekolah dan beberapa orang penjaga. Selepas 1 jam, kami bertolak ke Royal Belum Sg Tiang untuk berehat. Dalam perjalanan kami berselisih dengan beberapa bot dan rakit orang asli yang membawa atap nipah.

Dapat jugak melelapkan mata seketika di sini. Chalet terletak di atas bukit dan pembinaannya  tidak merosakkan rupa bentuk tanah. Amat tenang suasana di sini dengan dikelilingi hutan Belum yang asli. Kemudahan tempat masak, surau dan tandas awam disediakan. Beberapa chalet juga mempunyai bilik air di dalamnya.
Bersama pensyarah-pensyarah IPGKTB: Ustaz Fahmiddin, Khalil, aku, Shukri, Nasser, Zakariyah

Kira-kira pukul 6.30 petang para pensyarah dan pegawai PPD telah tiba dari SK Kejar. Kelihatan mereka agak keletihan tetapi gembira. Aku berkenalan dengan beberapa orang termasuk En. Najib pegawai dari PPD Hulu Perak dan En. Nahar Guru Besar SK Kejar.

Aku pulang ke chalet yang telah disediakan dan terus mandi dan solat. Rehat seketika dan terus ke dewan makan. Makanan dimasak dan disediakan oleh pegawai-pegawai PPD. Setelah selesai makan kami telah diberi taklimat oleh En. Najib. Seterusnya aku diminta untuk berucap. Aku mengambil berkesempatan  itu untuk berkenalan dengan semua pegawai-pegawai PPD disamping aku menekankan pentingnya kerjasama antara PPD dengan agensi-agensi lain termasuk IPGKTB dalam membawa perubahan di sekolah.
Bersama guru-guru pelatih

Setelah selesai taklimat aku terus berbual dengan sekretariat yang sibuk membuat persediaan untuk hari esok. En. Zakaria selaku penyelaras projek bersama-sama guru pelatih menyiapkan kerja sehingga lebih pukul 12.00 malam.

1.11.17 Rabu

Sekumpulan pensyarah dan guru pelatih telah pergi ke SK Kejar pada pukul 9.00 pagi untuk melaksana pengajaran dan permainan pendidikan. Manakala sekumpulan lagi pegawai dan pensyarah bertolak kemudian sedikit untuk menyiapkan kerja-kerja majlis penutupan.
Bertolak ke SK Kejar selepas sarapan pagi. Setibanya aku di sini, guru-guru pelatih telah menjalankan aktiviti pengajaran dengan pendekatan permainan dan nyanyian. Sebahagian pensyarah telah membuat kerja-kerja akhir mengindahkan bilik darjah sesuai dengan keadaan bilik darjah.

12.00 Dalam ucapan penutupan, aku telah menekankan betapa pentingnya pendidikan tanpa mengira dimana jua pelajar berada. Oleh kerana itu, siswa guru seharusnya menyediakan minda sekiranya mereka ditempatkan di sekolah seperti itu, maka mereka hendaklah sentiasa positif dan berkorban demi pendidikan anak bangsa.

1.00 th Bertolak balik ke Pulau Banding. Perjalanan agak meletihkan sesekali berselisih dengan bot-bot orang asli. Kami juga berselisih dengan sekumpulan tentera yang masuk ke hutan tersebut untuk membuat persediaan ketibaan Prince Phillip dari England.

2.45 Tiba jeti Pulau Banding. GB SK Kejar yang bersama kami telah memohon jasa baik kedai makan di situ untuk masak ikan baung yang kami bawa dari Hutan Belum. Seluruh pensyarah, guru pelatih dan Cikgu Nahar makan tengahari di sini menikmati ikan baung segar. Selepas makan kami terus balik ke Pulau Pinang. Tiba di IPGKTB pukul 5.15 ptg, mandi dan berkemas untuk pulang ke Jitra. Tiba di Jitra pukul 7.30 malam

Di Restoran Jeti Tasik Banding bersama Guru Besar, En. Nahar


Sunday 1 April 2018

Gemilang SK Balun

Program Gemilang Anak Balun
Tarikh : 29-31 Mac 2018
Tempat : SK Balun, Slim River

Program ini dirancang bersama dengan SK Balun dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun (IPGKTB), Pulau Pinang. Antara lain tujuan program ini dijalankan ialah untuk melahirkan murid-murid yang berpengetahuan, cergas dan aktif melalui aktiviti khidmat bakti dan kecergasan seiring dengan hasrat pendidikan negara


Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah latihan dalam kumpulan, kawad kaki, senamrobik, sukan & riadah, bimbingan akademik, qiamullail, 'Aku Negaraku'.
Murid-murid membuat persembahan

Semua aktiviti dikendalikan oleh guru-guru pelatih IPGKTB dan dibantu oleh guru-guru SK Balun. Para pelatih telah dapat menimba pengalaman yang banyak hasil dari program seperti ini kerana disinilah mereka sedapa upaya mempraktikkan ilmu yang dipelajari semasa di kampus.
Persiapan sebelum majlis penutupan rasmi

Latihan kawad kaki dapat membantu murid-murid lebih berdisiplin dan bekerjasama antara satu sama lain. Program ini menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik bersama dengan pembangunan diri insan murid-murid dari aspek rohani, emosi dan jasmani seperti yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Latihan Kawad Kaki

Bersama guru-guru SK Balun, pensyarah dan guru-guru pelatih IPGKTB, dan YDP PIBG SK Balun
Pemupukan minat sukan dan riadah sangat penting di peringkat sekolah rendah lagi. Daripada aktiviti seperti ini, murid-murid belajar erti semangat pasukan, kerjasama dalam kumpulan, kepimpinan, toleransi, disiplin, patuh pada peraturan dan setiakawan.

 Mereka dapat mempelajari dan menghayati perasaan kemesraan dan kasih sayang sesama mereka dan dengan guru-guru yang akhirnya membina suasana yang kondusif untuk sesi pengajaran dan pemelajaran.


Pertukaran cenderamata antara IPGKTB dan SK Balun
 Hasrat IPGKTB bagi meningkatkan kecemerlangan SK Balun bukanlah hanya sekadar one-off sahaja malah program-program seumpama ini akan diteruskan di masa akan datang. Ke arah itu suatu perjanjian persefahaman telah ditandatangani antara Pengarah IPGKTB, Dr. Sazali Yusoff dan Guru Besar SK Balun, Puan Siti Sapura Abu Bakar.
Menandatangani Surat Hasrat antara IPGKTB dan SK Balun
 Penggerak IPGKTB bagi program ini ialah En. Ahmad Shukri, En. Zakariah, dan Ustaz Fahmiddin
 Guru-guru pelatih yang terlibat; Wan Yusuf, Darren Kent, Abdul Ridzuan, Nazatul Syima, Norhajriati, Nur Faten Nadhirah, Saleha, Nur Adnin, Nur Syafura
Antara murid yang telah menerima hadiah

Persembahan murid-murid

Bergambar keseluruhan yang terlibat dengan Program Gemilang Anak Balun