Sunday 30 June 2019

Hari Keluarga Waris Mat Yusup bin Jasip & Busu binti Imam Adam

PKNS BAYU RESORT
PORT DICKSON

28 JUN 2019 JUMAAT

Tahniah kepada Farhana, Syafiqah, Izan dan lain-lain yang telah mengilham, merancang dan melaksana aktiviti yang bermakna ini. Sesungguhnya penganjuran program seperti ini memerlukan kesabaran, iltizam dan pengorbanan yang tinggi dari aspek masa, tenaga, dan wang ringgit. Alhamdullilah, segala usaha kalian telah dimakbulkan Allah SWT.

Kira-kira pukul 8.15 pagi aku, Lin, Syafiqah dan Aiman telah bertolak dari Jitra menuju Port Dickson. Syukur alhamdullillah penyakit goutku semakin baik yang membolehkan aku menghadiri program ini. Syafiqah dan Aiman bergilir untuk memandu kereta. Perjalanan kami agak baik dan tenang sehinggalah tiba terowong menora, Ipoh. Lori terbalik yang merentasi keseluruhan jalan menuju ke selatan telah mengakibatkan perjalanan terganggu hampir 1 jam.



Perjalanan berhenti beberapa kali untuk mengisi minyak, minum pagi, makan tengahari dan solat Jumaat di Tapah. Jalan sesak lagi di persimpangan tol Jelutung sehingga lebuhraya NKVE. Alhamdullilah, akhirnya kami selamat sampai di Bayu Resort kira-kira pukul 6.30 petang. Perjalanan yang jauh dan memenatkan mengambil masa kira-kira 10 jam untuk sampai.  Lokasi Resort ini berhampiran pantai dan bersebelahannya pula ialah Kondo Percutian TNB. 




Telah sampai lebih awal di sini termasuklah Abangku Azmi dan isterinya, Ana, Lie dan 2 orang anaknya, Atiqah, Uda, Nabila dan Farwizah. Sebelah malam, adikku Izan tiba bersama Andak, isteri dan seorang anaknya, disusuli Along Firdaus, isteri dan 3 orang anaknya.



Ana dan lain-lain sibuk masak untuk makan malam manakala yang lain mempunyai tugas masing-masing. Kami sibuk berbual rancak sambil makan buah-buahan yang disediakan. Agak lama berbual kami makan malam beramai-ramai. Setelah makan malam aku, Lin dan Azmi dan Yan terus berbual manakala yang lain telah pergi ke bilik karaoke untuk berkaraoke.

Kira-kira pukul 11.30 malam aku terus masuk bilik untuk tidur manakala yang lain meneruskan aktiviti mereka.


29 Jun 2019 Sabtu

Pagi-pagi lagi Syafiqah, Atiqah, Nabila, Farwizah dan Uda  telah pergi mendaki Rumah Api Tanjung Tuan yang lokasinya kira-kira 3 km dari Bayu Resort manakala yang lain hanya duduk di resort sahaja. Selesai minum pagi semua cucu telah pergi ke kolam renang untuk mandi walaupun hujan turun dengan lebat (Sebahagian kolam ini mempunyai bumbung). 



Rumah Api Tanjung Tuan merupakan rumah api tertua di Malaysia yang terletak di selat Melaka yang paling sempit antara Semenanjung Malaysia dan Sumatera. Nama lain Rumah Api Tanjung Tuan ini ialah Cape Rachado Lighthouse yang dibina Portugis pada kurun ke 16 semasa mereka mula menjajah Melaka dan beberapa negeri, daerah dan negara di Asia. Setelah dimakan usia, rumah api dibina semula oleh British pada tahun 1863.



Aku mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di tepi pantai dan sempat berbual dengan pencuci pantai. Aku lihat pantainya cantik tetapi airnya agak kotor dan berbau. Tempat aku berdiri sambil berbual dengan pencuci pantai ialah longkang besar yang membawa air kumbahan dari bangunan-bangunan termasuklah hotel dan resort di sekitar kawasan itu. Tidak hairanlah airnya tidak begitu sesuai untuk bermandi manda. 





Kira-kira pukul 12.00 tengahari Fathul, isteri dan 2 orang anaknya tiba. Mereka tiba lewat kerana urusan sekolah anaknya, Ainul. Setelah selesai masak, kami ramai-ramai makan tengahari diikuti dengan buah durian. 



Setelah selesai makan tengahari, acara cabutan nombor bertuah dimulakan. Semua hadiah disediakan oleh Izan. Suasana begitu riuh rendah sekali ketika menerima hadiah masing-masing yang akhirnya semuanya dapat. Selesai sahaja aktiviti ini semua cucu diiringi ibubapa masing-masing mandi kolam lagi.



Aku dan Lin berkemas-kemas untuk pulang ke Jitra semula. Aku agak sedih kerana tidak dapat bersama-sama sehingga esok kerana kami terpaksa balik kerana Lin tidak dapat cuti. Aku doakan aktiviti-aktiviti berikutnya berjalan dengan lancar. Oleh kerana goutku masih lagi tidak lagi sembuh, Aiman juga terpaksa ikut balik ke Jitra untuk memandu kereta. Kami mula bergerak pada pukul 6.00 petang.

Alhamdullillah kami selamat sampai Jitra pada pukul 12.30 malam.

Sunday 23 June 2019

Pekanbaru Indonesia

Perkahwinan Cucu Saudara

21.6.19 Jumaat

Kami disambut di Bandara Pekanbaru oleh Cherles bapa pengantin perempuan. Cherles ialah cucu kepada 'kakak satu emak' emak saya yang bernama Mahani yang menetap di Indonesia. (Shamsiah (opah saya) berkahwin dengan Nusi dapat 2 orang anak iaitu Salleh dan Mahani. Kemudian Nusi berpisah dengan Shamsiah lalu membawa Mahani ke Pekanbaru, dan Salleh tinggal bersama Shamsiah. Shamsiah berkahwin semula dengan Imam Adam. Mereka mempunyai 6 orang anak iaitu Hasnah, Rokiah (Ipok), Noriah (Nonek), Busu (emak), Baharum dan Jalaludin).

 Kami tiba bersama-sama dengan pihak pengantin lelaki dari Kuala Lumpur. Sambutan di Bandara begitu meriah kerana dapat bertemu keluarga Cherles dan juga keluarga pengantin lelaki.



Cherles telah mengatur semua perjalanan kami di sini dengan melantik adiknya sendiri, Chairil sebagai LO kami. Kami terus di bawa ke hotel Aryaduta untuk menginap. Di hotel ini jugalah akan berlangsung kenduri perkahwinan pada hari Ahad, 23 Jun 2019.



Setelah daftar masuk dan rehat kami terus jalan-jalan di sekitar hotel dan terus makan malam di Restoran Sultan. Pelbagai menu ala carte disediakan. Kami ingin mencuba ikan baung bakar dalam buluh yang nampaknya istimewa berserta lauk-lauk yang lain.  Pelayan di sini memakai pakaian melayu tradisi lengkap dengan tengkolok. Apabila selesai sahaja ia meletakkan hidangan di atas meja, ia mohon izin untuk berpantun. Namun pantunnya tidak berbalas. Ha ha ha sebab kami tidak mampu membalasnya.



Cherles, aku, Anak sulong Cherles (kembar)
Anak bongsu Cherles, Lin, Anak kedua Cherles (kembar), isteri Cherles, Syafiqah
Pukul lapan malam, Kahfi, anak saudara Cherles datang ke hotel untuk menjemput kami ke rumah Cherles untuk majlis berinai. Tersergam indah bungalow besar Cherles bersebelahan dengan masjid yang cantik. Kami disambut oleh Cherles sendiri lalu diperkenalkan kepada sanak saudara di sana. Kedengaran pukulan rebana diiringi dengan nyanyian-nyanyian merdu dari kumpulan rebana wanita Pekanbaru.

Bersama Cherles dan isterinya


Isteriku bersama emak-emak saudara pengantin diberi peluang untuk menginai pengantin perempuan yang diiringi dengan paluan rebana dan nyanyian. Setelah selesai majlis berinai disusuli pula acara berzikir bersama paluan rebana dari kumpulan lelaki yang dibawa khas dari kampung isteri Cherles. Skrip zikir ini dibaca daripada kitab berzanji tetapi dengan irama dan nada yang merdu sekali dengan paluan rebana yang mengasyikkan.



Tetamu dan pasukan rebana ini dihidang dengan makanan istimewa yang dikenali sebagai 'roti cecah'. Menu ini hanya dihidangkan semasa majlis zikir dan paluan rebana sahaja. Sukar untuk mendapatnya di kedai-kedai atau majlis-majlis lain kecuali untuk majlis zikir dan paluan rebana sahaja. Rupa 'roti cecah' ini seperti roti canai atau peknga atau paratha. Ia dihidang dengan manisan yang diperbuat dari gula kabung.





Menikmati 'roti cecah'


Hampir pukul 12.00 malam kami mohon diri untuk pulang ke hotel.


22.6.19 Sabtu

Kira-kira pukul 9.30 pagi, Chairil datang menjemput kami untuk berjalan-jalan di Pekanbaru. Kami di bawa ke Pasar Pusar untuk mencari baju batik untuk Lin dan Along. Setelah selesai berjalan-jalan di sini, kami terus makan tengahari di restoran minang. Enak sekali makanannya. Setelah selesai makan kami pulang ke hotel.

Jam 3.00 petang Chairil datang ke hotel sekali lagi untuk membawa kami ke rumah Cherles untuk acara akad nikah. Rombongan pengantin lelaki yang juga tinggal di hotel yang sama sudah bersedia untuk ke rumah Cherles. Kami sampai lebih awal ke rumah Cherles dan didapati pihak keluarga pengantin perempuan sudah lengkap dengan pakaian melayu menanti ketibaan rombongan pengantin lelaki.





Setibanya rombongan pengantin lelaki yang membawa lebih 7 dulang hantaran disambut dengan meriah keluarga pengantin perempuan. Aturcara dimulai dengan bacaan AlQuran dan diikuti dengan pengenalan kedua-dua mempelai. Diikuti dengan ucapan pengantin perempuan yang memohon redha kedua-dua ibubapanya dan seterusnya ucapan Cherles yang meredhai pernikahan anaknya.

Setelah selesai sesi ucapan, acara pernikahan dilakukan sendiri oleh Cherles. Sebelum itu, jurunikah telah membaca khutbah nikah bagi difahami oleh mempelai. Jurunikah telah membaca doa sebaik sahaja akad nikah selesai dengan sekali ucapan dari pengantin lelaki.

Syair perpisahan telah disampaikan oleh seorang ahli rebana wanita dengan mendayu sekali. Sebaik sahaja hampir selesai syair, jurunikah telah memberi sedikit tazkirah bagi difahami oleh mempelai dan keluarga lelaki dan perempuan. Akhir sekali, pengantin lelaki telah membaca aku janji pernikahan dan menurunkan tandatangannya.

Jamuan ringan disediakan untuk semua tetamu yang hadir. Aku sempat bersoreh dengan keluarga di sana terutamanya dengan sepupu Cherles iaitu Waang dan pakciknya. Kira-kira pukul 7.15 ptg Chairil menghantar kami balik ke hotel.


23.6.19 Ahad

Setelah selesai minum pagi, kami berjalan-jalan di sekitar sambil merakam gambar-gambar kenangan. Kami balik ke hotel untuk berkemas-kemas untuk check-out pada pukul 12.00 th. Chairil sudah sedia menunggu di lobi untuk menyimpan bagasi kami dalam keretanya. Selepas itu kami terus ke Grand Ballroom untuk acara persandingan. 




Susun atur dewan ini menempatkan meja-meja khas seperti meja famili, meja rombongan pengantin lelaki dan VIP. Tetamu sudah mula memenuhi dewan ketika kami masuk. Chairil terus membawa kami ke meja famili dimana emaknya, adik-beradiknya dan pasangan mereka berada dan memperkenalkan kami. Emak Cherles tersangat teruja dapat bertemu kami begitu juga adik beradik Cherles. Banyak yang dibualkan terutama berkaitan dengan ahli-ahli keluarga yang terputus antara Malaysia dan Pekanbaru.



Adik beradik Cherles (Cherles tiada dalam gambar)
Yanti (isteri Chairil), Icut (Ipar Cherles), Ita, Lina, Ati, Syafiqah, Lin, Ibu Cherles, Aku, Chairil

Sementara kami berbual rancak rombongan pengantin lelaki tiba dengan paluan kompang namun ditahan di pintu masuk. Maka bermulalah sesi berbalas pantun antara pihak pengantin perempuan dan lelaki. Ini merupakan adat istiadat di sini yang telah diamalkan turun temurun. Setelah halangan dibuka rombongan berarak masuk diiringi dengan dayang-dayang dan paluan kompang. Pengantin terus menuju ke pentas bersama-sama ibubapa masing-masing (Ayah pengantin lelaki digantikan dengan menantu kerana dia telah meninggal dunia). Sebaik sahaja pengantin mengambil tempat tarian adat oleh dayang-dayang dimulakan.

Acara dimulai dengan bacaan doa dan ucapan pihak pengantin perempuan yang diwakili oleh Abang Ipar Cherles. Selepas itu semua tetamu beratur naik ke pentas untuk memberi ucapan tahniah kepada pengantin dan kedua-dua ibubapa mempelai. Kemudian para tetamu menjamu selera secara bufet. Kami hanya sempat menjamah kuih muih sahaja dan bergegas ke airport bersama Chairil. Tiba di airport lebih kurang pukul 2.00 petang untuk check-in. Pukul 4.20 petang kami berlepas dari Pekanbaru menjuk KLIA2.

Cherles, isteri Cherles, Syafiqah, Lin, Hazmie, Sarah, Aku, Datin Fatimah (ibu Hazmie), Abang Ipar Hazmie

Tiba di KLIA2 kira-kira pukul 6.20 petang. Setelah selesai proses imigresen dan kastam, kami mengambil bagasi dan terus ke stesen transit untuk ke Putra Central kerana kami simpan kereta di sini. Kira-kira 7.20  malam tiba di Putra Central dan terus memandu kereta balik ke Kedah. Sampai Jitra pukul 2.00 pagi.

Kepada Cherles dan Isteri, aku merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas layanan yang istimewa kepada aku dan keluarga.
Terima kasih juga kepada Chairil yang telah menemani kami sepanjang kami di Pekanbaru.
Kepada seluruh keluarga di Pekanbaru, aku ucapkan terima kasih atas keramahan dan kesantunan kalian dalam pertemuan keluarga buat kali pertama ini.
Kepada Sarah dan Hazmie, selamat pengantin baru, semoga hidup bahagia selalu.