Wednesday 16 December 2015

Dubai-Abu Dhabi-Istanbul-Cyprus

Percutian ke Dubai, Abu Dhabi, Istanbul dan Cyprus 21 - 28 Nov. 2015

Bagi menunaikan hajat isteriku untuk ke Istanbul, aku telah menempah 2 tiket kapal terbang dan hotel selama 4 malam di Istanbul. Aku dapati penerbangan Etihad menawarkan harga yang termurah sekali dibandingkan dengan penerbangan-penerbangan lain tetapi terpaksa dua kali transit iaitu di Abu Dhabi dan Zagreb, Serbia. Oleh kerana ia transit di Abu Dhabi maka aku terus singgah 1 malam 2 hari untuk melawat Dubai dan Abu Dhabi.
Burj Khalifa - highest buliding in the world
Kami sampai jam 6.00 pagi (22 Nov. 2015) di Abu Dhabi setelah terbang selama 7 jam 45 minit dari KLIA. Setelah selesai proses check-out, kami terus solat subuh di lapangan terbang Abu Dhabi. Kami terus ke Perhentian Bas khas untuk penerbangan Etihad untuk terus ke Dubai. Perkhidmatan ini diberi percuma untuk penumpang-penumpang penerbangan Etihad. Perjalanan agak selesa dengan melalui lebuh raya namun nasib kami kurang bernasib baik kerana bas rosak selepas kira-kira 1 jam perjalanan. Kami terpaksa menunggu bas lain lebih kurang 30 minit di tepi jalan.
Hari pertama dan tempat dilawati semasa di Dubai
Mohd Riyaz, agen pelancongan telah sedia menunggu kami setelah sampai ibu pejabat Etihad di Dubai. Tempat pertama yang kami lawati ialah Dubai Mall di mana sebelahnya terletak bangunan tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa dengan ketinggian 829.8 meter. Dubai Mall adalah pusat beli belah yang terbesar di Dubai di mana di dalamnya terdapat 'underwater world' yang besar.
Berlatarbelakangkan Burj Khalifa dan kolam air. Waktu malam 'water dancing' akan dimainkan
Setelah 'window shopping' di Dubai Mall, kami keluar untuk melihat lebih dekat bangunan tertinggi di dunia iaitu Burj Khalifa. Burj Khalifa memegang rekok bilangan lantai terbanyak dan elevator terpanjang di dunia. Di sebelah terdapat kolam buatan di mana di sebelah malamnya akan dimainkan 'water dancing' iaitu air pancut yang direka khas seolah-olah menari mengikut rentak muzik yang dimainkan.
New Dubai
Setelah itu kami dibawa ke Palm Jumeira kawasan tambakan laut yang berbentuk palm dijadikan kawasan perumahan/perhotelan mewah. Di sini terdapat sebuah hotel yang termahal di dunia di mana satu malam penginapan sama dengan harga sebuah rumah di Malaysia. Setelah menikmati keindahan kawasan ini kami terus di bawa pulang ke hotel penginapan.
Grand Mosque - Abu Dhabi
Oleh kerana kepenatan perjalanan yang panjang dari KLIA dan terus meronda Dubai maka sebelah malam kami hanya rehat sahaja. Keesokannya, 23 Nov. kami terus check-out dan mengambil teksi untuk ke ibu pejabat Etihad. Kami terus check-in beg untuk ke Istanbul pada malam ini. Setelah beberapa minit menunggu kami menaiki bas Etihad ke Abu Dhabi.

Masjid Besar Abu Dhabi
Setelah sampa ke lapangan terbang Abu Dhabi, kami terus mengambil teksi untuk pergi melawat Masjid Besar Abu Dhabi atau dikenali juga sebagai Masjid Sheikh Zayed. Ia sebuah mesjid yang besar dan mempunyai ciri-ciri bangunan moden.


Lapangan terbang Abu Dhabi
Setelah itu kami menaiki teksi untuk ke Madinat Zayed Shopping Center iaitu pusat membeli belah yang terkenal kerana mempunyai bilangan kedai yang banyak menjual emas disamping kedai-kedai biasa yang lain. Di sini kami membeli sedikit ole-ole kenangan untuk di bawa pulang.
Masjid Besar Abu Dhabi
Kira-kira pukul 7.00 petang kami bertolak ke lapangan terbang Abu Dhabi semula untuk penerbangan ke Istanbul pada malam itu. Penerbangan kami berlepas kira-kira pukul 2.00 pagi dan transit di Zagreb, Serbia yang mengambil masa lebih kurang 5 jam. Setelah transit lebih kurang 5 jam di sini kami menaiki kapal terbang ke Istanbul. Kami sampai Istanbul lebih kurang pukul 4.00 petang dan terus mengambil teksi untuk ke hotel. Waktu siang agak pendek pada musim ini kerana pukul 4.30 petang matahari sudah pun terbenam.
Makan malam di Sultanahmet, Istanbul
Setelah check-in hotel, kami berkemas-kemas untuk makan malam di Istanbul. Cuaca agak nyaman dengan suhu sekitar 12 darjah celcius. Setelah dinner, kami berjalan-jalan 'window shopping' di kawasan kami tinggal iaitu di Sultanahmet, kawasan pelancongan terkenal di Turki kerana ia berhampiran dengan ikon Turki iaitu Masjid Biru, Hagia Sophia dan Istana Topkapi.
Hagia Sophia - kunjungan kali ke 2
Keesokannya (25 Nov. 2015), selepas subuh kami pergi ke Masjid Biru dengan berjalan kaki dan kembali semula ke hotel untuk sarapan pagi pada pukul 7.30 pagi. Selepas sarapan pagi kami pergi semula ke Masjid Biru dan Hagia Sophia yang berhampiran.
Blue Mosque Istanbul
Setelah menikmati dan menghayati keindahan kedua-dua bangunan ikon ini kami berjalan lagi ke Istana Topkapi sebuah istana lama zaman pemerintahan kerajaan Othmaniah yang sekarang dijadikan muzium.
Berlatarbelakangkan Istana Topkapi
Di dalam Istana Topkapi ini terdapat bahan/peralatan yang sangat bernilai antara lainnya termasuklah janggut dan bekas tapak kaki  Nabi Muhammad SAW, pedang Saidina Ali dan pelbagai khazanah keagungan Islam lampau.
Istana Topkapi, Istanbul

Setelah selesai di sini kami menaiki teksi ke pengkalan 'boat cruise' untuk menaiki 'Bosphorus Cruise'. Pemandangan sungguh cantik sepanjang selat ini yang memisahkan antara benua Asia dan Eropah atau Turki Asia dengan Turki Eropah. Istanbul terletak di sebelah Eropah. Perjalanan menaiki bot ini mengambil masa selama 2jam.
Bhosphorus Cruise, Istanbul
Setelah selesai pengembaraan di Selat Bhosporus, kami pulang ke hotel. Selepas solat maghrib kami berjalan kaki ke satu lagi ikon Turki iaitu Grand Bazaar yang mempunyai seribu kedai di dalamnya. Terdapat pelbagai barangan yang dijual di sini dan kami membeli sekadar untuk bahan kenangan sahaja.

Keesokannya (26 Nov. 2015) pagi-pagi lagi kami telah bertolak ke lapangan terbang Atarturk untuk terbang ke Cyprus atas jemputan Near East University. Segala perbelanjaan kami di tanggung oleh pihak universiti.
Bilik Timbalan Dekan, Fakulti Pendidikan, Near East University, Cyprus

Kami tiba di lapangan terbang Nicosia (atau dikenali sebagai Lefkosa bagi penduduk tempatan) kira-kira pukul 11.00 pagi dan wakil universiti sudah sedia menunggu kami. Kami terus dibawa ke universiti dan dipertemukan dengan Prof. Fahriye Altinay dan Zehra Altinay, Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan Near East University. Perbincangan profesional antara aku dengan kedua-dua mereka dan dihadiri juga Dekan Fakulti Pendidikan.

Memberi ucapan di Seminar Near East University, Nicosia, Cyprus
Sebelah petang aku telah dijemput untuk memberi ucapan dalam satu semianr khas yang dihadiri oleh  para Dekan/Pengarah Fakulti/Institut, Pensyarah dan pelajar Ph.D. Tajuk yang telah diberikan kepada aku ialah 'Academic Visibility, Trust and Leadership'.


Kreynia, Cyprus
Setelah selesai ucapan dan minum petang kami telah di bawa ke bandar Kreynia, bandar tarikan pelancongan Cyprus. Sampai di sini hampir malam. Kami hanya sempat berjalan di sekitar kawasan hotel sahaja.

Keesokannya (27 Nov. 2015) pagi-pagi lagi kami telah meneroka bandar dengan berjalan kaki. Sungguh cantik pemandangan di kawasan ini, bandar pelabuhan yang mempunyai sejarah panjang keagungan zaman Islam lampau.
Nicosia, Cyprus
Pukul 1.00 petang wakil universiti menjemput kami untuk ke universiti sekali lagi kerana pada petang itu ada satu lagi acara menandatangani Surat Hasrat antara Near East University dengan Pertubuhan Pentadbiran dan Pengurusan Pendidikan Malaysia (MSEAM) dimana aku adalah Setiausaha Agungnya.



Fakulti Pendidikan, Near East University, Cyprus

Setelah selesai acara menandatangani Surat Hasrat, kami telah dibawa bersiar-siar di bandar Nicosia. Kali ini Prof. Fahriye dan Prof. Zehra sendiri telah menjadi host kami. Antara tempat yang kami lawati termasuklah masjid lama iaitu Mesjid Selimiye dan Old Bazaar.
Bersama Timbalan Dekan, Fakulti Pendidikan, Near East University, Cyprus
Mesjid ini pada asalnya ialah sebuah gereja yang dibina pada tahun 1209 ketika kerajaan Byzantine memerintah Cyprus. Selepas ia jatuh ke pemerintahan Islam ia telah ditukar menjadi mesjid hinggalah ke hari ini.
Masjid Selimuye, Nicosia

Setelah beberapa jam, kami dihantar pulang ke lapangan terbang Nicosia untuk terbang semula ke Istanbul. Kami tiba di Istanbul kira-kira pukul 11.00 malam dan terus pulang ke hotel.
Keesokannya selepas sarapan pagi kami berkemas-kemas untuk pulang ke Malaysia. Kami berlepas dari lapangan terbang Istanbul pada pukul 12.50 tengahari dan tiba di KLIA pukul 2.00 ptg (29 Nov. 2015)