Tuesday 13 August 2013

Sakit Hari Raya 2013

Hari ini (13 Ogos 2013, Selasa) aku dan Lin pergi ke Kedah Medical Center (KMC) untuk mendapat rawatan kesukaran untuk membuang air kecil. Aku mula mengesan kesukaran ini setelah memakan ubat gout yang dibeli di Farmasi Kuala Berang sehari sebelum Hari Raya Puasa. Pada malam raya aku mula mengambil pil-pil yang dberikan dan keesokan harinya aku telah mula kelainan ketika membuang air kecil. Selepas 4 hari ia bertambah sukar lagi. Pada hari Ahad, 11 Ogos 2013, aku dan sekeluarga terus ke KL untuk menghantar kedua-dua anakku yang belajar di KL. Pada hari Isnin setelah menghantar mereka ke tempat studi masing-masing aku terus balik ke Kedah tanpa singgah di Kg. Balun untuk menziarah makcik-makcik dan saudara mara aku di kampung walaupun pada asalnya sememangnya aku ingin singgah. Namun oleh kerana kesakitan aku bertambah aku terus saja balik ke Kedah dan sampai pada pukul 7.30 malam. Kesukaran membuang air kecil semakin serius dan pelbagai perkara bermain dalam fikiran akibat dari kesakitan untuk membuang air kecil ini.

Sebaik saja sampai di KMC, aku terus dibawa ke bahagian kecemasan dan mendapat rawatan dengan segera tanpa mengambil nombor giliran. Setelah memaklumkan kepada doktor kecemasan, aku terus di bawa ke katil untuk diberi rawatan. Doktor telah berbincang dengan aku beberapa pilihan. Namun aku hanya menjawab terpulanglah kepada Doktor apa yang patut dibuat kerana Doktor lebih memahami dan berpengalaman mengenai kesakitan ku. Ketika saat itu sememangnya aku amat sakit di perut malah ketika menaiki kereta terasa kesakitan apabila kereta melalui jalan-jalan yang tidak rata. Dengan secepat mungkin Doktor terus memberi bius di zakar dan memasukkan tiub ke dalam zakar ku untuk membuang air kencing yang penuh di pundi. Selang beberapa minit, aku terasa lega. Kuantiti air kencing yang keluar adalah lebih kurang 1.5 liter.

Setelah berehat seketika, aku dibawa dengan manaiki kerusi roda untuk mendapat rawatan dari Pakar Urologi, Dr. Murali Mohan. Beliau telah bertanya beberapa soalan yang ada kaitan dengan penyakit aku; antaranya, usia aku, kekerapan membuang air kecil di waktu malam, kelancaran air kencing sekarang berbanding dengan 10 tahun dahulu, sensitiviti dengan air iaitu adakah terasa hendak membuang air kecil jika terdengar bunyi air. Jawapan yang aku beri semuanya diluar jangkaannya kerana pada usia 55 tahun adalah perkara biasa lelaki mengalami masalah kencing. Beliau terus memeriksa prostate aku dengan memasukkan jarinya dalam duburku. Seterusnya membuat scanning terhadap prostate dan buang pinggang ku. Beliau dapati semuanya normal. Cuma prostate aku membesar sedikit yang membuatkan saluran kencing menjadi sempit.

Beliau mencadangkan aku makan ubat terlebih dahulu, Xatral XL 10 mg, yang menurutnya di Hospital Kerajaan Alor Setar dan Jitra tidak ada stok kerana ubat ini mahal harganya. Selepas 3 hari, beliau minta aku datang semula untuk melihat kesan ubat yang diberi. Namun tiub yang berada dalam zakar tidak boleh dikeluarkan sehinggalah pada hari Jumaat (16 Ogos 2013) nanti. Aku melahirkan rasa tidak selesa kepada Doktor tentang tiub itu namun beliau menegaskan jika ia dikeluarkan aku akan mengalami kesakitan setiap kali aku hendak membuang air kecil nanti. Aku akur dengan nasihat Doktor itu.

Dengan adanya tiub itu membuatkan aku sukar untuk bergerak. Aku telah memaklumkan kepada IAB yang aku terpaksa meneruskan cuti rehat hingga hari Khamis (15 Ogos 2013). Aku cuma boleh duduk dan berbaring sahaja dan berjalan sikit-sikit. Bersolat dalam keadaan duduk sahaja.

Hari ini (16 Ogos 2013, Jumaat), aku, Linda dan Atiqah pergi semula ke KMC untuk mendapat rawatan lanjutan seperti mana dijanjikan pada pukul 9.00 pagi. Namun apabila aku mendaftar, nurse memaklumkan bahawa Doktor hanya ada pada pukul 11.00 pagi. Lalu aku mengambil keputusan untuk bersarapan dahulu di kafe KMC bersama Linda dan Atiqah. Setelah hampir pukul 11.00, kami terus ke Tingkat 3 untuk bertemu dengan doktor. Namun setelah sekian lama aku menunggu, nama aku tidak dipanggil lalu aku terus bertanya kepada nurse yang bertugas. Rupa-rupanya ada orang lain yang mungkin namanya sama dengan aku telah menerima rawatan terlebih dahulu. Setelah itu, aku terus dibawa ke bilik rawatan untuk membuang tiub dari saluran kencingku. Aku diminta berehat dan datang semula pukul 3.00 petang untuk berjumpa dengan doktor semula.

Di sebelah petang, aku dapat menemui Doktor Pakar tersebut dan setelah memeriksa prostate ku, ia sudah mula menguncup dan ini memudahkan aku membuang air kecil. Namun Doktor menasihatkan aku supaya terus memakan ubat yang diberikan kepada ku, kerana adalah normal prostate akan terus membesar sehinggalah kita meninggal dunia. Oleh itu, dengan memakan ubat yang diberikan tumbesaran prostate dapat dikekangkan.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

1 Mei 2017 Isnin

Dari subuh lagi aku telah merasakan kepayahan membuang air kecil. Semakin lama semakin sakit namun air kencing tidak juga boleh keluar. Ketika ini aku, Lin dan Along berada di hotel Siam Center, Hat Yai kerana meraikan persaraan seorang pensyarah IPGK Tuanku Bainun, En. Mohamad bin Osman. Sehingga ke pagi aku masih lagi merasa kesakitan yang amat sangat. Aku terus menelefon En. Mohamad untuk mohon bantuan beliau untuk ke hospital di Hat Yai.

Pukul 11.00 pagi kami berkemas dan terus check-out dan terus ke lobi. Setelah berbincang akhirnya aku buat keputusan untuk terus balik ke Malaysia dengan menaiki teksi dari hotel ke Danok dengan kos 700 baht. Dalam teksi aku amat sakit yang kadang kala tidak boleh dikawal.

Sebaik tiba di pos imigresen Thailand, orang begitu ramai sekali beratur menunggu giliran. Aku pada mulanya beratur juga namun selepas selang 30 minit ada seorang wanita melihat keadaan aku yang begitu tidak sihat dan terus menasihatkan aku untuk terus pergi ke kaunter. Sememangnya aku terasa amat sakit sekali. Aku, Lin dan along terus memotong barisan walaupun ada seorang yang cuba menghalang kami dari terus maju ke depan.

Di kaunter, aku maklumkan kepada mereka aku terpaksa berjumpa doktor dengan segera atas kesakitanku. Beliau faham dan terus membuat stamping atas passportku dan Lin & Along. Kami terus keluar dan berjalan ke sempadan Malaysia dalam hujan renyai-renyai. Lin dengan segera mencari teksi untuk kami ke tempat letak kereta. Selalunya teksi tidak mahu mengambil penumpang jaraknya terlalu dekat namun atas pujukan Lin dan ihsan pemandu teksi, kami terus di bawa ke tempat letak kereta kami di belakang Kompleks Bebas Cukai.

Aku terus masuk kereta dan mohon along pandu kereta. Hari ini sememangnya sesak kerana ramai rakyat Malaysia balik dari Thailand kerana cuti hujung minggu yang panjang. Dalam kereta aku masih lagi dalam kesakitan yang amat sangat. Along memandu dengan laju tetapi penuh cermat. Oleh kerana kesakitan yang amat sangat ingin sahaja aku mencari klinik di Changlun atau Hospital Jitra untuk mendapat rawatan dengan segera. Namun aku terfikir juga, mungkin mereka tidak mengetahui penyakit ku dan memberi rawatan yang tidak tepat. Akhirnya aku minta Along terus sahaja memandu ke KMC kerana aku ada rekod kesihatan di sana.

Kami tiba di KMC kira-kira pukul 3.30 petang dan terus di bawa ke bahagian kecemasan. Aku telah memaklumkan kepada doktor mengenai sejarah kesihatanku kepada beliau. Selepas itu aku terus diberi rawatan dengan memasukkan tiub ke dalam zakarku. Tidak sampai satu minit, 1 liter air kencing ku telah keluar. Aku merasa lega sekali. Selang beberapa minit aku dibenarkan pulang dan dikehendaki berjumpa Dr. Murali keesokannya.

2 Mei 2017 Selasa

Dr. Murali telah membuat scanning dan rawatan lain ke atas badanku. Beliau mendapati prostate ku membesar lagi yang mencengkam saluran kencing. Beliau telah  memberi aku ubat untuk 3 hari dan menasihatkan ku supaya tiub itu dibuka selepas 3 hari.

4 Mei 2017 Khamis

Pukul 9.00 pagi aku telah sampai ke KMC. Hari ini Atiqah yang memandu kereta untuk membawaku ke KMC. Aku terus mendaftar dan dimaklumkan akan rawatan yang dilakukan ke atasku. Aku terus sahaja ke bilik rawatan untuk membuang tiub dari zakarku. Selepas selesai, aku terus pulang dan datang semula pada pukul 3.00 petang untuk berjumpa Dr. Murali.

Dr. Murali telah membuat scanning lagi dan mendapati prostate ku membesar dari bahagian dalam. Ubat dan makanan mungkin boleh melambatkan sedikit tumbesaran prostate tersebut namun sekiranya masih lagi berlaku kepayahan kencing, pembedahan perlu dilakukan bagi membuang sedikit prostate tersebut. Aku akur dengan nasihat tersebut dan buat masa ini bertahan dengan memakan ubat yang diberikan.

7 Mei 2017 Ahad

Aku mula merasakan kepayahan untuk kencing mulai pukul 1.00 petang. Malah ketika aku solat Zohor, aku terpaksa berhenti kerana urgency untuk kencing sangat kuat namun yang keluar hanya sedikit sahaja. Mengambil 'uduk semula dan melakukan solat Zohor sekali lagi. Kali ini aku solat agak laju sedikit kerana aku takut rasa nak kencing datang lagi. Aku dapat menghabiskan solat ini.

Selepas itu kerap kali rasa nak kencing berlaku dan setiap kali aku ke bilik air, aku mengalami kesakitan yang amat sangat kerana air kencing tak boleh keluar lagi. Jika keluar pun hanya beberapa titik sahaja. Dan perkara ini terus beruluang hinggalah waktu Asar. Aku merasakan tak dapat melakukan solat Asar kerana masa aku habis di bilik air mengharapkan air kencingku boleh keluar sambil menahan derita kesakitan. Aku telah memaklukan kepada Lin dan Atiqah, aku terpaksa pergi ke KMC lagi solat Asar. Kira-kira pukul 6.00 petang, aku dapat juga solat Asar dalam keadaan kesakitan.

Lin dan Atiqah sudah bersedia menungguku untuk kami ke KMC. Setibanya kami di KMC, aku sekali lagi terus di bawa ke bilik kecemasan dan terus mendapat rawatan dengan memasukkan tiub dalam kemaluanku. Air kencing ku yang bertakung daripada pukul 1.00 lagi, telah keluar dengan banyak. Aku merasa lega sekali. Pukul 7.30 petang Dr. Murali datang memeriksa ku dan memberi nasihat rawatan yang sepatutnya diambil.

Dr. Murali mendapati prostate ku memang membesar dan menekan urethera sehingga ke bladder. Ia menasihatkan ku untuk membuat pembedahan. Aku akur dengan nasihatnya kerana dia adalah urology consultant. Oleh kerana itu, aku terus dimasukkan dalam wad. Aku memilih bilik yang ada satu katil supaya mudah Lin dan Atiqah menungguku. Sementara itu, Lin dan Atiqah pergi ke kaunter pendaftaran dan bayaran untuk mengurus ward admission.

Kira-kira pukul 9.00 malam aku dibawa ke Wad 606. Bilik ini seperti bilik hotel dengan bilik air di dalam, almari, kerusi panjang untuk penjaga, meja kecil berserta cermin, kabinet kecil untuk kettle dan barangan, TV dan 1 kerusi. Aku sendirian ketika ini kerana Lin dan Atiqah balik ke rumah untuk untuk mengambil keperluan aku.

Pukul 10.45 malam Lin dan Atiqah sampai. Mereka membawa nasi berlaukkan ikan dan sayur bendi. Aku sememangnya lapar kerana tidak makan dari pagi lagi. Lin dan Atiqah tidur bersama ku di wad.


8 Mei 2017 Isnin

Pagi-pagi lagi Dr. Murali telah datang menziarahiku dan memberi tahu aku berkaitan prosedur pembedahan pada hari Selasa. Selepas itu berselang seli nurse masuk untuk mengambil darah dan pelbagai perkara lain. Aku juga menjalani ujian ECG di katilku.

Menjalani ujian ECG

Pakar Bius pun datang selepas itu bagi menceritakan bagaimana pembiusan akan dilakukan. Aku hanya dibius separa sahaja iaitu di bahagian pembedahan yang biasa dibuat bagi pembedahan yang akan aku lalui, iaitu Transurethral resection of the prostate (TURP). 

Aku juga diperlukan untuk membuat ultrasound bagi memeriksa organ-organ dalamanku. Alhamdulillah kedua-dua buah pinggangku baik, tapi hati ada nampak lebih lemak sikit. Bila sampai bahagian bladder, nampak bagaimana prostate ku yang besar menolak bladder dan mencengkam urethra. Inilah membuatkan air kencing tidak boleh keluar. Dalam bladder tidak ada batu karang, Alhamdulillah.


9 Mei 2017 Selasa

Pukul 5.00 lagi nurse datang untuk mengambil bp dan ujian demam. Alhamdullilah kedua-duanya ok dan memberi aku sabun surgery. Aku mandi pagi itu dengan menggunakan sabun surgery untuk mengelak daripada jangkitan.

Pukul 8.30 pagi nurse datang dengan katil pembedahan untuk membawaku ke bilik pembedahan kerana aku adalah orang pertama akan dibedah hari ini iaitu kira-kira pukul 9.00 pagi. Aku telah siap dipakai dengan baju pembedahan oleh nurse tersebut. Namun setelah berada beberapa minit di atas katil, nurse telah memaklumkan kepada aku bahawa giliran aku menjadi kedua pula kerana memberi laluan kepada pesakit yang sudah berusia dan mempunyai masalah kesihatan yang perlu diberi perhatian segera.

Aku kembali ke katilku untuk berbaring semula. Kira-kira pukul 10.00 pagi aku telah dibawa ke bilik pembedahan diiringi isteriku Lin. Sampai sahaja pintu bilik pembedahan, Lin terpaksa menunggu di luar. Bahagian luar bilik pembedahan begitu sejuk. Nurse telah menyemak namaku dan sebagainya sebagai SOP mereka sebelum aku di bawa ke bilik bedah sebenarnya. Kemudian Pakar Bius, Dr. Aminuddin, telah datang dan memaklumkan kepada aku berkaitan dengan prosedur pembiusan akan dilakukan.

Alhamdullillah beliau merasa lega sedikit kerana aku tidak mempunyai sebarang alahan, penyakit-penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis, lemah jantung dan sebagainya. Ini memudahkan beliau membuat persiapan pembiuasan. Aku akan dibius separa sahaja iaitu dari bahagian pinggang hingga ke kaki. Bahagian atas, adalah seperti sediakala. Setelah selesai penjelasan oleh Dr. Aminuddin, aku terus di bawa ke bilik pembedahan. Suhu di bilik ini lagi sejuk dari luar. Aku menggigil di dalamnya walaupun telah diberikan dua helai selimut.

Aku diminta duduk di atas katil. Kemudian bahagian belakangku di spray dengan cecair yang sejuk. Dr. Aminuddin sambil bercakap denganku beliau menekan-nekan belakangku untuk mencari tempat yang sesuai untuk disuntik dengan bius. Setelah ditemui beliau maklumkan kepada aku, tahan sedikit kerana beliau hendak menyuntikku. Sememangnya sakit sedikit. Selepas itu ia menggosok gosokan belakangku. Selepas 5 minit bahagian pinggang dan kakiku sudahpun kebas.  Tibalah masanya untuk Dr. Murali memulakan pembedahan dengan teknik TURP.

Instrument 'resectoscope', yang mengandungi kamera dan alat surgical dimasukkan ke dalam saluran kemaluanku dan terus sampai ke prostate. Seterusnya alat surgical tadi terus menghiris sikit demi sedikit prostate dan terus disedut keluar. Aku memerhatikan sahaja yang dilakukan oleh Dr. Murali melalui skrin yang diletak berhampiranku. Kelihatan darah memancut keluar setiap kali hirisan dan ditutup semula dengan alat surgery tadi. Begitulah prosesnya sehingga pukul 11.45 pagi. Pukul 12.00 tengahari aku dibawa keluar dan diletakkan di bilik pembedahan. Aku maklumkan pada nurse aku terlalu sejuk dan beliau memberitahuku sememangnya suhu di situ memang sejuk. Aku terus diberikan 'warmer' untuk memanaskan badanku.

Setelah Dr. berpuas hati dengan keadaanku, aku terus dibawa ke wad ICU yang berada bersebelahan dengan operating theater. Sememangnya prosedur biasa, mereka yang lepas dibedah akan diletakkan di ICU untuk pemantauan rapi. Aku berada di sini hingga 8.30 malam sebelum dibawa ke wad aku di bilik 606.

12 MEI 2017 JUMAAT

Hari ini merupakan hari ke 6 aku tinggal di wad 606. Seperti biasa pukul 5.00 pagi nurse akan masuk untuk memeriksa tekanan darah dan status demam. Alhamdullillah setiap kali mereka memeriksa, aku dalam keadaan normal. Selepas itu mereka menyuntik antibiotik melalui drip. Pukul 6.00 pagi, nurse datang lagi untuk membuang tiub kencing dari kemaluanku. Kemungkinan besar aku dibenarkan balik hari ini, InsyaAllah.

Pukul 7.30 pagi, Dr. Murali datang untuk memeriksaku dan menurut beliau, aku boleh balik hari ini selepas selesai segala urusan kemasukan wad dan pembayaran. Beliau menasihatkanku supaya berehat selama seminggu dan tidak melakukan perkara-perkara yang menggunakan tenaga yang banyak seperti mengangkat benda-benda berat, berbasikal dan sebagainya. Beliau juga menasihatkan supaya kurangkan makanan pedas. Aku dikehendaki berjumpa beliau pada 18 Mei 2017 (Khamis) untuk membuat pemeriksaan susulan.

Pukul 2.30 petang, Atiqah berkemas-kemas dan mengangkut beg dan sebagainya ke kereta. Kira-kira pukul 2.45 aku keluar dari bilik dan mengucapkan terima kasih kepada para nurse yang menjagaku selama di wad. Aku dan Lin terus ke bilik discas untuk urusan pembayaran kos perubatan dan wad. Sambil aku menunggu pengiraan dibuat, Lin ke bahagian farmasi untuk mengambil ubat-ubatku. Jumlah keseluruhan yang terpaksa aku bayar adalah RM11,500.00 namun pihak KMC akan berurusan dengan syarikat insuranku, AIA, untuk tuntutan pembayaran. Aku tidak tahu berapa banyak yang aku terpaksa bayar mengikut polisi insuran yang aku beli.

Pukul 3.00 petang kami pulang ke rumah dengan Atiqah memandu kereta.



Friday 26 April 2013

Sepanyol April 2013


16 April 2013 - Selasa

Mendarat di Lapangan Antarabangsa Madrid pada pukul 2.00 petang  dengan disambut oleh Frank Attenbaun (Director, Forrocio Travel Agent) dan pemandu pelancong.


Selepas berbual ringkas kami terus dibawa menaiki bas yang sedia menunggu dan dibawa melancong ke beberapa tempat di Madrid. Tempat pertama yang kami lawati ialah Prado Museum iaitu sebuah museum yang menyimpan khazanah lukisan daripada kurun ke 12 hingga ke 19. Ia merupakan museum lukisan terbesar di Sepanyol dan paling ramai menerima kunjungan pelancong dari seluruh dunia.
Inilah bas kami selama 8 hari di Sepanyol

Del Prado Museum
Di hadapan Del Prado Museum


Setelah selesai di Del Prado Museum kami dibawa ke sebuah masjid di Madrid untuk menunai solat.

Masjid di Madrid - mampu menampung lebih 1000 jemaah

Stadium Bernabeu : Stadium pasukan kelab bola sepak terkemuka di dunia - Real Madrid (Real = Royal)


 Tempat-tempat yang lain yang dilihat dari dalam bas ialah Plaza de Espana, de Oriente, mayor, Puerta de Sol, Neptuno, Cibeles, Puerta de Alcala. Pukul 7.00 malam, makan malam di Aladino Restaurant dan 8.30 mlm daftar masuk di Hotel Florida Norte. (Puerta = Pintu)



17 April 2013 ; Rabu

Enam orang daripada kami pergi ke Kementerian Pelajaran untuk mesyuarat dengan Secretary of State on Education, Professional Training and Universities (Jawatan yang sama dengan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia) iaitu Madam Montserrat Goendio Kindelan. Antara keputusan yang telah dibuat ialah Kementerian Pendidikan Sepanyol akan menimbangkan untuk menghantar 5 orang pemimpin pendidikannya untuk menghadiri 3rd Regional Conference on Educational Leadership and Management yang akan berlangsung pada 19-21 November 2013 di Genting Hihglands.

L-R : Norihan Azizan, saya, Dr. Zainab (Timbalan Pengarah IAB), Dato' Ilankonvan (Duta Besar Malaysia ke Sepanyol)



Secretary of State on Education, Professional Training and Universities - Nombor 2 dari kiri












Selepas bermesyuarat sebahagian daripada kami pergi membuat penandaarasan di sekolah CEIP I Mangall, Plaza Dos de Mayo, 2, Madrid.

Dr. Zainab menyampaikan cenderahati dari IAB kepada Dato' Ilankonvan

Pada pukul 12.00 tengahari kami telah membuat kunjungan hormat ke Kedutaan Malaysia di Madrid. Kami telah diberi taklimat oleh Duta Besar Malaysia sendiri iaitu Dato' Ilankonvan. Antara perkara yang menarik yang ditaklimatkan termasuklah berkaitan dengan minat Sepanyol untuk melabur di Malaysia dimana sebuah syarikat terbesar di Sepanyol telah pun malabur Iskandar Park, Johor. Ia merupakan pelaburan terbesar Sepanyol di rantau Asia Tenggara yang berjumlah lebih 1 billion ringgit. Selain itu, pihak kedutaan juga boleh membantu pensyarah-pensyarah IAB yang ingin melanjut pelajaran peringkat Ph.D. dengan mengenalpasti universiti-universiti yang sesuai.

Selepas makan tengahari kami di bawa melawat ke Royal Palace dan Reina Sofia Museum. Istana ini dibina oleh Sultan Muhammad 1 Al-Cordoba pada kurun ke 9 yang dikenali sebagai Mayrit. (Kemungkinan besar nama Madrid berasal daripada Mayrit). Istana ini mengandungi 3418 bilik dan ia merupakan istana terbesar di Eropah dari aspek keluasan lantai iaitu 135000 meter persegi. Ketika ini Royal Palace hanya digunakan untuk upacara-upacara rasmi sahaja manakala Raja Sepanyol tinggal di sebuah istana di pinggir bandar.
Di hadapan Royal Palace

Di Reina Sofia Museum tersimpannya lukisan asli artis terkenal dunia yang berasal dari Sepanyol iaitu Pablo Picasso dan Salvador Dali. Museum Reina Sofia dibina khusus untuk menyimpan khazanah lukisan oleh artis-artis Sepanyol dan ia dibuka dengan rasminya pada tahun 1992.


18 April 2013 - Khamis

Selepas sarapan pagi kami terus bertolak ke Toledo dengan menaiki bas untuk melawat Sekolah Colegio Mayol S. Coop de C-LM, San Bernado, Toledo.

Di hadapan sekolah Colegio Mayol, Toledo.

Selepas lawatan ke sekolah kami di bawa melawat sekitar bandar Toledo yang indah yang dibina atas asas-asas pengaruh Islam, Yahudi dan Kristian. Disamping tiu kami juga dibawa ke kilang membuat pedang yang terkenal di Sepanyol. Toledo terkenal dengan hasil pembuatan pedang yang bermutu tinggi.
Di Galeri Kilang Pembuatan Pedang, Toledo


Pusat pelancong membeli belah di Toledo














Toledo : Suatu ketika di kiri sungai merupakan kubu pertahanan tentera Islam dengan binaan konkrit yang mantap. Sekarang ia menjadi penempatan orang-orang kaya. Sungai ini mengalir hingga ke Portugal.












Selepas makan tengahari kami terus ke Granada dan sampai pada pukul 7.00 malam. Jarak perjalanan dari Madrid ke Granada adalah lebih kurang 500 km.

Pemandangan perjalanan menuju Granada amat menarik sekali. Disepanjang perjalanan kelihatan perladangan pokok zaitun dan gandum begitu luas sekali. Sekali sekala kelihatan kincir angin dan sel solar sebagai punca tenaga bagi kegunaan ladang-ladang tersebut.

Ladang pokok zaitun


19 April 2013 - Jumaat

Kami bergerak ke Universiti Granada untuk sesi wacana perkongsian pengalaman dengan Fakulti Pendidikan berkaitan dengan Sistem Pendidikan Sepanyol dan Pengalaman Fakulti Pendidikan yang muncul sebagai 'Top 50 best Education Faculty in the world'. Antara hasil lawatan ini ialah untuk menggerakkan kerjasama antara IAB dengan University of Granada dalam bidang penyelidikan dan penerbitan. Disamping itu, Universiti of Granada berharap ada dalam kalangan pensyarah IAB mengikuti program Ph.D. yang ditawarkan oleh Fakulti Pendidikan UoG.

Menunggu bas di hadapan hotel untuk ke University of Granada
Bersama Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan dan Dr. Zainab




Istana Alhambra dilihat dari kaki bukit

Salah satu pintu masuk Istana AlHambra

Selesai berwacana kami telah dibawa ke Istana Alhambra, sebuah istana yang indah dan canggih kira-kira 1000 tahun yang lalu. Ia merupakan istana terakhir Empayar Islam di Sepanyol dan benua Eropah. Alhambra asalnya ialah sebuah kubu yang dibina pada tahun 889 dan dijadikan sebagai kubu dan Istana Diraja oleh Sultan Yusuf 1 pada tahun 1333. Apabila Empayar Islam dikalahkan oleh Kristian pada tahun 1492, sebahagian besar istana telah diubahsuai dan ada yang dimusnahkan.

Salah satu taman dalam Istana AlHambra


20 April 2013 - Sabtu

Selepas sarapan kami bergerak ke bandar Cordoba dan sampai kira-kira pukul 11.00 pagi. Selepas daftar masuk hotel, kami telah dibawa ke kawasan penempatan Yahudi dan Mosque Cathedral (Mezquita).

Dalam mosque-cathederal : Masih terdapat lagi tinggalan mehrab, dan sebagainya  berkaitan dengan masjid.
Mosque-cathederal - pandangan dari luar


Mosque Cathedral ini adalah mesjid yang ketiga terbesar di dunia ketika zaman empayar Islam berkembang ke Sepanyol. Masih terdapat lagi tinggalan senibina masjid, mehrab dan tulisan-tulisan arab dan ayat-ayat AlQuran dalam Cathedral ini. Selepas tumbangnya Islam di Sepanyol masjid ini telah dijadikan Gereja hinggalah ke hari ini. Di zaman kegemilangan Islam, Cordoba merupakan ibu kota dunia yang mempunyai lebih 1000 masjid, perpustakaan yang terbesar di dunia yang mempunyai lebih sejuta buku.


Bangunan ini mula dibina pada tahun 600 sebagai gereja namun apabila Islam berkembang di Cordoba ia telah dibahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian gereja dan masjid. Selepas itu bangunan ini mengalami proses pembesaran dari satu pemerintah ke pemerintah yang lain hinggalah zaman kegemilangannya pada tahun 987 oleh AlMansur Ibnu Abi Amir. Pada tahun 1236 Empayar Islam telah dikalahkan oleh tentera Kristian dan masjid ini telah ubah suai untuk menjadi sebuah gereja.
Mezquita - Dilihat dari seberang sungai




21 April 2013 - Ahad

Selepas sarapan pagi kami terus bertolak ke Madrid untuk perjalanan pulang ke Malaysia. Oleh kerana terdapat masalah teknikal Qatar Airways kami yang sepatutnya balik pada 22 April 2013 terpaksa balik pada 23 April 2013. Ini merupakan satu rahmat kerana kami berkesempatan untuk meneroka kota Madrid pada 22 April 2013.
Menaiki metro di Madrid



22 April 2013 - Isnin

Mengambil kesempatan masa yang ada untuk meneroka kota Madrid termasuk Madrid Golden Triangle, Retiro Park, Plaza Mayor, Sol, Sabatini Park etc. Mula berjalan kaki dari Principie Pio ke Plaza Espana untuk bertemu dengan rakan dari Madrid. Kami berjalan menyusuri jalan terpanjang Madrid iaitu Gran Via yang penuh dengan pelbagai kedai mewah. Sebelum sampai ke El Retiro Park singgah sebentar di Puerta de Alcala untuk mengambil beberapa gambar indah. Di Retiro Park berehat sambil menghirup cappucino panas (Suhu ketika itu ialah 14 darjah Celcius)
Di Retiro Park
Dari Retiro Park kami menuju ke Plaza Mayor melalui tempat-tempat yang menarik lain seperti Emperor Carlos V, Reina Sofia, Anton Martin. Di Plaza Mayor sempat mengambil beberapa gambar menarik dan memerhati pelbagai gelagat manusia yang membuat pelbagai persembahan. Berhenti rehat sambil menikmati yogurt. Dari Plaza Mayor kami bergerak ke Puerta de Sol, suatu tempat yang mesti dilawati bagi mereka yang sampai Madrid.
Puerta Sol

 Saya telah diperkenalkan dengan 'tapas' iaitu sejenis makanan popular bagi orang Sepanyol. Disamping itu, saya juga diberi peluang untuk menikmati 'spanish ommelate' ketika kami berhenti rehat. Dari sini kami berjalan lagi melalui Plaza Isabel, Palacio Real dan berhenti rehat di Jardine de Sabatini Park. Setelah berehat terus ke Estacion Principe Pio untuk minum Cappucino lagi.
Center of Spain, km = 0 yang terletak di Sol, Madrid



23 April 2013 - Selasa

Pada pukul 9.00 pagi bertemu dengan seorang rakan dari Madrid, Sofia seorang pelajar Ph.D. yang berasal dari Greek, dan terus membawa saya ke sebuah 'recreational park' berdekatan dengan hotel. Di sini terdapat pelbagai kemudahan beriadah seperti tapak perkhemahan yang bersih, kawasan berjoging, berbasikal, berkayak dan sebagainya. Kami sempat menikmati cappuccino panas di Lago de la casa de campo cafe yang terletak di tepi tasik.
Menikmati cappuccino panas di tepi tasik dalam suhu sekitar 10 darjah  Celcius

Pukul 11.30 pagi menaiki bas meninggalkan hotel untuk ke Lapangan terbang Madrid. Berlepas pulang pada pukul 3.00 petang dengan menaiki pesawat Qatar Airways. Transit di Qatar selama 2 jam sebelum terbang semula ke Kuala Lumpur. Sampai KLIA pada pukul 2.00 petang.
Transit di Doha selama 2 jam. Terpaksa duduk di lantai kerana orang terlalu ramai