Sunday 13 November 2016

Lahore, Pakistan: 1 - 5 Nov 2016


1 November 2016. Selasa


Aku telah dijemput Lahore College for Women University (LCWU), Lahore, Pakistan untuk menjadi Perucap Utama dalam konferen yang dianjurkannya iaitu '1st International Education Conference'. Tajuk yang diberikan kepada aku ialah Lifelong Learning.



Kira-kira jam 6.00 petang aku berlepas dari KLIA menuju Lahore dengan menaiki pesawat Malindo Air. Selepas 6 jam penerbangan aku tiba di Lahore pukul (9.00 malam waktu Lahore). Waktu Malaysia mendahului Lahore sebanyak 3 jam.
Aku telah disambut oleh Pegawai Protokol LCWU dan terus dibawa ke Rumah Tetamu universiti. Aku tiba di LCWU kira-kira pukul 10.00 malam. Makanan telah disediakan untuk aku dan Perucap Utama yang lain. Seramai 4 orang Perucap Tetamu tinggal di sini, dua dari Malaysia, 1 orang dari Karachi (Prof. Dr. Memon) dan seorang lagi dari UK (Prof. Saeeda)


Inilah Rumah Tetamu LCWU dimana aku tinggal selama 4 malam


2 November 2016. Rabu


Selepas bersarapan di rumah tetamu, aku mengabil peluang untuk berjalan-jalan dalam kampus kerana majlis pembukaan konferens akan diadakan pada pukul 2.00 petang di Hotel Palm, Lahore. Universiti ini mempunyai 15 ribu orang pelajar yang semuanya perempuan. Kawalan masuk ke universiti begitu ketat seperti masuk dalam kem tentera. Pegawai keselamatannya ramai.

Pukul 11.00 pagi semua Perucap Utama dijemput ke bilik Naib Canselor bagi sesi pengenalan bersama beliau. Aku telah menceritakan serba sedikit berkaitan dengan pendidikan guru di Malaysia.

Memberi Ucap Utama di 1st International Education Conference, Lahore
Pada pukul 1.30 petang aku telah dibawa ke Hotel Palm untuk sesi perasmian konferens. Kami dipesembahkan dengan pelbagai tarian dan nyanyian sebaik sahaja sesi pembukaan bermula.

Dalam Walled City, Lahore

3 Nov 2016. Rabu

Semua sesi Sidang selari diadakan di LCWU. Sebanyak 80 kertas kajian dibentangkan. Aku dijemput sebanyak dua kali sebagai 'Pengerusi' pembentangan yang fungsinya merumuskan semua pembentangan sesi selari tersebut.

Sebelah petang aku berehat di Rumah Tetamu kerana aku merasakan kurang sihat.
Menerima cenderahati dari Naib Canselor LCWU, Prof. Dr. Uzma

4 November 2016. Jumaat

Pagi ini merupakan sesi ucaputama dan perbincangan panel. Aku diberi kesempatan untuk memberi ucaputama yang pertama. Selepas selesai sesi ucaputama diadakan pula sesi sidang panel dimana semua perucap utama berada di pentas untuk memberi respons kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh peserta.

Setelah selesai sesi panel, ucapan penutupan dilakukan oleh Naib Canselor LCWU.
Semasa Sesi Panel



Panel Session : L-R : Me, Prof. Dr. Uzma, Prof. Saeeda, Dr. Salina, Prof. Nusra

Pada pukul 3.00 petang kami telah dibawa melancong ke Walled City, Lahore. Walled City merupakan bandar bersejarah yang dibina pada zaman Mogul. Ciri-ciri pembinaan Walled City ini sama seperti yang terdapat di Khiva, Uzbekistan.

Rombongan kami juga dibawa mengelilingi Walled City dengan menaiki kereta kuda. Jalan agak sesak hari ini ramai pedagang rempah mengunjungi Lahore untuk berniaga. (Lahore merupakan kota rempah terbesar di Pakistan). 

Lawatan kami di Walled City ini diakhiri dengan minum teh  dengan kuih tradisi Pakistan. Selepas itu kami terus balik ke LCWU. Makan malam disediakan di Rumah Tamu.


Di hadapan Rumah Tetamu : L-R: Sabahat (Pengurus Rumah Tetamu), me, Dr. Afifa (Coordinator Konferens), Dr. Salina; Sanam (Penolong Pengurus Rumah Tetamu)

5 November 2016 Sabtu 

Sebelah pagi, aku berkemas kerana pada petang ini aku akan bertolak ke lapangan terbang. Pukul 11.00 pagi, Dr. Afifa telah mengambil aku untuk berjalan sekitar Lahore terutamanya di Liberty, tempat membeli belah yang popular di Lahore. Kawasan membeli belah di sini lebih kurang sama seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman, KL namun ia lebih besar. Semua kedai di sini mempunyai generator yang diletakkan di hadapan kedai masing-masing kerana bekalan elektrik kerap kali terputus.

Di hadapan perpustakaan lama LCWU


Thursday 15 September 2016

Arafah - Mina

Setiap kali musim haji tiba, pasti aku akan teringat pelbagai peristiwa semasa mengerjakan haji pada bulan Januari 2005 terutamanya semasa berwukuf di Arafah dan bermalam di Mina. Berikut dipaparkan kesah aku di Arafah dan Mina.

18 Jan 2005 (Selasa)

Hari ini semua jemaah yang berada di Mekah akan bertolak ke Arafah. Aku dan Mak dijangka akan bergerak pada pukul 1.00 tengahari bersama-sama orang sakit (Mak diklasifikasikan sebagai orang sakit) manakala Lin dan Mek akan bergerak dengan bas lain. Apa yang dirancangkan tidak berlaku. Aku dan Mak bertolak ke Arafah pada pukul 10.00 malam dan sampai Arafah pukul 11.30 malam. Manakala Lin/Mek bertolak lebih awal iaitu pada pukul 8.00 malam. Ketika kami sampai di Arafah ramai jemaah telah tidur dalam khemah.

Aku dan Mak menaiki bas terakhir dari Mekah iaitu pukul 10.00 malam. Sebaik saja kami sampai Arafah, aku perhatikan Mak sangat lemah untuk berjalan. Aku terpaksa pimpin dan berjalan dengan perlahan. Dalam jarak yang tidak begitu jauh, banyak kali Mak berhenti. Mungkin Mak terlalu letih dan berjalan pula di atas tanah yang berpasir.

Arafah : Berdiri di atas bukit berhadapan dengan surau Maktab 89

Aku bertanya pada petugas dimana khemah Lin/Mek dan kami terus pergi ke situ. Aku dapati semua jemaah telah tidur. Aku dan Mak terpaksa memanggil Lin dengan suara yang kuat. Akhirnya Lin terjaga dan terus membawa Mak masuk dengan beliau. Lin menjangkakan kami tidur di khemah orang sakit. Sebenarnya tidak ada khemah khas untuk orang sakit disediakan. Aku terus ke khemah lelaki. Hampir semuanya telah tidur namun aku dapat juga ruang yang sempit untuk berbaring.


19 Januari 2005 Rabu

Seperti biasa aku bangun pukul 4.00 pagi untuk berkemas dan menunai pelbagai solat. Cuaca agak sejuk dan aku tiada peluang untuk mandi kerana bilik air senantiasa penuh dengan orang disamping ramai yang beratur menunggu giliran. Selepas solat subuh dalam khemah, aku berehat dan mengambil minum pagi yang disediakan.

Ketika hampir waktu zohor, aku pergi ke surau maktab 89 untuk solat zohor dan mendengar khutbah Arafah. Ramai dalam kalangan kami hanya berehat seketika untuk makan tengahari dan masa selebihnya digunakan untuk solat taubat, dan berzikir sehinggalah waktu asar. Solat asar berjemaah di Surau Maktab 89. Tanpa aku sedari air mataku menitis mendengar doa Imam yang sangat menyentuh hati. Aku terus berzikir hingga pukul 5.00 petang.

Aku kembali ke khemah untuk berkemas kerana dijadualkan bas akan bertolak pada pukul 6.30 petang. Bas pertama yang akan bertolak akan membawa jemaah yang sakit bersama warisnya/penjaganya. Oleh kerana itu aku akan menaiki bas pertama bersama Mak yang aku perhatikan semakin lemah. Kami terus ke Mina tanpa bermabit di Muzalifah. Kami tiba di Mina pada pukul 7.30 malam. Setiba kami di Mina, agak kecoh sedikit pengurusan haji kerana terdapat perubahan terakhir dari segi nombor khemah pada stiker dan yang sebenarnya. Jadi ada khemah yang terlebih jemaah dan ada yang kurang. Mujurlah jemaah haji mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Aku merasakan badan tidak begitu sihat pada hari ini. Lin dan Mek tiba lewat sedikit dari kami.
Beginilah keadaan dalam khemah, di situlah tempat tidur, makan dan solat


20 Jan 2005 Khamis

Seperti biasa pukul 4.00 pagi aku bangun untuk bersihkan diri bagi mendirikan solat dan zikir dalam khemah sehinggalah waktu subuh kami solat berjemaah dalam khemah tempat kami tidur. Kami menyusun beg masing-masing bagi membolehkan kami solat subuh berjemaah. Aku perhatikan ada jemaah tidur di luar khemah kerana ruang dalam khemah sememangnya sendat. Selepas solat subuh, minum pagi dengan 2 buku roti, 1 epal, 1 kotak jus oren dan 1 biji telur. Air panas ada disediakan di tempat khas dan sesiapa yang memerlukannya boleh ke situ untuk buat air teh atau sebagainya. Selepas minum, terus rehat dalam khemah.

Mina : Di kawasan inilah khemah kami ditempatkan, khemah yang paling jauh sekali dari tempat Jamrah. Ia bersempadan dengan Mudzalifah

Aku mendapat maklumat bahawa kawasan khemah kami dikenali sebagai 'muhassir' kawasan yang paling jauh sekali dari jamrah. Khemah kami bersempadan dengan Muzalifah. Kami diberi makluman akan melontar jamrah selepas solat isyak.

Kira-kira pukul 3.15 petang Lin datang menemuiku memaklumkan Mak sakit lagi, sesak nafas. Aku terus menemuinya dan sememangnya Mak sangat lemah. Aku segera ke klinik (klinik khas Tabung Haji juga dalam kawasan kami tinggal) untuk mengambil kerusi roda dan memimpin Mak duduk atas kerusi roda untuk terus ke klinik. Ketika itu para petugas klinik sedang berehat namun oleh kerana Mak sakit kuat mereka terpaksa memberi pemeriksaan. Doktor memaklumkan air dalam badan Mak sudah berlebihan mungkin kerana Mak culas makan ubat. Doktor terus memberi suntikan untuk mengeluarkan air dari badan.

Ketika itu Mak sudah lagi tidak berdaya untuk menahan kencing dan terus kencing dan buang air besar di situ juga. Lin bertungkus lumus mencuci kencing dan najis besar Mak yang melekat pada kain, baju, dan kain dalam. Kesemua kain itu dibuang dalam tong sampah kerana bukan mudah untuk membasuh pakaian di Mina kerana bilik air yang sedikit dan orang yang ramai bergilir-gilir untuk mandi dan berwuduk yang lebih prioriti. Mak sudah dalam keadaan fana. Mungkin itu sebabnya Mak tidak makan ubat sebab jika makan ubat yang diberikan, sudah pasti Mak akan ke bilik air untuk kencing sedangkan bilik air sangat terhad.

Pemeriksaan doktor mendapati panyakit darah tinggi Mak meningkat, begitu juga dengan kencing manisnya meningkat ke 12.8. Oleh kerana Mak sudah tak mampu untuk kencing sendirian, Doktor telah memasukkan tiub dalam kemaluan Mak untuk memudahkan air kencing keluar melalui tiub. Aku perhatikan Doktor agak sukar untuk membuat keputusan selanjutnya, dan ia terus menelefon rakannya dari Maktab lain. Rakannya datang untuk melihat Mak dan mereka sepakat untuk untuk bawa Mak ke hospital Muassim. Emak dan beberapa pesakit lain dibawa dengan ambulan pada pukul 5.00 petang. Aku terus balik ke khemah untuk solat asar.

Aku hanya mampu berdoa supaya Mak sembuh dengan segera dan juga berdoa supaya Lin terus sihat kerana Lin banyak membantu aku dalam menjaga Mak malah Lin menjaga Mak seperti menjaga emaknya sendiri.

Aku, Lin dan Mek bergerak dengan jemaah dari Maktab 89 menuju Jamrah pada pukul 8.30 malam. Pergerakan lancar walaupun perlahan kerana ramai lagi jamaah dari maktab-maktab lain juga bergerak pada masa yang sama. Kami sampai di Jamratul Aqabah pada pukul 10.15 malam. Lontaran agak mudah dibuat tidak bersesak-sesak, begitu juga Lin dan Mek agak mudah untuk mereka membuat lontaran. Setelah selesai aku membuat lontaran, aku ulangi lontaran bagi pihak Mak pula.

Dalam perjalanan balik, jemaah sudah berpecah mungkin kerana keletihan atau singgah untuk membeli belah. Aku, Lin dan Mek terus berjalan hinggalah ke Muassim. Aku bertanya kepada beberapa petugas Tabung Haji arah ke Hospital Muassim namum mereka pun tidak mengetahuinya. Kami terus berjalan ke Maktab 89 dan dalam perjalanan aku ternampak Mina Al Wadee Hospital. Aku terus ke situ untuk bertanya mengenai Mak. Aku bernasib baik kerana dapat bertemu dengan wanita Sudan yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Dengan bantuannya aku berjaya masuk hospital dan berjumpa dengan doktor. Aku dimaklumkan Mak tidak dimasukkan di hospital tersebut. Dalam hatiku berkata, kemana pula Mak dibawa? Aku memikirkan pelbagai perkara mengenai Mak sambil kami meneruskan perjalanan ke khemah dan sampai pukul 12.30 malam. Aku sangat letih dan terus tidur.


21 Januari 2005 Jumaat

Seperti biasa bangun pukul 5.00 pagi, bersihkan diri, solat-solat sunat dan subuh berjemaah. Selepas solat subuh aku terus minum pagi.

Selepas minum pagi aku dan Lin pergi ke pejabat Tabung Haji tetapi tiada petugas. Aku terus ke klinik Maktab 90 untuk bertanya kemana Mak di bawa. Aku dimaklumkan Mak telah di bawa ke Hospital Aziziah, Mekah. Pada masa yang sama aku terjumpa dengan petugas klinik Maktab 89 dan bertanya bagaimana aku dapat pergi ke hospital Aziziah kerana aku ingin berjumpa Mak dan tahlul awal untuk Mak dengan menggunting rambutnya. Aku dimaklumkan pihak Tabung Haji akan mengurus semua hal-hal haji bagi pesakit-pesakit yang masuk hospital Aziziah iaitu dari aktiviti melontar, tawaf dan saie. Pesakit hanya perlu membayar upah melalui potongan simpanan TH.
Di sinilah aku menunggu setiap hari untuk ke Hospital Aziziah untuk menziarah Mak namun hampa belaka kerana tiada ambulan yang bergerak ke sana

Aku tidak dapat melawat Mak kerana kenderaan awam untuk ke Mekah agak sukar diperolehi dari Mina. Aku kembali ke khemah dan bertawakkal kepada Allah mengenai kesihatan Mak. Moga-moga Mak sihat sebelum balik.

Selepas waktu asar aku pergi ke klinik Maktab 89 dan 90 untuk bertanya jika sama ada mereka akan ke Hospital Aziziah membawa pesakit. Jika ada, aku ingin tumpang namun tiada kes untuk di bawa ke Mekah. Pun begitu aku masih duduk di luar klinik sambil mengharap jika ada kes untuk ke Mekah. Aku tunggu sehingga waktu Maghrib namun tiada juga kes.

Aku terus balik ke khemah untuk solat maghrib/isyak dan makan malam. Malam ini kami dimaklumkan tiada aktiviti melontar kerana TH menasihatkan semua lontaran akan dihimpunkan sehingga malam esoknya. Aku merasakan badan tidak begitu sihat dengan batuk dan demam.


22 Januari 2005 Sabtu

Seperti biasa bangun pukul 4.30 pagi namun masih tiada peluang untuk mandi kerana orang terlalu ramai menunggu giliran. Malah aku terpaksa menahan kencing hingga selepas subuh. Solat subuh berjemaah dalam khemah dan seterusnya minum pagi. Selepas minum pagi, aku terus terlena kerana aku tidak begitu sihat. Selepas solat zohor, aku keluar di sekitar khemah, nampaknya ada tanda-tanda nak hujan. Tepat sekali ramalanku kerana tidak lama selepas itu, angin bertiup kencang menerbangkan habuk dan sampah. Hujan renyai yang turun tidak membasahi tanah. Tidak lama selepas itu, angin bertiup kencang dan tatkala kami solat asar berjamaah, hujan lebat turun mencurah-curah di bumi Mina. Sangat jarang perkara ini berlaku. Ramai jemaah yang hilang selipar kerana dihanyuti air. Aku bernasib baik kerana dapat menyelamatkan seliparku. Keadaan khemah agak riuh kerana ada bahagian-bahagian khemah yang bocor. Jemaah bertungkus lumus untuk membetulkan keadaan.

Kira-kira pukul 4.30 petang hujan mula reda dan ramai jemaah mencari selipar masing-masing. Ada beberapa khemah dimasuki air kerana tapak perkhemahan tiada sistem perparitan yang betul. Hujan lebat sebentar air mengalir mengikut kecerunan tanah.

Badan aku masih lagi lemah kerana demam dan batuk/selsema. Selepas solat isyak dan makan malam aku menelan sebiji panadol dan terus tidur.

Pukuk 9.00 malam TH membuat pengumuman bahawa aktiviti melontar yang sepatutnya dilakukan pada pukul 12.00 malam dibatalkan kerana kawasan jamrah dan jalan menujunya berlumpur. Berita tak rasmi yang aku dengari menyatakan ratusan jemaah mati di dalam terowong kerana banjir dan tiada bekalan elektrik yang berfungsi sebagai penyedut udara dalam terowong.

Kami dimaklumkan aktiviti melontar akan diadakan esok selepas solat subuh. Syukur Alhamdullillah kerana badan aku tidak begitu sihat untuk aktiviti melontar jika dilakukan malam itu. Aku terus tidur.


23 Januari 2005, Ahad

Aku kesejukan. Beberapa helai baju telah aku pakai dan selimut dengan kain ihram yang tebal namun masih lagi kesejukan. Pukul 3.00 pagi aku masih lagi demam. Aku terus sahaja bangun dan ke dapur maktab untuk mengambil air panas dan makan sebiji lagi panadol. Oleh kerana kesejukan aku memakai stokin pula, dan terus tidur. Pukul 5.00 pagi aku terasa lega sedikit dan bangun untuk solat subuh.

Pukul 6.30 pagi jemaah mula bergerak ke jamrah untuk lontaran hari ke 11, 12, dan 13 Zulhijjah. Dalam perjalanan ke jamrah aku perhatikan kesan banjir di Mina agak teruk sekali. Banyak maktab lain dinaiki air sehingga 3 kaki malah di suatu jalan di bawah jambatan aku nampak kesan air sehingga 10 kaki. Kelihatan pekerja-pekerja bertungkus lumus membersihkan kedai masing-masing.

Hari terakhir berada di Mina dan melontar ketiga-tiga jamrah untuk hari ke 11, 12 dan 13 Zulhijjah

Kami tiba di Jamrah lebih kurang pukul 8.30 pagi. Kebanyakan jemaah adalah dari Indonesia. Kami terus melontar Jamratul Ula, Wusta dan Aqabah untuk hari ke 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan mudah kerana jemaah tidaklah begitu ramai. Setelah selesai melontar untuk diriku, aku pergi melontar bagi pihak Mak. Kira-kira pukul 9.20 pagi selesai semua lontaran.

Kami bertiga beransur pulang ke khemah dan sampai pukul 11.00 pagi. Aku berkemas-kemas untuk pulang ke Mekah. Pukul 1.00 petang aku naik bas tetapi Lin dan Mek terpaksa naik bas lain walaupun aku bertegas kepada petugas supaya membenarkan naik bas sekali denganku namun permintaan aku tidak dilayan.

Dalam perjalanan pulang ke Mekah, aku perhatikan kesan banjir yang agak teruk. Banyak jalan yang rosak. Di Mekah kami terperangkap dengan kesesakan lalu lintas yang sangat teruk kerana dipenuhi dengan bas-bas yang membawa jemaah dari Mina.

Kami yang sepatutnya turun di hotel Cordoba terpaksa turun di hadapan hotel Sevilla. Akibat daripada itu, berlaku sedikit pertengkaran antara jemaah kerana ada yang memaksa pemandu untuk menurun kami di hotel Cordoba juga. Namun pemandu telah memaklumkan berjalan kaki lebih cepat daripada menaiki bas kerana jalan yang sesak begitu teruk sekali.

Aku turun dengan membawa 2 beg (1 lagi beg Mak) dan terus berjalan ke hotel Cordoba. Sampai hotel pukul 5.00 petang. Aku sangat keletihan namun terus mandi dan solat zohor/asar. Lin dan Mek tiba lewat sedikit dari aku dan mereka terpaksa berjalan lebih jauh daripada aku untuk sampai ke hotel. Mereka diturunkan di Bukit Marwah. Mungkin ini ujian Allah belaka.

Selepas solat maghrib, aku dan Lin pergi makan nasi briyani di restoran berhampiran dengan hotel dan sebungkus untuk Mek. Selepas makan kami terus pulang ke hotel.

Hatiku masih lagi tertanya-tanya perkhabaran Mak yang masih lagi berada di hospital sambil terus berdoa dan mengharapkan yang terbaik untuk Mak.


Inilah hospital Emak tinggal selama 8 hari (Emak keluar hospital pada 27 Januari 2005)








Sunday 12 June 2016

Almaty-Tashkent-Khiva

3 Jun 2016

7.00 pagi : menaiki ERL dari KL Central ke KLIA. Aiman telah menghantar kami ke KL Central dari Pudu Central manakala Syafiqah dan Atiqah tidak mengikuti kami kerana kereta padat dengan barangan Syafiqah yang memulakan cuti semesternya. Kami telah mengambilnya di Kuantan pada hari sebelumnya (Khamis) dan menginap di hotel Ancasa Pudu Central kerana kami terpaksa bertolak awal pada hari Jumaat ke Tashkent.

Tiba di KLIA kira-kira pukul 7.30 pagi dan terus bersarapan. Setelah menyemak semua keperluan dokumen perjalanan kami daftar masuk pada pukul 9.30 pagi.

12.00 th : bertolak ke Tashkent dengan penerbangan Uzbekistan Airline
4.00 ptg (waktu Uzbekistan)  : tiba di Tashkent dan transit selama lebih kurang 3 jam. (Waktu Malaysia mendahului selama 3 jam)
7.00 mlm : bertolak dari Tashkent ke Almaty, Kazakhstan
9.00 mlm (waktu Kazakhstan) –: Tiba di Almaty. Proses imigresen agak perlahan ditambah pula dengan ramai yang tiba pada waktu yang sama. Maganat dan Aisham telah menanti kami di airport dan terus membawa kami ke rumah tamu, University KIMEP. Tiba di rumah tamu kira-kira pukul 11.00 malam. Terus rehat. ( waktu Malaysia mendahului selama 2 jam )
Bersama Aisham dan Dr. Maganat - Pensyarah KIMEP University



4 June 2016 Sabtu. Almaty

Minum di kafe university bersama Aisham. Pada pukul 10.30 pagi Maganat datang untuk mengambil kami untuk berjalan-jalan di Almaty. Antara tempat yang dilawati termasuklah Taman-taman riadah dan Museum.
Independence Square, Almaty
Di puncak Gunung Hijau

5 June 2016 Ahad. Almaty

Pagi ini Aisham telah membawa kami ke Restoran berhampiran dengan University untuk sarapan pagi pada jam 9.00 pagi. Selepas itu kami terus ke Gunung Hijau dengan menaiki skyway. Pemandangan sangat menarik dari puncak bukit ini. Setelah itu kami turun semula dan terus ke restoran yang sama untuk menikmati makan tengah hari.

Selepas itu, Maganat datang untuk mengambil kami untuk dibawa ke sebuah lagi taman riadah yang agak besar. Ramai pasangan yang baru berkahwin membuat photo shoot di sini. Selepas itu kami terus ke restoran yang sama untuk menikmati makan malam. Selepas makan malam kami berkemas untuk ke lapangan terbang untuk terbang ke Tashkent pula.

Kapalterbang berlepas pada pukul 10.00 malam. Setibanya kami di Tashkent Maksujan, Makhprat dan lain-lain pensyarah dari Central Institute telah menunggu kami. Kami terus di bawa ke Hotel Wyndham untuk penginapan selama 4 malam. Kami telah dibekalkan dengan makanan yang banyak oleh Maksujan kerana malam ini adalah malam pertama bulan Ramadan. Kami  telah dimaklumkan waktu subuh adalah pukul 3.00 pagi dan maghrib pukul 8.00 malam. Wow panjangnya waktu berpuasa. Pukul 2.30 pagi room service menghantar makanan sahur untuk kami.

6 June 2016 Isnin - Tashkent

Kami rehat panjang pagi ini kerana keletihan dan tidak cukup tidur sebab lewat sampai dari Almaty. Pukul 10.00 pagi, Farkhod, LO kami telah datang ke hotel untuk menjemput kami ke Central Institute. Kami telah disambut oleh Rektor, Timbalan dan pegawai-pegawai kanan institut. Kami telah dibawa dari satu kelas ke kelas bagi melihat sendiri proses latihan sedang berlangsung. Semua peserta adalah guru besar dari seluruh Uzbekistan. Subjek-subjek yang sedang diajar ialah Pedagogi, Patriotism, Ekonomi Pendidikan dan Bahasa Inggeris Asas. Aku diberi peluang untuk berinteraksi dengan peserta-peserta kursus. Mereka sangat berminat dengan sistem pendidikan Malaysia terutamanya berkaitan dengan pembangunan profesional pemimpin pendidikan negara. 
Bersama pensyarah Central Institute of Teacher Retraining, Tashkent

Setelah itu aku dibawa ke bilik Rektor untuk berbincang pelbagai perkara termasuklah mengenai hubungan seterusnya antara kedua institut. Selepas itu aku dibawa ke Bilik Mesyuarat dimana semua pensyarah telah sedia menunggu bagi sesi dialog. Mereka sangat berminat untuk mengetahui sistem pendidikan negara termasuklah pembangunan profesional berterusan dalam kalangan pemimpin pendidikan. 

Seelah selesai berdialog, aku dibawa pulang ke hotel untuk berkemas kerana pada pukul 5.00 petang kami akan ke lapangan terbang untuk ke Khiva. Kapal terbang berlepas pada pukul 6.40 petang dan kami sampai di lapangan terbang Urgench pada pukul 7.50 petang. Kami diiringi oleh seorang pegawai dari Central Institute bagi melancarkan pergerakan. Kami terus dibawa ke sebuah restoran untuk berbuka puasa. Waktu berbuka puasa di sini ialah pada pukul 8.35 mlm. Kami berbuka dengan buah-buahan, sup, salad dan roti sahaja. Selepas itu kami terus ke Khiva dengan menaiki kereta yang telah disediakan oleh Regional Institute of Teacher Retraining. Tiba di Khiva pada pukul 10.30 malam dan terus berehat di hotel Old Khiva .



7 June 2016 Selasa

Pada pukul 7.00 pagi kami telah keluar dari hotel untuk berjalan-jalan di Bandar purba Incha Kala yang dibuka oleh anak Nabi Noh A.S. yang bernama Sim. Ia merupakan suatu kompleks Bandar lama yang telah dibina semula. Ia merupakan Bandar Bersejarah UNESCO dan sememangnya banyak kesan sejarah silam di sini.
Hotel Old Khiva - tempat kami bermalam. Hotel ini terletak berhadapan dengan kompleks Incha Kala

Berlatar belakangkan kompleks Inca Kala 

Pada pukul 10.00 pagi, pegawai pendidikan Daerah Khowarezm telah datang ke hotel untuk mengambil kami untuk di bawa melawat sekolah walaupun pada ketika ini sekolah-sekolah Uzbekistan sedang bercuti panjang. Kami terus ke sekolah muzik dan disambut oleh guru besar dan beberapa orang guru dengan iringan muzik yang dimainkan oleh murid sekolah. Selepas itu kami dibawa ke kelas-kelas muzik dan dipertontonkan bagaimana kelas tersebut dilaksanakan secara live.

Selepas itu kami dibawa ke dewan konsert sekolah untuk menonton persembahan para pelajar bersama-sama dengan guru-guru mereka. Kami dimaklumkan salah seorang pelajar sekolah itu telah menjadi juara peringkat kebangsaan dan akan mewakili Uzbekistan dalam pertandingan muzik antarabangsa pada bulan Julai nanti.
Konsert Khas untuk kami

Beginilah keadaannya kelas muzik sedang berlangsung

Selepas itu kami dibawa satu lagi sekolah untuk melihat persekitaran dalam dan luaran. Kami disambut oleh guru besar dan beberapa orang staf sekolah. Kami dibawa ke beberapa kelas yang telahpun dibersihkan dan disusun rapi bagi sesi sekolah berikutnya pada bulan September.

Selepas itu kami dibawa ke salah sebuah rumah yang didirikan kerajaan untuk pasangan baru berkahwin. Kami dibawa masuk ke dalam rumah dan keluasan rumah ini agak besar dengan 4 bilik dan 2 bilik air. Dalam kawasan rumah terdapat kawasan lapang untuk bercucuk tanam.


Selepas itu kami terus meninggalkan kota Khiva untuk ke Urgench. Sampai di sini kami terus ke taman riadah Jalolluddin (Raja Khawarozm yang menentang serangan Genghiz Khan)
Sekolah Muzik di Khiva
Selepas itu, kami terus ke Independence Square untuk seketika. Disini Rektor Regional Institute of Teacher retraining telah menjemput kami ke satu lagi taman riadah yang mempunyai tasik. Selepas beberapa minit di sini kami telah dibawa ke rumah Rektor untuk berehat sebelum di bawa ke lapangan terbang.

Pada pukul 7.00 malam kami bertolak ke lapangan terbang untuk terbang semula ke Tashkent. Penerbangan terlewat sejam dan kami hanya berbuka dengan air  dan buah sahaja di lapangan terbang. Pukul 10.30 malam kami bertolak ke Tashkent dan tiba pada pukul 11.40 malam. Rakan-rakan Farkhod telah bersedia menanti kami dan terus ke Hotel Wyndham.


8 June 2016 Rabu

Pada pukul 9.00 pagi kami telah dibawa ke sebuah masjid yang baru dibina yang namanya Masjid Putih. Selepas itu kami dibawa ke Bazaar Charsu. Cuaca terlalu panas sehingga mencecah 40 darjah Celcius. Kami tidak tahan berdiri lama atau berjalan-jalan di Bazaar ini kerana terlalu panas.  

Setelah berjalan-jalan seketika kami balik ke hotel pula kerana kepenatan. Pada pukul 6.00 petang sekali lagi Makhparat telah datang mengambil kami untuk berbuka puasa di sebuah restoran di tepi sungai. Kami berbuka dengan sup kambing, salad, buah dan kebab panggang. Selepas selesai berbuka puasa kami terus ke hotel dimana Maksujan (Rektor) telah sedia menanti bagi berbincang viva beliau yang akan berlangsung esok.

9 June 2016 Khamis

Pukul 9.15 pagi Makhprat telah mengambil aku untuk terus ke Tashkent State Pedagogical University bagi sesi viva voce Maksujan. Aku telah dilantik menjadi panel luar disamping dua lagi dari Uzbekistan bagi sesi ini. Selain dari tiga panel penilai, terdapat 21 orang jawatankuasa bebas yang menilai pembentangan calon. Sesi viva voce ini dipengerusikan oleh Rektor Tashkent State of Pedagogical University sendiri iaitu Prof. Dr. Sharipov Shavkat Safarovich. 

Format sesi viva ini dimulai dengan pembentangan calon selama 20 minit dan diikuti dengan soal jawab oleh jawatankuasa bebas. Setelah selesai sesi soal jawab ini, 3 panel pemeriksa akan memberi komen masing-masing dan seterusnya mencadangkan sama ada dianugerahi atau tidak calon berkenaan. Aku adalah ahli panel yang ketiga dalam membuat rumusan tersebut. Sebaik saja aku selesai membuat rumusan, jawatankuasa bebas membuang undi secara sulit sama ada calon ini layak atau tidak untuk dianugerah Ph.D.  Keputusan sebulat suara meluluskan calon ini.
Bersama calon PhD, Maksudjan (kanan sekali) dan Pengerusi Jawatankuasa Penganugerahan (no 2 dari Kanan)

Rektor Tashkent State Pedagogical University, Prof. Dr. Sharipov Shavkat


Setelah selesai sesi ini aku pulang semula ke hotel untuk berehat seketika sebelum ke shopping mall bersama Makhprat dan Linda. Selepas beberapa ketika di shopping mall, kami kembali ke hotel untuk membuat kemasan terakhir sebelum bertolak pulang ke Malaysia malam ini. Pukul 6.00 petang, kereta sudah sedia menanti kami untuk ke lapangan terbang. 

Di lapangan terbang Maksudjan sudah sedia menanti kami untuk to say goodbye. Setelah berbual seketika kami terus masuk ke lapangan terbang untuk membuat daftar masuk. Pukul 8.00 malam waktu berbuka di Tashkent dan kami berbuka dengan air mineral saja dan terus mendirikan solat berjemaah di suatu sudut ruang menunggu. Selepas solat kami ke kafe untuk berbuka puasa dengan buah-buahan dan roti. Pukul 9.40 kami berlepas dari Tashkent menuju Malaysia.




Saturday 7 May 2016

Bandung - Program Pengantarabangsaan

28 April 2014

Tepat jam 12.10 tengahari aku berlepas dari KLIA menuju ke Bandung dengan manaiki pesawat Malindo Air. Aku tiba di lapangan terbang Bandung kira-kira pukul 1.30 petang (waktu Indonesia) selepas terbang lebih kurang 2 jam. Setelah selesai urusan imigresen, aku terus menaiki teksi untuk ke Hotel Kembang, Jalan Cihampelas, Bandung. Jalannya lancar dan aku tiba kira-kira pukul 3.30 ptg. Oleh kerana kepenatan aku hanya berehat di bilik sahaja. Pukul 5.00 petang aku telah berjalan-jalan di sekitar hotel dan terus makan malam di Restoran Rajo Minang. Rakan-rakanku dari Jabatan Sains IPGKTB hanya tiba pada pukul 9.30 malam dari Jakarta. Aku dimaklumkan penerbangan mereka dari KL tertangguh sehingga 7 jam sehinggakan mereka lewat sampai ke Jakarta.

Laman web International Conference on Mathematics and Science Education


29 Apr 2016

Setelah selesai minum pagi, kami telah bertolak ke Sekolah Dasar Laboratorium, Universiti Pendidikan Indonesia, Bandung. Kami telah disambut oleh Kepala Sekolah (Guru Besar) dan Wakil Kepala Sekolah (Penolong Kanan). Kami terus dibawa ke bilik Kepala Sekolah untuk sesi berkenal-kenalan. Bilik Kepala Sekolah begitu sederhana sahaja dengan beberapa kerusi sofa tanpa pendingin hawa atau kipas. Kami diberi taklimat oleh Kepala Sekolah sendiri secara santai dalam bilik beliau. Secara umumnya sekolah ini mempunyai budaya pengajaran dan pemelajaran yang baik dimana semua guru mempunyai minat dan tanggungjawab yang tinggi terhadap murid-muridnya. Sekolah ini merupakan sekolah 'makmal' UPI dimana segala perbelanjaan mengurus adalah dibawah UPI. Ini bermaksud sekolah ini beroperasi seperti sekolah swasta dimana guru-gurunya dilantik oleh UPI dan gaji mereka juga dibayar oleh UPI. Murid-murid sekolah ini juga dikenakan bayaran yuran bulanan mengikut tahap-tahap tertentu. Semua guru sekolah ini adalah mereka lepasan dari UPI sendiri. Dalam kampus ini terdapat 3 lagi sekolah laboratorium iaitu Sekolah TADIKA, SMP dan SMA yang masing-masing mempunyai Kepala Sekolah  sendiri.

Bersama Kepala Sekolah Sekolah Dasar Laboratorium UPI

Selepas sesi pengenalan kami telah dibawa ke kelas-kelas untuk meninjau sendiri perjalanan sekolah. Sebelum itu kami diberi penghormatan dengan beberapa persembahan dari kalangan siswa (murid) yang terdiri daripada persembahan tarian, pencak silat dan angklong.

Di kelas-kelas kami diberi peluang untuk berinteraksi bersama murid dan guru.


11.00 makan tengahari
12.00 solat Jumaat di UPI

1.00 petang :     Mesyuarat Meja Bulat antara IPGKTB dengan FPMPIA (Fakultas Pengajian Matematika dan Pendidikan Ilmu Alam). Mesyuarat ini telah membincangkan perkara-perkara yang melibatkan kerjasama antara IPGKTB dan FPMPIA UPI dalam perkara-perkara penyelidikan, penerbitan dan lain-lain

Mesyuarat Meja Bulat bersama dengan Fakultas Pengajian Matematik dan Ilmu Alam.

Mesyuarat bersama dekan-dekan FPMPIA dari 12 universiti Indonesia


2.00 petang :        Aku dan Rushdi (Ketua Jabatan Sains IPGKTB) dijemput hadir mesyuarat bersama dekan-dekan FPMPIA dari 12 universiti Indonesia. Dr. Kenneth dari Singapura juga turut serta dalam mesyuarat ini. Ramai dalam kalangan Dekan berminat untuk membuat jalinan dengan IPGKTB khususnya dalam penganjuran seminar bersama. Pada masa yang sama mereka juga berminat untuk mengadakan koloborasi dalam bidang penyelidikan dan penerbitan.


3.00 petang :  Aku dan Rushdi balik ke hotel dan terus berjalan-jalan sekitar Jalan Cihanpelas. Hujan lebat petang ini sehinggakan terpaksa menggunakan perkhidmatan 'budak payung' untuk berjalan dari satu kedai ke kedai lain. 'Budak Payung' adalah kanak-kanak yang berusia antara 6 hingga 12 tahun yang meminjamkan payung mereka disamping


30 Apr 2016

8.00 pagi tiba di UPI untuk pendaftaran dan seterusnya menghadiri ICMSE. Aku telah dijemput untuk menjadi keynote speaker selepas Prof. Dr. Ken dari Singapura. Topik yang aku bicarakan ialah "Mathematics and Science Education : The trends and challenges".
Selepas berehat keynote speaker dari UPI dan UKM telah membentang kertas kerja masing-masing.
Selepas selesai sesi perucap utama, aku bersama rakan-rakan lain menghadiri sesi pembentangan selari hinggalah ke petang.

Menyampaikan ucaputama

Sesi soal jawab bersama Prof. Kenneth dari National Institute of Education, Singapura dan moderator





4.00 petang. balik ke hotel


1 Mei 2016

10.00 check out hotel untuk pulang ke Malaysia.

Tuesday 1 March 2016

Lawatan Profesional ke Jerman

21.2.16 Ahad

Pukul 8.45 pagi aku dah Shuibun telah berada di KLIA untuk penerbangan ke Jerman bagi program lawatan profesional ke Frankfurt dan Berlin. Program ini dianjur oleh MSEAM dan seramai 26 orang peserta mengikutinya dari pelbagai latar belakang yang merangkumi IAB, PPD, IPGKTB, sekolah dan Sekolah Cempaka. Kira-kira pukul 9.00 pagi, Ketua Rombongan dari TM Tours, Tn. Hj. Ridzuan telah tiba bersama dengan barangan dan terus memberi taklimat kepada kami. Setelah selesai taklimat Tn. Hj. Ridzuan telah mendaftar masuk kami secara berkumpulan.


Kira-kira pukul 12.30 tengahari kami berlepas dari KLIA menuju Istanbul dengan menaiki Turkish Airline. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 11 jam. Kami transit di sini selama 2 jam sebelum berlepas ke Frankfurt. Oleh kerana terdapat kelewatan, kami berlepas setengah jam lewat dan tiba di Frankfurt pukul 11.00 malam (local time). Setelah selesai proses imigresen dan kastam, kami telah dibawa ke hotel NH yang tidak jauh dari lapangan terbang. Daftar masuk hotel berjalan lancar.











22.2.16 Isnin

Selepas bersarapan pagi kami di bawa bersiar-siar dengan bas di Frankfurt. Program ini menggantikan lawatan ke Institut Latihan Guru (TTT) yang ditangguhkan kepada 23.2.16. Selepas itu kami bersiar-siar selama 1 jam di Frankfurt CBD sebelum kami di bawa ke Restoran Nur Kuala Lumpur untuk makan tengahari.

Selepas makan tengahari kami ke Mesjid Abu Bakar yang secara kebetulan berada hampir dengan restoran. Selepas solat kami di bawa ke city center, Romer, untuk bertemu guide dan seterusnya membawa kami ke tempat-tempat yang bersejarah berhampiran.

Guide di Frankfurt

Antara tempat-tempat yang kami lawati ialah Frankfurt old City, Paul Church, Stadtwher Militia, River Mainze dan kawasan yang persekitaran yang begitu menarik pemandangannya. Kami mengambil peluang untuk shopping kawasan tarikan pelancong ini.


Pada pukul 6.00 petang kami sekali lagi ke Restoran Nur Kuala Lumpur untuk makan malam. Makan malam kami disertai Konsulat-General Malaysia di Frankfurt iaitu Pn. Adriana Shamsuddin dan suaminya, seorang usahawan. Sebaik sahaja selesai makan malam Pn. Adriana telah memberi taklimat ringkas fungsi konsulat Malaysia di Frankfurt, iaitu satu-satunya konsulat Malaysia yang berada di Eropah. Selepas itu, suaminya pula telah mengongsi pengalaman beliau sebagai usahawan yang telah membuka peluang kepada kami untuk bertanya banyak soalan yang hampirnya semuanya berkaitan dengan hubungan system pendidikan Negara dengan perkaitannya dengan kelahiran usahawan yang Berjaya. Pada ketika ini, Jerman memerlukan ramai jururawat, mekanik dan jurutera. Perkhidmatan jururawat untuk pusat penjagaan orang tua dan 'jururawat peribadi' merupakan perniagaan yang melibatkan trilion euro setahun di Jerman. Ini memandangkan orang-orang Jerman sihat, panjang umur dan mempunyai wang untuk menggaji jururawat peribadi atau pun pusat penjaggan orang tua.



23.2.16 Selasa

Selepas minum pagi di Hotel, kami membuat daftar keluar hotel dan seterusnya berada dalam bas pada pukul 8.30 pagi. Kami bertolak ke Technological Training for Teachers (TTT) di Hessen yang tidak begitu jauh dari tempat kami tinggal. Pagi ini kami agak bertuah kerana telah disambut dengan salji yang nipis semasa di hotel dan semakin menebal setibanya kami di TTT. Ramai dalam kalangan kami tidak melepas peluang untuk bermain salji dengan mengambil gambar kenangan.
Mr. Hiegel sedang memberi taklimat

Kami telah disambut oleh Mr.  Hiegel, Ketua Jabatan Teacher Training TTT dan Sharkawi dan Rohana, pegawai konsulat kita di Frankfurt. Kami telah diberi taklimat oleh Mr. Hiegel berkaitan dengan system pendidikan vokasional Jerman. Kesimpulan yang boleh dibuat dalam taklimat ini ialah Jerman ingin melatih para pekerja yang ‘kompeten’ dalam industrinya dan mereka tidak menitik beratkan keputusan peperiksaan awam atau peperiksaan yang begitu akademik sifatnya. Pendidikan vokasional mereka mementingkan pekerja yang ‘kompeten’ untuk memenuhi keperluan industry mereka yang terkenal dari aspek kualiti produknya seperti Mercedez, BMW, Audi, VW, Bosch dan lain-lain lagi.
Bengkel


Selepas taklimat kami dibawa ke kelas-kelas dan bengkel-bengkel di sekitar kampus. Kami diberi peluang untuk berinteraksi bersama tenaga pengajar dan pelajar mereka. Nyata sekali hubungan tenaga pengajar dan pelajar sangat akrab dan profesional. Kami juga telah didedahkan hasil kerja para pelajar yang tinggi kualitinya.

Pukul 11.30 pagi kami meninggalkan TTT dan terus menuju Berlin dengan menaiki bas. Perjalanan ini mengambil masa 8 jam. Kami hanya berhenti 2 kali sehaja untuk berehat selama 15 minit hentian pertama dan 30 minit untuk hentian kedua. Itulah masa untuk kami meluruskan badan, minum dan solat. Sepanjang perjalanan kami melihat tanah pamah yang luas sejauh mata memandang kerana ketika ini adalah musim sejuk jadi ladang gandum, jagung dll adalah dalam keadaan kering kontang. Di samping itu juga kami dapat melihat salji di sepanjang perjalanan. Lebuhraya yang baik ini mempunyai had laju tertentu di beberapa tempat dan TIDAK MEMPUNYAI HAD LAJU di tempat-tempat yang tertentu di mana pemandu boleh memecut mengikut kemampuan kereta masing-masing. Lebuhraya yang cantik ini TIDAK mempunyai tol.
Makan nasi bungkus 'brahim' di tepi jalan dalam perjalanan ke Berlin


Kami tiba di Berlin pukul 8.00 malam dan terus ke Restoran Baraka yang diusahakan oleh orang Morocco. Kami dihidangkan makanan Morocco namun ramai kalangan kami tidak begitu berselera untuk makan mungkin keletihan dan kesejukan dalam perjalanan yang panjang. Atau mungkin juga makanannya tidak menyelerakan. Agak membazir juga kerana banyak makanan yang tidak dijamah. Pemilik restoran bermurah hati dengan membungkus makanan yang tidak habis untuk kami bawa pulang ke hotel.

Selepas selesai makan malam kami terus dibawa ke hotel TRYP Berlin East dan selesai daftar masuk pukul 10.00 malam.



24 Feb 2016  RABU

Selepas minum pagi kami bertolak ke Technological University Berlin (TUB) pada pukul 8.30 pagi. Pagi ini sungguh dingin kerana terdapat ketulan-ketulan kecil salji yang turun di sekitar hotel. Oleh kerana perjumpaan kami di university ditunda pada pukul 11.00 pagi, maka kami telah dibawa ke ‘Central Berlin’. Kami diberi masa sejam disini untuk merakamkan gambar berlatar belakangkan bangunan-bangunan klasik termasuklah muzium yang terletak di tebing sungai Ryne. Disamping itu, sempat juga kami membeli cenderamata di kedai berhampiran. Pukul 10.30 pagi kami bertolak ke TUB dan sampai pada pukul 10.45 pagi. Salji mula turun dengan banyaknya dan kami terus mengambil peluang untuk bergambar kenangan.

Pagi di depan hotel Tryp, Berlin


Pukul 11.00 pagi Prof. Hans Liedger  telah memberi taklimat berkaitan dengan TUB. Antara lain taklimat ini adalah merangkumi system pendidikan Jerman terutamanya untuk melahirkan tenaga mahir yang kompeten. Di samping itu kami dimaklumkan sekolah dan university kerajaan adalah lebih baik dari sekolah dan university swasta. Kami juga diberitahu bahawa university Jerman lebih menitik beratkan ‘research oriented learning’. 

Sistem persekolahan mereka pula memberi peluang kepada pelajar untuk memilih bidang sama ada vokasional/teknikal dan akademik. Pensyarah university mereka pula lebih cenderung untuk melakukan research daripada mengejar kenaikan pangkat. Peruntukan untuk membuat penyelidikan adalah dorongan utama mereka untuk terus berkhidmat dan bukannya kenaikan pangkat.


Kesejukan di hadapan pintu masuk Technical University Berlin



Prof. Hans Liedger


Setelah selesai taklimat, kami dibawa ke bengkel-bengkel dan kelas-kelas. Pukul 1.00 tengahari kami meninggalkan TUB untuk makan tengahari di Restoran Baraka yang diusahakan oleh orang Turki. Makan tengahari ini kami dihidangkan dengan kebab daging.

Pukul 2.30 petang kami bertolak ke Kedutaan Malaysia di Berlin. Kami disambut oleh pegawai kedutaan, dan 4 orang kami iaitu Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Bajunid, Dato’ Rahim, Dr. Shahri dan aku telah dibawa berjumpa  dengan Tuan Terutama Duta iaitu Dato’ Zulkifli Adnan. Selepas itu, T.T. Dato' Zulkifli dan Pn. Rus Shazila sudi memberi taklimat berkaitan fungsi dan peranan kedutaan kepada semua ahli delegasi. Selepas itu, jamuan ringan disediakan.

L-R: Dr. Shahri, Dato' Zulkifli (Duta), Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim, Dato' Rahim, me


Pukul 5.30 pagi kami telah dibawa ke kompleks membeli belah terbesar di Berlin iaitu KaDeWe Shopping Complex. Lebih kurang setengah jam lepas itu kami berkumpul semula untuk menaiki bas untuk ke Rumah Malaysia, iaitu rumah kediaman rasmi Duta. Duta telah meraikan kami dengan jamuan makan malam sambil bertukar-tukar maklumat secara santai. Ramai kalangan kami teruja dengan kemesraan dan kebaikan Dato’ Duta dan isterinya Datin Siti Hawa yang sentiasa melayan kami dengan penuh minat. Setelah selesai makan malam kami kembali hotel pada pukul 8.15 malam.


Makan Malam di kediaman Duta


25.2.16 KHAMIS

Selepas sarapan pagi semua peserta delegasi menaiki bas pada pukul 8.30 pagi untuk melawat  Sekolah Platanus. Kami tiba di sekolah pada pukul 9.00 pagi dan disambut oleh kumpulan pengurusan sekolah yang diketuai oleh Managing Director sekolah iaitu Dr. Karen Kruger. Kami dibawa ke bilik taklimat bagi menerima taklimat pihak pengurusan.

Dr. Karen Kruger, Pengarah Urusan Sekolah Platanus, sedang memberi taklimat


Sekolah ini merupakan sekolah swasta yang ditubuhkan oleh sekumpulan 4 orang wanita. Sekolah ini mempunyai lebih kurang 130 orang murid yang berumur antara 6 hingga 13 tahun dan seramai 40 orang guru. Sekolah swasta di Jerman tidaklah sepopular sekolah swasta negara lain seperti di England, US, Malaysia kerana di Jerman sekolah kerajaan adalah percuma dan berkualiti. Anehnya gaji guru-guru sekolah swasta adalah dibiayai oleh kerajaan tidak seperti Malaysia semua kos mengurus sekolah swasta adalah hasil dari yuran murid atau derma/sumbangan dari individu atau syarikat. Kami diperingatkan untuk tidak mengambil gambar ketika membuat lawatan dan pemerhatian dalam kelas terutamanya gambar murid-murid bagi mematuhi undang-undang privasi individu.

Taklimat oleh Pengarah Urusan sebelum membuat pemerhatian sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Setelah mendengar taklimat ringkas, kami telah dibahagi dalam 6 kumpulan untuk melihat sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku dalam kelas. Aku telah memilih kelas matematik bagi tahun 3 (umur 8-9 tahun). Sekolah ini mengamalkan dwi-bahasa dalam semua subjek yang diajarnya. Oleh kerana itu, murid-murid sekolah ini mampu menulis, membaca dan bertutur dalam bahasa Jerman dan Bahasa Inggeris dengan baik.

Murid-murid dalam kelas yang aku lawati terdiri daripada pelbagai bangsa selain dari Jerman, iaitu Azerbaijan, Mesir, Jordan, Afrika, US dan Perancis. Mereka boleh berkomunikasi dalam bahasa Jerman dan Inggeris dengan baik. Terdapat 2 orang guru dan seorang pembantu murid dalam setiap kelas. Setiap kelas murid-murid akan dibahagi dalam 2 kumpulan. Kumpulan pertama akan menggunakan Bahasa Inggeris dalam kumpulan kedua menggunakan Bahasa Jerman secara serentak dalam kelas bersebelahan. Setelah meninjau kelas ini, aku bersama 5 orang lagi dibawa melawat beberapa kelas lain dan makmal.

Aku bersama Ketua Delegasi dan Aimi pengetua sekolah cempaka telah dibawa ke bilik khas untuk ditemubual pelajar tahun 5 yang juga merupakan editor English Buletin sekolah. Agak menarik juga soalan-soalan yang dikumukakan. Yang paling menarik mereka mempunyai keberanian bertutur dalam bahasa Inggeris.

Selepas selesai lawatan ini, kami dibawa untuk makan tengahari dan seterusnya melawat Berlin dengan bimbingan Pemandu Pelancong. Antara tempat-tempat yang dilawati termasuklah Berlin Wall dan Berlin Central. 



26 Feb 2016 Jumaat

Selepas minum pagi kami telah mendaftar keluar hotel dan menaiki bas untuk ke Kementerian Pendidikan. Tepat pukul 10.00 pagi, kami telah diberi taklimat oleh Prof. Brunner berkaitan dengan system pendidikan Berlin dan bagaimana mereka memastikan kualiti pendidikan di Jerman.
Kementerian Pendidikan

Pukul 11.30 taklimat selesai dan kami diberi peluang untuk shopping di sekitar Kementerian Pendidikan yang merupakan pusat membeli belah yang terbesar di Berlin. Antara shopping complexes yang ada ialah Primax, Galleria, Saturn dll.

Tepat pukul 2.00 petang, semua delegasi sudah berada dalam bas untuk berangkat ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia namun aku dan 6 orang lagi menyambung pengembaraan di Eropah. Aku dan Shuibun hanya tinggal di Jerman, 4 orang lagi ke Italy dan seorang ke London. Aku mengambil peluang ini untuk menyampaikan taklimat terakhir lawatan profesional ini. 

Aku dan Shuibun telah menaiki teksi ke ZOB untuk membeli tiket bas ke Frankfurt pada malam itu. Tiket bas berharga 28 euro dan bertolak pukul 11.00 malam dan dijangka sampai Frankfurt pada pukul 6.00 pagi.  Dari ZOB kami telah menaiki keretapi ke stesen Storkower Strasse, stesen yang paling hampir dengan hotel Tryp untuk mengambil beg yang kami tinggalkan di situ pada pagi tadi. Kami berjalan kaki selama lebih kurang 20 minit untuk ke hotel. Setelah selesai menunaikan solat dan makan malam dengan nasi bungkus ‘Ibrahim’ kami menaiki teksi untuk ke stesen Storkower untuk menaiki keretapi ke ZOB.
Stesen keretapi yang paling hampir dengan stesen bas ZOB, Berlin


Setelah kami naiki teksi, kami dapati pemandu membawa jalan lain tidak seperti jalan kami berjalan kaki tadi. Sambil berbual dengan Shuibun, kemungkinan pemandu ini nak cari untung banyak maka kami telah ditipu. Agak lama juga kami dalam teksi dan kami masih berbual secara perlahan mengenai penipuan ini apabila melihat meter teksi sudah meningkat ke 16 euro kami sampai ke stesen Lamberger Allee. Dengan memberanikan diri, kami bercakap dengan pemandu itu bukanlah stesen yang kami maksudkan kerana petang tadi kami hanya berjalan kaki sahaja ke hotel dari stesen yang kami maksudkan. 

Kemudian pemandu merasa tidak puas hati dan hendak menghantar kami ke stesen yang kami maksudkan namun kami nak turun disitu kerana jika dihantar sudah pasti tambang akan bertambah. Oleh kerana ia rasa bersalah maka ia mengatakan kepada kami cuma bayar sahaja 16 euro walaupun ada tambahan kos. Kami bersetuju dan dan terus ke stesen Storkower Stabe. Sememangnya pemandu tersilap faham dan bukannya salah kami. Oleh kerana kesilapannya maka ia cuma meminta 10 euro sahaja dan bukan 16 euro. Ini merupakan suatu learning point, dimana pemandu teksi ini adalah seorang yang jujur dan tidak berniat untuk menipu pelancong.
Stesen Keretapi Storkower Strabe, Berlin

Kami terus menaiki keretapi ke ZOB namun dalam keretapi kami merasa tidak yakin samada  keretapi ini akan ke ZOB. Kami bertanya penumpang yang berada di sebelah kami dan ia memaklumkan bahawa kami sudah tersalah keretapi dan minta kami turun stesen berikutnya bersama beliau. Setelah turun beliau telah memberi penerangan bagaimana nak sampai ke ZOB dengan memberi maklumat yang lengkap.  Kami menaiki semula keretapi mengikut penjelasan penumpang tadi dan nyata sekali kami sampai ke destinasi dengan betul.

Kami sampai di ZOB pukul 9.00 malam dan menunggu selama 2 jam untuk menaiki bas pukul 11.00 malam. Bas bergerak tepat pada masanya dan kami tiba di Frankfurt pada pukul 6.00 pagi mengikut jadual. Cuaca agak sejuk di Frankfurt dan kami terus melambai teksi untuk ke hotel Ibis. Tambang teksi dari Central Station ke Ibis Hotel adalah 16 euro.


27 Feb 2016 Sabtu

Setelah membuat daftar awal hotel kami berehat sebentar sebelum meneruskan pengembaraan kami. Shuibun agak keletihan dan terus tidur hingga 11.00 pagi. Setelah selesai berkemas diri kami terus ke Romer (Frankfurt Old City) dengan menaiki keretapi dari stesen yang hampir dengan hotel kami iaitu Stesen Industrieholf untuk mengembara lagi. Setibanya kami di Romer kami terus meneroka kawasan sekitar, dari satu kedai ke kedai, rehat kawasan lapang hinggalah ke sungai Mainze, mercu tanda Frankfurt. Hari ini orang begitu ramai di kawasan ini oleh kerana adanya suatu festival/pameran kesenian di kawasan ini.
Di tebing Sungai Mainz, Frankfurt


Kami sempat minum kopi dan makan cake dalam salah satu café di sini semata-mata untuk masuk dalam bangunan kerana cuaca agak sejuk (1 darjah celcius) dengan angin bertiup sepui di luar. Setelah selesai minum kami terus meninjau lagi hinggalah pukul 7.00 malam dan bergerak ke  stesen Hauptwache. Kami sampai hotel pukul 8.30 malam. Oleh kerana aku agak letih hari ini, lalu terlelap awal.
Romer, Frankfurt



28 Feb 2016 Ahad

En. Syarkawi, pegawai konsulat datang mengambil kami pada pukul 9.00 pagi untuk membawa kami bersiar-siar di Bandar peranginan Rudeshem yang jaraknya lebih kurang 45 minit memandu kereta. Bandar Rudeshem telah diisytiharkan sebagai Bandar warisan oleh UNESCO. Bandar ini mempunyai pemandangan yang menarik dengan bangunan-bangunan lama dikekalkan. Bandar yang didirikan berhampiran sungai Mainz berlatar belakangkan perladangan anggur di pinggiran bukit yang tinggi amat cantik sekali. Kami dibawa ke kemuncak bukit melalui jalan sempit dengan pemandangan ladang anggur yang luas dan di puncaknya adalah hutan simpan yang dijaga rapi. Cuaca agak sejuk di sini ditambah pula dengan angin bertiup sederhana.
Rudesheim Peak

Jalan raya dan landasan keretapi dibina seiring dengan sungai Mainz dan sebelah kiri dan kanan terdirinya bangunan-bangunan antik sungguh ‘syncronized’ dengan kapal-kapal yang lalu lalang di sungai. Dilihat dari puncak bukit ia merupakan suatu panorama yang indah sekali. Bandar Rudeshem terkenal dengan ladang anggurnya dan kilang membuat wain namun kami tidak berpeluang melihat buah anggur kerana kami datang bukan pada musimnya.

Agak kepenatan dan kesejukan berjalan-jalan di Bandar Rudeshen, kami terus ke café untuk menikmati coffee dan cake sambil dapat memanaskan badan. En. Syarkawi telah banyak menceritakan mengenai Bandar ini sambil menikmati minuman.


Selepas beberapa jam di sini, En. Syarkawi membawa kami pulang ke Frankfurt. Kami telah dibawa ke sebuat restoran yang popular dengan masakan yang berasaskan ikan. Kami telah memesan ‘Ronade’, makanan yang mengandungi ulam sayuran, kentang goreng dan ikan panggang.

Selepas makan, kami berpisah di sini kerana kami ingin berjalan kaki ke stesen keretapi Haupthcache sambil meninjau persekitaran sepanjang perjalanan. Hari ini semua kedai termasuk supermarket ditutup kerana di Jerman hari Ahad adalah hari untuk bersama keluarga. Ini bermaksud semua premis perniagaan dikehendaki menutup premis masing-masing. Namun begitu ramai juga palancong mundar-mandir di kawasan ini.

Kami menaiki keretapi untuk menuju stesen Industrihoef yang berhampiran dengan hotel Ibis. Kami sampai kira-kira pukul 4.00 petang. Kami mula berkemas-kemas untuk balik pada keesokan harinya.

Pada pukul 6.00 petang kami berjalan kaki untuk makan malam di Restoran Nur Kuala Lumpur yang terletak berhampiran dengan hotel kami. Restoran ini diusahakan oleh Tn. Hj. Rafid anak syarikat Global Ikhwan. Kami bersempatan berbual panjang dengan pengusaha hotel ini yang mempunyai jiwa besar. Beliau pernah berniaga di Perth, Sydney, London, Paris, Manchester dan sekarang di Frankfurt. Pengalaman beliau patut dikongsi bersama oleh pengusaha-pengusaha Malaysia untuk lebih berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa.

Setelah selesai makan malam, Hj. Rafid telah bermurah hati untuk menghantar kami ke hotel. Setibanya di hotel (8.00 malam) kami membuat persiapan terakhir untuk pulang ke Malaysia pada keesokan harinya.


29 Feb 2016 Isnin

Selepas bersarapan pagi dengan maggi dan nasi ‘sharipah’ kami daftar keluar hotel. Kami menaiki keretapi untuk ke lapangan terbang iaitu dari Industrihoef ke Haupthcache, dan menukar keretapi ke lapangan terbang Frankfurt. Kami sampai lebih kurang pukul 8.45 pagi dan terus daftar masuk yang agak mudah kerana orang masih lagi tidak ramai. Setelah masuk kami mencari pejabat kastam untuk membuat ‘claim’ vat barangan yang dibeli. Namun system di sini mengkehendaki kastam memeriksa resit dan barangan yang dibeli sebagai bukti. Oleh kerana barangan kami telah pun masuk kargo, maka terlepas peluang untuk membuat tuntutan VAT. Bagi menuntut VAT barangan yang masuk kargo ia hendaklah dibuat sebelum kita membuat daftar masuk kerana ada pejabat kastam di luar untuk mengesahkan barangan yang dibeli.

Setelah meninjau sekitar dalam lapangan terbang kami terus boarding kapal terbang pada pukul 11.10 pagi. Kapal terbang berlepas tepat pada masa iaitu pada pukul 12.10 tengahari. Kira-kira 2jam 40 minit penerbangan kami tiba di Istanbul untuk transit selama 2 jam. Pukul 6.00 petang kami berlepas dari Istanbul ke KLIA. Tiba KLIA pada pukul 11.30 pagi (1 Mac 2016; waktu Malaysia).


Aku berpisah dengan Shuibun di sini kerana aku terpaksa menghadiri kursus pada hari itu hingga hari Khamis (3 Mac 2016) di Cyberjaya.