Wednesday 4 May 2022

PERSARAAN

14 NOV 2018. 
RABU


Secara rasminya hari ini merupakan hari terakhir perkhidmatanku dengan kerajaan Malaysia. Bermula dengan seorang guru pada 18 Ogos 1982 dan berakhir sebagai Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun (IPGKTB). Selama 36 tahun 3 bulan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, aku bermula di SM Mahmud, Raub, Pahang dan seterusnya SM Slim, Slim River, SMK Khir Johari, Tg Malim, Jabatan Pendidikan Perak, Ipoh, Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Jitra Kedah, Institut Aminuddin Baki Kampus Induk, Bandar Enstek, Negeri Sembilan dan berakhir di IPGKTB, Pulau Pinang.


Namun IPGKTB telah membuat majlis persaraan secara rasminya pada 2 Nov 2018 di Kelab Kulim. Selepas sesi ucapan, penyampaian cenderamata dan makan, pertandingan bowling antara staf diadakan. Aku diberi kesempatan merasmikan pertandingan ini dengan balingan pertama. 

Hari ini aku berada di Rumah Pengarah IPGKTB kerana mengemas barang-barang aku yang sedikit cuma. Sebenarnya aku singgah sahaja di sini dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur kerana menghadiri konvokesyen anakku, Syafiqah Alia, di International Islamic University Malaysia (IIUM), Gombak pada 13 Nov 2018. Melihat rumah ini aku berasa sedih juga walaupun aku hanya menghuninya sekali sekala sahaja kerana sememangnya aku lebih kerap berulang alik dari Jitra ke IPGKTB.

Sambil mengemas fikiran aku senantiasa berlegar mengenai IPGKTB yang aku terajui selama 3 tahun 5 bulan. Banyak kenangan manis yang sukar untuk dilupakan namun aku tetap merasa puas kerana sebahagian besar misiku tercapai. Cabaran utamaku ialah mengubah budaya sedia ada kepada budaya yang lebih menekankan kepada akademik dalam kalangan pensyarah. Alhamdullilah aku dapat melihat hasilnya walaupun tidak menyeluruh.

Sungguhpun aku tidak pernah bertugas di IPG atau maktab perguruan sebelum ini tetapi aku tetap sedaya upaya ingin memajukan pendidikan dalam konteks posisi yang aku diamanahkan. Ke arah itu, aku telah banyak membaca dokumen-dokumen dan perkara-perkara berkaitan dengan IPG sebelum membuat perancangan selanjutnya.

Membaca dan menghayati visi, misi, objektif dan fungsi IPG merupakan perkara utama dalam minggu-minggu pertama aku berkhidmat di sini. Perkara-perkara biasa dan rutin seperti pengenalan diri, taklimat dan lain-lain sememangnya dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment