Tuesday 9 February 2016

Kg Kencong, Phnom Penh, Kemboja

7 Feb. 2016

Tepat pukul 8.00 pagi kapal terbang airasia dari KLIA2 mendarat di lapangan terbang Phnom Penh. Setelah selesai urusan imigresen aku terus ke pintu keluar. Rakan-rakanku (Pensyarah IPGKTB) iaitu Ustaz Rafuan dan Hj. Farid telah bersedia menunggu aku di luar bersama dengan pemandu. Aku tidak menyangka cuaca agak dingin pagi ini. Aku difahamkan oleh pensyarah bahawa cuaca sememangnya sejuk di Phnom Penh ketika ini sehinggalah bulan April. Nasib aku bawa blazer, kuranglah sedikit kesejukannya.
Hj. Harun memberi latihan pedagogi kepada guru-guru

Aku terus di bawa ke bandar Phnom Penh untuk bersarapan pagi di sebuah restoran Islam berhampiran dengan masjid Phnom Penh. Setelah selesai bersarapan aku di bawa ke hotel untuk urusan daftar masuk. Oleh kerana kepenatan sebab semalaman aku tidak tidur di KLIA2 menunggu flight pukul 7.00 pagi, maka mengambil peluang itu untuk terus mandi dan bersiap untuk ke Kg Kencong.

Ustaz Rafuan di salah sebuah rumah kampung. Beginilah keadaannya kehidupan penduduk kampung ini. Mereka masih lagi menggunakan air dari telaga untuk kegunaan seharian

Bersama Penghulu, Ketua Kampung, Pensyarah IPGKTB dan guru-guru

Perjalanan yang memakan masa selama lebih kurang 1 jam setengah melalui jalan berturapkan tar selama sejam dan jalan tanah merah setengah jam juga memenatkan. Keadaan jalan agak sesak dengan kereta, tuk-tuk dan motor, lori membuatkan aku risau kerana kemalangan boleh berlaku bila-bila saja. Alhamdullillah kami selamat sampai pukul 11.00 pagi. Kami disambut oleh Ketua Kampung, 3 orang pensyarah IPGKTB, Dr. Hj. Abdul Razak, Ustaz Harun dan Ustaz Hafizan, dan guru-guru sekolah. Setelah berkenalan dengan mereka, aku dibawa ke bilik guru untuk mendengar taklimat berkaitan dengan penubuhan sekolah, perpustakaan sekolah dan juga program pada hari itu.
Berbincang dengan Penghulu dan Ketua Kampung bagi meningkatkan lagi tahap pendidikan anak-anak kampung

Pukul 12.15 tengahari, azan waktu zohor berkumandang di masjid yang juga berada dalam kawasan yang sama. Ramai penduduk kampung serta murid-murid sekolah berada di situ kerana adanya beberapa program yang berlangsung sepanjang pada hari itu dan juga dua hari sebelumnya. Setelah selesai solat zohor berjemaah dengan penduduk kampung, majlis tahlil diadakan. Selepas itu makan tengahari disediakan untuk semua yang hadir sembahyang termasuklah murid-murid sekolah. Mereka bergotong royong mengadakan kenduri itu dengan pembiayaan dari hasil sumbangan dari Malaysia (ada kalangan penderma mohon untuk mengadakan tahlil di situ).
Bacaan Tahlil - salah satu aktiviti program selama 4 hari di sini

Setelah selesai makan tengahari, majlis penyampaian hadiah kepada murid-murid yang menang dalam musabaqah al quran yang telah diadakan di sebelah pagi. Aku telah diberi peluang untuk menyampaikan hadiah-hadiah tersebut. Ramai ibubapa turut serta dalam acara ini kerana ingin melihat kejayaan anak-anak mereka yang sudah boleh menghafal surah-surah lazim.
Murid-murid sedang khusuk menunggu keputusan pertandingan hafazan al Quran

Acara kemuncak pada hari itu ialah perasmian Perpustakaan sekolah yang disumbangkan oleh Alumni Sekolah Tun Fatimah. Aku telah diberi amanah untuk merasmikan Perpustakaan ini. Penduduk kampung amat menghormati penduduk Malaysia yang sanggup menderma demi pendidikan anak-anak mereka.
Menurunkan tandatangan tanda perasmian Pusat Sumber Al Khawarizmi

Memotong ribbon sebagai tanda perasmian Pusat Sumber Al Khawarizmi


Pusat Sumber Al Khawarizmi - sumbangan daripada alumni STF

Setelah selesai majlis perasmian aku telah memanggil semua pensyarah IPGKTB (5 orang) dan guru sekolah Kg Kencong untuk berbincang masa depan sekolah tersebut. Sekolah ini telah ditubuh dan diselenggara oleh staf IPGKTB melalui derma orang ramai semenjak tahun 2012 lagi. Malah gaji guru-guru sekolah ini juga adalah hasil sumbangan orang ramai terutamanya staf IPGKTB. Setakat ini sekolah sudah ada 6 bilik darjah dan lebih 200 orang murid. Beberapa isu telah dibangkitkan oleh guru-guru sekolah tersebut dan kami dari IPGKTB akan sedaya upaya membantu mereka sedaya mungkin.


Dalam Pusat Sumber bersama guru-guru dan pensyarah IPGKTB
Murid-murid asyik memilih dan membaca buku di Pusat Sumber. Ini merupakan suatu pengalaman baru mereka

Setelah selesai mesyuarat tersebut tibalah masanya aku meninggalkan sekolah untuk balik ke Phnom Penh. Ketua kampung, guru-guru dan penduduk kampung terharu dengan kehadiranku lebih-lebih lagi rakan-rakanku yang sudah berada di situ 4 malam. Staf IPGKTB hanya tidur di sekolah bersama mereka di kampung. Inilah pengorbanan mereka demi pendidikan agama penduduk kampung. Selama 4 hari mereka di sana, mereka telah mengadakan program bersama guru, murid dan penduduk kampung.
Berpelukan dengan guru-guru sebelum berpisah

Aku sampai ke hotel lebih kurang pukul 5.30 petang dan terus mandi sekali lagi selepas satu hari yang memenatkan. Rakan-rakanku balik semula ke kampung setelah aku masuk hotel. Pukul 6.15 waktu maghrib masuk dan terus bersolat jamak dengan Isyak. Pada malam itu aku tidak makan malam sebab tidak tau dimana lokasi restoran Islam. Setelah bertanya pada hotel, terdapat sebuah supermarket berhampiran dengan hotel yang mungkin ada menjual makanan yang boleh dimakan. Aku berjalan kaki ke supermarket itu lebih kurang 10 minit. Aku hanya membeli air mineral dan biskut Julie yang dibuat di Melaka. Hasrat hati nak cari mi segera namun tiada satu pun yang di eksport dari Malaysia.
Sumbangan dari Malaysia untuk gaji dan pelbagai perbelanjaan


8 Feb 2016

Pagi ini tiada acara rasmi bagiku. Aku berhasrat untuk berjalan kaki sahaja hari ini untuk ke Central Market. Setelah berjalan beberapa minit sambil merakamkan beberapa foto, aku sampai di pagar sebuah sekolah rendah di mana ramai ibubapa yang sedang menghantar anak mereka. Aku sempat bertanya apakah nama sekolah itu kepada seorang bapa kerana aku tidak mampu membaca tulisan bahasa Khmer. Beliau memaklumkan kepada aku iaitu Norodom Primary School. Aku bernasib baik kerana bapa murid itu ialah pemandu tuk-tuk maka aku terus bertanya lokasi restoran Islam. Ia terus membawa ke situ dengan tambang 2 USD (RM8.50). Agak aneh sistem pengangkutan tuk-tuk ini kerana mereka membezakan tambang antara orang tempatan dan pelancong. Jika orang tempatannya perjalanan yang sama cuma 2000 riyel iaitu bersamaan RM2.00.

Sekolah Rendah Norodom

Menaiki Tuk-Tuk di Phnom Penh

Aku makan nasi goreng dan milo pagi ini untuk bersarapan. Setelah selesai sarapan aku telah disapa oleh seorang yang juga makan di situ. Beliau ialah En. Sary, Pegawai Khas Senator Van Math (seorang menteri Islam). Beliau juga merupakan Penasihat kepada Pertubuhan Islam Kemboja. Bersama beliau sarapan pagi ialah seorang Timbalan Ketua Pengarah International Trade, Kementerian Perdagangan. Maka kami sempat berbual dan berbincang berkaitan dengan perkembangan Islam di Kemboja dan mereka sangat mengalu-alukan kehadiran orang Malaysia yang membantu mendirikan masjid dan sekolah di Kemboja.

En. Sary Pegawai Khas Vann Math, Senator Kemboja. En. Sary ada mempunyai kedai yang menjual pelbagai batu permata

Selepas itu, En. Sary telah membawaku ke kedainya yang menjual permata. Kedainya berhampiran dengan Central Market dan aku perhatikan kebanyakan kedai tutup kerana mereka juga menyambut Tahun Baru Cina. Selepas beberapa minit di kedainya Sary telah membawaku ke Restoran Wau yang sangat popular dalam kalangan orang-orang Islam kerana ia adalah restoran Islam pertama di Phnom Penh dan diusahakan oleh orang Malaysia iaitu Hj. Abdul Halim (Tel: 081887090, fb : www.facebook.com/waurestaurantcambodia).

Bersama Hj. Abdul Halim, pemilik Restoran Wau. Alamat : 103A, Street 63, Preah Trasak Paem Blvd, Phnom Penh

Sambil kami minum En. Sary telah membawa beberapa permata untuk diperkenalkan kepada aku. Oleh kerana aku tidak begitu berminat dengan permata maka aku tidak pun membelinya. Selepas itu aku diperkenalkan dengan Hj. Halim, bos restoran ini. Kami berbual panjang terutamanya berkaitan perniagaan orang Islam, pendidikan Islam orang Kemboja dan lain-lain lagi. Beliau juga mempunyai beberapa kedai di Shah Alam dan Kuala Lumpur yang menjual pelbagai barangan. Sebenarnya orang-orang Islam di Malaysia seharusnya mencontohi Hj. Halim yang berani mencebur diri dalam perniagaan dalam negara dan antarabangsa.

Menaiki motor lebih muatan dan tanpa helmet adalah biasa di Phnom Penh
Di hadapan pejabat Anti-Corruption Unit

Selepas itu, aku mohon pada En. Sary untuk berjalan kaki ke Central Market dan seterusnya balik ke hotel untuk daftar keluar. Apabila sampai di Central Market, aku perhatikan hanya kedai-kedai di luar saja yang dibuka sedangkan sebelah dalamnya semua tutup. Selepas meninjau beberapa minit aku terus berjalan ke hotel. Sementara menunggu tuk-tuk aku sempat berbual bersama seorang aktivis dari Jerman, Christina Zimmel, yang bergiat aktif dalam kerja-kerja amal di Indonesia, Laos dan Kemboja.
Aktivis dari Jerman, Christina Zimmel (Czimmer@t-online.de)

Aku mandi sekali lagi dan terus berkemas untuk ke lapangan terbang. Aku bertolak dengan menaiki tuk tuk dari hotel pukul 12.30 th dan sampai lapangan terbang pukul 1.15 ptg. Selepas selesai urusan check-in dan imigresen aku terus masuk di lounge menunggu Pintu 9.  Dalam keasyikan aku membaca buku jam sudahpun menghampiri Pukul 4.45 namun tidak ada panggilan masuk. Aku terus bangun melihat skrin yang menunjukkan pintu pelepasan telah ditukar ke Pintu 6. Aku terus bergegas lari ke Pintu 6 kerana jadual berlepas adalah pukul 4.45 petang. Rupa-rupanya para petugas sedang sibuk mengesan penumpang-penumpang yang belum lagi menaiki kapal terbang dan termasuklah aku. Alhamdullillah sebaik saja aku naik pintu kapal terbang tutup dan aku terus ke tempat dudukku lalu ditegur oleh penumpang sebelah aku dengan "you managed to get in' kerana ia melihat aku bernafas cepat.

Aku berbual panjang penumpang sebelahku. Seorang rakyat Malaysia yang lahir, dibesarkan dan bersekolah di Pulau Pinang. Namun beliau telahpun berhijrah dan menetap di Amerika Syarikat dengan menjadi seorang usahawan yang berjaya di California. Beliau meninggalkan Malaysia selepas tamat MCE dan bekerja sementara di Singapura kerana keputusannya tidak melayakkan beliau belajar di Tingkatan 6. Selepas beberapa tahun di Singapura beliau terus nekad untuk menyambung pelajarannya di Kanada dan bekerja di sana selepas tamat pengajiannya. Selepas beberapa tahun beliau berhijrah ke Amerika Syarikat dan hari ini syarikatnya mempunyai pejabat di lebih 30 buah negara di dunia termasuklah Malaysia. Syarikat beliau mempunyai pendapatan USD 30 billion setahun Walaupun beliau telah menetap di Amerika namun jiwa raganya masih lagi Malaysia dan beliau senantiasa mengikuti perkembangan semasa Malaysia.

Kami berbincang banyak perkara yang merangkumi hal-hal pendidikan, ekonomi dan politik. Beliau telah menyentuh bab semasa termasuklah 1MDB, 2.6 billion 'derma' kepada Perdana Menteri, kejatuhan nilai wang ringgit, rasuah, keusahawanan, dan pelbagai isu yang lain. Aku mendapati orang business seperti beliau mempunyai pemikiran yang tajam dalam menganalisis isu-isu semasa kerana mereka persekitaran yang tidak menggalakkan akan membuat business tidak maju dan berdaya saing. PEST analysis yang mereka lakukan akan memastikan syarikat mereka akan terus berkembang. Beliau ialah Keat Lim dari syarikat Axis SybronEndo.



2 comments:

  1. Satu pengisahan yang menarik.

    ReplyDelete
  2. satu pengalaman yang menjadikan kita insan yang patut lebih bersyukur ke hadrat Allah SWT....terima kasih Nya

    ReplyDelete