Sunday 20 June 2010

Catatan Perjalanan Ke Sarajevo & Istanbul


























23 May 2010; 9.30 pagi
Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Jitra, Kedah.

Seramai 11 orang staf IABU memulakan perjalanan dengan menaiki bas IAB menuju ke KLIA untuk menyertai Program Pengantarabangsaan IAB Sarajevo-Istanbul.































23 Mei 2010; 7.00 malam
Kuala Lumpur International Airport.

Di KLIA, kesemua peserta yang terdiri daripada 21 orang staf IAB (IAB Induk dan Cawangan Utara) berhimpun dan mendengar taklimat terakhir daripada Ketua Delegasi Tn. Hj. Abdul Ghani Ishak (Pengarah IABU). Proses daftar masuk selesai pada pukul 10.00 mlm. Walau bagaimana pun, penerbangan ke Istanbul ditunda pada pukul 1.30 pagi.


24 Mei 2010; 8.00 pagi (Waktu Istanbul)
Lapangan Terbang Antarabangsa Atartuk, Istanbul, Turki.




























Penerbangan hampir 11 jam telah menyampaikan kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Atartuk, Istanbul untuk transit selama 4 jam sebelum berlepas ke Sarajevo. Sempat juga meninjau suasana lapangan terbang dan akhirnya bertemu dengan Ketua Pejuang MORO, Nur Misuari. Perbualan singkat dengan beliau telah memberi pengertian yang mendalam erti perjuangan dalam menegakkan hak dan kemerdekaan.
(Waktu Malaysia mendahului Istanbul selama 5 jam)





























24 Mei 2010; 1.30 petang (Waktu Sarajevo)
Lapangan Terbang Sarajevo.

Delegasi selamat tiba di lapangan terbang Sarajevo pukul 1.30 petang. Setibanya kami di lapangan terbang telah disambut oleh Pegawai Kedutaan Malaysia, En. Mohamad Nasir. Kami telah dimaklumkan acara pertama akan berlangsung pada pukul 3.00 petang di Prva Gymnazia High School di mana Duta Besar Malaysia sudah sedia menunggu kami di sana. Namun kami di bawa terlebih dahulu ke hotel untuk daftar masuk dan menukar pakaian.

Dalam perjalanan ke hotel sudah kelihatan indahnya Kota Sarajevo yang dikelilingi bukit dan gunung. Namun begitu, kelihatan juga bangunan-bangunan yang masih meninggalkan kesan peluru yang berlubang-lubang di dinding bangunan. Sesungguhnya peperangan 1992-1995 masih lagi meninggalkan tinggalan-tinggalan yang boleh dilihat dengan jelas.
(Waktu Malaysia mendahului Sarajevo selama 6 jam)
































24 Mei 2010; 2.00 petang
Hotel Pension Sebilj, Sarajevo.

Kami diberi masa selama setengah jam untuk menukar pakaian untuk lawatan pertama. Ramai yang masih keletihan kerana perjalanan yang mengambil masa lebih 30 jam sememangnya memenatkan. Namun program yang sudah diatur tetap akan dipenuhi, lebih-lebih lagi Duta Besar Malaysia turut serta.

24 Mei 2010; 3.00 petang
Prva Gymnazia High School, Sarajevo
Setibanya kami di sini telah di sambut Pengetua serta barisan pengurusan sekolah. Duta Besar dan isteri juga sudah sedia menanti kami di sekolah. Lawatan ini mendapat liputan TV Bosnia-Herzegovina dimana Duta Besar dan Pengarah IABU telah ditemubual secara ekslusif berkaitan dengan lawatan ini.






























Mengikut Pengetua, sekolah ini hancur ketika peperangan 1992-1995 tetapi telah bangkit semula menjadi sekolah pilihan ibubapa. Sejarah sekolah telah menghasilkan dua orang pemenang Hadiah Nobel dalam bidang 'Literature' dan "Chemistry". Malah Presiden B-H yang pertama, Alija Izetbegović, juga adalah bekas pelajar sekolah ini.

Komitmen guru-guru sekolah ini amat tinggi walaupun gaji mereka kecil dan kadang kala lewat pembayarannya, tetapi semangat mereka tidak pernah luntur untuk mendidik anak bangsa. Sekolah ini tidak mengamalkan pakaian seragam sekolah dan pelajar bebas berpakaian untuk ke sekolah.
Prasarana sekolah termasuk kelengkapan dalam bilik darjah dan makmal dianggap sebagai lengkap.



24 Mei 2010; 7.00 malam
Rumah Duta Besar Malaysia, Sarajevo





























Duta Besar Malaysia ke Bosnia-Herzegovina, Dato' Zulkifli Adnantelah sudi menjemput kami untuk makan malam bersama beliau serta pegawai-pegawai kedutaan yang lain. Sebelum makan malam kami diminta untuk memperkenalkan diri masing-masing. Duta Besar dan isteri juga memperkenalkan diri mereka dan pegawai-pegawai kedutaan yang lain. Sebaik sahaja selesai makan malam, kami telah diberi taklimat oleh Dato' sendiri berkaitan hubungan Malaysia dengan B-H terutamanya dalam bidang ekonomi, sosial dan pendidikan.


University Of Sarajevo

25 Mei 2010; 9.00 pagi

Didahului dengan mesyuarat dengan pihak Faculty of Pedagogical Sciences berkaitan dengan MOU yang akan dimeterai. Aturcara berikutnya ialah Seminar Pengurusan Pendidikan dimana IAB telah membentang kertas kerja berkaitan dengan 'KOMPAS', Hi-Impact Training, e-learning dan Education for All. Seminar ini mendapat minat ramai peserta yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar University of Sarajevo, pegawai pendidikan dan pengetua sekolah dengan banyak soalan yang dikemukakan ketika sesi soal jawab.






















Antara soalan yang dikemukakan ialah sistem pelantikan pengetua@guru besar, latihan dalam perkhidmatan pengetua@guru besar, tanggungan kos latihan pengetua@guru besar, hubungan kenaikan pangkat dengan kelayakan akademik & profesional, dsb.

Sebaik saja selesai sesi pembentangan kertas kerja, acara menandatangani MOU antara Faculty of Pedagogical Sciences, University of Sarajevo yang diwakili oleh Prof. Dr. Faiza Mustovic dengan Malaysian Society for Educational Administration and Management (MSEAM) yang diwakili oleh Setiausaha Agung (Dr. Sazali Yusoff) telah berlangsung yang disaksikan oleh Duta Besar Malaysia ke B-H dan wakil Kementerian Pendidikan B-H.





















Antara isi utama kandungan MOU ialah penganjuran Seminar bersama, mengadakan lawatan kerja antara kedua negara, dan perkongsian bahan-bahan terbitan oleh kedua-dua pihak.

Seminar ini telah mendapat liputan TV Bosnia-Herzegovina dimana Pengarah IABU dan Dr. Sazali Yusoff telah ditemubual mengenai seminar dan tindak lanjut hubungan dua negara terutamanya dalam pembangunan sistem pendidikan.
(Presiden pertama B-H, Alija Izetbegović, mendapat ijazah Undang-Undang dari Universiti ini)

25 Mei 2010; 12.30 tengahari
Rumah En. Mohamad Nasir Awang




























Setelah tamat seminar kami telah dijamu dengan makan tengahari di rumah En. Mohamad Nasir. Pemandangan indah dari balkoni yang meliputi perkampungan di lereng-lereng bukit. Dipuncak bukit jelas kelihatan menara komunikasi B-H. Berkesempatan berbincang dengan Pengarah IABU mengenai tindak ikut program ini dan strategi pelaksanaannya.


25 Mei 2010; 2.00 ptg
Institute of Pedagogical Sciences





























Delegasi membuat lawatan rasmi ke Institute of Pedagogical Sciences, Sarajevo yang juga disertai Duta Besar Malaysia. Kami telah diberi taklimat oleh Pengarah Institut sendiri iaitu Mrs. Dina Borovina. Fungsi utama institut ini ialah memberi latihan kepada bakal guru dan kursus dalam perkhidmatan untuk guru dan pengetua. Kami berkesempatan untuk meninjau prasarana Institut ini. Pengarah Institut ini berminat untuk menjalin hubungan dengan IAB khususnya dalam bidang latihan kepengetuaan.



25 Mei 2010; 4.00 petang
Sekolah Camil Sijaric, Sarajevo





























Setibanya kami disini telah disambut dengan meriahnya oleh pihak sekolah dan ibubapa dengan persembahan melodrama murid-murid yang begitu menarik dan kreatif sekali. Di dinding sekolah terpampang dengan megahnya plak yang tertulis bahawa sekolah ini telah dibina hasil daripada sumbangan murid-murid dan guru-guru Malaysia.

Kekaguman peserta delegasi melihat persembahan murid telah menggerakkan hati masing-masing untuk menderma kepada kegiatan sekolah ini. Derma kilat yang dilakukan telah dapat mengutip sebanyak 700 euro (lebih kurang RM 3000) yang diserahkan kepada Guru Besar sekolah iaitu Mr. Faruk Jabucar. (Peristiwa Guru Besar @ Pak Misai melempar wang derma di atas meja sebaik saja beliau terima telah mengejutkan kami. Inilah pentingnya kita memahami budaya orang lain kerana tindakannya melempar wang tersebut bukan bermaksud tidak sudi menerima wang tersebut TETAPI ia merupakan suatu perbuatan memohon keberkatan dari Allah SWT. Budaya ini juga diamalkan di Istanbul. Jadi janganlah terkejut apabila kita membayar wang kepada peniaga dan mereka terus mencampakkanya secara 'TIDAK BERADAB' dari perspektif kita di Malaysia)

Sesi dialog bersama dengan guru-guru sekolah ini telah memberi ilham bagaimana sekolah yang dalam serba kekurangan mampu untuk bangkit kembali. Kehadiran kami di sini seolah-olah dianggap sebagai keluarga dengan layanan yang mesra sekali.


25 Mei 2010; 7.00 malam
Rumah En.Ismaon Yapi
Kaunselor Kedutaan Malaysia, En. Ismaon telah bermurah hati menjemput kami ke rumah beliau untuk makan malam. Kami juga sempat bertemu dengan CEO Malaysian-Bosnian Investment, yang melabur dalam pembangunan B-H. Majlis makan malam diserikan lagi sesi karaoke oleh tuan rumah dan peserta delegasi.


26 Mei 2010; 8.00 pagi
Sebilj, Sarajevo

Jalan-jalan dan beli belah di bandar lama Sarajevo. Tempat ini menjadi tumpuan pelancong untuk membeli cenderahati. Gambar menunjukkan tinggalan kerajaan Othmaniah iaitu bangunan kecil yang sentiasa mengalir air dari gunung. Air ini boleh diminum begitu sahaja dan ia digunakan untuk mengambil wuduk sebelum ke mesjid berhampiran.







Hill Top Sarajevo
26 Mei 2010; 10.30 pagi
Hill-top, Sarajevo

Di salah satu puncak bukit yang mengelilingi Sarajevo dan berlatarbelakang sebuah gunung yang masih lagi ada salji. Selama lebih kurang 4 tahun penduduk Sarejevo telah dikepung oleh tentera Serbia yang menguasai semua puncak bukit
yang menembak sesuka hati ke Sarajevo. Puluhan ribu penduduk Sarajevo yang majoritinya beragama Islam terkorban. Hari ini Sarajevo bangkit kembali menjadikannya bandar 'Islam' di tengah-tengah benua Eropah. Cita-cita Serbia dan sekutunya untuk menyahkan penduduk Islam B-H di Eropah telah gagal dengan semangat kental para pejuang yang serba kekurangan kelengkapan.

26 Mei 2010; 11.30 pagi
Masjid Malaysia, Sarajevo

Kami berkesempatan melawat masjid yang didirikan oleh kerajaan Malaysia khusus bagi lebih 5000 orang penduduk di daerah Nova Breka, Sarajevo. Masjid ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 22 Jun 2007. Ia merupakan simbol persahabatan antara Malaysia dan B-H. Selain daripada mengadakan sembahyang jemaah lima waktu dan Jumaat, masjid ini juga mengadakan kelas agama untuk kanak-kanak setiap hujung minggu. Dua DYMM Yang Dipertuan Agong dan Tun Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) juga telah melawat masjid ini. Penjaga masjid amat berbesar hati dengan kunjungan kami di sini.

National River Park, Sarajevo

26 Mei 2010; 12.30 tengahari
National River Park, Sarajevo

Menikmati makan tengahari di tepi sungai di National River Park, Sarajevo. Air yang jernih, bersih dan dingin sungguh nyaman sekali menimbulkan selera untuk makan walaupun ia cuma nasi goreng sahaja yang disediakan oleh isteri En. Ismaon.


26 Mei 2010; 2.30 petang
Life-Tunnel, Sarajevo
Life-Tunnel, Sarajevo


Terowong ini telah dapat menyelamatkan ribuan penduduk Sarajevo daripada kelaparan dan kematian akibat ketiadaan makanan dan ubatan. Semua kenderaan masuk keluar Sarajevo akan ditembak oleh tentera Serbia yang berada di bukit-bukit yang mengelilingi Sarajevo. Melalui terowong ini, bekalan makanan, ubatan dan persenjataan ringan berjaya sampai ke Sarajevo. Ukuran terowong; panjang 800 meter, tinggi dan lebar 1.5 meter, ini mengambil masa 4 bulan 10 hari untuk siap. Dianggarkan 20 juta ton makanan diangkut melalui terowong ini dan lebih kurang 1 juta orang melaluinya keluar/masuk. Malah ia telah digunakan oleh Presiden B-H, Alija Izetbegović untuk ke lapangan terbang bagi rundingan perdamaian di Paris.

Lapangan Terbang Sarajevo

26 Mei 2010; 4.00 petang
Lapangan terbang Sarajevo

Sampai masanya untuk meninggalkan Sarajevo. Beberapa pegawai Kedutaan turut serta menghantar kami di lapangan terbang. Kerjasama yang diberikan oleh pihak kedutaan telah memudahkan segala program yang dirancang.

Lapangan terbang Atartuk, Istanbul

26 Mei 2010; 9.00 malam (waktu Turki)


Delegasi di sambut wakil UTAS, Mr. Mustafa. Kami terus dibawa ke Hotel Onz dan makan malam di Hotel.
Rehat untuk acara seterusnya esok.



































































27 Mei 2010; 8.30 pagi
Blue Mosque and Hagia Sophia

Delegasi telah dibawa melihat kawasan bersejarah terutamanya Blue Mosque dan Hagia Sophia. Blue Mosque dikenali sebagai Blue Mosque kerana bahagian dalam mesjid diperbuat dengan marmar biru. Hari ini mesjid telah bertukar menjadi museum walaupun terdapat sebahagian kecil di dalamnya digunakan pengunjung untuk solat.


























































Hagia Sophia yang bermaksud 'Holy Wisdom' merupakan sebuah gereja selama 916 tahun dan dijadikan masjid selama 481 tahun sebelum ia dijadikan museum pada tahun 1935.
































27 Mei 2010; 2.00 petang
Istanbul Directorate of Education

Pertemuan dengan Timbalan Pengarah, Direktorat Pendidikan Istanbul membincangkan peluang-peluang kerjasama antara IAB dengan Direktorat Pendidikan Istanbul.


27 Mei 2010; 3.00 petang
Sekolah Sonnur Yalnizoglu, Istanbul
Sekolah Sonnur Yalnizoglu, Istanbul

Delegasi telah dibawa ke sekolah Sonnur Yalnizoglu untuk mendengar taklimat sistem pendidikan Turki. Disamping itu, delegasi juga telah dibenarkan meninjau keseluruhan sekolah iaitu bilik darjah, bilik persediaan prasekolah, bilik guru, makmal dsb. Kepimpinan sekolah ini telah berjaya mewujudkan pakatan strategik dengan komuniti setempat sehinggakan banyak kelengkapan sekolah seperti 'smart board', 'LCD Projector', dan lain-lain adalah hasil daripada sumbangan komuniti



27 Mei 2010; 5.00 petang
Fatih University, Istanbul

Taklimat mengenai Fatih University telah diberi oleh Prof. Hassan Ugur. Perbincangan dengan Fatih University meliputi tindak ikut untuk menjalankan penyelidikan secara bersama antara Fatih University dengan IAB.


27 Mei 2010; 6.00 petang
Burj College, Istanbul

Burj College merupakan sekolah swasta bertaraf antarabangsa yang terkemuka di Istanbul. Ia merupakan feeder utama bagi Fatih University. Kolej ini mempunyai rangkaiannya di Kuala Lumpur yang diberi nama Horizon School.





27 Mei 2010; 8.00 malam
Hotel Onz, Istanbul

Sampai di Hotel untuk makan malam dan rehat.


28 Mei 2010; 8.30 pagi
Leather Boutique, Istanbul

Kami telah dibawa ke butik menjual barangan kulit asli. Kebanyakan barangan kulit ini dieksport ke Itali, Peranchis dan beberapa negara Eropah dan diberi jenama seperti Bonia, ....



28 Mei 2010; 11.00 pagi
Topkapi Palace, Istanbul


Istana yang mula dibina pada tahun 1460 ini menyimpan banyak khazanah bersejarah termasuklah kesan tapak kaki dan janggut Rasullallah, tongkat Nabi Musa A.S., pedang Saidina Ali, dan pelbagai peralatan kesultanan Othmaniah.






28 Mei 2010; 12.00 tengahari
Bosphorus Strait, Istanbul

Menyusuri Selat Bosphorus yang memisahkan Asia dan Eropah. Perjalanan mengambil masa 1 jam 15 minit terasa sekejap kerana keindahan pemandangan di kiri kanan selat. Kedudukan selat yang sangat strategik menjadikannya rebutan pelbagai empayar. Masih wujud lagi 2 tembok di kiri dan kanan selat sebagai kubu dan pertahanan yang menembak kapal-kapal yang melintasinya oleh empayar-empayar pemerintahan ketika itu.





28 Mei 2010; 3.00 petang
Grand Bazaar, Istanbul

Terdapat lebih 4ooo kedai yang menjual pelbagai barangan. Ramai juga tersesat dan sukar untuk mencari jalan keluar. Ia merupakan tempat tarikan pelancong seluruh dunia untuk membeli barangan kenangan.





29 Mei 2010; 10.00 pagi
Atartuk International Airport, Istanbul

Daftar masuk untuk penerbangan pulang ke Malaysia.


30 Mei 2010; 6.00 pagi
KLIA, Malaysia


Selamat mendarat pukul 5.30 pagi di KLIA. Setelah solat subuh berehat di Golden Lounge sementara menanti penerbangan ke Alor Setar pada pukul 1.55 ptg. Sempat bergambar dengan angkasawan pertama Malaysia, Dato' Sheikh Muzaffar yang juga sedang menunggu penerbangannya.

1 comment:

  1. Allahuakbar!! Best giler ada journey macam ni..

    Menjejaki kesan kehancuran Umat Islam Bosnia yang diceritakan lari dari kehidupan Islam sebelum dihukum oleh Allah dengan serangan 'ethnic cleansing' Serbia..
    Sepanjang berada di bumi Balkan tu,dapat tak Pak Ngah sahkan cerita ni?

    ReplyDelete