Saturday 19 August 2017

Satun, Thailand : 18 - 19 Ogos 2017

Lawatan Kerja ke Satun, Thailand

18 Ogos 2017 (Jumaat)

Kira-kira pukul 6.30 petang waktu Malaysia kami telah melintasi sempadan Malaysia untuk masuk ke Thailand melalui pintu keluar Wang Kelian, Perlis. Rombongan seramai 7 orang ini (5 staf IPGKTB dan 2 orang pasangan staf) di ketuai oleh En. Nasir untuk terus menuju ke Satun. Inilah kali pertama aku memandu kereta sendiri (PJT8864) di bumi Thailand. Kami pergi dengan dua buah kereta, aku memandu sebuah dengan Lin dan Hj. Latif bersama pasangannya manakala En. Zakaria membawa En. Nasir dan Ustaz Fahmiddin.

Lebih kurang pukul 7.15 malam (waktu Malaysia) kami tiba di Satun dan En. Din, Pegawai Khas Datuk Bandar Satun telah sedia menunggu kami. Kami terus dipandu arah ke Satun Boutique Resort dimana kami akan menginap di situ pada malam ini. Setelah mengambil kunci, kami terus ke sebuah restoran yang berhampiran untuk menikmati makanan istimewa Satun, iaitu pelbagai jenis roti - roti pisang, roti tisu, roti cheese dan lain-lain lagi.



Setelah selesai menjamu selera kami kembali ke hotel untuk rehat dan solat. Pukul 9.15 malam, kami ke kafe hotel untuk menjamu 'durian pulut'. Datuk Bandar telah mengarahkan En. Din untuk membawa durian yang istimewa untuk kami iaitu durian Mhon Thong. Durian ini mempunyai biji yang kecil dan isi yang tebal. Hanya 6 biji durian sahaja yang mampu kami makan kerana ulas durian ini besar dan sedap ditambah pulak dengan pulut campur santan. Ia cukup mengenyangkan.

En. Nasir - Penyelaras program di restoran Roti

Kira-kira pukul 11.00 malam kami balik bilik masing kerana keletihan perjalanan yang jauh namun pemandangan yang indah dan cantik telah dapat mengurangkan sedikit kebosanan dalam perjalanan. Sepanjang perjalanan kami dari sempadan Thailand (Wang Prachan) ke Satun, kami dapat melihat kehidupan orang-orang kampung yang majoritinya adalah orang Islam. Aku perhatikan di sini begitu banyak ladang atau tanaman getah yang boleh aku simpulkan pekerjaan utama penduduk di sini adalah sebagai penoreh getah. Ini mengimbau kenangan lamaku semasa kecil bersama-sama ibuku menoreh getah dengan berjalan kaki dari rumah ke kebun. Turun dari rumah antara pukul 4.00 hingga 5.00 subuh, berjalan kaki dalam gelap dengan bercahayakan 'lampu suluh' di dahi.

19 Ogos 2017 (Sabtu)

Pukul 8.00 pagi (waktu Malaysia) kami berkumpul di lobi resort dan membuat daftar keluar. Kami terus menuju ke Chebilang dengan melalui geopark Satun. Dapat disimpulkan kerajaan Thailand sedang membangun tempat ini sebagai tarikan pelancongan mereka di Satun. Kami tiba di Chebilang kira-kira pukul 9.00 pagi dan terus ke warung untuk minum pagi. Lebih kurang 45 minit kami di sini Datuk Bandar Satun tiba untuk minum bersama kami.

Minum pagi bersama Datuk Bandar Satun.

Perbincangan kami dengan Datuk Bandar lebih tertumpu kepada bidang pendidikan dan pelancongan. Datuk Bandar sememangnya menghargai sumbangan IPGKTB dalam membangun kapasiti guru-guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sekolah Chebilang.  Datuk Bandar mengharapkan kerjasama ini akan berterusan di masa akan datang. Datuk Bandar ingin menjemput IPGKTB untuk menyertai 'Melayu Day' iaitu suatu acara tahunan untuk menarik pelancong ke Satun.

Cenderahati dari IPGKTB untuk Datuk Bandar

Selepas perbincangan dengan Datuk Bandar kami terus ke Sekolah Chebilang untuk melihat dan mendegar taklimat dari guru besar, En. Baba. Oleh kerana hari ini ialah hari Sabtu maka tidak ada seorang murid pun berada di sekolah. Semua murid yang tinggal di asrama akan balik ke rumah masing-masing pada setiap hujung minggu dan cuti sekolah. Terdapat seramai 150 orang murid di sekolah ini yang memokus kepada pendidikan agama Islam namun subjek-subjek seperti Matematik, Sains juga diajar di sekolah ini.

Di Sekolah Chebilang bersama guru besarnya, En. Baba

En. Baba memberi sedikit taklimat berkaitan dengan sekolahnya

Setelah selesai mendengar taklimat dari En. Baba, kami terus ke pelabuhan Chebilang melihat nelayan sedang menurunkan tangkapan masing-masing pada hari itu. Terdapat seorang towkay ikan dari Bukit Mertajam di sini. Beliau sudah berada di Satun lebih 40 tahun dahulu dari seorang pekerja di bot nelayan hinggalah memiliki bot nelayan dan menjadi salah seorang towkay ikan besar di Satun. Beliau menggajikan lebih 30 orang wanita Islam yang kerjanya mengelaskan ikan-ikan yang turun dari bot dengan upah 50 Baht per jam.

Towkay ikan dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Dari pelabuhan nelayan Chebilang kami singgah di sebuah madrasah yang bersekali dengan masjid untuk melihat kelas-kelas agama yang sedang berlangsung (kelas ini seperti kelas KAFA di Malaysia). Mereka hanya belajar di sini pada hari Sabtu sepanjang hari dan Ahad sehingga tengahari. Gaji guru agama ini adalah dalam lingkungan 2500 - 3000 baht sebulan. Setelah berbual dengan guru-gurunya dan murid kelas ini, kami ke kampung yang juga dalam kawasan masjid dan madrasah ini, untuk melihat industri membuat kuih 'simpul kasih'. Kuih ini sangat popular di Satun. Manariknya kampung ini, kereta tidak boleh masuk kerana jalan yang sempit dan rumah-rumah yang didirikan begitu rapat sekali antara satu sama lain.
Sedang mendengar bacaan Quran dari seorang murid

Di hadapan rumah membuat kuih 'simpul kasih'

Di hadapan rumah membuat kuih 'simpul kasih' bersama En. Nasir dan Ustaz Fahmiddin. Kelihatan foto di belakang itu, seorang pekerja sedang membuang perut ikan kembung. Jumlah berat ikan 90 kg itu adalah untuk membuat serunding ikan


Daripada kampung ini kami terus ke jeti penambang Tamalang, iaitu jeti penumpang untuk ke Langkawi dan pulau-pulau berhampiran dengan Satun. Perjalanan dari sini ke Langkawi mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah. Tidak hairanlah ramai orang Satun bekerja di Langkawi kerana jaraknya yang dekat. Tanda mercu jeti ini ialah replika ketam besar yang terpacak di jalan masuk pendaratan dari bot. Bersebelahan Jeti ini terdapat Taman Negara Paya Bakau yang diselenggara baik bagi tujuan tarikan pelancong.

Jeti Tammalang


Menikmati ketam di Tanjong Pao

Dari Jeti Tammalang kami terus ke destinasi seterusnya iaitu Tanjung Pao untuk makan tengah hari. Tempat ini sangat popular bagi pelancong Malaysia kerana makanannya sedap dengan harga yang berpatutan. Menu utamanya ialah masakan ketam dimana kita boleh memilih ketam-ketam yang masih hidup dalam kolam yang disediakan. Restoran ini terletak di tepi pantai.


Dari sini kami terus ke resort untuk menghantar 'pemandu' kami iaitu En. Din, pegawai khas Datuk Bandar yang mengiringi kami semenjak kami tiba lagi. Kami meneruskan perjalanan pulang. Sebelum sampai sempadan kami sempat singgah di dua gerai tepi jalan untuk membeli buah durian, dokong dan cempedak. Kami juga sempat singgah di Arked Wang Prachan yang dibina khas untuk pengunjung dari Malaysia atau Thailand.

Kami tiba di Pos Imigresen Thailang pada pukul 5.30 petang (waktu Malaysia). Setelah selesai membuat daftar keluar kenderaan dan urusan paspot, juga melakukan perkara yang sama di pos imigeresen Malaysia. Alhamdullilah aku tiba di rumah pada pukul 7.30 malam.





1 comment:

  1. This article are supper help full if you want to know more about management and leadership course then please click here.

    ReplyDelete