21.2.16 Ahad
Pukul 8.45 pagi aku dah Shuibun telah berada di KLIA untuk penerbangan ke Jerman bagi program lawatan profesional ke Frankfurt dan Berlin. Program ini dianjur oleh MSEAM dan seramai 26 orang peserta mengikutinya dari pelbagai latar belakang yang merangkumi IAB, PPD, IPGKTB, sekolah dan Sekolah Cempaka. Kira-kira pukul 9.00 pagi, Ketua Rombongan dari TM Tours, Tn. Hj. Ridzuan telah tiba bersama dengan barangan dan terus memberi taklimat kepada kami. Setelah selesai taklimat Tn. Hj. Ridzuan telah mendaftar masuk kami secara berkumpulan.
Kira-kira pukul 12.30 tengahari kami
berlepas dari KLIA menuju Istanbul dengan menaiki Turkish Airline. Penerbangan
mengambil masa lebih kurang 11 jam. Kami transit di sini selama 2 jam sebelum
berlepas ke Frankfurt. Oleh kerana terdapat kelewatan, kami berlepas setengah
jam lewat dan tiba di Frankfurt pukul 11.00 malam (local time). Setelah selesai
proses imigresen dan kastam, kami telah dibawa ke hotel NH yang tidak jauh dari
lapangan terbang. Daftar masuk hotel berjalan lancar.
22.2.16 Isnin
Selepas bersarapan pagi kami di bawa
bersiar-siar dengan bas di Frankfurt. Program ini menggantikan lawatan ke
Institut Latihan Guru (TTT) yang ditangguhkan kepada 23.2.16. Selepas itu kami
bersiar-siar selama 1 jam di Frankfurt CBD sebelum kami di bawa ke
Restoran Nur Kuala Lumpur untuk makan tengahari.
Selepas makan tengahari kami ke Mesjid Abu
Bakar yang secara kebetulan berada hampir dengan restoran. Selepas solat kami
di bawa ke city center, Romer, untuk bertemu guide dan seterusnya membawa kami
ke tempat-tempat yang bersejarah berhampiran.
Antara tempat-tempat yang kami lawati ialah
Frankfurt old City, Paul Church, Stadtwher Militia, River Mainze dan kawasan
yang persekitaran yang begitu menarik pemandangannya. Kami mengambil peluang
untuk shopping kawasan tarikan pelancong ini.
Pada pukul 6.00 petang kami sekali lagi ke
Restoran Nur Kuala Lumpur untuk makan malam. Makan malam kami disertai
Konsulat-General Malaysia di Frankfurt iaitu Pn. Adriana Shamsuddin dan
suaminya, seorang usahawan. Sebaik sahaja selesai makan malam Pn. Adriana telah
memberi taklimat ringkas fungsi konsulat Malaysia di Frankfurt, iaitu
satu-satunya konsulat Malaysia yang berada di Eropah. Selepas itu, suaminya
pula telah mengongsi pengalaman beliau sebagai usahawan yang telah membuka
peluang kepada kami untuk bertanya banyak soalan yang hampirnya semuanya
berkaitan dengan hubungan system pendidikan Negara dengan perkaitannya dengan
kelahiran usahawan yang Berjaya. Pada ketika ini, Jerman memerlukan ramai jururawat, mekanik dan jurutera. Perkhidmatan jururawat untuk pusat penjagaan orang tua dan 'jururawat peribadi' merupakan perniagaan yang melibatkan trilion euro setahun di Jerman. Ini memandangkan orang-orang Jerman sihat, panjang umur dan mempunyai wang untuk menggaji jururawat peribadi atau pun pusat penjaggan orang tua.
23.2.16 Selasa
Selepas minum pagi di Hotel, kami membuat
daftar keluar hotel dan seterusnya berada dalam bas pada pukul 8.30 pagi. Kami
bertolak ke Technological Training for Teachers (TTT) di Hessen yang tidak
begitu jauh dari tempat kami tinggal. Pagi ini kami agak bertuah kerana telah
disambut dengan salji yang nipis semasa di hotel dan semakin menebal setibanya
kami di TTT. Ramai dalam kalangan kami tidak melepas peluang untuk bermain
salji dengan mengambil gambar kenangan.
Mr. Hiegel sedang memberi taklimat |
Kami telah disambut oleh Mr. Hiegel, Ketua Jabatan Teacher Training TTT
dan Sharkawi dan Rohana, pegawai konsulat kita di Frankfurt. Kami telah diberi
taklimat oleh Mr. Hiegel berkaitan dengan system pendidikan vokasional Jerman.
Kesimpulan yang boleh dibuat dalam taklimat ini ialah Jerman ingin melatih para
pekerja yang ‘kompeten’ dalam industrinya dan mereka tidak menitik beratkan
keputusan peperiksaan awam atau peperiksaan yang begitu akademik sifatnya.
Pendidikan vokasional mereka mementingkan pekerja yang ‘kompeten’ untuk
memenuhi keperluan industry mereka yang terkenal dari aspek kualiti produknya
seperti Mercedez, BMW, Audi, VW, Bosch dan lain-lain lagi.
Bengkel |
Selepas taklimat kami dibawa ke kelas-kelas
dan bengkel-bengkel di sekitar kampus. Kami diberi peluang untuk berinteraksi
bersama tenaga pengajar dan pelajar mereka. Nyata sekali hubungan tenaga
pengajar dan pelajar sangat akrab dan profesional. Kami juga telah didedahkan
hasil kerja para pelajar yang tinggi kualitinya.
Pukul 11.30 pagi kami meninggalkan TTT dan
terus menuju Berlin dengan menaiki bas. Perjalanan ini mengambil masa 8 jam.
Kami hanya berhenti 2 kali sehaja untuk berehat selama 15 minit hentian pertama
dan 30 minit untuk hentian kedua. Itulah masa untuk kami meluruskan badan,
minum dan solat. Sepanjang perjalanan kami melihat tanah pamah yang luas sejauh mata memandang kerana ketika ini adalah musim sejuk jadi ladang gandum, jagung dll adalah dalam keadaan kering kontang. Di samping itu juga kami dapat melihat salji di sepanjang perjalanan. Lebuhraya yang baik ini mempunyai had laju tertentu di beberapa tempat dan TIDAK MEMPUNYAI HAD LAJU di tempat-tempat yang tertentu di mana pemandu boleh memecut mengikut kemampuan kereta masing-masing. Lebuhraya yang cantik ini TIDAK mempunyai tol.
Kami tiba di Berlin pukul 8.00 malam dan
terus ke Restoran Baraka yang diusahakan oleh orang Morocco. Kami dihidangkan
makanan Morocco namun ramai kalangan kami tidak begitu berselera untuk makan
mungkin keletihan dan kesejukan dalam perjalanan yang panjang. Atau mungkin juga makanannya tidak menyelerakan. Agak membazir juga kerana banyak makanan yang tidak dijamah. Pemilik restoran bermurah hati dengan membungkus makanan yang tidak habis untuk kami bawa pulang ke hotel.
Selepas selesai makan malam kami terus
dibawa ke hotel TRYP Berlin East dan selesai daftar masuk pukul 10.00 malam.
24 Feb 2016
RABU
Selepas minum pagi kami bertolak ke
Technological University Berlin (TUB) pada pukul 8.30 pagi. Pagi ini sungguh
dingin kerana terdapat ketulan-ketulan kecil salji yang turun di sekitar hotel.
Oleh kerana perjumpaan kami di university ditunda pada pukul 11.00 pagi, maka
kami telah dibawa ke ‘Central Berlin’. Kami diberi masa sejam disini untuk
merakamkan gambar berlatar belakangkan bangunan-bangunan klasik termasuklah
muzium yang terletak di tebing sungai Ryne. Disamping itu, sempat juga kami
membeli cenderamata di kedai berhampiran. Pukul 10.30 pagi kami bertolak ke TUB
dan sampai pada pukul 10.45 pagi. Salji mula turun dengan banyaknya dan kami
terus mengambil peluang untuk bergambar kenangan.
Pukul 11.00 pagi Prof. Hans Liedger telah memberi taklimat berkaitan dengan TUB.
Antara lain taklimat ini adalah merangkumi system pendidikan Jerman terutamanya
untuk melahirkan tenaga mahir yang kompeten. Di samping itu kami dimaklumkan
sekolah dan university kerajaan adalah lebih baik dari sekolah dan university
swasta. Kami juga diberitahu bahawa university Jerman lebih menitik beratkan
‘research oriented learning’.
Sistem persekolahan mereka pula memberi peluang kepada
pelajar untuk memilih bidang sama ada vokasional/teknikal dan akademik.
Pensyarah university mereka pula lebih cenderung untuk melakukan research
daripada mengejar kenaikan pangkat. Peruntukan untuk membuat penyelidikan
adalah dorongan utama mereka untuk terus berkhidmat dan bukannya kenaikan
pangkat.
Kesejukan di hadapan pintu masuk Technical University Berlin |
Prof. Hans Liedger |
Setelah selesai taklimat, kami dibawa ke
bengkel-bengkel dan kelas-kelas. Pukul 1.00 tengahari kami meninggalkan TUB
untuk makan tengahari di Restoran Baraka yang diusahakan oleh orang Turki.
Makan tengahari ini kami dihidangkan dengan kebab daging.
Pukul 2.30 petang kami bertolak ke Kedutaan
Malaysia di Berlin. Kami disambut oleh pegawai kedutaan, dan 4 orang kami iaitu
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Bajunid, Dato’ Rahim, Dr. Shahri dan aku telah dibawa berjumpa dengan Tuan Terutama Duta iaitu Dato’ Zulkifli Adnan. Selepas itu, T.T. Dato' Zulkifli dan Pn. Rus Shazila sudi memberi taklimat berkaitan fungsi dan peranan kedutaan kepada semua ahli
delegasi. Selepas itu, jamuan ringan disediakan.
Pukul 5.30 pagi kami telah dibawa ke kompleks membeli belah terbesar di Berlin iaitu KaDeWe Shopping Complex. Lebih kurang setengah
jam lepas itu kami berkumpul semula untuk menaiki bas untuk ke Rumah Malaysia, iaitu
rumah kediaman rasmi Duta. Duta telah meraikan kami dengan jamuan makan malam
sambil bertukar-tukar maklumat secara santai. Ramai kalangan kami teruja dengan
kemesraan dan kebaikan Dato’ Duta dan isterinya Datin Siti Hawa yang sentiasa
melayan kami dengan penuh minat. Setelah selesai makan malam kami kembali hotel
pada pukul 8.15 malam.
Makan Malam di kediaman Duta |
25.2.16 KHAMIS
Selepas sarapan pagi semua peserta delegasi
menaiki bas pada pukul 8.30 pagi untuk melawat Sekolah Platanus.
Kami tiba di sekolah pada pukul 9.00 pagi dan disambut oleh kumpulan pengurusan
sekolah yang diketuai oleh Managing Director sekolah iaitu Dr. Karen Kruger. Kami dibawa ke bilik
taklimat bagi menerima taklimat pihak pengurusan.
Dr. Karen Kruger, Pengarah Urusan Sekolah Platanus, sedang memberi taklimat |
Sekolah ini merupakan sekolah swasta yang
ditubuhkan oleh sekumpulan 4 orang wanita. Sekolah ini mempunyai lebih kurang
130 orang murid yang berumur antara 6 hingga 13 tahun dan seramai 40 orang
guru. Sekolah swasta di Jerman tidaklah sepopular sekolah swasta negara lain
seperti di England, US, Malaysia kerana di Jerman sekolah kerajaan adalah
percuma dan berkualiti. Anehnya gaji guru-guru sekolah swasta adalah dibiayai
oleh kerajaan tidak seperti Malaysia semua kos mengurus sekolah swasta adalah
hasil dari yuran murid atau derma/sumbangan dari individu atau syarikat. Kami diperingatkan untuk tidak mengambil gambar ketika membuat lawatan dan pemerhatian dalam kelas terutamanya gambar murid-murid bagi mematuhi undang-undang privasi individu.
Setelah mendengar taklimat ringkas, kami
telah dibahagi dalam 6 kumpulan untuk melihat sesi pengajaran dan pembelajaran
berlaku dalam kelas. Aku telah memilih kelas matematik bagi tahun 3 (umur 8-9
tahun). Sekolah ini mengamalkan dwi-bahasa dalam semua subjek yang diajarnya.
Oleh kerana itu, murid-murid sekolah ini mampu menulis, membaca dan bertutur
dalam bahasa Jerman dan Bahasa Inggeris dengan baik.
Murid-murid dalam kelas yang aku lawati
terdiri daripada pelbagai bangsa selain dari Jerman, iaitu Azerbaijan, Mesir,
Jordan, Afrika, US dan Perancis. Mereka boleh berkomunikasi dalam bahasa Jerman
dan Inggeris dengan baik. Terdapat 2 orang guru dan seorang pembantu murid
dalam setiap kelas. Setiap kelas murid-murid akan dibahagi dalam 2 kumpulan.
Kumpulan pertama akan menggunakan Bahasa Inggeris dalam kumpulan kedua
menggunakan Bahasa Jerman secara serentak dalam kelas bersebelahan. Setelah meninjau
kelas ini, aku bersama 5 orang lagi dibawa melawat beberapa kelas lain dan
makmal.
Aku bersama Ketua Delegasi dan Aimi
pengetua sekolah cempaka telah dibawa ke bilik khas untuk ditemubual pelajar
tahun 5 yang juga merupakan editor English Buletin sekolah. Agak menarik juga
soalan-soalan yang dikumukakan. Yang paling menarik mereka mempunyai
keberanian bertutur dalam bahasa Inggeris.
Selepas selesai lawatan ini, kami dibawa
untuk makan tengahari dan seterusnya melawat Berlin dengan bimbingan Pemandu
Pelancong. Antara tempat-tempat yang dilawati termasuklah Berlin Wall dan
Berlin Central.
26 Feb 2016 Jumaat
Selepas minum pagi kami telah mendaftar
keluar hotel dan menaiki bas untuk ke Kementerian Pendidikan. Tepat pukul 10.00
pagi, kami telah diberi taklimat oleh Prof. Brunner berkaitan dengan system
pendidikan Berlin dan bagaimana mereka memastikan kualiti pendidikan di Jerman.
Pukul 11.30 taklimat selesai dan kami
diberi peluang untuk shopping di sekitar Kementerian Pendidikan yang merupakan
pusat membeli belah yang terbesar di Berlin. Antara shopping complexes yang ada
ialah Primax, Galleria, Saturn dll.
Tepat pukul 2.00 petang, semua delegasi
sudah berada dalam bas untuk berangkat ke lapangan terbang untuk pulang ke
Malaysia namun aku dan 6 orang lagi menyambung pengembaraan di Eropah. Aku dan
Shuibun hanya tinggal di Jerman, 4 orang lagi ke Italy dan seorang ke
London. Aku mengambil peluang ini untuk menyampaikan taklimat terakhir lawatan
profesional ini.
Aku dan Shuibun telah menaiki teksi ke ZOB
untuk membeli tiket bas ke Frankfurt pada malam itu. Tiket bas berharga 28 euro dan bertolak pukul 11.00 malam dan dijangka sampai Frankfurt pada pukul 6.00 pagi. Dari ZOB kami telah menaiki
keretapi ke stesen Storkower Strasse, stesen yang paling hampir dengan hotel
Tryp untuk mengambil beg yang kami tinggalkan di situ pada pagi tadi. Kami
berjalan kaki selama lebih kurang 20 minit untuk ke hotel. Setelah
selesai menunaikan solat dan makan malam dengan nasi bungkus ‘Ibrahim’ kami
menaiki teksi untuk ke stesen Storkower untuk menaiki keretapi ke ZOB.
Stesen keretapi yang paling hampir dengan stesen bas ZOB, Berlin |
Setelah kami naiki teksi, kami dapati
pemandu membawa jalan lain tidak seperti jalan kami berjalan kaki tadi.
Sambil berbual dengan Shuibun, kemungkinan pemandu ini nak cari untung banyak
maka kami telah ditipu. Agak lama juga kami dalam teksi dan kami masih berbual
secara perlahan mengenai penipuan ini apabila melihat meter teksi sudah
meningkat ke 16 euro kami sampai ke stesen Lamberger Allee. Dengan memberanikan
diri, kami bercakap dengan pemandu itu bukanlah stesen yang kami maksudkan
kerana petang tadi kami hanya berjalan kaki sahaja ke hotel dari stesen yang
kami maksudkan.
Kemudian pemandu merasa tidak puas hati dan hendak menghantar
kami ke stesen yang kami maksudkan namun kami nak turun disitu kerana jika
dihantar sudah pasti tambang akan bertambah. Oleh kerana ia rasa bersalah maka
ia mengatakan kepada kami cuma bayar sahaja 16 euro walaupun ada tambahan kos.
Kami bersetuju dan dan terus ke stesen Storkower Stabe. Sememangnya pemandu tersilap
faham dan bukannya salah kami. Oleh kerana kesilapannya maka ia cuma meminta 10
euro sahaja dan bukan 16 euro. Ini merupakan suatu learning point, dimana
pemandu teksi ini adalah seorang yang jujur dan tidak berniat untuk menipu
pelancong.
Stesen Keretapi Storkower Strabe, Berlin |
Kami terus menaiki keretapi ke ZOB namun
dalam keretapi kami merasa tidak yakin samada
keretapi ini akan ke ZOB. Kami bertanya penumpang yang berada di sebelah
kami dan ia memaklumkan bahawa kami sudah tersalah keretapi dan minta kami
turun stesen berikutnya bersama beliau. Setelah turun beliau telah memberi
penerangan bagaimana nak sampai ke ZOB dengan memberi maklumat yang
lengkap. Kami menaiki semula keretapi
mengikut penjelasan penumpang tadi dan nyata sekali kami sampai ke destinasi
dengan betul.
Kami sampai di ZOB pukul 9.00 malam dan
menunggu selama 2 jam untuk menaiki bas pukul 11.00 malam. Bas bergerak tepat
pada masanya dan kami tiba di Frankfurt pada pukul 6.00 pagi mengikut jadual. Cuaca agak sejuk di Frankfurt dan kami terus melambai teksi untuk ke hotel Ibis. Tambang teksi dari Central Station ke Ibis Hotel adalah 16 euro.
27 Feb 2016 Sabtu
Setelah membuat daftar awal hotel kami
berehat sebentar sebelum meneruskan pengembaraan kami. Shuibun agak keletihan
dan terus tidur hingga 11.00 pagi. Setelah selesai berkemas diri kami terus ke
Romer (Frankfurt Old City) dengan menaiki keretapi dari stesen yang hampir
dengan hotel kami iaitu Stesen Industrieholf untuk mengembara lagi. Setibanya
kami di Romer kami terus meneroka kawasan sekitar, dari satu kedai ke kedai,
rehat kawasan lapang hinggalah ke sungai Mainze, mercu tanda Frankfurt. Hari
ini orang begitu ramai di kawasan ini oleh kerana adanya suatu festival/pameran
kesenian di kawasan ini.
Di tebing Sungai Mainz, Frankfurt |
Kami sempat minum kopi dan makan cake dalam salah
satu café di sini semata-mata untuk masuk dalam bangunan kerana cuaca agak
sejuk (1 darjah celcius) dengan angin bertiup sepui di luar. Setelah selesai minum kami
terus meninjau lagi hinggalah pukul 7.00 malam dan bergerak ke stesen Hauptwache. Kami sampai hotel pukul
8.30 malam. Oleh kerana aku agak letih hari ini, lalu terlelap awal.
Romer, Frankfurt |
28 Feb 2016 Ahad
En. Syarkawi, pegawai konsulat datang
mengambil kami pada pukul 9.00 pagi untuk membawa kami bersiar-siar di Bandar
peranginan Rudeshem yang jaraknya lebih kurang 45 minit memandu kereta. Bandar
Rudeshem telah diisytiharkan sebagai Bandar warisan oleh UNESCO. Bandar ini
mempunyai pemandangan yang menarik dengan bangunan-bangunan lama dikekalkan. Bandar
yang didirikan berhampiran sungai Mainz berlatar belakangkan perladangan anggur
di pinggiran bukit yang tinggi amat cantik sekali. Kami dibawa ke kemuncak
bukit melalui jalan sempit dengan pemandangan ladang anggur yang luas dan di
puncaknya adalah hutan simpan yang dijaga rapi. Cuaca agak sejuk di sini
ditambah pula dengan angin bertiup sederhana.
Jalan raya dan landasan keretapi dibina
seiring dengan sungai Mainz dan sebelah kiri dan kanan terdirinya
bangunan-bangunan antik sungguh ‘syncronized’ dengan kapal-kapal yang lalu
lalang di sungai. Dilihat dari puncak bukit ia merupakan suatu panorama yang
indah sekali. Bandar Rudeshem terkenal dengan ladang anggurnya dan kilang
membuat wain namun kami tidak berpeluang melihat buah anggur kerana kami datang
bukan pada musimnya.
Agak kepenatan dan kesejukan berjalan-jalan
di Bandar Rudeshen, kami terus ke café untuk menikmati coffee dan cake sambil
dapat memanaskan badan. En. Syarkawi telah banyak menceritakan mengenai
Bandar ini sambil menikmati minuman.
Selepas beberapa jam di sini, En. Syarkawi
membawa kami pulang ke Frankfurt. Kami telah dibawa ke sebuat restoran yang
popular dengan masakan yang berasaskan ikan. Kami telah memesan ‘Ronade’,
makanan yang mengandungi ulam sayuran, kentang goreng dan ikan panggang.
Selepas makan, kami berpisah di sini kerana
kami ingin berjalan kaki ke stesen keretapi Haupthcache sambil meninjau
persekitaran sepanjang perjalanan. Hari ini semua kedai termasuk supermarket
ditutup kerana di Jerman hari Ahad adalah hari untuk bersama keluarga. Ini
bermaksud semua premis perniagaan dikehendaki menutup premis masing-masing. Namun begitu ramai juga palancong mundar-mandir di kawasan ini.
Kami menaiki keretapi untuk menuju stesen
Industrihoef yang berhampiran dengan hotel Ibis. Kami sampai kira-kira pukul
4.00 petang. Kami mula berkemas-kemas untuk balik pada keesokan harinya.
Pada pukul 6.00 petang kami berjalan kaki
untuk makan malam di Restoran Nur Kuala Lumpur yang terletak berhampiran dengan
hotel kami. Restoran ini diusahakan oleh Tn. Hj. Rafid anak syarikat Global
Ikhwan. Kami bersempatan berbual panjang dengan pengusaha hotel ini yang
mempunyai jiwa besar. Beliau pernah berniaga di Perth, Sydney, London, Paris,
Manchester dan sekarang di Frankfurt. Pengalaman beliau patut dikongsi bersama
oleh pengusaha-pengusaha Malaysia untuk lebih berkembang dan bersaing di
peringkat antarabangsa.
Setelah selesai makan malam, Hj. Rafid
telah bermurah hati untuk menghantar kami ke hotel. Setibanya di hotel (8.00
malam) kami membuat persiapan terakhir untuk pulang ke Malaysia pada keesokan
harinya.
29 Feb 2016 Isnin
Selepas bersarapan pagi dengan maggi dan
nasi ‘sharipah’ kami daftar keluar hotel. Kami menaiki keretapi untuk ke
lapangan terbang iaitu dari Industrihoef ke Haupthcache, dan menukar keretapi
ke lapangan terbang Frankfurt. Kami sampai lebih kurang pukul 8.45 pagi dan
terus daftar masuk yang agak mudah kerana orang masih lagi tidak ramai. Setelah masuk
kami mencari pejabat kastam untuk membuat ‘claim’ vat barangan yang dibeli.
Namun system di sini mengkehendaki kastam memeriksa resit dan barangan yang dibeli sebagai
bukti. Oleh kerana barangan kami telah pun masuk kargo, maka terlepas peluang untuk
membuat tuntutan VAT. Bagi menuntut VAT barangan yang masuk kargo ia hendaklah
dibuat sebelum kita membuat daftar masuk kerana ada pejabat kastam di luar
untuk mengesahkan barangan yang dibeli.
Setelah meninjau sekitar dalam lapangan
terbang kami terus boarding kapal terbang pada pukul 11.10 pagi. Kapal terbang
berlepas tepat pada masa iaitu pada pukul 12.10 tengahari. Kira-kira 2jam 40
minit penerbangan kami tiba di Istanbul untuk transit selama 2 jam. Pukul 6.00
petang kami berlepas dari Istanbul ke KLIA. Tiba KLIA pada pukul 11.30 pagi (1
Mac 2016; waktu Malaysia).
Aku berpisah dengan Shuibun di sini kerana aku terpaksa menghadiri kursus pada hari itu hingga hari Khamis (3 Mac 2016) di Cyberjaya.
No comments:
Post a Comment