Wednesday, 5 December 2018

London: 22 - 28 Nov 2018

22 Nov 2018 - Khamis

Hasrat isteriku untuk bercuti ke London akhirnya dapat aku tunaikan selepas aku bersara. Alhamdullillah selepas seminggu aku bersara (15 Nov 2018) aku dapat bercuti sambil menghadiri seminar di University of Cambridge. Cuti ini sudah lama aku rancangkan. 

Kami bertolak dengan kereta dari Jitra ke KLIA pada pukul 7.30 pagi. Kami sempat singgah di Slim River untuk berjumpa adikku, Izan untuk bertanya khabar dan memberinya sedikit hadiah untuknya dan abangku Azmi daripada 'faedah' persaraanku.

Kami sampai Putra Central pukul 4.00 petang untuk simpan kereta di sini. Kemudian menaiki keretapi ke KLIA. Pukul 6.00 petang daftar masuk dan 9.00 malam berlepas ke London dengan menaiki Oman Air. Transit 2 jam di Muscat sebelum meneruskan perjalanan ke London.


23 Nov 2018 - Jumaat

Pukul 6.00 pagi kami tiba di London Heathrow Airport di Terminal 4. Solat subuh dan minum pagi di airport. Ramai juga orang Malaysia yang juga baru tiba. Cuaca amat sejuk di sini, lebih kurang 1 darjah Celcius.
Terminal 4 Lapangan Heathrow
Membeli tiket di Lapangan Terbang Heathrow


Menaiki keretapi dari Lapangan Terbang Heathrow ke Paddington Station


Seterusnya kami membeli tiket 'sehari' yang membolehkan kami menaiki keretapi dan bas di London. Kami menaiki keretapi ke Paddington Station pada pukul 9.30 pagi. Dari sini kami berjalan kaki ke Hotel Queens, Bayswater. 


Stesen Keretapi Paddington


Sebaik sahaja kami tiba di hotel, kami terus berkemas untuk ke Oxford Street. Sebelum itu kami ke kantin Malaysia Hall yang berada di belakang hotel kami untuk makan tengahari. Selepas makan tengahari kami menaiki bas No. 94 ke Oxford Street.


Di hadapan Malaysia Hall


Orang begitu ramai di sini untuk membeli belah kerana 'Black Friday Sale' yang sedang berlangsung sehingga hari Ahad.
Pukul 4.00 petang waktu maghrib sudah masuk dan hari sudah pun gelap. Setelah penat berjalan kami balik ke hotel dengan menaiki bas.


24 Nov 2018 - Sabtu

Minum pagi di Restoran berhampiran hotel yang dikendalikan orang Mesir pada pukul 8.00 pagi. Setelah selesai sarapan pagi kami ke Marble Arch untuk memulakan London Tour dengan bas dua tingkat Big Bus. Kami memilih untuk duduk di tingkat atas untuk melihat pemandangan Kota London.


Menikmati pemandangan kota London dari atas bas




Big Ben dalam proses pembaikan

Kami turun di beberapa tempat sebelum menaiki bas yang sama bagi satu pusingan. Kami turun di point Tower Millenium Tower untuk menaiki 'River Thames Cruise'. Perjalanan dengan bot ini sampai ke point 'London Bridge'. Kami turun di sini untuk menaiki Big Bus semula.


River Thames Cruise


Singgah di point Buckingham Palace untuk meninjau istana dari luar pagar. Kemudian berjalan-jalan di Taman Buckhingham dan terus ke point Victoria Station untuk menaiki Big Bus semula.




Di hadapan Istana Buckhingham

Setelah beberapa kali turun naik bas, kami sampai ke point Marble Arch semula. Dari sini kami menaiki bas balik ke hotel. Kami makan malam di sebuah restoran kendalian orang Pakistan iaitu Khan Restaurant yang tidak jauh dari hotel kami.


25 Nov 2018 Ahad

Pagi-pagi lagi kami sudah ke Kensington Park dan Hyde Park untuk menikmati suasana pagi yang nyaman dan indah. Kedua-dua taman ini adalah berdekatan dengan tempat kami menginap. Ramai orang berjogging dan berbasikal disamping pejalan kaki. Kebanyakan mereka adalah orang-orang yang sudah berumur. Taman ini dijaga dengan baik sehinggakan tidak nampak longgokan sampah dan sebagainya.

Kensington Park


Setelah hampir 2 jam berjalan kami balik ke hotel. Kami singgah untuk sarapan pagi di Putera Puteri Cafe, kafe yang dipunyai oleh orang Melayu Pulau Pinang bernama En. Nasir. Sebelum membuka kafe ini beliau adalah seorang chef di Hotel Berjaya Eden yang berhampiran. Di sini sudah pasti terdapatnya masakan popular Malaysia seperti nasi lemak dan roti canai dan lain-lain lagi.

Sempat berbual dengan seorang Kelantan yang telah berhijrah ke London lebih 30 tahun dahulu. Beliau merupakan seorang kontraktor yang berjaya di kota London ini. Mengikutnya beliau mula daripada bawah sebagai pekerja biasa dan melalui perit getir di negeri orang sebelum berjaya seperti sekarang.
Minum pagi di Putera Puteri Cafe

Setelah minum kami ke Queen Hotel dan check-out untuk berpindah ke Hotel Berjaya Eden yang dekat dengan Queen Hotel dan Putera Puteri Cafe. Hotel ini lebih baik dari Queens Hotel dan harganya pulak lebih murah (mungkin kerana malam Isnin).




Setelah check-in hotel Berjaya kami ke Piccadily Circus dan Oxford Street untuk window shopping lagi. Malam balik ke hotel.




26 Nov 2018 Isnin

Minum pagi di Putera Puteri Cafe dan berjalan lagi di Kensington Park dan Hyde Park. Kemudian terus ke Europcar Office di Bayswater untuk mengambil kereta sewa. Kami menyewa kereta ini selama tiga hari dengan kos sewaan dan insuran sebanyak 206 pound.

Kembali ke hotel untuk mengambil beg dan terus memandu ke University of Cambridge yang jaraknya lebih kurang 100 km dari London. Sebelum pergi ke University of Cambridge kami ke Iway Inn Hotel  di Papworth Everard dulu untuk daftar masuk. 


Pelancong dari Nottingham

Kedudukan hotel ini agak mengelirukan kerana GPS menunjukkan lokasi lain. Kami sempat bertemu dengan dua orang travellers dari Nottingham yang juga sesat dan hendak menginap di hotel yang sama tetapi berada di tempat yang salah. Kami terus membawa mereka dan bertanya beberapa orang sebelum sampai ke hotel Iway Inn.

Setelah daftar masuk kami terus ke Faculty of Education, University of Cambridge untuk menghadiri satu Faculty Seminar pada pukul 4.30 malam. 



Seminar yang disampaikan oleh seorang Prof. dari NIE Singapura yang berkaitan dengan pentaksiran. Seminar dihadiri oleh para pensyarah dan pelajar PhD University of Cambridge. Aku sempat memberi hadiah dua buah buku terbitan IPG Kampus Tuanku Bainun kepada Fakulti Pendidikan Universiti Cambridge.


Bersama Prof. Keith Taber


Setelah selesai seminar kami ke rumah anak Dr. Prema (Pensyarah IABU) yang tidak jauh dari University of Cambridge iaitu di no 6 Tweedale. Setelah berbual dan minum teh di rumahnya, kami di bawa ke restoran Turki untuk makan malam. 

Setelah selesai kami balik semula ke hotel.


27 Nov 2018 Selasa

Pagi-pagi lagi kami telah daftar keluar hotel untuk jalan-jalan di Cambridge City. Kami hanya dapat melihat dari dalam kereta sahaja kerana hujan. Setelah selesai di sini kami meneruskan perjalanan ke Salisbury untuk melihat Stonehenge yang jaraknya lebih kurang 230 km dari Cambridge.




Kami tiba di Stonehenge kira-kira pukul 2.00 petang dan terus membeli tiket masuk yang berharga 19 pound seorang. Hujan lebat ketika kami sampai dan cuaca sangat sejuk ditambah dengan angin yang menderu. Dalam hujan lebat, sempat juga bergambar di depan Stonehenge.

Setelah selesai di Stonehenge kami ke Salisbury untuk daftar masuk The Swan@Stoford hotel. Lokasi hotel sangat cantik kerana di hadapannya ada sebatang sungai yang jernih mengalir berlatarbelakangkan ladang.




28 Nov 2018 - Rabu

Sarapan pagi di hotel dan terus daftar keluar untuk balik ke London Heathrow Airport yang jaraknya lebih kurang 120 km. Dalam perjalanan kami sempat meneroka kampung-kampung dan ladang-ladang. Kami sengaja mengikut jalan kampung kerana hendak melihat situasi kampung di sana.

Kami singgah di Ladang Ansty yang juga mempunyai kedai khas menjual hasil ladangnya.


Rumah kampung
Lebih kurang pukul 2.00 petang kami sampai London Heathrow Airport Terminal 5 untuk memulangkan kereta sewa, dan seterusnya pihak Europcar menghantar kami ke Terminal 4 untuk pelepasan pulang pada pukul 8.00 malam

Kami mula daftar masuk pukul 5.00 malam dan berlepas pukul 8.15 malam (flight delay). Tiba di KLIA pada 29 Nov 2018 pukul 7.00 malam.


Saturday, 14 April 2018

SK KEJAR, ROYAL BELUM, GERIK


-->
31.10.17 Selasa

Setibanya aku di lapangan terbang Pulau Pinang dari Kuala Lumpur (aku baru pulang dari Chengdu China dan transit di KLIA2 selama 3 jam), pemandu telah sedia menunggu aku. Aku  terus balik ke rumah di IPGKTB dan berkemas-kemas untuk ke Royal Belum, Gerik untuk satu program di SK Kejar iaitu sebuah sekolah orang asli

Pukul 11.00 pagi kami bertolak terus ke Gerik untuk mengambil seorang pegawai PPD untuk mengiringi aku ke SK Kejar. Kami tiba di Jeti Pulau Banding pada pukul 1.20 petang dan terus menaiki bot. Aku agak keletihan dan sangat mengantuk ketika dalam bot. Perjalanan kami ke SK Kejar mengambil masa lebih kurang 1 jam.

Kami tiba kira-kira pukul 2.30 petang dan terus ke SK Kejar namun para pensyarah dan pegawai PPD telah ke Royal Belum Kejar untuk berehat dan makan tengahari. Aku dan Anis hanya berbual dengan pegawai keselamatan sekolah dan beberapa orang penjaga. Selepas 1 jam, kami bertolak ke Royal Belum Sg Tiang untuk berehat. Dalam perjalanan kami berselisih dengan beberapa bot dan rakit orang asli yang membawa atap nipah.

Dapat jugak melelapkan mata seketika di sini. Chalet terletak di atas bukit dan pembinaannya  tidak merosakkan rupa bentuk tanah. Amat tenang suasana di sini dengan dikelilingi hutan Belum yang asli. Kemudahan tempat masak, surau dan tandas awam disediakan. Beberapa chalet juga mempunyai bilik air di dalamnya.
Bersama pensyarah-pensyarah IPGKTB: Ustaz Fahmiddin, Khalil, aku, Shukri, Nasser, Zakariyah

Kira-kira pukul 6.30 petang para pensyarah dan pegawai PPD telah tiba dari SK Kejar. Kelihatan mereka agak keletihan tetapi gembira. Aku berkenalan dengan beberapa orang termasuk En. Najib pegawai dari PPD Hulu Perak dan En. Nahar Guru Besar SK Kejar.

Aku pulang ke chalet yang telah disediakan dan terus mandi dan solat. Rehat seketika dan terus ke dewan makan. Makanan dimasak dan disediakan oleh pegawai-pegawai PPD. Setelah selesai makan kami telah diberi taklimat oleh En. Najib. Seterusnya aku diminta untuk berucap. Aku mengambil berkesempatan  itu untuk berkenalan dengan semua pegawai-pegawai PPD disamping aku menekankan pentingnya kerjasama antara PPD dengan agensi-agensi lain termasuk IPGKTB dalam membawa perubahan di sekolah.
Bersama guru-guru pelatih

Setelah selesai taklimat aku terus berbual dengan sekretariat yang sibuk membuat persediaan untuk hari esok. En. Zakaria selaku penyelaras projek bersama-sama guru pelatih menyiapkan kerja sehingga lebih pukul 12.00 malam.

1.11.17 Rabu

Sekumpulan pensyarah dan guru pelatih telah pergi ke SK Kejar pada pukul 9.00 pagi untuk melaksana pengajaran dan permainan pendidikan. Manakala sekumpulan lagi pegawai dan pensyarah bertolak kemudian sedikit untuk menyiapkan kerja-kerja majlis penutupan.
Bertolak ke SK Kejar selepas sarapan pagi. Setibanya aku di sini, guru-guru pelatih telah menjalankan aktiviti pengajaran dengan pendekatan permainan dan nyanyian. Sebahagian pensyarah telah membuat kerja-kerja akhir mengindahkan bilik darjah sesuai dengan keadaan bilik darjah.

12.00 Dalam ucapan penutupan, aku telah menekankan betapa pentingnya pendidikan tanpa mengira dimana jua pelajar berada. Oleh kerana itu, siswa guru seharusnya menyediakan minda sekiranya mereka ditempatkan di sekolah seperti itu, maka mereka hendaklah sentiasa positif dan berkorban demi pendidikan anak bangsa.

1.00 th Bertolak balik ke Pulau Banding. Perjalanan agak meletihkan sesekali berselisih dengan bot-bot orang asli. Kami juga berselisih dengan sekumpulan tentera yang masuk ke hutan tersebut untuk membuat persediaan ketibaan Prince Phillip dari England.

2.45 Tiba jeti Pulau Banding. GB SK Kejar yang bersama kami telah memohon jasa baik kedai makan di situ untuk masak ikan baung yang kami bawa dari Hutan Belum. Seluruh pensyarah, guru pelatih dan Cikgu Nahar makan tengahari di sini menikmati ikan baung segar. Selepas makan kami terus balik ke Pulau Pinang. Tiba di IPGKTB pukul 5.15 ptg, mandi dan berkemas untuk pulang ke Jitra. Tiba di Jitra pukul 7.30 malam

Di Restoran Jeti Tasik Banding bersama Guru Besar, En. Nahar


Sunday, 1 April 2018

Gemilang SK Balun

Program Gemilang Anak Balun
Tarikh : 29-31 Mac 2018
Tempat : SK Balun, Slim River

Program ini dirancang bersama dengan SK Balun dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun (IPGKTB), Pulau Pinang. Antara lain tujuan program ini dijalankan ialah untuk melahirkan murid-murid yang berpengetahuan, cergas dan aktif melalui aktiviti khidmat bakti dan kecergasan seiring dengan hasrat pendidikan negara


Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah latihan dalam kumpulan, kawad kaki, senamrobik, sukan & riadah, bimbingan akademik, qiamullail, 'Aku Negaraku'.
Murid-murid membuat persembahan

Semua aktiviti dikendalikan oleh guru-guru pelatih IPGKTB dan dibantu oleh guru-guru SK Balun. Para pelatih telah dapat menimba pengalaman yang banyak hasil dari program seperti ini kerana disinilah mereka sedapa upaya mempraktikkan ilmu yang dipelajari semasa di kampus.
Persiapan sebelum majlis penutupan rasmi

Latihan kawad kaki dapat membantu murid-murid lebih berdisiplin dan bekerjasama antara satu sama lain. Program ini menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik bersama dengan pembangunan diri insan murid-murid dari aspek rohani, emosi dan jasmani seperti yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Latihan Kawad Kaki

Bersama guru-guru SK Balun, pensyarah dan guru-guru pelatih IPGKTB, dan YDP PIBG SK Balun
Pemupukan minat sukan dan riadah sangat penting di peringkat sekolah rendah lagi. Daripada aktiviti seperti ini, murid-murid belajar erti semangat pasukan, kerjasama dalam kumpulan, kepimpinan, toleransi, disiplin, patuh pada peraturan dan setiakawan.

 Mereka dapat mempelajari dan menghayati perasaan kemesraan dan kasih sayang sesama mereka dan dengan guru-guru yang akhirnya membina suasana yang kondusif untuk sesi pengajaran dan pemelajaran.


Pertukaran cenderamata antara IPGKTB dan SK Balun
 Hasrat IPGKTB bagi meningkatkan kecemerlangan SK Balun bukanlah hanya sekadar one-off sahaja malah program-program seumpama ini akan diteruskan di masa akan datang. Ke arah itu suatu perjanjian persefahaman telah ditandatangani antara Pengarah IPGKTB, Dr. Sazali Yusoff dan Guru Besar SK Balun, Puan Siti Sapura Abu Bakar.
Menandatangani Surat Hasrat antara IPGKTB dan SK Balun
 Penggerak IPGKTB bagi program ini ialah En. Ahmad Shukri, En. Zakariah, dan Ustaz Fahmiddin
 Guru-guru pelatih yang terlibat; Wan Yusuf, Darren Kent, Abdul Ridzuan, Nazatul Syima, Norhajriati, Nur Faten Nadhirah, Saleha, Nur Adnin, Nur Syafura
Antara murid yang telah menerima hadiah

Persembahan murid-murid

Bergambar keseluruhan yang terlibat dengan Program Gemilang Anak Balun

Thursday, 2 November 2017

Chengdu, China 26 - 30 Oktober 2017

Education Forum for Asia Conference

26.10.17 Khamis

2.00 ptg pagi berlepas dari airport Pulau Pinang ke KL. Di sini aku bertemu 4 orang lagi wakil IPGM untuk ke konferens di Chengdu.
6.20 ptg berlepas dari KLIA2 ke Chengdu, China
10.30 mlm Tiba di Chengdu. (Waktu Malaysia sama dengan waktu China. Maka tak perlu ubah jam).  LO EFA (Ms Yi) sedia menuggu dan terus membawa kami ke hotel. Aku menginap di hotel Yuhang Business manakala 4 lagi peserta tidur di hotel lain.
 
Chengdu Airport

27.10.17 Jumaat
10.30 pagi bertolak dari hotel ke tempat konferens untuk pendaftaran dan terus daftar masuk hotel Jinjiang. Di sini Ms Yi telah sedia menunggu dan setelah selesai daftar masuk hotel, Ms Yi membawa aku ke Tianfu Square dengan menaiki metro (keretapi bawah tanah). Menaiki metro di sini terpaksa melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat dengan membuat imbasan x-ray ke atas semua beg.
Tianfu Square
Dari stesen Jinjiang ke Tianfu Square cuma 2 yuan sahaja. Tianfu Square merupakan tempat pelancong bersantai kerana terdapat beberapa tempat yang menarik di sini termasuklah dua buah museum. Di sini juga terdapat sebuah masjid dan deretan kedai makan Islam bersebelahan masjid. Aku makan nasi Pilov di warong orang Uzbekistan.
Mesjid Besar Chengdu
Selepas makan tengah Ms Yi membawa aku berjalan-jalan di Tianfu Square dan seterusnya balik ke Hotel Jinjiang. Oleh kerana kepenatan aku terus balik ke bilik dan rehat serta tertidur.
 
Miss Yi, Pegawai Pengiring
Kira-kira pukul 4.30 petang aku keluar berjalan kaki di sepanjang jalan mengarah ke utara. Sambil melalui Sg Jinjiang dan taman yang cantik aku terus menyusuri jalan tersebut. Terdapat beberapa buah universiti di sepanjang jalan ini. Dalam perjalanan aku ternampak sebuah kedai makanan kecil di tepi jalan di mana tukang masaknya memakai tudung. Aku terus singgah mengucapkan salam untuk memastikan dia Islam. Sememangnya dia seorang Islam. Anak perempuannya juga memakai tudung. Komunikasi sangat susah untuk memesan makanan. Hanya berasaskan gambar sahaja aku memesan. Aku harap lain (gambar seperti rojak) tetapi yang dihantarnya ialah tumis kobis. Makan sahajalah. Kira-kira pukul 6.00 petang aku sampai semula ke hotel.
Tianfu Square
Pukul 7.30 malam pergi ke dewan makan dan aku hanya makan buah-buahan dan air oren sahaja sambil berbual dengan rakan delegasi IPGM.
28.10.17 Sabtu
Pagi ini bersarapan dengan maggi dalam bilik sahaja. Pukul 8.30 pagi turun untuk upacara pembukaan EFA Conference. Pegawai Pengiring telah mengiringi aku ke tempat duduk yang telah disediakan untuk aku lengkap dengan nama aku sekali. Di atas mejaku sudah sedia dengan kertas nota serta pensil bersama alat terjemahan. Pegawai Pengiring telah menunjukkan aku bagaimana menggunakan alat tersebut. Hampir semua ucapan pembukaan dan ucaputama disampaikan dalam Bahasa Cina. Cuma dua orang sahaja yang menggunakan Bahasa Inggeris iaitu Konsul Amerika ke Chengdu dan Prof. Eva dari Jerman.

Menariknya selepas sesi perasmian, sesi ucap utama hanya menggunakan masa 10 minit sahaja dan tidak ada sesi soal jawab.
Kira-kira pukul 12.15 tengahari aku bersama LO telah pergi Tianfu Square untuk makan tengahari di restoran Islam yang dikendalikan oleh orang Uzbekistan kerana kebanyakan makanan di hotel adalah tidak halal. Selepas makan di sini kami berjalan kaki di sekitar Tianfu Square untuk mencari hotel untuk menginap pada 29.10.17 kerana penganjur hanya menaja dua malam sahaja di Jinjiang Hotel. Akhirnya kami temui hotel yang agak baik dengan harga yang berpatutan (RM107).
Dari Tianfu Square kami menaiki metro ke People’s Park iaitu suatu taman rekreasi untuk orang awam beriadah. Dari sini kami berjalan kaki ke Kuanzai Ancient Street of Qing Dynasty. Berjalan di sini seolah-olah kita berada di zaman Qing Dynasty (1644-1910) dengan seni bina bangunan lama yang dikekalkan. Terlalu ramai orang di sini sehingga berjalan berasak-asak.
Kuanzai Street
Kira-kira pukul 4.30 petang kami menaiki metro sekali lagi untuk balik Jinjiang Hotel. Sampai hotel kira-kira pukul 5.00 petang. Aku terus ke bilik dan berehat setelah berjalan kaki hari ini melebihi 10,000 langkah.
Makan malam di hotel dengan buah-buahan sahaja sambil berbual dengan rakan lain dan seorang Diplomat Saudi Arabia.

29.30.17 Ahad
Hari menyertai sidang selari berkaitan Internet dan tekonologi. Antara ramai speaker yang bercakap mereka menekankan pendidikan yang berbantukan internet. Malah kemajuan teknologi internet juga mampu untuk membuat penilaian soalan-soalan berbentuk subjektif dan esei.
 
Add caption
Selepas sesi penutupan para delegasi di bawa ke Pusat Penyelidikan Giant Panda. Terdapat 168 panda di sini, namun yang ada di pusat cuma 100 sahaja kerana 68 lagi dipinjamkann ke negara-negara lain.

Selepas selesai kami terus balik ke hotel Jinjiang. Aku yang sudah pun membuat daftar keluar pada pagi mengambil bagasi aku untuk berpindah ke hotel lain yang lebih murah iaitu Chengdu Liting Hotel (RM107) yang berhampiran dengan Tianfu Square.
Kira-kira pukul 6.15 petang aku telah keluar ke Grand Mosque yang terletak sebelah Masjid Besar tersebut. Ketika aku sampai jemaah sudah pun selesai solat Maghrib yang masuk pada pukul 6.22 petang. Aku bersolat bersendirian sahaja. Masjid ini adalah masjid lama yang dikekalkan rupa bentuk asalnya.
Setelah selesai solat aku berjalan-jalan untuk mencari restoran halal di situ. Aku temui sebuah restoran yang bagus namun waiter tidak boleh bercakap bahasa Inggeris. Agak sukar aku berkomunikasi dengan mereka sehinggalah salah seorang daripada mereka menggunakan khidmat translator telefon pintar. Aku pesan nasi pilov lagi.
Selepas makan aku terus ke Tianfu Square sambil mengambil beberapa keping gambar dan terus balik ke hotel.

30.10.17 Isnin
10.00 pagi telah keluar ke Tianfu Square untuk melawat tiga museum yang ada di sini. Mula-mula aku pergi ke Art Museum tetapi tutup. Notis yang aku baca pada pintu masuk menyatakan museum ini tutup pada setiap hari Isnin. Kemudian aku berjalan kaki lagi ke Science and Technology Museum. Juga tutup untuk orang ramai. Dikatakan untuk pembersihan. Kemudian aku berjalan untuk ke satu lagi museum, juga tutup.
 
Museum
Di sini aku bertemu dengan seorang pelancong dari Guandong tetapi perbualan kami amat terhad kerana beliau tidak boleh berbahasa Inggeris. Namun aku dapat juga minta bantuan beliau untuk bertanya arah ke Jinli Pedestrian Street yang terkenal. Kami terpaksa menggunakan translator smartphone untuk berbual.
Jinli Street
Akhirnya aku kembali ke Tianfu Square untuk menaiki metro ke Jianli Street. Di sini aku menghadapi masalah untuk membeli tiket kerana aku tidak mengetahui stesen manakah yang patut aku turun. Customer Service juga lemah dalam bahasa Inggeris tetapi boleh juga membantu dengan menulis nama dua buah stesen yang aku patut berhenti. Hentian pertama berhenti untuk mengambil metro lain. Aku menggunakan metro Line 2 sebelum bertukar ke metro Line 3. Tetapi kedua-dua stesen ditulis dalam bahasa Cina.
Aku turun ke Line 2 tetapi tidak mengetahui arah mana metro yang aku terpaksa guna. Selepas bertanya kepada beberapa orang barulah ada seorang pemuda yang membawa aku ke stesen-stesen tersebut walaupun arah asal tujuannya ke lain.
 
Jinli Street
Setibanya aku di sini sambil berjalan keluar sempat aku bertanya seorang di sebelah aku berkaitan arah ke Jinli Street. Rupa-rupanya dia juga hendak ke situ. Maka kami berjalan bersama-sama dengan menggunakan bantuan ‘map direction’ dari telefon beliau.
Jinli Street merupakan suatu perkampungan lama yang dihidupkan kembali. Terdapat banyak warong-warong yang menjual produk China dan juga warong-warong makan yang berkonsepkan zaman dahulu kala. Pelancong sangat ramai di sini sehinggakan aku dan teman aku berpisah selepas beberapa minit berjalan. Aku meneruskan perjalanan aku menikmati perkampungan tradisi cina lama sambil meninjau barang-barangan yang dijual.
 
Jinli Street
Setelah hampir sejam di sini aku berjalan ke stesen metro untuk balik ke Tianfu Square. Perjalanan pulang agak mudah sedikit kerana telah dapat menghafal laluan datang tadi. Setibanya aku di Tianfu Square, aku terus ke Masjid Besar Chengdu. Selepas menunaikan solat aku terus mencari restoran makanan Islam. Aku bertemu dengan 4 orang lagi rakanku yang sedang makan sambil mengajak aku makan sekali. Aku terpaksa menolak kerana aku ingin mencuba restoran lain kerana aku telah makan tengahari di restoran ini pada hari sebelumnya.

Aku terus pergi ke satu lagi restoran yang tidak jauh dari situ. Di sini aku memesan ‘mee daging’  namun mereka tidak menyediakan sudu dan camca sebaliknya chopstick sahaja. Sememangnya restoran ini hanya menyediakan chopstick sahaja. Aku terpaksa juga makan dengan chopstick.
Makan dengan chopstick


Selepas makan aku terus balik ke hotel untuk mengambil beg sebelum ke airport. Kira-kira pukul 4.30 petang aku telah bertolak dari hotel ke airport. Aku sampai kira-kira pukul 5.00 petang. Pukul 6.30 aku solat berjemaah bersama-sama kawan aku di satu sudut airport.
Pukul 9.00 mula daftar masuk dan penerbangan pukul 12.10 malam. Kami tiba di KLIA2 pada pukul 5.00 pagi