Tuesday, 2 May 2017

Nagoya - Tokyo. 9 -13 April 2017

9 April 2017 Ahad

Pukul 8.00 malam aku sudah berada di KLIA2 bagi mengurus 22 orang ahli MSEAM membuat lawatan profesional ke Jepun. Aku terus ke kaunter penerangan Airasia untuk mendapat penjelasan berkaitan dengan cas lebihan berat beg yang dikenakan kepada 6 orang peserta. Hampir 1 jam aku berbincang kerana staf mereka pun tidak dapat memberi penjelasan yang tepat. Akhirnya mereka mendapat jawapan namun aku memaklumkan kepada mereka sistem online mereka mestilah dikemaskini supaya pelanggan tidak terkeliru dan merasa tertipu.

Peserta delegasi tiba berperingkat-peringkat dan aku mohon mereka terus membuat check-in sambil aku menunggu penumpang lain. Kapalterbang lewat 40 minit dan akan berlepas pada pukul 2.30 pagi. Setelah semua selesai daftar masuk aku terus kedai makan untuk makan.

Minum pagi di Kansai Airport


Kami tiba di Kansai pukul 10.00 pagi selepas lebih kurang 7 jam penerbangan. Setelah selesai proses imigresen dan lain-lain, aku terus ke restoran untuk sarapan pagi. First impression, kebersihan restoran dan lain-lain bahagian lapangan terbang amat mengujakan. Di restoran pelanggan disediakan kain kecil untuk mengelap dan membersih selepas selesai makan. Pinggan dan lain-lain perlu dihantar ke tempat yang disediakan selepas selesai makan.


Setelah selesai minum pagi kami terus ke stesen keretapi untuk ke Osaka. Setibanya ke Osaka kami naik keretapi laju  'shinkanzen' pula untuk ke Nagoya. Tiba di Nogoya kira-kira pukul 3.30 petang. Dari Nagoya Station kami menaiki teksi ke hotel untuk check-in dan terus ke Universiti Nagoya menaiki teksi yang sama.


Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Bajunid, Prof. Dr. Nishino dan Prof. Dr. Mina

Bersama Profesor Sekolah Siswazah Pendidikan, University Nagoya

Setibanya kami di Universiti Nagoya, pensyarah-pensyarah Sekolah Siswazah Pendidikan telah sedia menanti kami walaupun kami terlewat sedikit kerana kelewatan ketibaan kapalterbang. Kami telah diberi taklimat oleh Prof. Nishino dan Prof. Mina berkaitan dengan maklumat universiti. Menariknya kedua-dua profesor ini boleh bertutur bahasa Indonesia dengan baik kerana mereka pernah tinggal di sana bagi menjalankan kajian mereka. Hebatnya universiti ini sehinggakan 6 orang pensyarah mereka adalah pemenang Hadiah Nobel dalam bidang Fizik, Kimia dan Kejuruteraan. Ditanya bagaimana mereka boleh berjaya sedemikian rupa sedangkan kebanyakan buku-buku rujukan ilmiah terdapat dalam bahasa Inggeris, mereka menjawab hampir semua buku ilmiah di dunia telah diterjemahkan dalam bahasa Jepun.





Sakura sedang kembang di Nagoya University


Setelah selesai sesi bersama Nagoya University, kami ke Osu Kannon dengan menaiki tren bawah tanah. Di sini merupakan tempat membeli belah terutamanya untuk pelancong. Lebih kurang dua jam di sini, kami balik ke hotel dengan menaiki teksi.

Peta Nagoya University


11 April 2017 Selasa

Kira-kira pukul 9.00 pagi kami bergerak ke Hara Junor High School dengan menaiki teksi. Setibanya kami di sekolah, kami disambut oleh Pengetua dan Penolong Kanannya. Kami diminta untuk membuka kasut masing-masing dan menyimpannya dalam 'pigeon hole' yang dikhaskan dan memakai selipar yang disediakan. Kami terus dibawa ke bilik taklimat untuk mendengar taklimat dari Pengetua sekolah.


Pelajar Tingkatan 1 Hara Junior High School

 Taklimat disampaikan dalam bahasa Jepun dan kami dapat memahaminya kerana pemandu kami boleh berbahasa Jepun dengan baik. Dapat disimpulkan bahawa sekolah ini sangat mementingkan akademik dan pembentukan akhlak yang mulia terutamanya mengamalkan nilai-nilai kebersihan dan hormat menghormati. Kebetulan pada hari ini merupakan hari pemilihan kelab dan permainan bagi pelajar-pelajar Tahun 1 dan kami di bawa terus ke dewan untuk melihat sendiri bagaimana pelajar-pelajar memilih untuk menjadi ahli kelab dan permainan.

Principal of Hara Junior High School

Sebelum pelajar-pelajar membuat pemilihan, mereka dipersembahkan secara live pelbagai kelab dan permainan oleh pelajar-pelajar senior. Antara yang dipamerkan termasuklah seni mempertahankan diri Bushido, bolesepak, baseball, bola keranjang, dan lain-lain lagi. Selepas selesai pertunjukan itu, barulah pelajar Tingkatan 1 ini memilih kelab dan permainan yang diminatinya.

Selepas selesai di sekolah ini, kami kembali ke hotel dengan teksi untuk mengambil beg dan terus ke stesen bas Nagoya untuk menaiki bas ekspres ke Tokyo yang berlepas pada pukul 4.45 petang. Dalam perjalanan kami sempat singgah di dua tempat perhentian untuk rehat. Amat mengkagumkan akan kebersihan tandas R&R mereka, jauh lebih bersih dari R&R Plus. Kami tiba di Tokyo kira-kira pukul 10.00 malam dan terus menaiki teksi ke hotel Mystay Asakusa.


12 April 2017 Rabu

Hari ini kami sehari melawat Mt. Fuji dan tempat-tempat dalam perjalannya dengan menyewa sebuah bas berserta dengan pemandu pelancong. Kami bertolak 8.00 pagi dan dalam perjalanan menikmati pemandangan indah kawasan luar bandar dan perkampungan sebelum tiba di kaki Mt. Fuji. Mt. Fuji merupakan gunung tertinggi di Jepun dengan ketinggian 12,388 kaki (3776 meter). Puncaknya sentiasa disaluti dengan salji.


Mt. Fuji dari dalam bas

 Kami bernasib baik hari ini kerana Mt. Fuji tidak dilindungi awan seperti biasa dan dari jauh sudah kelihatan white cap Mt. Fuji. Kami sibuk mengambil gambar dari dalam bas sahaja. Pemandangan indah berlatar belakangkan perkampungan dan dibelakangi dengan Mt. Fuji sangat indah sekali.



 Walaupun kami nampak jelas dari kejauhan keindahan Mt. Fuji, namun kami tidak bernasib baik pada hari ini kerana bas hanya boleh sampai First Step sahaja. Ini disebabkan sehari sebelum itu, salji turun lebat maka jalan naik sehingga Fifth Step ditutup. Oleh itu pendakian gunung Fuji hanya berakhir di sini sahaja.


Dalam perjalanan turun kami dimaklumkan oleh pemandu pelancong di suatu kawasan yang boleh kedengaran 'Suara Tuhan' mengikut kepercayaan orang Jepun. Dari segi saintifiknya, ia cuma bunyi 'gema' sahaja kerana kawasan bergunung ganang semamangnya terdapat bunyi gema dari pelbagai sumber.



Di First Step berlatar belakangkan Puncak Gunung Fuji

Tasik Ashi di kaki Gunung Fuji - Kawah gunung berapi yang meletus kira-kira 5000 tahun dahulu


Kami sempat singgah di dua tempat sebelum terus ke Tokyo iaitu Hot Spring Resort (Onsen) dan pusat membeli belah yang besar Gotemba Premium Outlets. Onsen merupakan tempat orang-orang Jepun berendam dalam air panas dengan tidak memakai sebarang pakaian pun. Sambil duduk dalam tempat yang dikhaskan, mereka boleh pemandangan ke arah puncak Gunung Fuji. Tidak ada seorangpun dari kami yang ingin mencuba Onsen ini. Kami hanya duduk dan rehat sahaja sambil menikmati minuman yang disediakan secara percuma.

Gotemba Premium Outlets menyediakan pelbagai barangan daripada harga yang murah hinggalah tinggi. Kebanyakan barangan di sini merupakan barangan import yang dijual dengan harga yang berpatutan bagi orang Jepun.

Setibanya di Tokyo kami terus ke Restoran Ramen yang terletak di Asakusa berhampiran dengan Shinsoji Temple untuk makan malam. Restoran ini sangat kecil yang hanya boleh memuatkan lebih kurang 30 orang sahaja. Setelah selesai makan malam, ramai dalam kalangan kami mengambil teksi untuk balik ke hotel namun aku dan beberapa orang lagi memilih untuk berjalan kaki sahaja kerana jaraknya bukanlah jauh sangat di samping itu kami dapat menikmati suasana Shinsoji Temple di waktu malam.


13 April 2017 Khamis

Sebelah pagi semua peserta delegasi bebas untuk melawat dan akan berkumpul semula di hotel pada pukul 2.30 petang untuk ke Kedutaan Malaysia di Jepun.  Pada pagi ini, aku dan Dr. Kamaruzaman membuat keputusan untuk ke Sumida Park dan Senso Ji Temple dan persekitarannya yang merupakan pusat pelancongan untuk membeli belah.


Sumida Park, Asakusa


 Kami berjalan kaki sahaja dari hotel, untuk menikmati suasana dingin dan terus menuju ke Sumida Park untuk menikmati bunga Sakura yang sedang berkembang di persisiran sungai Sumida.


Sensoji Temple - Temple yang tertua di Tokyo yang dibuka pada tahun 645 selepas masehi
Kawasan Sensoji Temple nampak tenang ketika kami sampai. Namun ketika kami nak balik semula ke hotel kawasan ini penuh sesak dengan pelancong. Yang menariknya ramai juga murid-murid sekolah yang datang ke sini untuk memenuhi sebahagian daripada kurikulum mereka berkaitan dengan alam sekitar dan sejarah.

Mercu tanda Asakusa

 Pukul 2.30 petang kami bertolak ke Kedutaan untuk membuat kunjung hormat. Disini kami telah diberi taklimat oleh Pegawai Kedutaan berkaitan peranan kedutaan termasuklah mengenai pendidikan tinggi Jepun. Setelah selesai di sini kami bertolak ke Lapangan Terbang Haneda dengan menaiki teksi untuk berlepas pulang ke Malaysia pada pukul 11.45 malam.

Di Kedutaan Malaysia. Duduk dari kiri : Dr. Sazali, Prof. Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Bajunid, En. Mohd Ishrin (First Secretary), Dr. Shaari,  Mr. Abdul Ghani Selbi (First Secretary -HRD)





Wednesday, 22 March 2017

Seoul, Korea Selatan. 18 - 21 Mac 2017

17 Mac 2017 Jumaat

Sudah sekian lama anak-anak perempuanku kepingin sangat nak ke Korea. Akhirnya aku membuat keputusan untuk membawa mereka pada tarikh ini kerana itulah tarikh yang paling sesuai. Namun anak lelakiku, Aiman, tidak dapat ikuti bersama kerana tuntutan kuliahnya di UUM yang kini sedang mengikuti program Hubungan Antarabangsa.

Pukul 12.30 tengahari, aku dan isteriku bertolak dari IPGK Tuanku Bainun menuju KLIA2. Kami diminta oleh agen pelancongan untuk berkumpul di KLIA2 pada pukul 9.30 malam. Anak sulungku, Syafiqah Alia bertolak dari Kuantan pada pukul 12.00 tengahari manakala seorang lagi bertolak dari Melaka pukul 4.30 petang. (Syafiqah sudah Semester 6 UIA, Atiqah Semester 4 Kolej Profesional MARA). Aku telah memaklumkan kepada mereka supaya berkumpul di Putra Central pada pukul 6.30 petang kerana aku akan parking kereta di Putra Central dan menaiki keretapi ke KLIA2.


Syafiqah & Atiqah di hadapan Kyeongbok Palace

Kereta agak luar biasa banyak pada hari ini mungkin kerana cuti sekolah sudah pun bermula. Aku menjangkakan akan sampai ke Putra Central pukul 6.00 petang namun jangkaan itu meleset sekali. Tiga kali kami terperangkap dalam kesesakan trafik. Pertama sekali sebelum sampai simpang Rawang, kami terperangkap lebih kurang 45 minit kerana berlakunya kemalangan jalan raya. Kemudian aku mengambil keputusan untuk mengikut lebuhraya Guthrie, namun sekali lagi terperangkap lebih kurang 20 minit sebelum sampai plaza tol.

Selepas saja tol itu, perjalanan agak lancar dan aku jangkakan akan sampai ke Putra Central pukul 7.00 malam. Namun sekali lagi malang, kami terperangkap kesesakan sebaik saja selepas plaza tol Bt. Jelutung. Sedangkan anak-anakku sudah lama sampai di Putra Central. Aku berpesan pada mereka solat dan makan dulu sebab aku tidak dapat meramalkan lagi kerana kereta bergerak amat perlahan. Akhirnya kami sampai ke Putra Central pada pukul 8.45 malam. Selepas membuat kemasan beg terakhir bersama-sama anak-anakku kami terus untuk membeli tiket tren. Mujur kami dapat tiket pukul 9.21 malam. Aku terus menelefon agen, bahawa kami dijangka tiba di KLIA2 pada pukul 9.45 malam.

Setibanya kami di KLIA2, agen telah siap sedia menunggu dan terus mendaftar masuk kami. Ahli-ahli lain telah pun didaftarkan masuk oleh agen. Alhamdulillah sempat juga kami sampai. Selepas selesai pendaftaran kami terus mencari tempat makan kerana kelaparan, 'tension' dan keletihan. Pukul 12.00 malam kami dipanggil masuk untuk terbang ke Seoul dengan menaiki pesawat Airasia X.


18 Mac 2017 Sabtu

Tepat pukul 1.00 pagi kami berlepas ke Seoul. Penerbangan ini hampir penuh. Kami tiba di Lapangan terbang Incheon, Seoul pukul 8.00 pagi (waktu Korea) selepas enam jam penerbangan. Proses pemeriksaan imigresen agak perlahan dan hampir sejam barulah kami dapat mengambil bagasi. Namun dalam keadaan keletihan isteriku telah tertinggal beg telekung semasa berhenti rehat sebelum pemeriksaan imigresen. Aku cuba mohon pertolongan staf bagasi lapangan terbang namun mereka tidak dapat membantu. Akhirnya kami terus keluar kerana kemungkinan Pemandu pelancong sudah pasti lama menunggu di luar.



Pemandu pelancong kami bernama 'Jin' sudah sedia menunggu dan grup kami terdiri seramai 16 orang sahaja yang semuanya Melayu. Setelah berkenalan sebentar kami terus mengheret beg ke bas.

Tempat lawatan pertama kami ialah National Folk Museum dan selepas itu kami dibawa ke Gyeongbok Palace yang berada bersebelahan. Gyeongbok Palace dibina pada tahun 1395 semasa Dinasti Joseon. Selepas itu kami di bawa ke Restoran Bombay Gril di Itaewon untuk makan tengahari. Setelah selesai makan tengahari kami berjalan kaki ke International Mosque untuk bersolat. Selepas solat (3.00 ptg) kami di bawa pula ke Seoul Tower dan Love Lock Wall. Di sini kami berkesempatan melihat persembahan kumpulan mempertahankan diri Korea. Hebat sekali persembahan ini kerana mereka menggunakan senjata lama Korea yang sebenar.




Pukul 4.00 petang kami mengunjungi Korean Traditional Hanok Village. Setelah selesai di sini kami pergi pula ke Trickeye Museum dan Ice Museum di Hongdae Street. Kami diberi tempoh sejam di sini dan tepat pukul 6.40 petang kami bertolak ke Korean Restaurant untuk makan malam. Kami dihidangkan dengan makanan Korea seperti Kim Chee, ikan panggang, telur dadar yang bercampur dengan udang, sotong, sawi dan sup cendawan.





Setelah selesai dinner kami terus ke hotel Coop City untuk daftar masuk. Kami tiba di hotel pukul 8.00 malam. Ouh! Penat sekali perjalanan ini.


19 Mac 2017 Ahad

Setelah selesai minum pagi kami bertolak ke Nami Island yang terletak di Chuncheon pada pukul 9.00 pagi. Perjalanan mengambil masa 1 jam 20 minit.  Setibanya kami disini telah kelihatan puluhan bas persiaran parkir. Pulau Nami begitu popular dalam kalangan pelancong kerana keindahannya dan dipopularkan pula filem Korea yang popular iaitu "Winter Sonata'. Pulau ini sebenarnya terjadi ditengah-tengah sungai Han iaitu sungai yang terpanjang di Korea Selatan apabila tanah timbul sikit demi sedikit. Disini kami berada selama lebih kurang 2 jam.




Selesai makan tengahari kami bertolak ke Seoul semula untuk ke Kim Chee Land. Di sini kami diajar bagaimana membuat Kim Chee, makanan yang popular di Korea. Ingredient utama makanan Kim Chee ialah kobis yang dilumur dengan sos Kim Chee. Sos Kim Chee diperbuat daripada pelbagai bahan termasuklah cili besar, halia, ginseng, dll. Setelah selesai masing-masing membuat kim chee, ia diserahkan kepada guru kami. Kami dimaklumkan kim chee ini akan diberikan kepada penghuni rumah orang tua di Korea.


Kim Chee yang sudah siap.

Memakai baju Raja Korea 




Kemudian kami terus ke Taman Tema Everland, sebuah taman tema yang terbesar di Korea. Taman ini adalah seperti taman tema Genting Highlands. Kami menghabiskan masa selama 3 jam di sini. Orang terlalu ramai. Mungkin kerana hari ini hari Ahad, hari cuti hujung minggu. Oleh kerana orang terlalu ramai, maka setiap satu-satu permainan/event/tempat kami terpaksa menunggu antara 45 minit hingga 1 jam sebelum mendapat giliran. Anak-anakku memilih untuk menaiki roller coaster dan kerusi pusing. Manakala aku terpaksa mengikut kehendak isteriku untuk safari melihat harimau, dubuk, beruang dan singa.

Dipermulaan Roller-coaster bersama Bos Asiarasa Travel



Pukul 7.30 malam, kami bertolak dari Everland ke Hotel. Sebelum itu kami singgah di Kompleks beli belah Doota.com untuk membeli souvenir. Kami cuma diberi masa selama 1 jam.


Selepas itu kami terus balik ke hotel. Sampai hotel pukul 10.00 malam.


20 Mac 2017 Isnin

Pagi ini kami bergerak pukul 9.00 pagi untuk ke Red Pine Center - Pusat supplement makanan berasaskan tumbuhan red pine yang hanya terdapat di sebelah Asia timur sahaja.  Mempunyai banyak kebaikan dalam penjagaan kesihatan termasuklah menyembuh pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, strok dan lain-lain.

Setelah itu kami dibawa pula ke Cosmetic Center - C&C center yang  menyediakan pelbagai produk kecantikan buatan Korea terutamanya untuk wanita. Jurujual telah membuat demonstrasi khas untuk kami dan kami juga dibenarkan mencuba beberapa produk tersebut.

Selepas itu kami terus ke Itaewon untuk makan tengahari di Restoran Usmania. Selepas itu solat di Masjid yang jaraknya lebih kurang 80 meter dari Restoran Usmania.


Sebelah petang kami dibawa pula ke dua buah shopping area iaitu Nadae Mong & ...

Selepas dinner dengan masakan korea, kami dibawa Cinema Center untuk menonton live art performing oleh Talent Group. Persembahan 4 orang pelukis ini amat menarik sekali yang mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah. Persembahan yang bersahaja dan melibatkan penonton membuatkan masa berlalu dengan pantas. Lukisan yang dihasilkan juga menakjubkan. Antara lukisan yang dilukiskan termasuklah portrait Michael Jackson, Bruce Lee, dan 3 orang pahlawan Korea.


Selepas selesai persembahan kami pulang ke hotel dan sampai pada pukul 10.30 malam. Kami berkemas kerana keesokannya kami akan daftar keluar untuk pulang ke Malaysia.


21 Mac 2017 Selasa

Pukul 8.30 pagi kami bertolak ke Kilang Amethyst untuk melihat sendiri bagaimana perhiasan wanita seperti rantai, gelang, cincin dll dibuat daripada batu amethyst yang banyak terdapat di Korea. Kami diberi taklimat oleh Bos kilang sendiri. Terdapat lebih kurang 10 orang designer yang asyik mereka bentuk amethyst ini menjadi cincin, gelang dan rantai. Dua orang designer dari Itali dan Perancis sangat popular di sini. Amethyst yang berwarna kebiru-biruan ini diperolehi di kedalaman lebih 100 meter di perut bumi.

Kilang dan Pusat Jualan Jeil Amethyst

Kami kemudian dibawa ke ruang jualan hasil amethyst ini. Sememangnya terdapat pelbagai rekabentuk ametyst yang cantik yang diikatkan kepada rantai, gelang dan cincin. Harga produk ametyhst ini juga agak mahal. Aku membeli seutas rantai yang berharga USD190 yang aku hadiahkan untuk Along sempena hari lahirnya yang ke 23. Ia juga hadiah kerana kecemerlangannya dalam pengajiannya di UIA yang kini sudahpun masuk ke Semester 6. Moga-moga hadiah ini akan memberi motivasi kepadanya untuk terus cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburinya.

Selepas menghabiskan masa selama 1 jam di sini, kami dibawa pula ke Pusat Goreyo Ginseng Korea. Disini kami diberi taklimat berkaitan dengan tanaman ginseng dan khasiatnya yang banyak. Ini ialah kepercayaan orang Korea kerana mereka telah lama mengamalkan makanan yang berasaskan ginseng. Ginseng yang paling bagus dituai ialah ketika ia berusia 6 tahun kerana pada usia itu ia telah menghimpun banyak nutrients yang jika diproses dan dimakan, ia  diyakini  memberi kesihatan kepada pengamalnya. Kami juga diberi peluang untuk merasa sedikit minuman ginseng. Ada pelbagai produk ginseng di sini, antaranya ada yang berbentuk serbuk, ekstrak, kapsul dan 'coklat' (yang boleh dimakan begitu sahaja).

Setelah selesai disini kami terus menuju ke lapangan terbang namun berhenti seketika di Korean Shopping Center yang terletak lebih kurang 8 km dari airport. Kedai ini hanya menjual produk korea sahaja yang terdiri daripada makanan, pakaian,  cenderamata dan barangan elektrik. Kedai ini juga menyediakan perkhidmatan packaging/wrapping untuk memudahkan penumpang daftar-masuk barangan mereka ke dalam kargo.

Selepas kami terus ke airport untuk daftar masuk. Pemandu kami, Jin, sangat komited membantu kami untuk proses daftar masuk ini. Walaupun kami tiba 3 jam sebelum penerbangan (3.55 ptg) namun orang telah beratur panjang. Hampir semua yang beratur panjang itu adalah pelancong Malaysia.

Setelah selesai proses daftar masuk, kami beratur lagi untuk tapisan keselamatan dan imigresen. Aku terus ke kaunter tak refund untuk mendapat refund cukai pembelian rantai dan makanan sebanyak 22,000 won. 

Selepas itu kami terus menaiki tren ke bangunan pelepasan antarabangsa. Lalu ke bilik solat yang berada di Tingkat 4. Selepas solat menghirup secawan hot chocolate dan terus ke pintu L112 untuk berlepas. Pukul 3.30 ptg mula beratus masuk ke pesawat dan berlepas pukul 3.55 ptg tepat seperti yang dijadualkan.

-->


Sunday, 13 November 2016

Lahore, Pakistan: 1 - 5 Nov 2016


1 November 2016. Selasa


Aku telah dijemput Lahore College for Women University (LCWU), Lahore, Pakistan untuk menjadi Perucap Utama dalam konferen yang dianjurkannya iaitu '1st International Education Conference'. Tajuk yang diberikan kepada aku ialah Lifelong Learning.



Kira-kira jam 6.00 petang aku berlepas dari KLIA menuju Lahore dengan menaiki pesawat Malindo Air. Selepas 6 jam penerbangan aku tiba di Lahore pukul (9.00 malam waktu Lahore). Waktu Malaysia mendahului Lahore sebanyak 3 jam.
Aku telah disambut oleh Pegawai Protokol LCWU dan terus dibawa ke Rumah Tetamu universiti. Aku tiba di LCWU kira-kira pukul 10.00 malam. Makanan telah disediakan untuk aku dan Perucap Utama yang lain. Seramai 4 orang Perucap Tetamu tinggal di sini, dua dari Malaysia, 1 orang dari Karachi (Prof. Dr. Memon) dan seorang lagi dari UK (Prof. Saeeda)


Inilah Rumah Tetamu LCWU dimana aku tinggal selama 4 malam


2 November 2016. Rabu


Selepas bersarapan di rumah tetamu, aku mengabil peluang untuk berjalan-jalan dalam kampus kerana majlis pembukaan konferens akan diadakan pada pukul 2.00 petang di Hotel Palm, Lahore. Universiti ini mempunyai 15 ribu orang pelajar yang semuanya perempuan. Kawalan masuk ke universiti begitu ketat seperti masuk dalam kem tentera. Pegawai keselamatannya ramai.

Pukul 11.00 pagi semua Perucap Utama dijemput ke bilik Naib Canselor bagi sesi pengenalan bersama beliau. Aku telah menceritakan serba sedikit berkaitan dengan pendidikan guru di Malaysia.

Memberi Ucap Utama di 1st International Education Conference, Lahore
Pada pukul 1.30 petang aku telah dibawa ke Hotel Palm untuk sesi perasmian konferens. Kami dipesembahkan dengan pelbagai tarian dan nyanyian sebaik sahaja sesi pembukaan bermula.

Dalam Walled City, Lahore

3 Nov 2016. Rabu

Semua sesi Sidang selari diadakan di LCWU. Sebanyak 80 kertas kajian dibentangkan. Aku dijemput sebanyak dua kali sebagai 'Pengerusi' pembentangan yang fungsinya merumuskan semua pembentangan sesi selari tersebut.

Sebelah petang aku berehat di Rumah Tetamu kerana aku merasakan kurang sihat.
Menerima cenderahati dari Naib Canselor LCWU, Prof. Dr. Uzma

4 November 2016. Jumaat

Pagi ini merupakan sesi ucaputama dan perbincangan panel. Aku diberi kesempatan untuk memberi ucaputama yang pertama. Selepas selesai sesi ucaputama diadakan pula sesi sidang panel dimana semua perucap utama berada di pentas untuk memberi respons kepada soalan-soalan yang dikemukakan oleh peserta.

Setelah selesai sesi panel, ucapan penutupan dilakukan oleh Naib Canselor LCWU.
Semasa Sesi Panel



Panel Session : L-R : Me, Prof. Dr. Uzma, Prof. Saeeda, Dr. Salina, Prof. Nusra

Pada pukul 3.00 petang kami telah dibawa melancong ke Walled City, Lahore. Walled City merupakan bandar bersejarah yang dibina pada zaman Mogul. Ciri-ciri pembinaan Walled City ini sama seperti yang terdapat di Khiva, Uzbekistan.

Rombongan kami juga dibawa mengelilingi Walled City dengan menaiki kereta kuda. Jalan agak sesak hari ini ramai pedagang rempah mengunjungi Lahore untuk berniaga. (Lahore merupakan kota rempah terbesar di Pakistan). 

Lawatan kami di Walled City ini diakhiri dengan minum teh  dengan kuih tradisi Pakistan. Selepas itu kami terus balik ke LCWU. Makan malam disediakan di Rumah Tamu.


Di hadapan Rumah Tetamu : L-R: Sabahat (Pengurus Rumah Tetamu), me, Dr. Afifa (Coordinator Konferens), Dr. Salina; Sanam (Penolong Pengurus Rumah Tetamu)

5 November 2016 Sabtu 

Sebelah pagi, aku berkemas kerana pada petang ini aku akan bertolak ke lapangan terbang. Pukul 11.00 pagi, Dr. Afifa telah mengambil aku untuk berjalan sekitar Lahore terutamanya di Liberty, tempat membeli belah yang popular di Lahore. Kawasan membeli belah di sini lebih kurang sama seperti Jalan Tuanku Abdul Rahman, KL namun ia lebih besar. Semua kedai di sini mempunyai generator yang diletakkan di hadapan kedai masing-masing kerana bekalan elektrik kerap kali terputus.

Di hadapan perpustakaan lama LCWU


Thursday, 15 September 2016

Arafah - Mina

Setiap kali musim haji tiba, pasti aku akan teringat pelbagai peristiwa semasa mengerjakan haji pada bulan Januari 2005 terutamanya semasa berwukuf di Arafah dan bermalam di Mina. Berikut dipaparkan kesah aku di Arafah dan Mina.

18 Jan 2005 (Selasa)

Hari ini semua jemaah yang berada di Mekah akan bertolak ke Arafah. Aku dan Mak dijangka akan bergerak pada pukul 1.00 tengahari bersama-sama orang sakit (Mak diklasifikasikan sebagai orang sakit) manakala Lin dan Mek akan bergerak dengan bas lain. Apa yang dirancangkan tidak berlaku. Aku dan Mak bertolak ke Arafah pada pukul 10.00 malam dan sampai Arafah pukul 11.30 malam. Manakala Lin/Mek bertolak lebih awal iaitu pada pukul 8.00 malam. Ketika kami sampai di Arafah ramai jemaah telah tidur dalam khemah.

Aku dan Mak menaiki bas terakhir dari Mekah iaitu pukul 10.00 malam. Sebaik saja kami sampai Arafah, aku perhatikan Mak sangat lemah untuk berjalan. Aku terpaksa pimpin dan berjalan dengan perlahan. Dalam jarak yang tidak begitu jauh, banyak kali Mak berhenti. Mungkin Mak terlalu letih dan berjalan pula di atas tanah yang berpasir.

Arafah : Berdiri di atas bukit berhadapan dengan surau Maktab 89

Aku bertanya pada petugas dimana khemah Lin/Mek dan kami terus pergi ke situ. Aku dapati semua jemaah telah tidur. Aku dan Mak terpaksa memanggil Lin dengan suara yang kuat. Akhirnya Lin terjaga dan terus membawa Mak masuk dengan beliau. Lin menjangkakan kami tidur di khemah orang sakit. Sebenarnya tidak ada khemah khas untuk orang sakit disediakan. Aku terus ke khemah lelaki. Hampir semuanya telah tidur namun aku dapat juga ruang yang sempit untuk berbaring.


19 Januari 2005 Rabu

Seperti biasa aku bangun pukul 4.00 pagi untuk berkemas dan menunai pelbagai solat. Cuaca agak sejuk dan aku tiada peluang untuk mandi kerana bilik air senantiasa penuh dengan orang disamping ramai yang beratur menunggu giliran. Selepas solat subuh dalam khemah, aku berehat dan mengambil minum pagi yang disediakan.

Ketika hampir waktu zohor, aku pergi ke surau maktab 89 untuk solat zohor dan mendengar khutbah Arafah. Ramai dalam kalangan kami hanya berehat seketika untuk makan tengahari dan masa selebihnya digunakan untuk solat taubat, dan berzikir sehinggalah waktu asar. Solat asar berjemaah di Surau Maktab 89. Tanpa aku sedari air mataku menitis mendengar doa Imam yang sangat menyentuh hati. Aku terus berzikir hingga pukul 5.00 petang.

Aku kembali ke khemah untuk berkemas kerana dijadualkan bas akan bertolak pada pukul 6.30 petang. Bas pertama yang akan bertolak akan membawa jemaah yang sakit bersama warisnya/penjaganya. Oleh kerana itu aku akan menaiki bas pertama bersama Mak yang aku perhatikan semakin lemah. Kami terus ke Mina tanpa bermabit di Muzalifah. Kami tiba di Mina pada pukul 7.30 malam. Setiba kami di Mina, agak kecoh sedikit pengurusan haji kerana terdapat perubahan terakhir dari segi nombor khemah pada stiker dan yang sebenarnya. Jadi ada khemah yang terlebih jemaah dan ada yang kurang. Mujurlah jemaah haji mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Aku merasakan badan tidak begitu sihat pada hari ini. Lin dan Mek tiba lewat sedikit dari kami.
Beginilah keadaan dalam khemah, di situlah tempat tidur, makan dan solat


20 Jan 2005 Khamis

Seperti biasa pukul 4.00 pagi aku bangun untuk bersihkan diri bagi mendirikan solat dan zikir dalam khemah sehinggalah waktu subuh kami solat berjemaah dalam khemah tempat kami tidur. Kami menyusun beg masing-masing bagi membolehkan kami solat subuh berjemaah. Aku perhatikan ada jemaah tidur di luar khemah kerana ruang dalam khemah sememangnya sendat. Selepas solat subuh, minum pagi dengan 2 buku roti, 1 epal, 1 kotak jus oren dan 1 biji telur. Air panas ada disediakan di tempat khas dan sesiapa yang memerlukannya boleh ke situ untuk buat air teh atau sebagainya. Selepas minum, terus rehat dalam khemah.

Mina : Di kawasan inilah khemah kami ditempatkan, khemah yang paling jauh sekali dari tempat Jamrah. Ia bersempadan dengan Mudzalifah

Aku mendapat maklumat bahawa kawasan khemah kami dikenali sebagai 'muhassir' kawasan yang paling jauh sekali dari jamrah. Khemah kami bersempadan dengan Muzalifah. Kami diberi makluman akan melontar jamrah selepas solat isyak.

Kira-kira pukul 3.15 petang Lin datang menemuiku memaklumkan Mak sakit lagi, sesak nafas. Aku terus menemuinya dan sememangnya Mak sangat lemah. Aku segera ke klinik (klinik khas Tabung Haji juga dalam kawasan kami tinggal) untuk mengambil kerusi roda dan memimpin Mak duduk atas kerusi roda untuk terus ke klinik. Ketika itu para petugas klinik sedang berehat namun oleh kerana Mak sakit kuat mereka terpaksa memberi pemeriksaan. Doktor memaklumkan air dalam badan Mak sudah berlebihan mungkin kerana Mak culas makan ubat. Doktor terus memberi suntikan untuk mengeluarkan air dari badan.

Ketika itu Mak sudah lagi tidak berdaya untuk menahan kencing dan terus kencing dan buang air besar di situ juga. Lin bertungkus lumus mencuci kencing dan najis besar Mak yang melekat pada kain, baju, dan kain dalam. Kesemua kain itu dibuang dalam tong sampah kerana bukan mudah untuk membasuh pakaian di Mina kerana bilik air yang sedikit dan orang yang ramai bergilir-gilir untuk mandi dan berwuduk yang lebih prioriti. Mak sudah dalam keadaan fana. Mungkin itu sebabnya Mak tidak makan ubat sebab jika makan ubat yang diberikan, sudah pasti Mak akan ke bilik air untuk kencing sedangkan bilik air sangat terhad.

Pemeriksaan doktor mendapati panyakit darah tinggi Mak meningkat, begitu juga dengan kencing manisnya meningkat ke 12.8. Oleh kerana Mak sudah tak mampu untuk kencing sendirian, Doktor telah memasukkan tiub dalam kemaluan Mak untuk memudahkan air kencing keluar melalui tiub. Aku perhatikan Doktor agak sukar untuk membuat keputusan selanjutnya, dan ia terus menelefon rakannya dari Maktab lain. Rakannya datang untuk melihat Mak dan mereka sepakat untuk untuk bawa Mak ke hospital Muassim. Emak dan beberapa pesakit lain dibawa dengan ambulan pada pukul 5.00 petang. Aku terus balik ke khemah untuk solat asar.

Aku hanya mampu berdoa supaya Mak sembuh dengan segera dan juga berdoa supaya Lin terus sihat kerana Lin banyak membantu aku dalam menjaga Mak malah Lin menjaga Mak seperti menjaga emaknya sendiri.

Aku, Lin dan Mek bergerak dengan jemaah dari Maktab 89 menuju Jamrah pada pukul 8.30 malam. Pergerakan lancar walaupun perlahan kerana ramai lagi jamaah dari maktab-maktab lain juga bergerak pada masa yang sama. Kami sampai di Jamratul Aqabah pada pukul 10.15 malam. Lontaran agak mudah dibuat tidak bersesak-sesak, begitu juga Lin dan Mek agak mudah untuk mereka membuat lontaran. Setelah selesai aku membuat lontaran, aku ulangi lontaran bagi pihak Mak pula.

Dalam perjalanan balik, jemaah sudah berpecah mungkin kerana keletihan atau singgah untuk membeli belah. Aku, Lin dan Mek terus berjalan hinggalah ke Muassim. Aku bertanya kepada beberapa petugas Tabung Haji arah ke Hospital Muassim namum mereka pun tidak mengetahuinya. Kami terus berjalan ke Maktab 89 dan dalam perjalanan aku ternampak Mina Al Wadee Hospital. Aku terus ke situ untuk bertanya mengenai Mak. Aku bernasib baik kerana dapat bertemu dengan wanita Sudan yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Dengan bantuannya aku berjaya masuk hospital dan berjumpa dengan doktor. Aku dimaklumkan Mak tidak dimasukkan di hospital tersebut. Dalam hatiku berkata, kemana pula Mak dibawa? Aku memikirkan pelbagai perkara mengenai Mak sambil kami meneruskan perjalanan ke khemah dan sampai pukul 12.30 malam. Aku sangat letih dan terus tidur.


21 Januari 2005 Jumaat

Seperti biasa bangun pukul 5.00 pagi, bersihkan diri, solat-solat sunat dan subuh berjemaah. Selepas solat subuh aku terus minum pagi.

Selepas minum pagi aku dan Lin pergi ke pejabat Tabung Haji tetapi tiada petugas. Aku terus ke klinik Maktab 90 untuk bertanya kemana Mak di bawa. Aku dimaklumkan Mak telah di bawa ke Hospital Aziziah, Mekah. Pada masa yang sama aku terjumpa dengan petugas klinik Maktab 89 dan bertanya bagaimana aku dapat pergi ke hospital Aziziah kerana aku ingin berjumpa Mak dan tahlul awal untuk Mak dengan menggunting rambutnya. Aku dimaklumkan pihak Tabung Haji akan mengurus semua hal-hal haji bagi pesakit-pesakit yang masuk hospital Aziziah iaitu dari aktiviti melontar, tawaf dan saie. Pesakit hanya perlu membayar upah melalui potongan simpanan TH.
Di sinilah aku menunggu setiap hari untuk ke Hospital Aziziah untuk menziarah Mak namun hampa belaka kerana tiada ambulan yang bergerak ke sana

Aku tidak dapat melawat Mak kerana kenderaan awam untuk ke Mekah agak sukar diperolehi dari Mina. Aku kembali ke khemah dan bertawakkal kepada Allah mengenai kesihatan Mak. Moga-moga Mak sihat sebelum balik.

Selepas waktu asar aku pergi ke klinik Maktab 89 dan 90 untuk bertanya jika sama ada mereka akan ke Hospital Aziziah membawa pesakit. Jika ada, aku ingin tumpang namun tiada kes untuk di bawa ke Mekah. Pun begitu aku masih duduk di luar klinik sambil mengharap jika ada kes untuk ke Mekah. Aku tunggu sehingga waktu Maghrib namun tiada juga kes.

Aku terus balik ke khemah untuk solat maghrib/isyak dan makan malam. Malam ini kami dimaklumkan tiada aktiviti melontar kerana TH menasihatkan semua lontaran akan dihimpunkan sehingga malam esoknya. Aku merasakan badan tidak begitu sihat dengan batuk dan demam.


22 Januari 2005 Sabtu

Seperti biasa bangun pukul 4.30 pagi namun masih tiada peluang untuk mandi kerana orang terlalu ramai menunggu giliran. Malah aku terpaksa menahan kencing hingga selepas subuh. Solat subuh berjemaah dalam khemah dan seterusnya minum pagi. Selepas minum pagi, aku terus terlena kerana aku tidak begitu sihat. Selepas solat zohor, aku keluar di sekitar khemah, nampaknya ada tanda-tanda nak hujan. Tepat sekali ramalanku kerana tidak lama selepas itu, angin bertiup kencang menerbangkan habuk dan sampah. Hujan renyai yang turun tidak membasahi tanah. Tidak lama selepas itu, angin bertiup kencang dan tatkala kami solat asar berjamaah, hujan lebat turun mencurah-curah di bumi Mina. Sangat jarang perkara ini berlaku. Ramai jemaah yang hilang selipar kerana dihanyuti air. Aku bernasib baik kerana dapat menyelamatkan seliparku. Keadaan khemah agak riuh kerana ada bahagian-bahagian khemah yang bocor. Jemaah bertungkus lumus untuk membetulkan keadaan.

Kira-kira pukul 4.30 petang hujan mula reda dan ramai jemaah mencari selipar masing-masing. Ada beberapa khemah dimasuki air kerana tapak perkhemahan tiada sistem perparitan yang betul. Hujan lebat sebentar air mengalir mengikut kecerunan tanah.

Badan aku masih lagi lemah kerana demam dan batuk/selsema. Selepas solat isyak dan makan malam aku menelan sebiji panadol dan terus tidur.

Pukuk 9.00 malam TH membuat pengumuman bahawa aktiviti melontar yang sepatutnya dilakukan pada pukul 12.00 malam dibatalkan kerana kawasan jamrah dan jalan menujunya berlumpur. Berita tak rasmi yang aku dengari menyatakan ratusan jemaah mati di dalam terowong kerana banjir dan tiada bekalan elektrik yang berfungsi sebagai penyedut udara dalam terowong.

Kami dimaklumkan aktiviti melontar akan diadakan esok selepas solat subuh. Syukur Alhamdullillah kerana badan aku tidak begitu sihat untuk aktiviti melontar jika dilakukan malam itu. Aku terus tidur.


23 Januari 2005, Ahad

Aku kesejukan. Beberapa helai baju telah aku pakai dan selimut dengan kain ihram yang tebal namun masih lagi kesejukan. Pukul 3.00 pagi aku masih lagi demam. Aku terus sahaja bangun dan ke dapur maktab untuk mengambil air panas dan makan sebiji lagi panadol. Oleh kerana kesejukan aku memakai stokin pula, dan terus tidur. Pukul 5.00 pagi aku terasa lega sedikit dan bangun untuk solat subuh.

Pukul 6.30 pagi jemaah mula bergerak ke jamrah untuk lontaran hari ke 11, 12, dan 13 Zulhijjah. Dalam perjalanan ke jamrah aku perhatikan kesan banjir di Mina agak teruk sekali. Banyak maktab lain dinaiki air sehingga 3 kaki malah di suatu jalan di bawah jambatan aku nampak kesan air sehingga 10 kaki. Kelihatan pekerja-pekerja bertungkus lumus membersihkan kedai masing-masing.

Hari terakhir berada di Mina dan melontar ketiga-tiga jamrah untuk hari ke 11, 12 dan 13 Zulhijjah

Kami tiba di Jamrah lebih kurang pukul 8.30 pagi. Kebanyakan jemaah adalah dari Indonesia. Kami terus melontar Jamratul Ula, Wusta dan Aqabah untuk hari ke 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan mudah kerana jemaah tidaklah begitu ramai. Setelah selesai melontar untuk diriku, aku pergi melontar bagi pihak Mak. Kira-kira pukul 9.20 pagi selesai semua lontaran.

Kami bertiga beransur pulang ke khemah dan sampai pukul 11.00 pagi. Aku berkemas-kemas untuk pulang ke Mekah. Pukul 1.00 petang aku naik bas tetapi Lin dan Mek terpaksa naik bas lain walaupun aku bertegas kepada petugas supaya membenarkan naik bas sekali denganku namun permintaan aku tidak dilayan.

Dalam perjalanan pulang ke Mekah, aku perhatikan kesan banjir yang agak teruk. Banyak jalan yang rosak. Di Mekah kami terperangkap dengan kesesakan lalu lintas yang sangat teruk kerana dipenuhi dengan bas-bas yang membawa jemaah dari Mina.

Kami yang sepatutnya turun di hotel Cordoba terpaksa turun di hadapan hotel Sevilla. Akibat daripada itu, berlaku sedikit pertengkaran antara jemaah kerana ada yang memaksa pemandu untuk menurun kami di hotel Cordoba juga. Namun pemandu telah memaklumkan berjalan kaki lebih cepat daripada menaiki bas kerana jalan yang sesak begitu teruk sekali.

Aku turun dengan membawa 2 beg (1 lagi beg Mak) dan terus berjalan ke hotel Cordoba. Sampai hotel pukul 5.00 petang. Aku sangat keletihan namun terus mandi dan solat zohor/asar. Lin dan Mek tiba lewat sedikit dari aku dan mereka terpaksa berjalan lebih jauh daripada aku untuk sampai ke hotel. Mereka diturunkan di Bukit Marwah. Mungkin ini ujian Allah belaka.

Selepas solat maghrib, aku dan Lin pergi makan nasi briyani di restoran berhampiran dengan hotel dan sebungkus untuk Mek. Selepas makan kami terus pulang ke hotel.

Hatiku masih lagi tertanya-tanya perkhabaran Mak yang masih lagi berada di hospital sambil terus berdoa dan mengharapkan yang terbaik untuk Mak.


Inilah hospital Emak tinggal selama 8 hari (Emak keluar hospital pada 27 Januari 2005)