Tuesday 13 August 2013

Sakit Hari Raya 2013

Hari ini (13 Ogos 2013, Selasa) aku dan Lin pergi ke Kedah Medical Center (KMC) untuk mendapat rawatan kesukaran untuk membuang air kecil. Aku mula mengesan kesukaran ini setelah memakan ubat gout yang dibeli di Farmasi Kuala Berang sehari sebelum Hari Raya Puasa. Pada malam raya aku mula mengambil pil-pil yang dberikan dan keesokan harinya aku telah mula kelainan ketika membuang air kecil. Selepas 4 hari ia bertambah sukar lagi. Pada hari Ahad, 11 Ogos 2013, aku dan sekeluarga terus ke KL untuk menghantar kedua-dua anakku yang belajar di KL. Pada hari Isnin setelah menghantar mereka ke tempat studi masing-masing aku terus balik ke Kedah tanpa singgah di Kg. Balun untuk menziarah makcik-makcik dan saudara mara aku di kampung walaupun pada asalnya sememangnya aku ingin singgah. Namun oleh kerana kesakitan aku bertambah aku terus saja balik ke Kedah dan sampai pada pukul 7.30 malam. Kesukaran membuang air kecil semakin serius dan pelbagai perkara bermain dalam fikiran akibat dari kesakitan untuk membuang air kecil ini.

Sebaik saja sampai di KMC, aku terus dibawa ke bahagian kecemasan dan mendapat rawatan dengan segera tanpa mengambil nombor giliran. Setelah memaklumkan kepada doktor kecemasan, aku terus di bawa ke katil untuk diberi rawatan. Doktor telah berbincang dengan aku beberapa pilihan. Namun aku hanya menjawab terpulanglah kepada Doktor apa yang patut dibuat kerana Doktor lebih memahami dan berpengalaman mengenai kesakitan ku. Ketika saat itu sememangnya aku amat sakit di perut malah ketika menaiki kereta terasa kesakitan apabila kereta melalui jalan-jalan yang tidak rata. Dengan secepat mungkin Doktor terus memberi bius di zakar dan memasukkan tiub ke dalam zakar ku untuk membuang air kencing yang penuh di pundi. Selang beberapa minit, aku terasa lega. Kuantiti air kencing yang keluar adalah lebih kurang 1.5 liter.

Setelah berehat seketika, aku dibawa dengan manaiki kerusi roda untuk mendapat rawatan dari Pakar Urologi, Dr. Murali Mohan. Beliau telah bertanya beberapa soalan yang ada kaitan dengan penyakit aku; antaranya, usia aku, kekerapan membuang air kecil di waktu malam, kelancaran air kencing sekarang berbanding dengan 10 tahun dahulu, sensitiviti dengan air iaitu adakah terasa hendak membuang air kecil jika terdengar bunyi air. Jawapan yang aku beri semuanya diluar jangkaannya kerana pada usia 55 tahun adalah perkara biasa lelaki mengalami masalah kencing. Beliau terus memeriksa prostate aku dengan memasukkan jarinya dalam duburku. Seterusnya membuat scanning terhadap prostate dan buang pinggang ku. Beliau dapati semuanya normal. Cuma prostate aku membesar sedikit yang membuatkan saluran kencing menjadi sempit.

Beliau mencadangkan aku makan ubat terlebih dahulu, Xatral XL 10 mg, yang menurutnya di Hospital Kerajaan Alor Setar dan Jitra tidak ada stok kerana ubat ini mahal harganya. Selepas 3 hari, beliau minta aku datang semula untuk melihat kesan ubat yang diberi. Namun tiub yang berada dalam zakar tidak boleh dikeluarkan sehinggalah pada hari Jumaat (16 Ogos 2013) nanti. Aku melahirkan rasa tidak selesa kepada Doktor tentang tiub itu namun beliau menegaskan jika ia dikeluarkan aku akan mengalami kesakitan setiap kali aku hendak membuang air kecil nanti. Aku akur dengan nasihat Doktor itu.

Dengan adanya tiub itu membuatkan aku sukar untuk bergerak. Aku telah memaklumkan kepada IAB yang aku terpaksa meneruskan cuti rehat hingga hari Khamis (15 Ogos 2013). Aku cuma boleh duduk dan berbaring sahaja dan berjalan sikit-sikit. Bersolat dalam keadaan duduk sahaja.

Hari ini (16 Ogos 2013, Jumaat), aku, Linda dan Atiqah pergi semula ke KMC untuk mendapat rawatan lanjutan seperti mana dijanjikan pada pukul 9.00 pagi. Namun apabila aku mendaftar, nurse memaklumkan bahawa Doktor hanya ada pada pukul 11.00 pagi. Lalu aku mengambil keputusan untuk bersarapan dahulu di kafe KMC bersama Linda dan Atiqah. Setelah hampir pukul 11.00, kami terus ke Tingkat 3 untuk bertemu dengan doktor. Namun setelah sekian lama aku menunggu, nama aku tidak dipanggil lalu aku terus bertanya kepada nurse yang bertugas. Rupa-rupanya ada orang lain yang mungkin namanya sama dengan aku telah menerima rawatan terlebih dahulu. Setelah itu, aku terus dibawa ke bilik rawatan untuk membuang tiub dari saluran kencingku. Aku diminta berehat dan datang semula pukul 3.00 petang untuk berjumpa dengan doktor semula.

Di sebelah petang, aku dapat menemui Doktor Pakar tersebut dan setelah memeriksa prostate ku, ia sudah mula menguncup dan ini memudahkan aku membuang air kecil. Namun Doktor menasihatkan aku supaya terus memakan ubat yang diberikan kepada ku, kerana adalah normal prostate akan terus membesar sehinggalah kita meninggal dunia. Oleh itu, dengan memakan ubat yang diberikan tumbesaran prostate dapat dikekangkan.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

1 Mei 2017 Isnin

Dari subuh lagi aku telah merasakan kepayahan membuang air kecil. Semakin lama semakin sakit namun air kencing tidak juga boleh keluar. Ketika ini aku, Lin dan Along berada di hotel Siam Center, Hat Yai kerana meraikan persaraan seorang pensyarah IPGK Tuanku Bainun, En. Mohamad bin Osman. Sehingga ke pagi aku masih lagi merasa kesakitan yang amat sangat. Aku terus menelefon En. Mohamad untuk mohon bantuan beliau untuk ke hospital di Hat Yai.

Pukul 11.00 pagi kami berkemas dan terus check-out dan terus ke lobi. Setelah berbincang akhirnya aku buat keputusan untuk terus balik ke Malaysia dengan menaiki teksi dari hotel ke Danok dengan kos 700 baht. Dalam teksi aku amat sakit yang kadang kala tidak boleh dikawal.

Sebaik tiba di pos imigresen Thailand, orang begitu ramai sekali beratur menunggu giliran. Aku pada mulanya beratur juga namun selepas selang 30 minit ada seorang wanita melihat keadaan aku yang begitu tidak sihat dan terus menasihatkan aku untuk terus pergi ke kaunter. Sememangnya aku terasa amat sakit sekali. Aku, Lin dan along terus memotong barisan walaupun ada seorang yang cuba menghalang kami dari terus maju ke depan.

Di kaunter, aku maklumkan kepada mereka aku terpaksa berjumpa doktor dengan segera atas kesakitanku. Beliau faham dan terus membuat stamping atas passportku dan Lin & Along. Kami terus keluar dan berjalan ke sempadan Malaysia dalam hujan renyai-renyai. Lin dengan segera mencari teksi untuk kami ke tempat letak kereta. Selalunya teksi tidak mahu mengambil penumpang jaraknya terlalu dekat namun atas pujukan Lin dan ihsan pemandu teksi, kami terus di bawa ke tempat letak kereta kami di belakang Kompleks Bebas Cukai.

Aku terus masuk kereta dan mohon along pandu kereta. Hari ini sememangnya sesak kerana ramai rakyat Malaysia balik dari Thailand kerana cuti hujung minggu yang panjang. Dalam kereta aku masih lagi dalam kesakitan yang amat sangat. Along memandu dengan laju tetapi penuh cermat. Oleh kerana kesakitan yang amat sangat ingin sahaja aku mencari klinik di Changlun atau Hospital Jitra untuk mendapat rawatan dengan segera. Namun aku terfikir juga, mungkin mereka tidak mengetahui penyakit ku dan memberi rawatan yang tidak tepat. Akhirnya aku minta Along terus sahaja memandu ke KMC kerana aku ada rekod kesihatan di sana.

Kami tiba di KMC kira-kira pukul 3.30 petang dan terus di bawa ke bahagian kecemasan. Aku telah memaklumkan kepada doktor mengenai sejarah kesihatanku kepada beliau. Selepas itu aku terus diberi rawatan dengan memasukkan tiub ke dalam zakarku. Tidak sampai satu minit, 1 liter air kencing ku telah keluar. Aku merasa lega sekali. Selang beberapa minit aku dibenarkan pulang dan dikehendaki berjumpa Dr. Murali keesokannya.

2 Mei 2017 Selasa

Dr. Murali telah membuat scanning dan rawatan lain ke atas badanku. Beliau mendapati prostate ku membesar lagi yang mencengkam saluran kencing. Beliau telah  memberi aku ubat untuk 3 hari dan menasihatkan ku supaya tiub itu dibuka selepas 3 hari.

4 Mei 2017 Khamis

Pukul 9.00 pagi aku telah sampai ke KMC. Hari ini Atiqah yang memandu kereta untuk membawaku ke KMC. Aku terus mendaftar dan dimaklumkan akan rawatan yang dilakukan ke atasku. Aku terus sahaja ke bilik rawatan untuk membuang tiub dari zakarku. Selepas selesai, aku terus pulang dan datang semula pada pukul 3.00 petang untuk berjumpa Dr. Murali.

Dr. Murali telah membuat scanning lagi dan mendapati prostate ku membesar dari bahagian dalam. Ubat dan makanan mungkin boleh melambatkan sedikit tumbesaran prostate tersebut namun sekiranya masih lagi berlaku kepayahan kencing, pembedahan perlu dilakukan bagi membuang sedikit prostate tersebut. Aku akur dengan nasihat tersebut dan buat masa ini bertahan dengan memakan ubat yang diberikan.

7 Mei 2017 Ahad

Aku mula merasakan kepayahan untuk kencing mulai pukul 1.00 petang. Malah ketika aku solat Zohor, aku terpaksa berhenti kerana urgency untuk kencing sangat kuat namun yang keluar hanya sedikit sahaja. Mengambil 'uduk semula dan melakukan solat Zohor sekali lagi. Kali ini aku solat agak laju sedikit kerana aku takut rasa nak kencing datang lagi. Aku dapat menghabiskan solat ini.

Selepas itu kerap kali rasa nak kencing berlaku dan setiap kali aku ke bilik air, aku mengalami kesakitan yang amat sangat kerana air kencing tak boleh keluar lagi. Jika keluar pun hanya beberapa titik sahaja. Dan perkara ini terus beruluang hinggalah waktu Asar. Aku merasakan tak dapat melakukan solat Asar kerana masa aku habis di bilik air mengharapkan air kencingku boleh keluar sambil menahan derita kesakitan. Aku telah memaklukan kepada Lin dan Atiqah, aku terpaksa pergi ke KMC lagi solat Asar. Kira-kira pukul 6.00 petang, aku dapat juga solat Asar dalam keadaan kesakitan.

Lin dan Atiqah sudah bersedia menungguku untuk kami ke KMC. Setibanya kami di KMC, aku sekali lagi terus di bawa ke bilik kecemasan dan terus mendapat rawatan dengan memasukkan tiub dalam kemaluanku. Air kencing ku yang bertakung daripada pukul 1.00 lagi, telah keluar dengan banyak. Aku merasa lega sekali. Pukul 7.30 petang Dr. Murali datang memeriksa ku dan memberi nasihat rawatan yang sepatutnya diambil.

Dr. Murali mendapati prostate ku memang membesar dan menekan urethera sehingga ke bladder. Ia menasihatkan ku untuk membuat pembedahan. Aku akur dengan nasihatnya kerana dia adalah urology consultant. Oleh kerana itu, aku terus dimasukkan dalam wad. Aku memilih bilik yang ada satu katil supaya mudah Lin dan Atiqah menungguku. Sementara itu, Lin dan Atiqah pergi ke kaunter pendaftaran dan bayaran untuk mengurus ward admission.

Kira-kira pukul 9.00 malam aku dibawa ke Wad 606. Bilik ini seperti bilik hotel dengan bilik air di dalam, almari, kerusi panjang untuk penjaga, meja kecil berserta cermin, kabinet kecil untuk kettle dan barangan, TV dan 1 kerusi. Aku sendirian ketika ini kerana Lin dan Atiqah balik ke rumah untuk untuk mengambil keperluan aku.

Pukul 10.45 malam Lin dan Atiqah sampai. Mereka membawa nasi berlaukkan ikan dan sayur bendi. Aku sememangnya lapar kerana tidak makan dari pagi lagi. Lin dan Atiqah tidur bersama ku di wad.


8 Mei 2017 Isnin

Pagi-pagi lagi Dr. Murali telah datang menziarahiku dan memberi tahu aku berkaitan prosedur pembedahan pada hari Selasa. Selepas itu berselang seli nurse masuk untuk mengambil darah dan pelbagai perkara lain. Aku juga menjalani ujian ECG di katilku.

Menjalani ujian ECG

Pakar Bius pun datang selepas itu bagi menceritakan bagaimana pembiusan akan dilakukan. Aku hanya dibius separa sahaja iaitu di bahagian pembedahan yang biasa dibuat bagi pembedahan yang akan aku lalui, iaitu Transurethral resection of the prostate (TURP). 

Aku juga diperlukan untuk membuat ultrasound bagi memeriksa organ-organ dalamanku. Alhamdulillah kedua-dua buah pinggangku baik, tapi hati ada nampak lebih lemak sikit. Bila sampai bahagian bladder, nampak bagaimana prostate ku yang besar menolak bladder dan mencengkam urethra. Inilah membuatkan air kencing tidak boleh keluar. Dalam bladder tidak ada batu karang, Alhamdulillah.


9 Mei 2017 Selasa

Pukul 5.00 lagi nurse datang untuk mengambil bp dan ujian demam. Alhamdullilah kedua-duanya ok dan memberi aku sabun surgery. Aku mandi pagi itu dengan menggunakan sabun surgery untuk mengelak daripada jangkitan.

Pukul 8.30 pagi nurse datang dengan katil pembedahan untuk membawaku ke bilik pembedahan kerana aku adalah orang pertama akan dibedah hari ini iaitu kira-kira pukul 9.00 pagi. Aku telah siap dipakai dengan baju pembedahan oleh nurse tersebut. Namun setelah berada beberapa minit di atas katil, nurse telah memaklumkan kepada aku bahawa giliran aku menjadi kedua pula kerana memberi laluan kepada pesakit yang sudah berusia dan mempunyai masalah kesihatan yang perlu diberi perhatian segera.

Aku kembali ke katilku untuk berbaring semula. Kira-kira pukul 10.00 pagi aku telah dibawa ke bilik pembedahan diiringi isteriku Lin. Sampai sahaja pintu bilik pembedahan, Lin terpaksa menunggu di luar. Bahagian luar bilik pembedahan begitu sejuk. Nurse telah menyemak namaku dan sebagainya sebagai SOP mereka sebelum aku di bawa ke bilik bedah sebenarnya. Kemudian Pakar Bius, Dr. Aminuddin, telah datang dan memaklumkan kepada aku berkaitan dengan prosedur pembiusan akan dilakukan.

Alhamdullillah beliau merasa lega sedikit kerana aku tidak mempunyai sebarang alahan, penyakit-penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis, lemah jantung dan sebagainya. Ini memudahkan beliau membuat persiapan pembiuasan. Aku akan dibius separa sahaja iaitu dari bahagian pinggang hingga ke kaki. Bahagian atas, adalah seperti sediakala. Setelah selesai penjelasan oleh Dr. Aminuddin, aku terus di bawa ke bilik pembedahan. Suhu di bilik ini lagi sejuk dari luar. Aku menggigil di dalamnya walaupun telah diberikan dua helai selimut.

Aku diminta duduk di atas katil. Kemudian bahagian belakangku di spray dengan cecair yang sejuk. Dr. Aminuddin sambil bercakap denganku beliau menekan-nekan belakangku untuk mencari tempat yang sesuai untuk disuntik dengan bius. Setelah ditemui beliau maklumkan kepada aku, tahan sedikit kerana beliau hendak menyuntikku. Sememangnya sakit sedikit. Selepas itu ia menggosok gosokan belakangku. Selepas 5 minit bahagian pinggang dan kakiku sudahpun kebas.  Tibalah masanya untuk Dr. Murali memulakan pembedahan dengan teknik TURP.

Instrument 'resectoscope', yang mengandungi kamera dan alat surgical dimasukkan ke dalam saluran kemaluanku dan terus sampai ke prostate. Seterusnya alat surgical tadi terus menghiris sikit demi sedikit prostate dan terus disedut keluar. Aku memerhatikan sahaja yang dilakukan oleh Dr. Murali melalui skrin yang diletak berhampiranku. Kelihatan darah memancut keluar setiap kali hirisan dan ditutup semula dengan alat surgery tadi. Begitulah prosesnya sehingga pukul 11.45 pagi. Pukul 12.00 tengahari aku dibawa keluar dan diletakkan di bilik pembedahan. Aku maklumkan pada nurse aku terlalu sejuk dan beliau memberitahuku sememangnya suhu di situ memang sejuk. Aku terus diberikan 'warmer' untuk memanaskan badanku.

Setelah Dr. berpuas hati dengan keadaanku, aku terus dibawa ke wad ICU yang berada bersebelahan dengan operating theater. Sememangnya prosedur biasa, mereka yang lepas dibedah akan diletakkan di ICU untuk pemantauan rapi. Aku berada di sini hingga 8.30 malam sebelum dibawa ke wad aku di bilik 606.

12 MEI 2017 JUMAAT

Hari ini merupakan hari ke 6 aku tinggal di wad 606. Seperti biasa pukul 5.00 pagi nurse akan masuk untuk memeriksa tekanan darah dan status demam. Alhamdullillah setiap kali mereka memeriksa, aku dalam keadaan normal. Selepas itu mereka menyuntik antibiotik melalui drip. Pukul 6.00 pagi, nurse datang lagi untuk membuang tiub kencing dari kemaluanku. Kemungkinan besar aku dibenarkan balik hari ini, InsyaAllah.

Pukul 7.30 pagi, Dr. Murali datang untuk memeriksaku dan menurut beliau, aku boleh balik hari ini selepas selesai segala urusan kemasukan wad dan pembayaran. Beliau menasihatkanku supaya berehat selama seminggu dan tidak melakukan perkara-perkara yang menggunakan tenaga yang banyak seperti mengangkat benda-benda berat, berbasikal dan sebagainya. Beliau juga menasihatkan supaya kurangkan makanan pedas. Aku dikehendaki berjumpa beliau pada 18 Mei 2017 (Khamis) untuk membuat pemeriksaan susulan.

Pukul 2.30 petang, Atiqah berkemas-kemas dan mengangkut beg dan sebagainya ke kereta. Kira-kira pukul 2.45 aku keluar dari bilik dan mengucapkan terima kasih kepada para nurse yang menjagaku selama di wad. Aku dan Lin terus ke bilik discas untuk urusan pembayaran kos perubatan dan wad. Sambil aku menunggu pengiraan dibuat, Lin ke bahagian farmasi untuk mengambil ubat-ubatku. Jumlah keseluruhan yang terpaksa aku bayar adalah RM11,500.00 namun pihak KMC akan berurusan dengan syarikat insuranku, AIA, untuk tuntutan pembayaran. Aku tidak tahu berapa banyak yang aku terpaksa bayar mengikut polisi insuran yang aku beli.

Pukul 3.00 petang kami pulang ke rumah dengan Atiqah memandu kereta.