Friday 17 June 2011

10 hari di Oman (14 - 23 Feb 2005)

Emak (Hajah Busu bt Imam Adam) - Malam sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan ibadah haji (5 Jan 2005)






























Selepas kira-kira 2 jam penerbangan dari Madinah, tiba-tiba aku terdengar suara pramugari memanggil nama aku untuk pergi ke bahagian depan kapalterbang. Aku mula mengesyaki bahawa penyakit ibuku kembali menyerang beliau dan aku diperlukan untuk menemaninya. Sepatutnya aku berada disisi ibuku dari Madinah lagi tetapi oleh kerana orang-orang sakit naik kapalterbang selepas semua orang naik, maka tempat yang sepatutnya untuk orang sakit telah didiami oleh orang lain. Pramugari telah memujuk beberapa penumpang supaya mereka mencari tempat di bahagian lain namun hanya 4 orang sahaja yang sanggup mengalah sedangkan orang sakit ada 3 dan setiap pesakit mestilah ada pengiringnya. Malang bagi aku dan seorang lagi tidak dapat bersama dengan ibu dan terpaksa duduk di bahagian belakang.

Apabila aku sampai dibahagian depan, aku lihat 3 orang doktor (Jemaah haji Malaysia) telah memberi rawatan kepada emak. Emak kelihatan sesak nafas dan nadinya tidak stabil. Doktor sedaya upaya memberi rawatan yang cukup cekap dan profesional. Akhirnya doktor telah menasihatkan “Captain” pesawat untuk membuat pendaratan kecemasan kerana emak perlu dimasukkan dalam ICU. Walaupun pada mulanya Captain enggan tetapi akhirnya ia terpaksa akur dengan nasihat doktor.

Pesawat membuat pendaratan kecemasan di Muscat, Oman. “Airport Doctor” memasuki pesawat untuk membuat pemeriksaan semula tentang kesihatan Emak. Di lapangan terbang aku perhatikan polis, ambulan dan petugas airport ada di sekeliling pesawat. Setelah Emak diperiksa, Maka aku dan Emak terpaksa turun dan menaiki ambulan yang telah sedia menunggu. Kami terus dibawa ke “Royal Hospital Oman”. Emak terus masuk ICU dan aku membuat urusan pendaftaran.

Inilah hospital dimana Emak tinggal selama 10 hari dan menghembus nafasnya yang terakhir


Seterusnya aku sentiasa disamping Emak kerana doktor perlukan maklumat tentang Emak. Setelah diperiksa, keadaan Emak stabil, dan ia terus dibawa ke “Female Ward 2”. Disitu ia diletakkan di bilik ‘high dependency’. Wakil Saudia Airline (kapalterbang yang disewa khas oleh Tabung Haji) iaitu En. Zain dan Dawood datang menziarahi Emak. Kira-kira pukul 7.00 malam aku dibawa oleh Zain/Dawood untuk mencari hotel kerana aku tidak dibenarkan tinggal di hospital. Aku telah disapa oleh orang yang aku tidak kenali (ii orang Malaysia). Lalu ia memperkenalkan dirinya sebagai Faisal, pegawai Kedutaan Malaysia yang telah pun dapat maklumat dari KL.

Beliau bersama 2 orang lagi nurse (En. Sawife dan Norman – orang Singapura) berbual seketika sebelum aku dan Zain masuk kereta untuk mencari hotel yang terdekat. Malang bagi aku, kerana kebanyakan hotel penuh karana ada ‘Muscat Festival’. Kami kembali ke hospital dan bertemu semula dengan Faisal dan rakan-rakan. Zain dan Faisal telah berbincang mengenai tempat penginapan ku dan Zain menegaskan Saudia Airline akan membayar bil hotel.


Seterusnya, Faisal dan rakan-rakannya dan aku menaiki kereta untuk mencari hotel. Akhirnya aku di bawa ke satu apartment ‘Khwair’ dengan bayaran satu malam 22 riyal Oman (bersamaan dengan RM220). Sebelum sampai hotel, Faisal dan rakan-rakan telah belanja aku makan malam iaitu nasi Arab, sup dan teh Yemen. Enak sekali rasanya. Faisal telah membelikan aku air mineral, roti, biskut, berus gigi, ubat gigi, sabun untuk keperluan ku di hotel. (Aku sememangnya mempunyai wang amat sedikit ketika itu). Apartment ini mempunyai 2 bilik, 1 ruang dapur, 1 bilik air, 1 ruang tamu. Terlalu selesa untuk aku.
En. Akib Basiron : Pegawai Kedutaan yang banyak membantu aku (Bergambar di hadapan bangunan Kedutaan Malaysia di Muscat Oman selepas minum pagi bersama Duta Malaysia)

Keesokan harinya aku pergi ke hospital dengan teksi (1 riyal Oman). Sampai hospital pukul 8.00 pagi dan aku lihat Emak semakin pulih tetapi masih lagi diletakkan dalam wad ‘high dependency’. Emak boleh berbual seperti biasa. Sawife dan Norman datang menziarahi Emak. Tak lama lepas tu, Zaiton dan Rihana (nurse Malaysia) datang melawat Emak. Berita Emak sakit telah tersebar di kalangan rakyat Malaysia di Muscat melalui SMS oleh Sawife. Sehari suntuk aku di hospital, walaupun peraturan tidak membenarkan orang lelaki berada di wad perempuan namun aku dikecualikan kerana komunikasi antara doktor/nurse dengan Emak terpaksa melalui aku.

Pukul 6.00 petang aku dihantar pulang oleh Sawife/Norman ke hotel. Begitulah aku setiap hari, pergi ke hospital naik teksi dan pulang dengan Sawife/Norman. Kadangkala Sawife/Norman bawa aku ke rumah mereka untuk makan tengahari (2.30ptg) kerana waktu kerja di Oman ialah dari 7.30 pagi hingga 2.30 petang. Pukul 4.00 ptg kami datang balik untuk melihat Emak.

Semasa aku di hospital, aku kerap dikunjungi oleh rakyat Malaysia yang bekerja di Oman. Kebanyakan mereka bekerja sebagai nurse ataupun dengan syarikat minyak. Pada hari kedua, aku telah dikunjungi oleh Pegawai Kedutaan, En. Akib dan kami berbincang mengenai penyakit Emak dan sebagainya. Beliau cukup prihatin dengan kebajikan aku dan kesihatan Emak. Beliau merupakan ‘contact person’ di Oman bagi Tabung Haji KL. Berita Emak disampaikan ke KL setiap hari. En. Akib telah memberitahu aku bahawa segala perbelanjaan hospital akan ditanggung oleh TH manakala tambang kapalterbang dan sewa hotel ditanggung oleh Saudia Airline. Ini cukup melegakan aku kerana aku cuma ada lebih kurang 300 riyal Saudi iaitu sama nilainya denga 30 riyal Oman.
Di rumah En. Sawife berlatarbelakangkan salah satu masjid di Oman

Selama 10 hari di Oman, Sawife, Norman, Zaiton, Rihana kerap kali belanja aku makan di hospital. Kadang kala aku merasa malu mengatakan aku tak makan lagi kerana mereka akan terus bawa aku ke cafeteria untuk makan. Kadang kala aku mangatakan aku sudah makan walaupun sebenarnya aku belum makan lagi semata-mata aku malu untuk menerima belanja mereka.

Pada hari ke 2, Emak telah dipindahkan ke wad biasa. Ini merupakan petanda baik bahawa Emak semakin pulih. Walaupun begitu Emak tak punya selera untuk makan seperti hari-hari ketika dia berada di Madinah. Emak memang tiada selera untuk makan. Nurse Malaysia ada juga bawa makanan yang dimasak di rumah mereka semata-mata untuk bagi Emak makan. Namun Emak tetap tak ada selera untuk makan. Aku selalu berpesan kepada Emak, “Emak kena makan, kalau tak makan Emak tak ada tenaga, kalau tak ada tenaga, doktor kata Emak lemah/sakit, kalau sakit kita tak boleh balik”. Dengan ungkapan itu, aku berharap Emak akan berubah. Nyata sekali seleranya memang tak ada. Emak cuma makan 1 sudu selepas itu terus berhenti dan minum air. Begitulah keadaannya di hospital.

Namun Emak cukup ceria, nurse di situ suka dengan dia kerana dia banyak bercerita walaupun nurse Oman tak faham cakap Emak. Nurse Malaysia yang datang ke situ suka melayan Emak kerana Emak petah bercakap, tak henti-henti bercakap. Kadang kala nurse Malaysia suruh dia berhenti bercakap kerana makin banyak dia bercakap, batuknya bertambah.

Pada hari Jumaat (iaitu hari ke 5) di Oman, Emak semakin pulih. Wakil Saudia Airline yang berkunjung telahpun menempah tiket untuk balik pada malam itu dengan syarat doktor dapat memberi pelepasan. Aku lihat Emak sangat ceria dengan berita tersebut. Tetapi petang itu, doktor dapat mengesan ada sedikit bengkak di perut Emak. Penyakit jantungnya sudah dapat distabilkan tetapi bengkak di perut pula timbul. Doktor terpaksa menahan Emak untuk pemeriksaan lanjut. Apabila dibuat ‘CT Scan’, Emak mengidap ‘haemotoma’ dan terdapat pendarahan pada bengkak tersebut. Oleh kerana itu, kami terpaksa tinggal lebih lama lagi di Oman bagi mengubati pendarahan tersebut. Emak yang pada paginya ceria bertukar kurang senang dengan penyakit yang baru dikesan.

Aku hanya akur dengan keputusan doktor kerana mereka lebih mahir dengan tugas mereka. Walaupun begitu, hampir setiap kali aku solat aku menitiskan air mata, ketika berdoa pun air mataku mudah untuk keluar – memohon kepada Allah SWT agar Emak sihat dan kami dapat pulang ke Malaysia. Itulah doaku setiap selepas solat. Semakin hari aku perhatikan Emak semakin lemah. Semakin hari, aku perhatikan Emak semakin lemah kerana pada pandanganku Emak tak mau makan sebab itu dia semakin lemah.

Pada hari Isnin (hari ke 8), Emak dimasukkan semula ke ‘high dependency ward’ kerana Emak terlalu lemah. Doktor terpaksa buat ‘drip’ untuk tenaga. Disamping itu, doktor juga terpaksa memasukkan darah kerana ‘pendarahan’ diperut perlu digantikan. Sungguhpun begitu, Emak masih lagi kuat bercakap. Sesiapa saja yang melawat dia, pasti akan dilayannya. Yang membuatkan aku terharu, dia selalu bercakap untuk balik ke Malaysia. Dia takut aku dibuang kerja kerana cuti terlalu lama walaupun aku telah nyatakan bahawa aku masih banyak lagi cuti yang belum diambil. Setiap kali pelawat menziarahi itulah yang terkeluar dari mulutnya.

Aku sangat-sangat terharu dan sayu apabila pelawat menziarahi Emak sehinggakan aku terpaksa berdiri di luar melihat dia dari cermin sahaja kerana aku malu air mataku sentiasa sahaja menitis dengan serta merta. Walaupun aku cuba kawal diri aku dengan menekan hidung dan sebagainya tetapi air mataku tetap gugur. Sapu tanganku sentiasa basah dengan air mata dan selsema yang keluar dari hidungku. Sawife dan Norman sedar dengan gelagatku, dan selalu berpesan supaya aku tabah dalam menghadapi situasi tersebut. Mereka kata, jika aku terus seperti itu, aku juga mungkin jatuh sakit, dan kalau aku sakit siapa pula yang nak jaga Emak.

Sememangnya aku terhutang budi dengan 2 orang sahabat ini. Sememangnya aku ‘demam malam’ di sana. Apabila malam menjelma, badan aku menjadi sejuk, dan selepas solat Isya’ aku terus tertidur dengan selimut tebal. Walaupun kipas dan aircond ada, aku tidak memasangnya. Sawife sedar akan keadaan aku, dan dialah membeli ubat di farmasi yang berhampiran dengan apartmentku. Sawife dan Norman sangat prihatin dengan aku dan Emak.

Pada hari Isnin (hari ke 8), aku telah berbincang dengan Zaitun berkenaan dengan Emak. Aku telah beritahu Zaiton bahawa Emak nampaknya semakin lemah dan pada pandanganku Emak lemah disebabkan ia terlalu rindukan kampung lamannya, anak cucunya dan adik beradiknya. Jadi aku bertanya bolehkah aku dan Emak balik walaupun ia kurang sihat. Zaiton kata, mungkin boleh tetapi dengan syarat diiringi dengan nurse. Kalau begitu tak apalah, besok aku nak berjumpa dengan doktor dan berbincang dengan dia, dan nurse yang mengiringinya mestilah Zaiton. Zaiton nampaknya setuju tetapi bayarannya bagaimana pula? Aku berjanji pada Zaiton, aku akan tanggung perbebelanjaannya. Ia agak terkejut kerana perbelanjaan untuk seorang nurse sangat tinggi. InsyaAllah aku akan usahakan untuk dapat wang tersebut, kata aku pada Zaiton. Nampaknya ia bersetuju.

Keesokannya (hari ke 9) aku berbincang pula dengan En. Akib berkaitan dengan rancanganku untuk bawa Emak balik. En. Akib bersetuju denganku tetapi biarlah ia hubungi dulu Tabung Haji KL. Beliau terus menelefon Tabung Haji KL, dan apa yang menggembirakan aku ialah Tabung Haji KL sanggup untuk membayar perbelanjaan ‘escort nurse’.

Pada petang tersebut aku rasa sangat gembira sebabnya TH setuju untuk bayar ‘escort nurse’ dan Saudia Airline sememangnya setuju untuk menanggung aku dan Emak. Pada petang itu, aku telah maklumkan kepada Emak bahawa jika Emak ada tenaga dan pulih sedikit, esok (Rabu) kita akan balik ke Malaysia. Aku kerap kali beri Emak minum dan makan pada petang itu. Walaupun tak sebanyak mana yang dimakan sebab selera Emak sememangnya tak ada.


Pada petang itu, aku baca surah Yassin untuk Emak. Airnya aku beri Emak minum. Aku mohon kepada Allah SWT “jika umur Emak panjang berikanlah kesihatannya yang baik, pulihkanlah penyakitnya, jika ajalnya sudah sampai, maka permudahkanlah pemergiannya”. Itulah doa yang aku baca pada petang itu. Setiap kali Emak nak minum, air itulah yang aku berikan. Aku basuhkan mukanya dengar air tersebut, rambutnya dan tengkoknya. Aku sangat berharap Emak akan sembuh. Aku perhatikan Emak sangat lemah tetapi cekal menghadapi keadaan.

Kerap kali Emak merenung mataku. Aku faham, dia sangat risaukan keadaanku memakai pakaian yang sama setiap hari. Setiap kali Emak merenung aku, aku cuba kawal diri supaya tidak menitiskan air mata, tetapi aku sangat lemah dalam mengharungi keadaan tersebut. Air mataku tetap menitis. Lebih kurang pukul 6.00 petang, aku terpaksa pulang ke apartmen. Sebelum balik, seperti biasa aku mencium tangannya. Emak berpesan kepada aku supaya aku datang awal sedikit. Aku anggukkan kepala tanda setuju. Pada masa yang sama air mataku terus menitis.

Seperti biasa aku akan tidur awal namun sebelum tidur aku telah mengemas bilik kerana aku yakin esok aku akan pulang ke Malaysia. Aku yakin dapat kebenaran dari doktor untuk pulang bersama Emak. Aku bangun awal dan bersiap-siap untuk ke hospital.

Pada hari ke 10 (Rabu), lebih kurang pukul 7.50 pagi, aku dapat panggilan telefon dari Sawife yang mengatakan Emak ‘tenat’, dan dia akan ke apartment untuk mengambil aku. Hati aku mula berdetik, syak dan berkata-kata mengenai Emak. Walaupun begitu aku tetap berdoa semoga tidak ada perkara yang buruk berlaku ke atas Emak. Sawife sampai apartment lebih kurang pukul 8.00 pagi, dan aku terus bersamanya ke hospital. Dalam kereta Sawife menegaskan lagi bahawa keadaan Emak semakin ‘tenat’ tetapi air mukanya aku dapat menelah ada sesuatu yang ia cuba sembunyikan daripada aku. Mungkin ia menyangka aku tidak dapat menerima kenyataan. Akhirnya, aku sendiri yang bertanya. “Adakah Emak aku sudah pergi?”. Sambil dia memegang belakang aku dan menyatakan “Ya”.

Itulah saat yang sangat menyentuh jiwa aku dan aku cuba tidak mahu menerima cakapnya selagi aku tidak melihat sendiri. Aku terus diam. Sawife terus berkata-kata bagi menenangkan aku. Sebaik saja aku sampai di Hospital, Rihana, Norman, Zaiton sudah ada di sisi katil Emak. Rihana membuka kain menutup muka Emak. Ketika itu, aku tidak dapat lagi menahan perasaan, terus memeluk Emak, mencium muka Emak. Air mataku sememangnya mudah keluar walaupun 10 hari aku di Oman, air mataku tidak pernah kering. Selang beberapa minit, Sawife menenangkan aku supaya jangan terlalu banyak menangis kerana air mata aku akan jatuh ke muka Emak.

Aku terus membaca surah Yassin di sisi Emak walaupun bacaanku tersekat-sekat kerana kesedihan yang aku sendiri tak boleh nak kawal. Sebaik saja selesai bacaanku, aku terus berdoa supaya roh Emak dihimpunkan dengan orang-orang yang dirahmati Allah SWT. Sawife senantiasa bersama-sama aku bagi mengurangkan kesedihanku, lalu ia mengeluarkan ‘handset’nya untuk aku membuat panggilan ke Malaysia. Aku terus menghubungi adikku, Izan dan aku hanya mampu berkata “Emak sudah tak ada lagi” kepada Izan. Itu sahaja ungkapan yang perkatakan pada Izan dan aku terus mengembalikan telefon kepada Sawife. Air mataku bercucuran di pipi. Aku sungguh pilu ketika itu. Pelbagai perkara melintas dalam fikiran aku.



Aku menyangkakan aku dapat pulang ke Malaysia pada hari itu. Segala rancangan telah pun diatur untuk membawa pulang Emak namun Emak telah pergi buat selama-lamanya menemui Allah SWT. Aku telah membuat perancangan tetapi perancangan Allah SWT tentulah lebih sempurna dan terbaik untuk Emakku dan aku. Aku redha pemergian Emak di tanah yang tidak terlintas olehku malah Emak sendiri. Itulah ketentuan Allah SWT.


Tidak lama selepas itu, En. Akib telah datang dan berbincang dengan aku mengenai jenazah Emak. Pada mulanya pihak kedutaan akan mengurus pengkebumian Emak di Oman saja namun aku merayu pada En. Akib bahawa Emak beberapa kali menyatakan jika ajalnya sampai ia hendaklah dibawa balik ke kampungnya. Atas rayuan itu, En. Akib bersetuju.



Proses untuk membawa pulang jenazah Emak amat mendebarkan aku pada hari itu kerana Emak meninggal pada hari Rabu dimana waktu pejabat di Oman akan tamat pada pukul 2.30 ptg. Ini bermakna segala proses hendaklah selesai sebelum pukul 2.30ptg. En. Akib adalah orang yang paling sibuk dan banyak membantu aku kerana menyatakannya segala urusan hendaklah diselesaikan pada hari itu juga, dan jenazah mesti di bawa pulang pada hari itu juga. Jika tidak, aku hanya dapat pulang pada hari Sabtu kerana Oman mempunyai cuti hujung minggu pada hari Khamis dan Jumaat .

Sementara doktor membuat laporan kematian aku dan Akib pergi balai polis lapangan terbang untuk membuat laporan kematian Emak. Namun laporan tidak dapat diterima kerana aku dan Emak masuk secara haram, tidak ada dokumen perjalanan. Selepas merayu kami diarah untuk membuat laporan di Balai Polis berhampiran hospital. Hanya dengan laporan polis itu, barulah jenazah boleh dibawa pulang. Jam hampir 2.00 ptg namun kerja masih lagi tidak selesai. Akhirnya En. Akib dapat merayu dengan seorang Inspektor supaya urusan ini hendaklah diberi keutamaan dan beliau telah mengarahkan orang bawahannya untuk menyelesaikan urusan jenazah tersebut. Apabila dapat kebenaran itu, kami terus ke hospital untuk mengambil jenazah Emak dan di bawa ke Balai Polis Oman untuk membuat pengawetan. Aku terpaksa menunggu lama disitu untuk menjadi saksi kepada proses pengawetan dilakukan. Hanya seorang pekerja sahaja yang mengendalikan proses itu. Agak lama jugak aku menunggu di situ. Selepas selesai untuk dimasukkan ke dalam keranda, aku sekali lagi diminta menyaksikan itu ialah jenazah Emak dan aku diminta menandatangani beberapa dokumen. Keranda itu, terus di’seal’kan.

Van jenazah yang sedia menunggu di situ terus membawa En. Akib, aku dan jenazah ke lapangan terbang. Disana Dawood telah sedia menunggu kami dan seterusnya urusan dikendalikan oleh En. Dawood. Sebaik saja selesai itu, En. Akib mohon untuk kembali ke rumahnya dan aku bersama En. Dawood untuk ke pejabat Saudia Airline untuk menempah tiket balik ke Malaysia. Agak lama juga aku di sana kerana Dawood cuba mendapatkan penerbangan yang terdekat dan boleh sampai segera ke Malaysia. Akhirnya beliau telah menempah penerbangan Emirates yang berlepas pada malam itu juga. Ketika itu hari sudah pun beransur gelap.

Aku telah dihantar ke rumah Sawife dimana terdapat ramai orang Malaysia dan Singapura berkumpul yang baru selesai membuat tahlil untuk ibuku. Aku hanya sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah membantu aku semasa aku di sana terutamanya Sawife, Norman, Zaiton dan Rihana. En. Akib adalah orang yang paling banyak membantu aku dari segi kebajikan dari mula hinggalah jenazah ibuku masuk dalam kargo. Tidak dapat aku lupakan rakyat Malaysia dan Singapura membuat derma kilat untuk aku (lebih kurang 300 riyal Oman) dan juga pakaian. Tetapi apakan daya pakaian yang diberi dikira sudah terlambat kerana aku sudah tidak memerlukannya lagi (Mereka sebenarnya tidak tahu bahawa aku cuma ada sehelai sepinggang sahaja selama 10 hari di Oman). Itulah pakaian yang aku pakai setiap hari kerana beg pakaian aku telah sampai ke Malaysia terlebih dahulu.

Aku sempat mandi dan berkemas-kemas dan terus ke lapangan terbang Muscat, Oman. Ramai juga yang menghantar aku ke lapangan terbang. Aku semakin kuat dan ceria namun dalam hati tetap gundah gulana. Apabila tiba masa untuk ‘check-in’, tanpa aku sedari aku telah memeluk seerat-eratnya Sawife, Norman sambil air mata mengalir keluar. Zaiton dan Rihana dan beberapa orang nurse perempuan juga turut mengalirkan air mata mereka. Suasana ketika itu sungguh hening bercampur pilu, tanpa melengahkan masa En. Dawood dan En. Akib telah membawa aku dipintu pemeriksaan dan terus ke ‘waiting lounge’. Kedua-dua mereka ini mempunyai keistimewaan tertentu yang boleh masuk di kawasan larangan itu. Kira-kira pukul 12.00 malam aku meninggalkan Oman menuju Malaysia dengan transit di Dubai. 10 hari di Oman yang membawa banyak pengajaran dan pengertian hidup dan kehidupan.