Friday 20 May 2011

Pengalaman Seorang Guru Fizik (1982 - 1986)

Apabila aku menerima surat penempatan, aku merasa gembira bercampur dengan gelisah kerana inilah kali pertama aku akan bekerja secara tetap dan akan menerima panggilan 'cikgu'. Sekolah yang yang aku tidak pernah dengar sebelum ini terletak di sebuah pekan yang aku tidak pernah sampai. Dengan semangat yang berkobar aku telah pergi bersendirian dengan menaiki bas. Dalam perjalanan, aku telah merasakan betapa sukarnya untuk sampai ke tempat berkenaan denganjalan yang bengkang bengkok seperti ular kena palu. Sebaik saja aku sampai di pinggir pekan berkenaan aku telah diberi isyarat konduktor bas untuk turun kerana itulah destinasinya. Sebaik saja aku turun, jam menunjukkan hampir 2.oo petang. Kelihatan pelajar-pelajar dari sekolah berkenaan mula keluar dari kawasan sekolah. Ada yang berjalan kaki, ada yang menyorong basikalnya dan ramai yang menaiki motorsikal. Apa yang mengejutkan aku ialah ada diantara murid berkenaan memandu kereta. Ah! Murid-murid sekolah ini nampaknya hebat belaka, aku berkata-kata dalam hati sambil meneguk air teh 'O' ais di warong bersebelahan sekolah berkenaan. Sambil memerhati gelagat murid-murid yang keluar dari pagar sekolah aku telah menelah apa yang bakal aku lalui selepas ini.


Cikgu Johari Che Ali: Guru pertama yang aku temui dan
terus menjadi rakan karibku. (kini beliau sebagai Penolong Kanan (P) di Kuala Terengganu (2011)


Di tempat ini aku akan mencari rezeki dan di sinilah bermulanya kerjayaku sebagai seorang guru. Sebaik saja aku habis menjamah makanan tengahari, aku telah menumpangkan beg galasku di warong berkenaan kerana aku ingin melapor diri di sekolah tersebut. "Encik ni cikgu baru sekolah ini ke?" Tanya makcik yang menjual di warong itu. Sambil mengangguk kepala aku terus ke sekolah dengan berjalan kaki saja. Sebaik saja aku sampai di pejabat, terdapat dua orang kerani dan seorang pelayan pejabat. Aku terus memaklumkan kepada kedua-dua kerani akan kehadiranku di situ. Salah seorang kerani telah pun mengetahui akan kehadi
ran aku kerana JPN telah pun menghubunginya melalui telefon sebelum itu. Aku telah mendapatkan sebanyak maklumat berhubung sekolah berkenaan. Alangkah terperanjatnya aku kerana sekolah itu memang terkenal di negeri tersebut kerana prestasi yang cemerlang di bidang akademik dan juga kokurikulum. Di bidang akademik sekolah tersebut pernah muncul s
ebagai sekolah terbaik di negara dalam peperiksaan STPM. Peperiksaan awam yang lain sekolah ini secara konsisten adalah merupakan salah sebuah sekolah yang terbaik di negeri itu. Bagi bidang kokurikulum, beberapa orang murid pernah mewakili negara dan negeri. Ah! Cukup hebat sekolah ini. Sementara menunggu pengetua, aku berjalan-jalan di persekitaran sekolah untuk mendapat gambaran keadaan sekolah. Bangunannya bercampur-campur, ada yang telah didirikan hampir 50 tahun dulu yang dalam keadaan daif dan ada yang baru.


Cikgu Rahman, teman serumah dan sepermainan. Sudah bersara dan menetap di Kuala Lumpur. (2011)



Apabila aku kembali ke pejabat. Penolong Kanan dan seorang guru lain ada di pejabat. Aku memperkenalkan diri danseterusnya perbualan berkisar mengenai latar belakang aku. Oleh kerana aku tiada saudara mara dan kenalan di pekan itu, maka guru yang ada di pejabat bersama penolong kanan tadi telah menumpangkan aku di rumahnya untuk beberapa hari sebelum aku dapat mencari rumah sewa. Aku pulang bersama-sama dengan guru tadi dan terus ke rumahnya. Aku telah mengumpul sebanyak maklumat yang mungkin dari guru berkenaan mengenai sekolah baik dari segi akademik, gelagat murid, dan guru-guru, staf dan berbagai-bagai lagi yang mungkin dapat membantu aku nanti.




Antara murid-murid yang rapat denganKU (Rozayati, Rosita, Fatimah, Halimatun, Azita, Zanuriah, Zue Aida & Rosnani)



Keesokan harinya kau pegi ke sekolah bersama dengan guru tadi dan aku telah diperkenalkan dengan Pengetua, semua guru dan staf sekolah. Selepas itu aku telah diberi jadual waktu peribadi. Aku dikehendaki mengajar mata pelajaran Fizik bagi semua tingkatan 4 sains (ada 4 kelas) dan pendidikan jasmani. Hari pertama aku di sekolah, aku telah dimaklumkan oleh Penyelia Tingkatan 4 bahawa sekolah ini mengamalkan sistem penjurusan. Kelas terbai
k mengandungi mereka yang mendapat agregat kurang daripada 10 di peringkat SRP d
an kelas kedua terbaik mengandungi murid-murid yang memperolehi agregat antara 10 hingga 13. Dua kelas berikutnya adalah campuran daripada semua murid yang layak masuk aliran sains. Hatiku mula gementar kerana di zaman aku amat sukar sekali untuk memperolehi agregat di bawah 10 di peringkat SRP, jika ada, nama mereka akan terpapar di dada akhbar harian. Tetapi sekolah ini satu kelas murid-muridnya mendapat agregat di bawah 10. Aku dapat bayangkan sudah pasti murid-murid kelas ini mempunyai tahap kecerdasan dan keaktifan yang tinggi dan berani menyuarakan pendapat mereka. Begitu juga kelas yang kedua, aku merasakan perbezaannya tidak begitu ketara jika dibandingkan dengan kelas yang pertama tadi. Mengajar murid-murid pintar seperti ini sudah pasti menjadi suatu cabaran yang besar akan aku lalui.


Cikgu (Dato') Wan Mustama Abdul Hayat : Rakan karib merangkap kaunselor sekolah. Sudah bersara dengan jawatan terakhirnya ialah Pengarah, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia



Daripada maklumat yang aku perolehi keputusan subjek Fizik peringkat SPM tidak pernah jatuh dibawah 80 %. Ah! Ini sudah pasti menjadi suatu cabaran hebat bagi aku kerana di era '70an peratus kelulusan Fizik jarang-jarang mencecah 60% pun. Apa yang merungsingkan aku ialah aku adalah guru Melayu pertama mengajar subjek Fizik di sekolah ini semenjak ia ditubuhkan. Oleh kerana itu, aku khuatir, akan dipersalahkan jika peratus kelulusan fizik jatuh. Aku telah memikirkan pelbagai cara bagaimana harus aku dapat mengekalkan prestasi cemerlang sekolah. Daripada pengamatan dan penelitian aku dapati masalah utama yang mungkin menjatuhkan prestasi ialah murid-murid yang berada di dua kelas terakhir. Didapati lebih kurang 70% daripada murid-murid daripada kelas ini adalah murid-murid Melayu. Manakala murid-murid di dua kelas terbaik pula mengandungi lebih 90% murid-murid Cina. Aku meramalkan prestasi kelulusan Fizik sekolah ini akan ditentukan oleh dua kelas terakhir, manakala di dua kelas terbaik hanyalah untuk mempastikan terdapatnya kualiti daripada keputusan SPM nanti.

Tingkatan 5 Sains Hijau, 1985


Aku melapor diri bulan Ogos. Didapati terdapat perbezaan yang ketara dari segi sukatanyang diajar bagi dua kelas yang terbaik dibandingkan dengan dua kelas yang lain. Mungkin ini menunjukkan bahawa murid-murid di dua kelas terbawah tidak mamu mengikuti silibus dengan kadar kelajuan di dua kelas yang pertama tadi. Dari segi buku latihan juga, didapati kelas yang terkebelakang ini kurang. Kekerapan menggunakan makmal juga amat jarang sekali. Kebanyakan pengajaran dilakukan dalam kelas. Di minggu-minggu awal aku mengajar di kelas bawah ini, didapati ramai murid-muridnya mempunyai sikap negatif terhadap Fizik dan mereka tidak mempunyai semangat langsung untuk belajar. Berbeza sekali dengan kelas yang terbaik tadi. Boleh dikatakan semua muridnya begitu tinggi semangat nya untuk belajar dan mereka tidak sabar-sabar lagi untuk meneruskan pelajaran yang terhenti untuk beberapa bulan oleh kerana tiada guru ganti (Guru Fizik sebelum ini telah bertukar ke sekolah lain lebih kurang 2 bulan sebelum aku melapor diri). Oleh kerana aku guru baru dan kurang berpengalaman, ada di kalangan murid-murid kelas baik ini cuba-cuba menguji kebolehan dan pengetahuanku.

Tiga bulan berakhir dan cuti penggal persekolahan bermula. Aku telah merancang apa yang patut aku buat bagi permulaan tahun berikutnya. Ini kerana daripada keputusan Peperiksaan Akhir Tahun kelas-kelas tingkatan 4, peratus kelulusan Fizik adalah di bawah 70%. Keputusan ini amat membimbangkan aku, kalau-kalau ia menjadi suatu realiti di peringkat SPM nanti.

Apabila penggal pesekolahan pertama bermual aku dikehendaki mengajar semua tingkatan 4 sains (3 kelas semuanya) dan 2 kelas tingkatan 5 sains. Dua lagi tingkatan 5 sains diajar oleh 2 lagi cikgu Fizik lain, satu kelas masing-masing. Dua orang guru Fizik berpengalaman ini mengajar Fizik tingkatan 6. Kelas terbaik tingkatan 5 dan ketiga terbaik diajar oleh guru-guru Fizik Tingkatan 6 tadi. Manakala aku mengajar kelas kedua terbaik dan yang tercorot. Inilah saat-saat yang mendebarkan aku kerana sudah pasti murid-murid akan menilai guru manakah yang bagus dan murid-murid dari kelas manakah yang akan gagal dalam peperiksaan SPM nanti.

Aku telah mengatur beberapa strategi dan pendekatan bagi memastikan murid-murid aku faham danlulus dalam peperiksaan nanti. Aku yakin bahawa belajar Fizik memerlukan sesuatu yang konkrit dan murid-murid mesti diberi peluang melalui proses pengamatan dan membuat kesimpulan. Murid-murid mesti dapat merasai keseronokan disamping dapat menerokai konsep-konsep Fizik yang sering dilaluinya dalam kehidupan seharian. Jadi dengan itu, aku telah menggunakan pelbagai contoh yang hampir dengan diri murid setiap kali aku mengajar. Setiap kali aku mengajar, contoh-contoh yang berkait rapat dengan diri murid, dan pengalaman mereka digunakan sebagai landasan bagiku menyampaikan maksud dan konsep Fizik.

Tingkatan 5Sc Hijau 1984

Aku telah menggunakan bahasa yang mudah difahami dan tidak terikat sangat dengan buku teks atau buku-buku rujukan lain. Hampir semua ujikaji yang terdapat dalam buku teks dan eksperimen-eksperimen yang bersangkutan dibenarkan murid-murid menjalankannya. Aku hanya menerangkan secara ringkas dan seterusnya murid-murid akan berbincang sesama sendiri bagi menjalankan ujikaji tersebut. Aku kemudiannya menjadi fasilitator dan membantu murid-murid yang menghadapi masalah. Dengan cara itu, aku yakin bahawa bukan sahaja kognitif murid-murid akan meningkat tetapi juga domain psikomotor. Domain psikomotor juga penting dalam pengajaran Fizik kerana mereka perlu disediakan untuk peperiksaan amali Fizik.

Murid-murid juga perlu merasakan pengalaman menjalankan ujikaji. Pengalaman inilah yang akan mengukuhkan fahaman konsep-konsep fizik. Dengan tidak secara langsung domain afektif juga dapat dipraktikkan seperti nilai bekerjasama, sabar, menghargai masa, menghormati pendapat orang lain, berkomunikasi dan sebagainya semasa melakukan ujikaji secara berkumpulan. Di akhir setiap pengajaran, aku akan membuat rumusan mengenai segala yang dilalui oleh murid-murid. Dengan rumusan ini murid-murid sekali lagi diperkukuhkan fahaman dan pengetahuan yang mereka dapati semasa menjalankan ujikaji. Pendekatan ini dijalankan sepanjang tahun. Mujur juga aku mendapat kerjasama yang mantap dari pembantu makmal sekolah tersebut. Kadang kala pembantu makmal akan membantu aku mengubah suai alat-alat ujikaji supaya ia dapat dijalankan dengan lebih baik. Kebiasaannya pembantu makmal akan membantu aku dalam mengendalikan perjalanan pengajaran. Ini kerana bukannya mudah untuk mengawal 40 orang murid dalam sebuah makmal bagi menjalankan ujikaji.

Aku memastikan setiap ujikaji yang dijalankan mesti mempunyai laporannya. Dengan itu juga semua murid akan menghantar laporan ujikaji paling lewat pada waktu pertama keesokan harinya. Bagi ujikaji yang memakan masa yang pendek, laporan dihantar sebelum kelas berakhir. Disiplin menghantar buku laporan makmal dan buku latihan sangat ditegaskan. Murid-murid sangat faham dengan ketegasan aku berhubung dengan penyerahan dan laporan amali. Jika ada pun yang tidak menghantarnya, ianya adalah segelintir kecil sahaja dan biasanya mereka mempunyai sebab yang munasabah. Buku-buku yang dihantar akan diperiksa dengan teliti. Komen, pujian dan gred biasa sangat ditulis di akhir penyemakan. Bagi kes-kes tertentu, aku akan menulis "Sila jumpa saya" di akhir penyemakan. Tujuan aku berbuat demikianialah supaya murid-murid dapat berjumpa dengan aku secara bersendirian dan menyuarakan masalahnya dalam pemelajaran Fizik. Dengan cara ini, aku mendapat maklum balas yang dapat digunakan ketika aku mengajar di lain-lain masa. Daripada interaksi seperti itu, banyak perkara yang diluar jangkaan dapat dicungkil dan dimanfaatkan untuk kebaikan murid.


Aku menangani isu pemelajaran Fizik murid-murid bukan sahaja dari aspek kognitif yang berlaku dalam bilik darjah sahaja tetapi aku juga telah memerhati gelagat dan sikap murid-murid terhadap Fizik, Daripada pengamatanku, terdapat seramai lebih kurang 20 hingga 30 orang murid sahaja yang akan menentukan peratus kelulusan di peringkat SPM nanti. Ini merupakan faktor kritikal yang perlu ditangani sebelum ia menjadi realiti kepada penyumbang kejatuhan peratus kelulusan Fizik. Murid-murid ini pada pandanganku, mempunyai persepsi yang salah terhadap Fizik sehinggakan mereka benci, fobia atau takut terhadap Fizik. Mereka menganggap Fizik sesuatu yang sukar difahami dan dihayati. Daripada perlakuan mereka dalam kelas/makmal dan kualiti kerja rumahdan latihan menunjukkan mereka memang mempunyai pandangan serong terhadap Fizik. Dengan mengenalpasti faktor kritikal ini, aku telah mengambil suatu pendekatan yang berbeza dari biasa.

Aku percaya mereka perlu didekati dan difahami jiwa dan emosinya. Aku juga percaya kaedah desakan dan tekanan untuk lulus periksa perlu diimbangi dengan pendekatan perasaan, emosi dan harga diri. Aku berharap dengan mendekati dan memahami kumpulan murid ini, mereka dapat dipulihkan dan bersikap positif terhadap Fizik. Aku telah membentuk kumpulan-kumpulan kecil yang terdiri daripada 5 orang murid setiap kumpulan dan mereka terdiri dari satu jenis jantina. (Tiada campuran jantina dalam satu kumpulan). Aku sendiri yang menentukan ahli-ahli setiap kumpulan. Bagaimanakah kumpulan ini dibentuk? Pertama sekali sudah pastilah mereka yang terdiri daripada kumpulan kritikal. Keduanya aku telah memerhatikan gelagat dan gerakan mereka semasa dalam kelas/makmal dan di kawasan sekolah. Aku akan meletakkan mereka dalam satu kumpulan sekiranya didapati mereka sering sahaja bersama baik dalam kelas atau pun di luar kelas. Aku memastikan yang aku berjumpa dengan setiap kumpulan ini sekurang-kurangnya 2 kali sebulan. Perjumpaan dengan kumpulan-kumpulan ini bukan tujuan untuk memberi kelas tambahan atau tuisyen tetapi lebih kepada proses menyelami jiwa, fikiran, sikap, emosi dan berbagai-bagai lagi.

Pada kali pertama perjumpaan, aku telah menegaskan bahawa perjumpaan itu merupakan suatu rahsia dan semua ahli tidak dibenarkan menceritakannya kepada kawan-kawan lain yang bukan ahli kumpulan. Segala apa yang diperbualkan dlam sesi pertemuan itu juga merupakan suatu rahsia dan ianya hanya untuk kumpulan itu sahaja. Tujuan aku membuat sedemikian rupa ialah membangkitkan semangat serakanan atau sesahabatan. Dengan cara itu, ahli-ahli dalam kumpulan akan lebih bersatu hati dan percaya antara satu sama lain termasuk aku sekali kerana aku juga ahli dalam kumpulan itu.

Dengan tahap kerahsiaan yang tinggi maka mudahlah murid-murid meluahkan perasaan mereka tanpa segan silu dan bimbang akan kobocoran rahsia dirinya manakala ahli-ahli lain pula akan cuba membantu sedaya mungkin. Penerokaan diri dilakukan dalam sesi pertemuan yang pertama dan pertemuan-pertemuan lain adalah merupakan pengukuhan ke atas pembinaan pasukan bagi setiap kumpulan tersebut. Walaupun begitu, di akhir-akhir pertemuan ketika peperiksaan hampir tiba, kebanyakan perbincangan tertumpu kepada pemelajaran Fizik. Usaha ini berterusan sehinggalah peperiksaan SPM.

Apabila keputusan SPM diumumkan, aku adalah salah seorang yang paling gembira sekali seolah-olah aku juga menjadi seorang murid ketika itu. Apa yang menggembirakan aku ialah daripada 156 orang murid yang mengambil Fizik, hanya 2 orang sahaja yang gagal. Ini suatu pencapaian yang tertinggi yang pernah diperolehi sekolah berkenaan iaitu 99% lulus. Pendekatan yang telah aku laksanakan rupa-rupanya telah membuahkan hasil. Pada tahun berikutnya aku begitu yakin dengan sesi pengajaranku dan juga pendekatan yang aku gunakan untuk menarik minat murid terhadap Fizik. Aku telah melakukan perkara yang sama seperti tahun sebelumnya. Sekali lagi keputusan Fizik dapat dipertahankan iaitu daripada 138 orang murid yang mengambilnya, cuma 2 orang juga yang gagal. Maka yakinlah aku dengan pendekatan yang telah aku buat.

Pada tahun berikutnya, oleh kerana beberapa sebab tertentu aku telah tidak berminat lagi untuk mengadakan sesi menarik minat murid terhadap Fizik seperti yang telah aku lakukan 2 tahun sebelum itu. Walau bagaimanapun pengajaran dalam bilik darjah/makmal dilakkan seperti biasa, cuma aku tidak lagi seperti tahun-tahun sebelumnya dimana aku telah mendekati dan menyelami jiwa mereka. Apabila keputusan SPM keluar, keputusannya jatuh kepada 85 % seperti tahun-tahun sebelum sebelum aku masuk ke sekolah itu. Jelaslah pada pandanganku bahawa sememangnya wujud pertalian yang rapat antara peranan guru bagi menarik minat pelajar dengan pencapaian akademik pelajar dalam subjek berkenaan.

Sudah pasti terdapat pelbagai cara bagi menarik minat pelajar terhadap subjek yang mereka tidak gemari. Pendekatan yang telah aku buat cuma satu daripada ribuan pendekatan lain. Sesungguhnya iltizam, semangat serta iradat yang tinggi di kalangan guru merupakan satu faktor yang paling penting bagi menjamin kejayaan murid-murid.


Bersama sebahagian murid-muridku selepas 26 tahun tidak berjumpa. (Hotel Residence, Putrajaya 1.1.2010). Terima kasih untuk Fatimah & Azlan Su yang telah berusaha untuk mengadakan majlis ini.






SEKIAN.